
TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MALAM ANUGERAH WARTAWAN MALAYSIA 2024
7 JUN 2024 (JUMAAT) | 8.00 MALAM
GRAND BALLROOM, MAJESTIC HOTEL,
KUALA LUMPUR
Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh dan Salam Sejahtera
YBhg. Datuk Yong Soo Heong;
Presiden Malaysian Press Institute (MPI);
YBhg. Datuk Mustapa Omar;
Ketua Pegawai Eksekutif MPI dan selaku Pengerusi bersama majlis pada malam ini;
Tokoh-tokoh wartawan dan rakan-rakan yang saya muliakan.
- Alhamdullilah kerana kita dapat bersua sekali lagi membicarakan soal media, dunia kewartawanan yang merupakan bidang kemahiran kepakaran saudara-saudara. Saya ucap terima kasih kepada PETRONAS yang meningkat jumlah penajaan. Mudah-mudahan meningkat juga jumlah sumbangan kepada Kerajaan Malaysia. Saya gurau-gurau sahaja.
- Tidak perlu saya tambah atau menokok tambah apa yang disebut oleh YBhg. Datuk Yong Soo Heong tentang keperluan mengangkat keupayaan media dan selain daripada mengakui peranan sumbangan besar. Pernah saya singgung sebelum ini dalam sejarah perjuangan kebangsaan, sejarah bahasa, sejarah negara ini, itu berakar pada keupayaan, kepintaran dan kemahiran malah dalam banyak hal; getir dan derita golongan wartawan sama ada dalam sejarah pra-merdeka malah pasca merdeka.
- Saudara lihat umpamanya kegetiran itu berlaku kerana ketegasan malah kedegilan wartawan-wartawan utama dan ulung pada ketika itu mempertahankan hak kebebasan bersuara. Saya ingin beri jaminan bahawa semangat itu kekal walaupun ia telah menimbulkan sedikit keresahan kerana ketegasan kita dalam menangani beberapa isu yang terkait dengan keselamatan, soal chauvinisme dan perkauman ataupun aliran pelampau agama.
- Selain daripada itu, saya ingin jelaskan tidak pernah ada pendirian saya dan rakan-rakan dalam Jemaah Menteri yang kita bincang yang menggesa supaya tindakan diambil atau kawalan terhadap ruang kebebasan wartawan dan media memberi pandangan, teguran dan kritikan. Saya nak jelaskan itu kerana semalam atau dua hari yang lalu saya berjumpa dengan United Nations Human Rights Commissioner, Volker Turk yang kebetulan juga kenalan saya terutama dalam masa saya di sebelah pembangkang.
- Saya tegaskan bahawa saya tidak berganjak dari pendirian untuk menjamin kebebasan tetapi kita ada masalah kalau disinggung isu yang kadang-kadang diperolok-olokkan, 3R seolah-olah menjadi hantu yang menakutkan, tidak benar sebenarnya. Saudara boleh singgung soal 3R, saudara boleh bicara soal kaum, soal agama dan soal Raja tetapi tidak boleh menggunakan isu itu yang boleh memecah-belah dan memporak-perandakan kita.
- Sebab itu semasa di Kuching saya sebut apa makna Perdana Menteri dan Kerajaan mahu imej beliau itu tersergam indah di mata dunia kerana meyakini dan menjadi pelopor media yang sepenuhnya bebas yang tidak berlaku di mana-mana termasuk di Amerika Syarikat dan dunia barat untuk mencapai pingat dan penghormatan tersebut, apakah saya sanggup korbankan keharmonian dan perpaduan dalam negara kita? Jawapan saya tegas, saya pilih keselamatan dan pengupayaan rakyat untuk bebas dan merdeka. Ini saya sengaja tegaskan semula kerana hal ini dibangkitkan, ada teman-teman termasuk wartawan senior yang juga menyebut kepada saya atau memberikan sedikit pandangan dalam platform whatsApp kerana mereka bimbang persepsi itu diterima oleh sebahagian pihak.
- Saya hanya memberikan jaminan kepada saudara-saudara bahawa negara ini harus mekar dan matang sebagai demokrasi. Kita tidak boleh berundur daripada iltizam dan komitmen kita dalam bidang itu tetapi negara ini juga punyai masalah-masalah dan isu-isu yang menghangatkan suhu politik, menggunakan hal-hal yang dibahaskan setengah abad atau sebelumnya yang lalu.
- Soal kaum dan kalau soal kaum itu berdasarkan fakta tidak apa, tetapi kalau menggugat kestabilan, ini tidak benar. Apa lagi soal Islam, Islam tu kita harapkan sebagai agama yang ada landasan tradisi ilmu dan akliah, bukan menggalakkan pemikiran yang jumud dan kebencian. Apakah agama itu tidak ada kaitan dengan ihsan, rahmah dan kasih sayang? Apakah selalu mesti diberikan, melontar idea yang hanya menimbulkan prasangka, kebencian, kerunsingan? Islam tidak mungkin berkembang kalau pandangan yang sedemikian. Maka, ini sahaja yang mengekang dunia ini dan negara kita dan negara pelbagai kaum bukan pilihan kita. Tetapi ini kenyataan dan kita mampu memilih menggunakan ini sebagai satu kekuatan ataupun menjadikan bibit untuk memecahkan.
- Majoriti rakyat memilih untuk menghormati, menyantuni tanpa tolak ansur dalam soal-soal prinsip. Saya dalam keadaan saya sekarang ini menggesa Kementerian Pendidikan dan Kementerian Komunikasi untuk menggalakkan penguasaan Bahasa Inggeris yang lebih di negara kita, kerana keperluan semasa untuk menjamin masa depan anak kita dan Artificial Intelligence (AI) tetapi saya tidak pernah berganjak dari tunggak menjadikan Bahasa Melayu itu bahasa pengantar, lingua franca dan bahasa ilmu, saya tidak pernah berganjak soal itu.
- Jadi ianya bukan zero sum game, bukan menggalakkan Bahasa Inggeris dengan memadamkan Bahasa Melayu, ia memperkukuh penguasaan Bahasa Melayu dan ini juga harus difahami oleh rakan-rakan kita yang bukan Melayu. Kadang-kadang orang elit bandar ini dan sebahagian kecil sarjana dan elit bukan Melayu, dia nampak seperti ghairah betul pertahankan Bahasa Inggeris tetapi membisu kelu apabila bicara soal Bahasa Melayu. Ini yang menimbulkan kerunsingan dan kecurigaan di kalangan sebahagian orang Melayu.
- Tidak ada masalah untuk mendorong, menggesa meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris, tetapi jangan memberi gambaran seolah-olah kamu mahu meremehkan kepentingan Bahasa Melayu. Ini masalah kita dan harus kita santuni dengan cara yang bijak, baru boleh kita memenangi hati rakyat.
- Kalau saudara-saudara ingat saya percayalah wartawan ini pintar dia boleh baca dan telahan dia, enam bulan atau empat atau lima bulan pertama saya sebagai Perdana Menteri, saya langsung tidak bicara kepentingan Bahasa Inggeris. Saya tekankan kepada rakyat kepentingan penguasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama negara kita dan perlu bukan sekadar boleh menguasai tetapi meningkat mutu penguasaan.
- Ramai rakan-rakan saya termasuk Jemaah Menteri tanya, eh mengapa nampak Anwar Ibrahim begitu sahaja menekankan? Saya kata pertamanya ini hal yang perlu ditegaskan kepada rakyat, tetapi saudara bayangkan berapa ramai elit bandar pada masa itu sama ada di kalangan Melayu yang kadang lebih Inggeris daripada Inggeris ataupun yang bukan Melayu yang kemudian mula dah menyerang, Anwar Ibrahim ini dah mula bangkitkan soal perasaan dalam dia iaitu begitu taasub dengan kekuatan Bahasa Melayu dan meninggalkan Bahasa Inggeris.
- Mereka tidak faham bahawa rakyat itu mesti diyakinkan bukan elit Bandar, bukan dua tiga kerat golongan yang sekerat intelektual ini. Kita kena yakin dan kita kena yakinkan mengatakan landasan yang termaktub dalam Perlembagaan, dalam sistem negara kita ini harus kita patuhi dan laksanakan. Jadi apabila mereka itu yakin saya tidak tolak ansur hal itu, tidak berganjak pada prinsip itu maka mula saya beri arahan kepada Menteri Pendidikan dan Menteri Pendidikan Tinggi untuk mempertahankan dasar Bahasa Melayu ini tanpa berganjak tetapi dalam masa yang sama melonjakkan keupayaan supaya mutu penguasaan Bahasa Inggeris itu ditingkatkan.
- Malah saya tidak mewakili pandangan yang sempit, yang lihat Bahasa Inggeris itu dari segi Matematik dan Sains. Saudara tidak boleh menguasai bahasa dengan Matematik dan Sains sahaja. Dia mesti melalui bahasa, melalui sastera, baru boleh dikuatkan penguasaan bahasa itu dan ini yang kita sedang lakukan. Sebab itu kadang-kadang pendekatan, kebijaksanaan dalam pendekatan itu penting.
- Jadi samalah macam isu seperti isu saya mengusulkan supaya anak-anak Muslim bahkan ada sebahagiannya bukan Islam harus baca ‘Adab al-Ikhtilaf fi al-Islam’, adab berbeza pendapat dalam Islam atau Ethics of Disagreement in Islam oleh Sheikh Dr. Taha Jabir Fayyad al-Alwani.
- Oh ada orang kata ini dah mula islamization, menakutkan tetapi dia tidak baca pun. Dia rasa dia itu intelektual. Itu yang saya selalu popularkan rencana kecil oleh Edward Said, yang mengatakan “It is not a clash of civilization, but it is a clash of ignorance. You think, you assume you know, you don’t know. Because they aren’t prejudices that you were you refuse even to read, understand, and appreciate.”
- Kalau saudara ingat umpamanya ucapan saya selain daripada soal diplomasi, ekonomi, pelaburan di Jepun, saya di undang ke Universiti Keio dan saya berucap tentang Profesor Toshihiko Izutsu. Izutsu ini seorang pemikir, filsuf dan sarjana terkemuka di Jepun yang pernah menjadi tunggak di Universiti Keio, Jepun. Dia menulis beberapa buku karya yang besar termasuk Sufism and Taoism kerana beliau pakar dalam bidang Sufism and Taoism dan mempelajari Islam dengan sangat mendalam dengan penguasaan bahasa Arab, Perancis, Inggeris, Jepun dengan begitu baik. Beliau menterjemah Al-Quran dalam bahasa Jepun. Mengikut yang menguasai Bahasa Jepun dan Bahasa Arab, itu penguasaan dan penafsiran yang sangat mendalam.
- Beliau menulis tentang ‘Epistemology of the Qur’an’, beliau menulis tentang ‘God and Man in the Qur’an’. Saya bukan nak kupas soal Toshihiko Izutsu sebab kita belum makan lagi. Saya hendak sebut nasihat beliau penting sebab YM Tan Sri Tengku Taufik Tengku Kamadjaja Aziz ada kerana jika Jepun itu beliau fikir pelaburan, bidang oil and gas sahaja. Saya minta dia fikir juga bahawa there is this guy Toshihiko Izutsu, not Isuzu car, but Toshihiko Izutsu the thinker. Beliau kata kalau nak appreciate orang lain, budaya lain, agama lain itu kena ada empati. Ini yang tidak ada dalam dunia kita ini. Lihat orang Cina, lihat Melayu, lihat Islam dan orang Melayu, lihat orang Cina ataupun India ataupun Dayak, dia tidak ada empati.
- Dia lupa bahawa yang menjadikan mereka itu, mengangkat kedudukan mereka, budaya mereka, bahasa mereka, warna kulit mereka itu adalah Allah SWT dan mereka lupa bahawa ada tunggak dalam Al-Quran tentang wa laqad karramna bani Adam – we have exalted the children of Adam.
- Jadi, kata Toshihiko Izutsu, dalam soal pelbagai kaum, pelbagai agama, kefahaman, empati itu kena ada kerana kita ini manusia, maka nilai kemanusiaan itu ada. Walaupun saya tahu berucap di situ dan dialog di situ memang tidak ada liputan, entah orang kata Anwar Ibrahim ini is in wrong profession. Ya tetapi saya nak sebut di sini tidak mengapalah itu minat saya dalam bidang itu, saya nak sebut di sini bahawa di negara kita ini harus usahakan.
- Di mana lagi boleh kita rayu, kelompok mana yang paling mampu merobah dan membantu mengangkat martabat keinsanan selain guru-guru adalah wartawan, saudara-saudara. Tanggungjawab itu besar untuk menyampaikan dengan empati, boleh berbeza pendapat tetapi kalau nak faham orang lain litaarrafu, dia mesti empati, mesti ada keinginan dan hasrat memahami dan menguasai. Maka dihasilkan buku yang sangat baik tentang Islam dan terutamanya Sufism and Taoism. Untuk Malaysia sangat relevan untuk saling memahami.
- Baik terima kasih saudara-saudara, terima kasih sekali lagi kalau ada apa-apa kekurangan minta kepada PETRONAS (nada seloroh) dan sekali lagi saya minta maaf kalau kupasan itu tidak sangat, tetapi saya bercakap seperti mana kerja saudara, bagaimana kita nak nilai seorang wartawan yang berjaya? Iaitu dia kerja dengan perasaan dengan keyakinan, ada passion dalam profesion dia.
- Saya apabila bicara itu, saya dengan passion. Saya percaya dan yakin Malaysia ini mampu menjadi satu negara hebat dan gagah kalau kita tumpu matlamat kita aman damai, hormat semua dan angkat ekonominya, budayanya, agamanya, AI dan digitalnya, tetapi jangan diheret isu-isu yang memecahbelahkan yang memaparkan kebodohan dan keangkuhan serta terhakisnya kemanusiaan.
Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Similar Posts:
- PERBINCANGAN INTELEKTUAL UNTUK RESPONS KEPADA ISLAMOFOBIA – PM ANWAR
- COVID-19: MALAYSIA TIDAK DISKRIMINASI PELANCONG ASING, UTAMAKAN KESIHATAN RAKYAT
- DENGAR PENDAPAT PAKAR NAMUN JANGAN SESEKALI ABAI PANDANGAN RAKYAT BIASA – PM ANWAR
- PM ANWAR ARAH JEMAAH MENTERI AMBIL SERIUS TEGURAN LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA 2021
- BELANJAWAN 2023 AMBIL KIRA CABARAN EKONOMI SEMASA – PM ANWAR