TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS AMANAT YAB PERDANA MENTERI BERSAMA WARGA PENGUATKUASA KPDN DAN PELUNCURAN PORTAL IHSAN MADANI

 

TEKS UCAPAN

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI MALAYSIA

 

SEMPENA

 

MAJLIS AMANAT YAB PERDANA MENTERI

BERSAMA WARGA PENGUATKUASA KPDN

DAN PELUNCURAN PORTAL IHSAN MADANI

 

23 OGOS 2024 (JUMAAT) | 3.30 PETANG

 

PUTRA HALL A,

PUTRAJAYA INTERNATIONAL CONVENTION CENTRE (PICC), PUTRAJAYA

Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh.

Salam Sejahtera.

Alhamdulillah thumma alhamdulillah

Wa ma taufiqi wa’tusamu illa billah

Alhamdulillahil Qa’il wa man ahsanu qaulan mimman da’a ilallah wa’amila solihan wa qola innani minal muslimin

Rasulullah ala sayyidina Muhammad wa’ala alihi wasohbihi ajmain

YB Datuk Armizan Bin Mohd Ali,

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup;

YB Senator Puan Hajah Fuziah Binti Salleh,

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup;

YBhg.  Dato’ Sri Shamsul Azri Bin Abu Bakar,

Ketua Setiausaha Negara;

YBhg. Dato’ Sri Wan Ahmad Dahlan Bin Haji Abdul Aziz,

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam;

YBhg. Dato’ Seri Mohd Sayuthi Bin Bakar,

Ketua Setiausaha KPDN;

YBhg. Datuk Azman Bin Adam,

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN;

Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian dan Wakil;

Timbalan-Timbalan Ketua Setiausaha, Pengarah-Pengarah Agensi, Pengarah-Pengarah Bahagian dan Pengarah-Pengarah Negeri KPDN;

Terutama panglima-panglima perang di peringkat akar umbi, terima kasih banyak-banyak.

  1. Terima kasih di atas penghormatan ini untuk menemui rakan-rakan di lapangan. Tugas saudara-saudara memang berat dan tidak ada sesiapa dapat menafikan, dan akan memberi satu mesej yang jelas dan tindakan untuk menyelamatkan, apa yang disebut sebagai ketirisan, kebocoran dan kelemahan-kelemahan termasuk rasuah dalam negara kita. Kita boleh ada kerangka, boleh tegaskan tentang dasar tetapi cabaran utama ialah pelaksanaan.

  1. Dua (2) aspek pelaksanaan yang kita laksanakan di peringkat Kementerian dan Jabatan, tetapi juga penguatkuasaan. Saudara-saudara sama juga seperti PDRM, Kastam, Imigresen yang di sempadan dan juga yang mengawal harga, jadi saudara ada dua (2) tugas yang agak lebih daripada biasa, pengawalan di sempadan dan penguatkuasaan di kedai-kedai dan toko yang menyeluruh di seluruh negara.
  1. Dan kalau kita lihat kebelakangan ini sejak COVID seperti mana yang disebut oleh Menteri Armizan sebentar tadi memang tidak dapat kita nafikan, dan saya di pihak Kerajaan hadir untuk menyatakan penghargaan terima kasih atas sumbangan hebat saudara-saudari.
  1. Dan kalau ditanya di antara alasan mengapa saya mengambil keputusan yang drastik mengkaji dan melaksanakan Sistem Saraan, tentunya ramai yang berperanan tetapi di antara yang mempengaruhi saya untuk memberikan ganjaran yang setimpal, yang terbaik yang pernah dicatat dalam negara kita adalah kerana sumbangan dan khidmat saudara-saudara di KPDN.
  1. Memang dalam beberapa kritikan terdapat pandangan bahawa kita agak berlebihan, tetapi seperti mana yang saya cuba jawab dalam ucapan tatkala mengumumkan Sistem Persaraan Baru ini mereka tidak tahu, mereka melihat masalah kita ini, mengkritik-mengkritik dengan menyebut menara gading kadang-kala tidak turun di lapangan. Dia lihat umpamanya jumlah penguatkuasa, tindakan penguatkuasaan, rampasan sana-sini, tetapi tidak pernah turun ke lapangan, bahawa untuk melakukan rampasan itu, mengawal harga di toko, di kedai-kedai dan warung itu memerlukan pertamanya komitmen, dan yang kedua risiko, dan kadang-kadang orang lain menegur, tetapi tidak pernah melihat dan menanya masalah yang dihadapi oleh penguatkuasa.
  1. Oleh sebab itulah, saya dan rakan-rakan dalam Jemaah Menteri mengambil keputusan dengan Sekretariat di JPA, Ekonomi dan Kewangan untuk menyatakan bahawa bila penjawat awam termasuk penguatkuasa menjalankan tugas mereka dengan baik dan memuaskan, tanggungjawab kami adalah memberikan pengiktirafan dan sekurang-kurangnya dapat melegakan sedikit tekanan hidup mereka dan keluarga mereka, dan itulah yang kita lakukan. Saya ucap terima kasih kerana saudara-saudara sambut dengan begitu baik dan menyakinkan.
  1. Walaupun sehingga hari ini Kementerian Kewangan khususnya masih bergelut untuk mencari jalan mengurus kewangan negara untuk menampung kos yang dijangka akan meningkat dengan mendadak tetapi itu masalah yang kita harus terima dan tidak membebankan kerana saya katakan alasannya kuat untuk kita mengkaji dan menilai semula.
  1. Dan di antara lain ialah tentang kewujudan penguatkuasaan. Saudara-saudara KPDN itu diberi tugas yang agak khas, dia tidak hanya merencana dari segi kerangka atau prakasa ekonomi tetapi untuk melihat dasar itu dilaksana dan ia ada kaitan dengan apa yang kita sebut dengan tatakelola dan pengurusan Kerajaan. Kita lihat umpamanya dalam urusan penyasaran subsidi diesel, kenaikan harga ayam, elektrik, berapa banyak hasil yang bocor, tiris melalui kartel yang disebutkan tadi dan pelanggaran-pelanggaran ini bukan diterima tetapi seolah-olah sistem Kerajaan tak upaya hendak membuat apa-apa, ini satu kelemahan besar. Masalah ayam semua orang tahu, puluhan tahun dalam NACCOL, di mana Kementerian ini juga menjadi sekretariat dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu melihat mengapa harga ayam naik tidak munasabah dikuasai oleh beberapa Kartel dan kita seolah-olah seluruh Kerajaan itu tidak berupaya berbuat apa-apa.
  1. Tetapi apabila kita kaji semula kita ambil satu sikap yang agak tegas dan berani kerana kita yakin bukan sahaja keputusan-keputusan boleh dibuat oleh NACCOL dan Jemaah Menteri tetapi kalau kita tidak yakin dengan penguatkuasaan tentu kita menghadapi masalah, tetapi oleh kerana kita yakin dengan badan penguatkuasaan khususnya apa yang saudara-saudara lakukan, itulah sebabnya mengapa kita mengambil keputusan menghentikan pengapungan dan menyelamatkan dana Kerajaan sekitar RM1.2 bilion ringgit setahun.
  1. Jadi saya mengulangi hari ini kerana saya hendak agar rakyat di luar faham, pengkritik-pengkritik tahu bahawa tidak mungkin dasar ini dilakukan, masalah sudah diketahui puluhan tahun, keputusan dibuat tahun lalu, dilaksana dengan berkesan kerana bukan sahaja kita yakin dalam kalangan penjawat awam tetapi kita yakin dengan kesungguhan dan komitmen penguatkuasa. Dan terbukti setakat ini bahawa keputusan pengapungan ayam itu berhasil dengan baik, sebagai contoh.
  1. Begitu juga kita lihat sekarang penyasaran subsidi. Saya sendiri lihat awal tahun 2023, dan menyaksikan bagaimana beberapa pasukan saudara-saudara di lapangan, bila saya ke Alor Setar saya ke sempadan melihat, minum kopi di warung bersama dengan beberapa petugas dan melihat bagaimana dilakukan tentang tindakan-tindakan untuk melarikan diesel dengan segala kerenah dan cara yang ingenius oleh kalangan yang menyeledup dengan berkesan. Jadi, membanteras mereka tidak mudah, saya akui, sebab itu saya hormat saudara-saudara, kastam, imigresen dan lain-lain yang dibebankan dengan tugas itu. Kerana kelompok-kelompok itu juga adalah dari kalangan samseng-samseng yang terkenal dan kuat dengan pengaruh, senjata dan ugutan.
  1. Sebab itu dengan semua langkah, kita telah minta penyelarasan penguatkuasa KPDN, PDRM, Kastam dan Imigresen itu sentiasa harus ada penyelarasan yang berkesan, mesti ada satu jaringan hubungan yang cukup baik dan sekiranya ada masalah harus di bawa kepada peringkat yang tertinggi supaya dapat kita selesaikan di peringkat Jemaah Menteri. Kerana ia tidak mungkin dapat diselesaikan secara silo kerana kita berdepan dengan satu kekuatan yang sudah diasah puluhan tahun dan jika hendak dirungkaikan ini maknanya ia dianggap sebagai satu tindakan yang mencabar kedudukannya.
  1. Jadi setakat ini beberapa langkah yang kita ambil, alhamdulillah berhasil. Begitu juga tentang pengawalan harga. Kita tetapkan harga itu tidak membebankan peniaga dan kita buat pengiraan keuntungan yang dicapai. Kalaupun tidak mendapat keuntungan maka ada suntikan dana daripada Kerajaan, seperti RON95, ada suntikan daripada Kerajaan. Begitu juga dengan gula, ada suntikan daripada Kerajaan, sebab itu gula, minyak dan minyak mentah itu di antara yang paling murah di rantau ini.
  1. Sebentar tadi saya dengan wakil Presiden Turkiye, bincang tentang kedudukan ekonomi Malaysia, tentunya dia agak kagum dengan angka-angka baru, pertumbuhan 5.9%, semalam AWS labur 20 billion, sebelum itu Infenion labur 26 bilion, kemudian dia tanya tentang inflasi, saya katakan sekitar dua, tiga, kadang-kadang boleh juga mencecah sehingga empat peratus, dia geleng kepala kerana di Turkiye dengan semua langkah-langkah yang diambil itu telah turun daripada 60 tinggal 40 peratus setahun, kita setakat empat peratus tetapi merengek sampai pening kepala saya. Itupun kita telah ambil kira keresahan rakyat di peringkat bawah, kita prihatin. Sebab itu saya setiap hari Jumaat saya pergi ke warung-warung, ke kawasan miskin di sekitar Wilayah, Selangor dan ke mana-mana sahaja sebelum solat Jumaat, makan di warung, supaya kita dapat dengar masalah mereka, tahu harga barang, tahu keluhan dan umumnya masih belum walaupun kenaikannya sedikit.
  1. Justeru itu, langkah yang diambil oleh Kementerian Kewangan telah menetapkan dalam Belanjawan MADANI berikut ini bulan Oktober, di antara paksinya termasuk menangani permasalahan kos sara hidup walaupun kos sara hidup dengan inflasi sekitar 2-3 peratus berbanding dengan 40 peratus di Turkiye, namun kita masih menerima kenyataan kerana ihsan. Sebab itu saya katakan dalam pembangunan dan kerangka MADANI, kemampanan penting, tindakan dan semuanya tetapi mesti dilengkapi dengan ihsan. Kalau sebut tentang pelarasan gaji mesti dengan ihsan, kalau bicara soal keprihatinan kita tentang harga dan kos sara hidup, pastinya kerana ihsan.
  1. Jadi inilah Allah angkat darjat manusia ini kerana kekuatan ihsan, dan sebab itulah dinilaikan beda manusia dengan sifat haiwan itu sama ada ada nilai ihsan atau sudah hilangnya nilai ihsan. Laqad khalaqnal insana fi ahsani taqwim atau Summa Radadna Hu Asfala Safilin –Allah mengangkat darjat kedudukan kita ini kerana ciri kemanusiaan, kebaikan, kemuliaan pada peribadi kita dan menolak kerana sifat kehaiwanan iaitu Hu Asfala Safilin – the lowest of the low. Jadi tugas-tugas yang saudara-saudara lakukan ini jangan lupa kerangka besar. Setiap Jabatan dan Kementerian ada keutamaanya, tetapi melihat kepada kerangka keseluruhannya barulah kita tahu.
  1. Kalau saya ada upaya umpamanya, kalau rasa keadaan ekonomi kita sangat baik, tidak ada sebab mengapa saya tidak boleh tingkatkan keadaan yang lebih baik, kerana bagi golongan berpendapatan rendah ini walaupun kita naikkan sehingga 35-40 peratus, tetapi masih gajinya sekitar 2000 lebih, 2100, 2200 adakah mencukupi? Tidak mencukupi tetapi itulah upaya kita memastikan orang-orang yang berkhidmat juga menanggung masalah dalam kehidupan mereka, kerana terkadang mereka juga merasa tertekan inilah jadi kebocoran dan salah laku.
  1. Jadi saya harap jentera Datuk Azman memastikan perkara ini. Ini peluang kita untuk menjaga, memang betul saya memberikan pengiktirafan kejayaan-kejayaan saudara, tetapi jangan nafikan dalam setiap Jabatan baik di kalangan orang-orang politik, penjawat awam, sektor swasta, atau badan penguatkuasaan, kita harus betulkan kelemahan-kelemahan kelompok kecil yang merosakkan imej kita kerana mereka melaksanakan tugas bertentangan dengan prinsip, peraturan, undang-undang, nilai keihsanan dan juga moral dan akhlak. Sebab itu ada pelanggaran peraturan berlaku.
  1. Adakah ini tidak berlaku? Ada. Adakah ini berlaku dalam penguatkuasaan KPDN? Ada. Tanggungjawab saudara-saudara memastikan kita betulkan. Saya mahu rekod yang lebih baik. Saya mahu pastikan kecelaruan dan pelanggaran ini dikurangkan sebaik mungkin. Saya mahu setiap ketua jabatan, ketua unit yang berkenaan, di setiap daerah itu pastikan jika ada pelanggaran hendaklah dilapor kerana mengikut pelaksanaan Sistem Saraan yang baru kalau tidak dilapor kita akan pastikan ketua unit itu diambil tindakan atau sekurang-kurangnya tidak dinaikkan pangkat. Baru adil namanya.
  1. Saudara halang daripada pelanggaran, jika tidak ia akan jadi sistemik. Saya tahu kadang-kadang di kalangan rakan-rakan dan juga pembangkang begitu marah jika saya bercakap tentang tatakelola tetapi kita tahu, kita warisi sistem di mana rasuah dan penyelewengan ini sudah menjadi sistemik. Apa makna sistemik? Sistemik ialah it become part of the culture, mana mungkin negara Malaysia yang hebat, mana mungkin satu dunia di mana umat Islam majoriti, mana boleh kita izinkan dengan bangsa yang berbudaya, yang hormat dengan nilai dan akhlak mengizinkan ianya terus berlaku dan bila kita suarakan, ambil tindakan ramai yang tidak puas hati.
  1. Macam juga penguatkuasaan, bila saudara pergi ke suatu kedai, tegur kenapa harga barang naik melambung, adakah dia senang hati? Adakah kerja kita untuk menyenangkan dia? Tidak. Kerja kita adalah untuk menyenangkan rakyat, kita tidak bermaksud untuk menyenangkan perasuah, perompak dan penyeludup, Itu sudah jelas.
  1. Kalau hendak selamatkan negara ini saudara-saudara, maka kita perlu ada tekad yang sama. Saya selagi diberi amanah, saya tidak akan bertolak ansur, sama ada disenangi atau tidak saya tidak peduli. Sebab itu saudara-saudara lihat tindakan kita adalah untuk memberikan mesej yang jelas, tidak kira pangkat apa, kedudukan apa, kekayaan banyak mana kalau kamu langgar, terlibat dalam penyeludupan, kartel, kerosakan dan rasuah mesti ada tindakan. Kalau tidak boleh jadi sistemik dan orang akan hilang keyakinan.
  1. Jadi saudara-saudara saya buat seruan ini dan saya rasa sesuai pada waktu ini kerana jumlahnya kecil, jangan biar ia merebak, jangan izinkan merebak. Sebab itu, dari semasa ke semasa saya beritahu, hal pertama saya bicara dengan Dato’ Seri KSN yang baru ialah tentukan agenda islah mastata’tu, agenda reform perubahan sedaya upaya kita. Saudara-saudara, apa ertinya dengan gaya, dengan segak bintang bergemerlapan, untuk apa? Untuk mengangkat martabat manusia, rakyat dan negara.
  1. Apa erti pengiktirafan ini semua? Untuk menjalankan tugas tentunya bagi kita dan keluarga kita, masyarakat dan negara kita. Apakah kita tidak ada upaya? Mustahil tidak ada upaya, negara-negara di dunia mengiktiraf. Saya tidak ditimpa perasan, saya pergi India saya lihat sambutannya luar biasa dan kalau dinilai umpamanya di antara sambutan kepada mana-mana Perdana Menteri Malaysia yang sangat baik, saya tidak fikir ini sebab Anuwar, tetapi saya tahu kerana saya mewakili satu negara di mana jenteranya, penjawat awamnya, swasta, sistem politiknya sangat baik dan menjadikan contoh dan model buat orang rasa kagum. Jadi walaupun saya mengingatkan untuk tidak meneruskan kelemah-kelemahan tetapi saya tidak nafikan bahawa kekuatan kita ada sekarang, soalnya sama ada kita mahu menggunakan kuasa kita sekarang untuk melonjak ke atas ataupun merundum ke bawah.
  1. Saudara tahukah sudah berapa tahun kita terumbang-ambing, ekonomi ke mana, sudah belasan tahun tidak ada kajian tentang saraan kerana orang politik sibuk dengan hal-hal lain, sibuk hendak pertahankan bila hendak jatuh, sibuk memikirkan siapa nak percaya dengan Armizan, Sabah boleh percaya atau tidak (nada seloroh). Jadi dia sibuk kepada perkara-perkara seumpama itu, jadi tumpuan itu telah lari, tidak fokus. Seperti mana saya sebutkan sebelum ini saya tidak peduli, kamu hendak marah atau kamu hendak singgung, hendak maki, kita kena tahu negara kita sudah sampai ke tahap di mana semua kita harus buat keputusan, hendak selamatkan atau hendak angkat darjatnya atau hendak merundum? Kalau kita kata nak angkat dan setiap orang Perdana Menteri, menteri-menteri, pegawai-pegawainya sehingga ke peringkat rendah mestilah lakukan anjakan dan perubahan Islah mastata’tu sedaya upaya kita.
  1. Dan saya kalau tuan-tuan dan puan-puan tanya, saya cakap dengan sepenuh perasaan. Saya luahkan, jangan pula saudara-saudara tersinggung. Saya menegur semua termasuk saya dan rakan-rakan saya. Saudara Armizan tahu dalam Jemaah Menteri saya tegaskan, begitu juga saudara Fauziah tahu dalam parti dan dalam kabinet saya tegaskan. Kerana apa? Kerana saya punyai suatu kepercayaan, keyakinan luar biasa supaya kalau kita dapat gerakkan, kita cungkil sedikit bakat, kita gerakkan sedikit anjakan dan gerakkan semula kehebatan budaya rakyat kita ini terutama penjawat awam dan penguat kuasa saya rasa tidak tunggu lima tahun, satu dua tahun kita akan dapat lihat bagaimana hebatnya Malaysia.
  1. Jadi hal-hal lain yang disinggungkan, kerana kita terlalu tertumpu dengan soal peningkatan Sistem Saraan yang amat besar, saya harap yang lain-lain kita tangguh sekejap, permintaan-permintaan lain kita tangguh sekejap kerana saya hendak bersikap realistik, lebih baik kita tumpu tetapi ada hal yang mendesak, kerana latihan sangat penting, untuk sekarang ini agensi latihan untuk penguat kuasa mungkin boleh. Tapi yang boleh saya jamin minggu hadapan Armizan, bawa ke Jemaah Menteri supaya kita selaraskan dan adakan kerjasama dengan badan-badan lain agar kemudahan itu dapat dimanfaatkan oleh badan penguatkuasa KPDN ini dan dapat menggunakan dan memudahkan program latihan saudara-saudara.
  1. Sementara usul-usul yang lain saya akan rujuk kepada jabatan berkaitan agar dapat kita berikan pengiktirafan yang sewajarnya. Saya ingin menyatakan tingginya harapan saya kepada penguatkuasa KPDN kerana kos sara hidup ini bagi rakyat amat membebankan walaupun dari angka, data dan statistik ekonomi tidak sangat membimbangkan dari sudut pandang ahli ekonomi. Keberkesanan badan penguatkuasa pastinya dapat membantu melegakan orang ramai daripada segelintir yang mengaut keuntungan berlebihan dan di antara rasional kita melaksanakan dalam dua fasa seperti mana yang dijelaskan kerana kita tidak mahu orang bagi alasan untuk menaikkan harga barang dengan mendadak, dan mengizinkan peniaga-peniaga tidak bertanggungjawab mengaut keuntungan berlebihan.
  1. Jadi saudara-saudara, Armizan, Azman dan semua keluarga badan penguatkuasaan KPDN, ingin mengucapkan penghargaan terima kasih kepada saudara-saudara dan berdoa kepada Allah SWT agar saudara-saudara dalam tahun ini mulakan satu budaya supaya dapat mengangkat imej dan budaya badan penguatkuasa yang boleh menjadi contoh kepada seluruh badan penguat kuasa dalam negara ini dan ringankan beban rakyat serta menambah hasil kepada negara dengan cara yang terbaik dan teratur.

Terima kasih.

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.