
TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN SAMBUTAN 100 TAHUN INSOLVENSI
25 JULAI 2024 (KHAMIS)
PUTRAJAYA INTERNATIONAL CONVENTION CENTRE PUTRAJAYA
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Alhamdulillah Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolihil Kareem
YAB Dato’ Sri Azalina binti Othman Said,
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi);
YBhg. Datuk Ahmad Terrirudin bin Mohd Salleh,
Peguam Negara;
YBhg. Tuan M.Kulasegaran A/L V.Murugeson,
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi;
YBhg. Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz,
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam;
YBhg.Tuan Bakri Bin Abd Majid,
Ketua Pengarah Insolvensi;
Seluruh keluarga Jabatan Insolvensi dan tetamu-tetamu yang saya muliakan.
- Alhamdulillah kita dapat bersama-sama dan saya ucap terima kasih kepada Saudara Bakri serta keluarga Insolvensi dan Jabatan kerana memberikan ruang untuk saya bersama dalam sambutan 100 tahun Jabatan ini dan tentunya seratus tahun telah melakar sejarah yang gemilang.
- Kebetulan saudara saudari dibebankan dalam soal yang tidak mudah, bagi sesetengah orang mereka terpaksa mengendalikan masalah individu yang sedang meningkat, sebaliknya saudara saudari terpaksa mengendalikan masalah individu dan syarikat yang bermasalah, iaitu bankrap. Orang dah bankrap baru cari saudara, ini bukanlah satu kerja yang bagus kerana tentunya perlu mempunyai tahap kesabaran yang tinggi.
- Tetapi, alhamdulillah kerana inisiatif Jabatan khususnya Azalina dan rakan-rakan nampak telah menggesa supaya kita mengambil beberapa tindakan, dan memberikan peluang dan kesempatan kepada rakan-rakan kita.
- Kadang-kadang muflis ini mungkin kesalahan daripada kecuaian individu itu, kadang-kadang kerana keadaan ekonomi, kadang-kadang seperti mana berlaku COVID atau sebelumnya kelembapan ekonomi yang menjejaskan kedudukan mereka ataupun kesilapan-kesilapan peniaga.
- Tetapi tanggungjawab kita adalah untuk merangsang ekonomi dan juga memberi peluang, ini disebut sebagai peluang kedua. Langkah awal kita untuk menjadikan Malaysia ini mampu menjadi negara yang berdaya saing dan maju. Ada beberapa langkah proaktif yang harus dilakukan, yang memerlukan pimpinan menteri dan rakan-rakan, Haji Bakri dan keluarga Insolvensi bagi memikirkan apakah langkah-langkah baharu.
- Bukan sekadar meneruskan sahaja peraturan yang sedemikian, tetapi tanggungjawab saudara saudari dalam negara yang harus mendamba perubahan atau reform di samping meletakkan tunggak asas MADANI iaitu ehsan. Kita boleh maju tetapi jikalau tidak ada jiwa ehsan samada yang disebut compassion, dan timbang rasa, dan sedia memaafkan, maka peluang rakyat juga ikut terbantut.
- Jadi, disebabkan itu di dalam belanjawan MADANI ini kita tegaskan beberapa langkah perubahan, dan saya bangga kerana tindakan yang diambil oleh menteri, jabatan dan rakan-rakan supaya membawa perubahan termasuklah perubahan dalam Akta Insolvensi.
- Saudara bayangkan kalau di dalam satu tahun, jabatan ini menunjukkan kecekapan mereka melepaskan 130,000 orang lebih daripada kemuflisan. Maknanya, 130,000 keluarga telah saudara saudari selamatkan daripada keadaan tertekan.
- Jadi, saya bagi pihak kerajaan tentulah hadir untuk menyatakan penghargaan atas usaha yang saudara-saudara lakukan. Kita boleh pinda undang-undang atau pinda akta dan kita boleh berikan ruang. Tetapi kalau jabatan dan pegawai-pegawai itu bekerja dalam kadar yang agak lembap, tentu tidak boleh capai target kita 130,000 malah, sehingga sekarang Saudara Bakri sebut sudah mencecah hampir 140,000 orang yang dilepaskan.
- Ini maknanya, saudara saudari telah menunjukkan prestasi yang baik. Saya sebut ini kerana KPPA dengar dan sekarang kita sedang kaji soal pelarasan sistem saraan. Jadi, soal peranan Jabatan Insolvensi tentu akan diberikan perhatian khas kerana prestasi yang membanggakan.
- Kita kadang-kadang mendapat liputan daripada media sosial atau media, hal-hal yang negatif sahaja. Memang benar ada yang berlaku, ada kecurangan, ada rasuah, ada pegawai yang lembap tapi yang saya rasa gusar dan kurang senang ialah kerana hal-hal yang positif sebegini tidak dihebahkan.
- Sudah tahu, 140,000 orang yang memang muflis, yang akan muflis berterusan kerana tidak ada upaya membayar 50,000, 100,000, 200,000 tetapi, kerana keputusan kerajaan meminda undang-undang dan memberi ruang untuk jabatan meneliti semula dan di disusuli dengan tindakan yang lebih cekap dari kalangan penjawat awam khususnya di jabatan ini maka, kita lepaskan. Maknanya dengan tindakan satu jabatan yang namanya Jabatan Insolvensi, 140,000 keluarga rasa lega dan boleh hadapi hidup dengan begitu baik.
- Kemudian, kalau dilepaskan sahaja tidak ada program susulan dia mungkin terhambat, itu yang ditekankan oleh Dato’ Sri Azalina sebentar tadi, sebab itu disebut dasar peluang kedua. Dasar peluang kedua kita anjurkan supaya ada langkah-langkah yang harus diketahui oleh mereka.
- Pertama, jangan ulangi kesilapan lalu. Kedua memahami peluang-peluang yang ada disediakan oleh kerajaan dan melalui rangkaian jabatan dan kementerian yang pelbagai, seperti TEKUN, MARA atau PUNB. Ruang ini kadang-kadang peluang diberikan tetapi tidak mendapat dukungan ataupun sambutan kerana saudara-saudara yang terlibat itu tidak mempunyai peluang memahami atau diberikan konteks yang baik.
- Jadi sebab itu, kita adakan peluang kedua ini dan jabatan yang berkaitan harus memberikan dan mengenal pasti rangkaian jabatan-jabatan yang ada. Peluang yang ada itu banyak, dan kalau saya dengar menerusi taklimat dari TEKUN, taklimat daripada Amanah Ikhtiar Malaysia, PUNB, Bank Negara, dan kemudian daripada pelbagai jabatan serta kementerian dengan kemudahan-kemudahan, namun kelemahan kita kadang-kadang adalah kerana kurang penyelarasan.
- Jadi, tanggungjawab saudara saudari bukan sahaja memberitahu mereka dari segi prinsip tetapi mengarah mereka kepada jabatan atau agensi yang berkenaan. Kita lihat umpamanya, Akta Insolvensi yang diluluskan itu hanya dari segi prakasa perundangan yang memberikan kesempatan kepada saudara untuk meneruskan tugas ini.
- Dari pihak kerajaan tentunya ini membanggakan kerana bagi kita daripada 140,000 tokoh, individu, syarikat, dan keluarga yang agak terapung-apung tanpa jelas masa hadapan dan kehidupan mereka, itu bermakna mereka boleh membantu memacu pertumbuhan. Sekarang ini 142,510 dan saya boleh tengok angka ini memang saya salute, terima kasih banyak-banyak kepada saudara saudari. Kita boleh makan dengan lega selepas ini.
- Maknanya daripada pihak kerajaan, apa yang perlu? undang undang? Kita luluskan. Jabatan? Ada jabatan. Tetapi pengurusan dan pelaksanaan itu harus terus ditingkatkan. Dalam kerajaan, langkah-langkah ini yang saya tegaskan kadang-kadang tidak diikuti, tidak difahami. Jadi, selalu gelisahnya ialah tiada apa-apa yang dilakukan. Tidak benar saudara-saudara.
- Jarang sekali jika saudara saudari lihat sejarah sejak merdeka sehingga sekarang belum pernah mana-mana kerajaan yang mampu menyelesaikan 142, 500 kes bankrap tetapi, saudara saudari telah bantu menyelesaikan dan ini harus diketahui umum. Sebab tu saya memilih untuk mengulangi kenyataan ini supaya difahami oleh rakyat.
- Kemudian sementara mereka itu boleh bernafas, kita ada suntikan tunai rahmah, dana yang disediakan oleh kerajaan kepada 9 juta rakyat. Berapa jumlahnya? RM 10 billion satu tahun, hanya cash transfer kepada rakyat terutama M40 dan B40 yang berjumlah 9 juta rakyat. Ini memberikan nafas sementara mereka boleh menjalankan perniagaan dan kegiatan baharu.
- Inilah keperluan saudara untuk memastikan kelestarian pentadbiran dalam pengurusan insolvensi di negara kita, dan saya hanya menekankan beberapa langkah-langkah tambahan yang harus kita lakukan. Saya seringkali bergurau dengan saudari Azalina, dia kata menteri wanita tidak ramai, saya kata betul. Menteri wanita tidak ramai dalam kabinet, 4 orang. Tetapi yang seorang ni sama dengan 5 kerana ada sahaja idea dia, cadangan dia, dan teguran dia yang membantu kita.
- Jadi, saya sekali lagi ucap terima kasih kepada saudara-saudara dan mendoakan ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala sempena sambutan 100 tahun ini, mari kita tekad jadikan negara kita ni negara yang berjaya, bukan sahaja pada konsep dan slogannya tetapi memaknai kemerdekaan, memaknai perubahan, meningkatkan martabat.
- Pengiktirafan negara-negara, pihak antarabangsa dan syarikat-syarikat itu berkembang, dalam tempoh sebulan dua bulan ini kita sudah lihat bahawa laporan-laporan, liputan, sama ada pusat semikonduktor rantau yang terkenal, Malaysia. Data centre dan AI tumpuan bagi Asia, Malaysia.
- Jadi semua pengiktirafan itu diberikan, yang perlu ialah untuk kita pastikan kita faham bahawa perubahan menuntut kesediaan kita, melakar bukan sahaja idea-idea baharu tetapi tindakan yang berkesan yang juga melibatkan penjawat awam.
- Jadi, terima kasih banyak. Semoga Allah Taala merestui usaha kita.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Similar Posts:
- SUBSIDI BERSASAR : PM ANWAR BERI JAMINAN KEPENTINGAN PIHAK INDUSTRI TURUT DIBERI PERHATIAN
- PENJAWAT AWAM DISERU BAWA PERUBAHAN KEMBALIKAN MALAYSIA KE TAHAP GEMILANG
- JANGAN AMAL BUDAYA SELESA, TEKAD LAKSANA PERUBAHAN UNTUK NEGARA – PM
- PM ANWAR ARAH JEMAAH MENTERI AMBIL SERIUS TEGURAN LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA 2021
- PM ANWAR BERI JAMINAN TADBIR URUS TERBAIK DI MALAYSIA