TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS AMANAT PERDANA HARI KEBANGSAAN 2024

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

MAJLIS AMANAT PERDANA

HARI KEBANGSAAN 2024

 

30 OGOS 2024 (JUMAAT), 5.00 PETANG

 

 

PUSAT KONVENSYEN ANTARABANGSA PUTRAJAYA (PICC)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Salam sejahtera.

Alhamdulillah,

Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem

Waala alihi wa sohbihi ajmain.

YB Tan Sri Dato’ (Dr.) Johari bin Abdul,

Speaker Dewan Rakyat;

YB Tuan Fahmi Fadzil,

Menteri Komunikasi;

YB Datuk Aaron Ago Dagang,

Menteri Perpaduan Negara;

Rakan-rakan Menteri;

YBhg. Dato’ Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar,

Ketua Setiausaha Negara; dan

Pegawai-Pegawai, rakan-rakan yang saya muliakan.

  1. Memaknai kemerdekaan ini bermaksud memahami liku-liku sejarah yang getir menyingkap lembaran sejarah pengorbanan generasi terdahulu. Ia tidak lengkap sekadar memaknai sejarah tanpa menetapkan dan mengimbau hala tuju arah kebangkitan negara merdeka. Sebab itu tema yang dipilih ini sangat bermakna.
  1. Kita bicara soal merdeka tapi kita menekankan Merdeka MADANI dan Jiwa Merdeka dan seperti mana kita tahu Jiwa Merdeka ini juga menjadi tunggak kekuatan, kefahaman dan xx di awal kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu Semangat yang terus disepakati dalam Pembentukan Merdeka 16 September 1963.

“Di atas robohan Kota Melaka,

Kita dirikan jiwa merdeka,

Bersatu padulah segenap baka,

Membela hak keadilan pesaka.”

 

  1. Ini yang diungkapkan kata-kata hikmat oleh Dr Burhanuddin Al-Helmy yang sangat memukau kerana ia memberi satu pengertian yang lebih daripada kemerdekaan biasa dan kalau kita telusuri pidato-pidato awal pejuang-pejuang seperti almarhum Dato’ Onn Jaafar, dan kemudian tokoh-tokoh seperti Temengung Jugah, Tun Mustapha, Fuad Stephen, semuanya bicara soal kemerdekaan tetapi semuanya minta kemerdekaan itu dimaknai dengan semangat perpaduan, dengan jiwa merdeka yang baru bukan sekadar meninggalkan sistem pemerintahan yang lampau. Apakah sistem pemerintahan yang lampau?
  1. Selama ratusan tahun kita dijajah, hasil masyhur negara dipunggah, sebahagian besar untuk memperkayakan bumi penjajah, kalau kita lihat bangunan-bangunan tersergam indah di Kota London dan kota-kota besar United Kingdom, sebahagiannya ialah dari darah keringat air mata anak-anak bangsa. Sama ada Tanah Melayu atau India, negara-negara yang dijajah oleh mereka. Belanda tatkala menguasai Indonesia memunggah kekayaan yang luar biasa, untuk memperkuat bangunan baik fizikal, struktur di Belanda, begitu juga di Perancis, Itali dan sebagainya. Bukan maksud kita mengungkit tetapi kadang-kadang kita terlupa bahawa ini tidak mungkin berlaku tanpa wawasan pimpinan, ia tidak mungkin berlaku tanpa semangat perpaduan semua kaum dan suku kaum. Bayangkan kalau satu kaum sahaja atau satu suku kaum di India menuntut kemerdekaan daripada Inggeris, tidak mungkin Inggeris melepaskan dengan begitu mudah. 
  1. Sikap angkuh yang diungkap, exploitation de l’homme par l’homme (dalam bahasa Perancis), maknanya sistem itu hanya berlaku denggan penindasan dan penafian hak tanpa kebebasan dan meletakkan dua wajah, dua sistem, satu untuk penjajah dan satu untuk rakyat. Bayangkan di Indonesia dan di India dan sebahagian tempat, kelab-kelab khas di Malaysia akan diletakkan dan dibenarkan pegawai-pegawai Belanda, natives and dogs not allowed. Itulah sikap mereka, betapa heboh mereka bicara soal agama atau membawa satu mission tetapi demikianlah falsafah dan konsep dan budaya itu. Tentunya kita harus menentang, tapi apakah mungkin menentang dan berjaya tanpa perpaduan.
  1. Di Tanah Melayu ini kekuatan kebangsaan bermula dengan kekuatan nasionalisme kebangsaan Melayu dengan semangat Islam sebagai asasnya, manakala usaha meningkat untuk mencapai kemerdekaan, kebijaksanaan tokoh-tokoh lampau, masuk pada peringkat awalnya Dato’ Onn Jaafar, kemudian Tengku Abdul Rahman Putra Alhaj ialah untuk merangkul kekuatan semua kaum supaya tidak jadikan politik adu domba, pecah dan perintah oleh penjajah Inggeris, dan inilah yang memudahkan kita mencapai kemerdekaan.
  1. Ada orang bicara bahawa proses kemerdekaan kita tidak sehebat, tidak menyebabkan pertumpuhan darah yang banyak, memang benar, tetapi ini tidak berlaku dengan sendiri, ia berlaku setelah melihat pertempuran dahsyat di Indonesia, di India, dan beberapa negara di negara Arab, Afrika dan Amerika Latin. Tokoh-tokoh seperti Simon Wulibar, di Latin Amerika, Omar Mokhtar di Libya, pengajaran itu juga memberi mesej yang jelas kepada Inggeris yang menyebabkan kita ada semangat kesepakatan dengan dunia ketiga yang menghadapi dan menderita mengikut pengalaman yang sama. Jadi kalau kita bicara sekarang umpamanya Global South, atau bila Sukarno, memulakan satu rangkaian negara-negara membangun dengan mengadakan Persidangan Afro-Asia di bandung tahun 1955, itu kerana semuanya menerima nasib yang sama dan merasa yakin bahawa kebangkitan negara merdeka itu adalah dengan membebaskan sistem pemerintahan negara itu dari sistem penindasan penjajahan.

  1. Semangat ini yang kadang-kadang negara kita kembangkan, mendukung hubungan baik dengan semua negara dan tidak terperangkap dengan satu polar, unipolar dan meminta negara beralih dengan rasa bebas. Mengapa kita merdeka? Kita mahu kebebasan. Kebebasan dari apa? Dari orang asing yang menjajah kita. Kebebasan untuk apa? Kebebasan untuk menegakkan kebebasan, kemerdekaan, keadilan dan manfaat kepada rakyat jelata.
  1. Apakah semua negara yang merdeka mencapai maksud ini? Tidak. Kerana sebahagian besar merdeka tapi tidak jiwanya, merdeka hanya negaranya, pimpinan silih berganti, pimpinan penjajah diusir diganti dengan pimpinan pribumi, tetapi adakalanya ditimpa malapetaka kerana pimpinan pribumi itu punyai feel, sikap, rompakan, keangkuhan, kerakusan, tamak haloba seperti penjajah terdahulu.
  1. Sebab itu bila kita sebut jiwa merdeka, maknanya mesti melahirkan pimpinan yang mempunyai hasrat dan aspirasi rakyat jelata. Maka kalau kita katakan Negara MADANI punyai sikap yang tegas, ya memuliakan, menghargai semua sumbangan pimpinan terdahulu, terutamanya bapak-bapak ibu-ibu pejuang kemerdekaan, kita juga insaf dengan simpang siur kemerdekaan ada kalanya kita mengizinkan keterlanjuran, sikap tamak haloba, sikap khianat kepada negara dengan mahu pertahankan kuasa dengan cara yang bengis dan rakus. Keterlanjuran ini tidak harus diizinkan untuk berterusan.
  1. Saya mahu noktahkan perkara itu. Pimpinan harus lebih bertanggungjawab tidak diizinkan untuk merompak kekayaan negara dan menyalahgunakan kuasa. Apa erti kemerdekaan, setiap tahun anak-anak ribuan beratur mengibarkan bendera keramat, menjerit ‘Merdeka!’ tetapi jiwanya rasuk kerana kita mengizinkan dan sistem mengizinkan keterlanjuran itu berterusan. Saudara, kita belajar dari sejarah, buta sejarah, buta hati, buta perasaan, buta ciri kemanusiaan akan menyebabkan negara ini menerima dendangan hasut, dengki, khianat, mengizinkan keterlanjuran, rasuah dan penyelewengan dan bila keadaan sampai ke tahap yang sudah parah dan rosak tidak mungkin mudah diperbaiki lagi.
  1. Sebab itu, saya ambil kesempatan ini untuk menyeru kepada semua rakyat, menerima kenyataan merdeka ini dicapai kerana kekuatan kita bersatu, ya berbeda pendapat dalam hal-hal kecil tetapi semua terima, ini negara Malaysia tercinta, setiap rakyat mesti diberi perlindungan, ditunjuk kasih sayang dan diberi pembelaan secukupnya.
  1. Apakah mudah, ia tidak mudah saudara-saudara, kalau ada wilayah timbul politik serpihan untuk mencari kekuatan, mereka mainkan sentimen perkauman, kaum aku tidak mendapat habuan, ada satu kelompok, agama aku tidak diberi pembelaan, ada satu tempat lagi wilayah aku tidak diberikan sumbangan atau pembelaan secukupnya. Rakyat yang tidak berdosa mudah ditarik dengan sentimen membakar api perkauman. Apakah ini perkara baru? Tidak. Ini yang digeruni oleh almarhum Tunku Abdul Rahman, ini yang dikesalkan oleh almarhum Tun Abdul Razak, dan bibit-bibit yang sama masih menghantui kita.
  1. Saya yakin saudara-saudara dengan jiwa merdeka, dengan semangat baru rakyat, tiada salahnya masing-masing kaum mahu membela nasib kaum mereka, tidak salahnya kuntuk ita memartabatkan Islam dan mengangkat kedudukan Islam dan kepercayaan agama-agama lain dalam kalangan mereka, tidak ada salahnya ada perasaan untuk menjaga rantau kita kawasan kita dan negeri kita, tetapi percayalah ini semua dapat dilakukan dengan semangat kecintaan pada negara yang satu dan negara yang berpaut antara satu sama lain.

Saudara saudari yang dikasihi sekalian,

  1. Saya mahu manfaatkan kemerdekaan ini, Hari Kebangsaan 2024 sebagai tempat kita berpaut antara satu sama lain. Pecayalah negara ini hebat kerana hebat rakyatnya. Negara ini potensinya lebih hebat kalau kita berpakat angkat darjat negara ini sebagai negara terhebat di negara ini. Apa kurangnya di negara kita? Apa kurangnya? Kesedarannya, pencerahannya, keupayaan menarik pelaburan, tingkat pendidikan, kemudahan kesihatan, harus semuanya diperbaiki untuk yang paling kaya kepada yang paling miskin, jangan pinggirkan sesiapa, negara ini punyai keupayaan. Sebab itu saya kata semangat perpaduan itu sangat penting dan tidak boleh sama sekali diremehkan. Mahu popular? Ya, berjuang, tetapi jangan remeh hina mana-mana kaum, agama atau wilayah dalam negeri kita.
  1. Kita beri nasihat, kita beri anjuran, kita beri desakan, tetapi saya hendak guna kesempatan hari ini untuk memberi amaran bahawa negara ini di tapak dan landasan yang sangat baik dan mampu diangkat cemerlang dan andai kata ada mana-mana kelompok kecil yang bawa hasutan kaum ke arah keganasan dan kebencian, dan permusuhan satu sama lain, saya tidak peduli apakah disenangi oleh media antarabangsa atau negara luar tugas kita adalah selamatkan negara Malaysia tercinta ini. Dan kita gunakan segala kuasa dan kekuatan yang ada kalau tidak cukup kita pinda, semoga negara ini selamat dapat diangkat sebagai negara hebat di rantau dan negara ini. Boleh suudara-saudara?
  1. Saya bimbang jika perkara ini diambil ringan. Baru-baru ini kita lihat umpamanya Suruhanjaya Batu Puteh, tidak banyak negara di dunia yang pandang enteng satu inci tanah, satu batu kecil diserah kepada negara lain dengan mudah. Ya kita terima kenyataan keputusan ICJ, terlepas Batu Puteh, Kepulauan kecil tetapi kerana kecuaian kita, kecuaian itu membawa pengkhianatan kepada negara. Mana ada negara di dunia melepaskan kawasan dengan begitu mudah. Negara-negara berperang, kehilangan ribuan nyawa hanya untuk mempertahankan satu wilayah kecil. Sebab itu Kerajaan MADANI setuju mengadakan Suruhanjaya DiRaja yang berlaku.
  1. Mengapa negara ini negara hebat Malaysia tercinta boleh izinkan pengkhianatan begitu rupa sehingga terlepas begitu mudah tanpa menggunakan jalur hukum mempertahankan hak kita. Kalau benar orang memikir ini perkara kecil, enteng, ada masalah, kerana sikap dia sebagai seorang anak Malaysia kerana ini tidak pernah berlaku dalam sejarah dunia dengan mudah. Sebab itu kita akan bentangkan ke sidang Parlimen, kita akan izinkan perbahasan terbuka di Parlimen dan di luar Parlimen, untuk menjadi pengajaran dan iktibar kepada anak-anak bangsa pada masa akan datang. Bahawa negara ini terbentuk dengan pahit getir, keringat air mata, darah pejuang selama ratusan tahun melawan penjajah demi penjajah dan tidak boleh dikorbankan kepentingannya.
  1. Sudah terlanjur tetapi pengajaran mesti dan wajib dan saya gunakan kesempatan sambutan kemerdekaan ini, untuk mengingatkan kita terutama anak-anak muda. Anak-anak generasi penerus yang akan menentukan arah negara ini, maka belajarlah dapatkan pencerahan sebenarnya dan jangan jadi perkakas murahan atas nama kaum atau agama dipermain dan diperolok-olokkan untuk orang mencari juang dan kuasa atau pengaruh, cari kebenaran, tegak keadilan selamatkan bangsa dan angkat martabat negara, itu tugas generasi muda untuk menyelamatkan negara dan bangsa kita. Saya harap anak-anak akan tahu baik melalui media sosial, pendidikan dan disiplin-disiplin baru tapi jangan lupa landasan kita bahawa perjuangan ini perjuangan yang telah meragut nyawa pengorbanan yang besar. Bacalah sejarah ribuan yang telah ditahan di penjara Singapura dan Penjara Pudu nasionalis kita, saya tidak peduli nasionalis kanan nasionalis kiri semua yang berjasa kita beri penghormatan. Kita di sini mengukur dari segi pertimbangan sekarang. Tetapi sejarah telah membuktikan dari semua kaum tokoh-tokoh yang berkorban yang mempunyai cita-cita dan wawasan besar, Melayu, Cina, India, Iban, Melanau, Kadazan, Dusun, Bajau semua suku kaum yang punyai peranan. Sebab itu saya tegaskan untuk pecahkan tembok-tembok yang mengganggu dan menghalang kejayaan kita dan bina kekuatan baru.
  1. Pertama dengan pengetahuan dan pencerahan, kedua dengan semangat dan cita-cita murni dan idealisme, dan ketiga dengan tindakan dan amal soleh. Saudara-saudara saya harap dan doakan, kita ada sambutan esok pagi insya-Allah yang dinaungi oleh Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agung dan Raja Permaisuri Agung, ucap tahniah kepada saudara Fahmi dan seluruh pasukan yang menyediakan, saya saksikan sedikit liputan dan saya kagum dan nampaknya sambutan ini luar biasa esok, insya-Allah. Sambutlah dengan baik, kibarlah jalur gemilang, tanamkan perasaan cinta supaya kita Merdeka MADANI dengan semangat Jiwa Merdeka.
  1. Saya nak akhiri dengan gesaan karyawan dan juga sasterawan negara, tokoh yang kita segani saudara Samad Said, katanya;

Anak-anak kita bakal datang tangkas dan berilmu; dan kita, dalam sejarah, bakal syahdu dan bangga, kerana awan yang indah, lapis pelangi lebih mesra, wajah diri dan inti peribadi kita tunjang bagi kehidupan dan kemerdekaan bangsa yang sentiasa sedia belajar mengerti dan tekun hidup bersama.

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.