
TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS SAMBUTAN ULANG TAHUN KHAZANAH NASIONAL KE-30
3 SEPTEMBER 2024 (SELASA) | 3.30 PETANG
MITEC
KUALA LUMPUR
TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS SAMBUTAN ULANG TAHUN KHAZANAH NASIONAL KE-30
3 SEPTEMBER 2024 (SELASA) | 3.30 PETANG
MITEC
KUALA LUMPUR
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera.
Alhamdulillaahi rabbil alamin
Nahmahduhu wa nusalli ala rasoolihil kareem.
Yang Berhormat Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan,
Menteri Kewangan II Malaysia dan
Ahli Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Berhad;
Rakan-rakan menteri-menteri;
Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Berhad,
yang terdahulu dan pada hari ini;
Yang Berbahagia Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir,
Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad;
Seluruh keuarga Khazanah, yang terdahulu dan pada hari ini;
Rakan-rakan yang telah berkhidmat dan berjasa.
- Saya hadir bersama rakan-rakan ini untuk menyatakan penghargaan, terima kasih di atas sumbangan khidmat rakan-rakan terdahulu dan juga rakan-rakan kini yang telah meletakkan asas dan mengembangkan Khazanah sebagai satu gergasi dan raksasa dalam ekonomi dan pembangunan negara ini. Negara tentunya terhutang budi kepada rakan-rakan kerana telah meletakkan asas dan kemudian mengurus dengan baik.
- Dalam beberapa perjumpaan dengan Khazanah, dalam Mesyuarat Lembaga, Feisal tahu saya tidak memandang ringan, seringkali memberikan pandangan dan teguran, asakan dan kritikan kerana saya yakin akan keupayaan dan potensi yang ada pada saudara-saudara Kumpulan Khazanah untuk terus meningkat prestasi sebagaimana hadis Rasulullah SAW, Itqan Fil Amal, tidak mudah dengan selesa menerima kejayaan yang baik tetapi punyai potensi yang lebih baik.
- Inilah potensi dan semangat kemerdekaan, iaitu untuk memaknai kemerdekaan, menuntut kita melakukan sesuatu anjakan ke arah yang lebih cemerlang, bukan sekadar menerima kenyataan yang sedia ada dan berasa selesa tetapi berusaha dengan lebih gigih lagi. Kita bertuah kerana warisi satu sistem yang relatif baik cuma tanggungjawab generasi kini dan akan datang adalah untuk meningkatkan satu tahap yang lebih cemerlang. kita lihat umpamanya dengan kesungguhan keluarga Khazanah, jabatan-jabatan dan kementerian-kementerian, rakan-rakan Jemaah Menteri, kita lihat umpamanya pertumbuhan suku kedua 5.9%, kita lihat juga pelaburan. Tetapi dengan kerjasama seluruh pasukan, MITI, Kementerian Kewangan, Jabatan dan Pejabat-pejabat di luar negara, MIDA dan MATRADE, dan lain-lain kita saksikan umpamanya tempoh Januari hingga Jun tahun ini, pelaburan yang diluluskan itu telah melonjak ke RM160 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 18% ketimbang tahun lalu, ini melibatkan 3000 projek baru dan membuka peluang kepada 79,000 anak-anak kita untuk mencebur dalam bidang tertentu dan memberikan ruang pekerjaan baru.
- Ini ada kaitan dengan apa yang disebut oleh Datuk Amirul Feisal sebentar tadi, bahawa pembentukan Khazanah daripada awal bukan sahaja sebagai satu badan yang boleh memantau, memastikan peningkatan usaha untuk mencatat kemajuan, kejayaan, pembangunan dan keuntungan, tetapi ke arah pembangunan, pertumbuhan dan kesaksamaan, maknanya walaupun orang kenal Khazanah sebagai ‘sovereign wealth fund’ tetapi saya tekankan ia juga lebih relevan sebagai ‘sovereign development fund’. Development dalam konteks ini bermaksud memaknai kemampanan dalam MADANI ini adalah pastikan ia seimbang, adil, menyantuni kepentingan semua rakyat.
- Tambahan dalam era tidak menentu apa yang disebut pasca normal. Tetapi saya lihat secara politik, dalam era pasca normal ini dengan sikap kita tentang bebas dan merdeka, neutraility tetapi masih menekankan soal nilai, tahu beda apa itu kebenaran dan kepalsuan, kemanusiaan dan kehaiwanan, jadi kita diletakkan dan diberi amanah untuk memacu pertumbuhan, mengambil sikap yang lebih terbuka, menjamin keuntungan dan rakyat dan tidak terikat dengan fahaman atau ideologi tertentu barat atau timur atau perseteruan di antara negara.
- Seringkali saya ungkapkan termasuk dalam sidang anjuran Khazanah tahun lalu tentang di antara ciri pasca normal itu, chaos, complexity and contradiction. Dan ada kekacauan, contradiction dan complexity ini berlaku dalam keadaan semasa dalam konteks yang luas dan perubahan yang sangat pantas, yang disebut perlakuan dalam masa yang sama, sama ada climate, political, civil wars atau migration, itu dalam konteks apa yang disebut sebagai simultainity, simultaniously yang berlaku untuk mencabar kita untuk berfikir dengan cara yang lebih berani dan secara lebih kreatif, daya cipta terutama dengan penemuan-penemuan baru. Semasa Tan Sri Syarif mengetuai pasukan Khazanah, itu tidak dibicarakan tentang transisi tenaga, transformasi digital, kerana tidak mendesak, tetapi sekarang ada cabaran-cabaran baru dan khazanah terpaksa mengekalkan beberapa tonggak-tonggak yang lama tetapi meneroka beberapa bidang penerokaan alam baru.
- Sebab itu dalam falsafah pembangunan negara kita, kita selalu menyatakan bahawa kita harus sedia untuk menggapai ke langit, menggapai tahap yang lebih tinggi, meneroka alam pemikiran baru tapi jangan kita tinggal landasan, kita harus berakar ke bumi. Inilah yang dibicarakan tentang keperluan untuk membangun tetapi mengakar ke bumi untuk mempertahankan nilai dalam negara kita. Dan dalam beberapa strategi yang diumumkan dan disampaikan kepada kami dalam mesyuarat-mesyuarat khazanah, memang ada kesediaan dan keupayaan, saya ucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan, dengan Yayasan Khazanah, KRI yang banyak memberikan manfaat dalam beberapa kajian-kajian dan pemikiran kepada saya dan Jemaah Menteri. mengucapkan terima kasih, buatlah kerja lagi dan bagilah idea-idea baru keapda kami.
- Maka kepada badan-badan seperti TNB, AXIATA, Malaysia Airport Berhad, Malaysia Airlines, TM, UEM, semua ini harus juga memikir ke arah itu, bahawa keuntungan dan pengkomersialan itu penting tetapi jangan terpisah daripada kerangka pemikiran landasan awal. Dan kalau kita belajar daripada sejarah, seringkali bukan semestinya pengurusan Khazanah, tetapi beberapa keputusan terdahulu yang menyebabkan Khazanah dan Kerajaan menanggung beban. Bukan maksud saya untuk membongkar kelemahan-kelemahan lalu, tetapi oleh kerana soal Malaysia Airlines ini masih dalam perbincangan panjang menjadi bahan di media dan media sosial, jadi harus saya tahu dan ingatkan. Kadang-kadang keputusan politik negara yang tidak telus, yang memberikan peluang kepada satu dua kroni menjahanamkan satu syarikat yang dibanggakan dan oleh kerana kesilapan-kesilapan itu ia terbeban kepada kita sehingga kini. Jangan padamkan kenyataan sejarah itu, keputusan yang dibuat kerana niat atau tindakan mempertahankan kepentingan beberapa kroni dan meminggirkan kepentingan negara dan rakyat.
- Usaha memulihkan itu telah dimulakan saya ucap tahniah, tetapi ia mengambil masa dan Kerajaan setiap minggu hampir setiap minggu dalam Jemaah Menteri, hampir setiap minggu tanpa kecuali kita bicara soal ini bagaimana untuk menyelamatkan. Tetapi percayalah dari segi Kerajaan, saya hendah beritahu kepada Khazanah dan Malaysia Airlines, we remain commited to ensure the success of the airlines because this is our national airllines and has to come back to perform. Tetapi janganlah bicara soal kelemahan itu sahaja, kerana terdapat juga kejayaan-kejayaan yang tidak dapat dinafikan. Puluhan yang lain, syarikat-syarikat MH yang dapat jelajah ke luar negara sampai ke lapangan Terbang Istanbul. Dalam perbincangan saya dengan Presiden Tayyip Erdoğan, dia sebut keyakinan dia kepada syarikat Malaysia untuk mengurus dan mengendali satu lapangan terbang yang penting di Istanbul. Ini menunjukkan keupayaan syarikat-syarikat di bawah keupayaan Khazanah, ada keupayaan dan peluang ke beberapa tempat di negara-negara lain untuk kita terokai.
- Jadi saya harap satu dua berita yang merungsingkan itu pertama menjadi pengajaran kepada kita. Kedua, pimpinan politik jangan campur urusan perniagaan dan perdagangan termasuk Khazanah, apa yang saya lakukan, saudara Amirul Feisal tahu dalam Board ialah meletakkan dasar, keutamaan, mengingatkan bahawa pembangunan itu harus menekankan soal nilai dan keadilan, memastikan bahawa keuntungan syarikat penting tetapi nasib pekerja syarikat pun sama penting. Saya masih ingat semasa TNB diswastakan, laporan tahun pertama kepada saya dengan gaya dan kejayaan yang sangat membanggakan, saya ucap terima kasih dan tahniah kepada pengurusan baru, tetapi ada beberapa persoalan saya bangkitkan, bagaimana perumahan pekerja-pekerja di peringkat bawahan, bagaimana gaji minima mereka, bagaimana nasib anak-anak mereka di sekolah, jangan dibebankan kepada Kerajaan lagi kerana keuntungan yang dicatat itu banyak. Jadi sementara memusatkan pemikiran kepada keuntungan harus ada iltizam untuk menjamin keselesaan pekerja.
- Sebab itu saya ucapkan tahniah setingi-tingginya kepada Khazanah, kerana inilah satu badan yang telah menetapkan gaji minima kepada pekerja dalam keluarga Khazanah RM3,000.00. Dan saya baru umumkan baru-baru ini pelarasan gaji penjawat awam, RM1500, RM 1600, untuk minima pendapat bulanan tidak boleh kurang dari RM2000.00. Tetapi Khazanah, tahniah, kerana dengan berbangga dengan catatan kejayaan sedemikian rupa telah dapat menjamin gaji minima bagi setiap pekerja Khazanah di bawah keluarga Khazanah ini RM3000 sebulan, kalau belum ada Amir Feisal kamu jawab. Ini melibatkan jumlah yang besar bukan kecil, 113 ribu kakitangan yang akan mendapat habuan.
- Saya harap syarikat-syarikat swasta yang lain belajar daripada contoh dan teladan Khazanah, Ya, semua syarikat perlu catat keuntungan, tetapi jangan keuntungan itu diambil ibarat kata seorang pujangga dan juga pemimpin daripada Indonesia, Ahmad Yasir, katanya, ‘janganlah sambil membangun, kita robohkan, kita bangunkan gedung, kita catat keuntungan tetapi kita robohkan nilai kehidupan anak-anak bangsa yang bekerja’. Jadi biarlah ada sedikit kefahaman tentang apa itu nilai kemanusiaan, apa nilai keadilan. Ini melangkaui apa yang disebut CSR yang diamalkan oleh Khazanah.
- Tetapi ada satu hal yang lebih menarik, iaitu beberapa langkah di bawah Yayasan Khazanah, untuk sampai ke kawasan-kawasan yang miskin dan daerah-daerah yang terpinggir, sama ada miskin kota, miskin bandar atau miskin desa di pendalaman. Saya masih ingat perkampungan orang asli di Perak itu ketika saya sampai rupanya sudah ada program Yayasan Hasanah memberikan kemudahan asas, kemudahan pendidikan dan kemudahan perniagaan kecil-kecilan untuk mereka.
- Kita juga tunjukkan keyakinan kepada keupayaan Khazanah, kita telah mendukung kepada satu keputusan yang sangat penting, untuk menumpukan arah dan lanskap peta Kuala Lumpur, dari bangunan Sultan Sulaiman, Padang Merdeka ke stesen keretapi sehinggalah ke Carcosa sebagai kawasan yang disebut warisan dan daya cipta (herritage and creativity). Maknanya dari segi kerajaan itu memberikan satu amanah yang sangat besar untuk menentukan wajah Kuala Lumpur itu tidak hilang dari wajah warisan. Dan disamping itu ia memberikan suatu, masukkan asakan baru kerana dunia menuntut kita memikir tentang masa depan. Inilah satu wajah Kuala Lumpur dari warisannya Bangunan Sultan Abdul Samad hingga ke Carcosa di mana diletakkan soal heritage tetapi digabungkan sinergi tentang aspek yang sebut moden dan AI. Bagaimana nak buat, Ahmad Feisal dan Think City fikir. Sebelum Belanjawan bulan Oktober ini saya nak pastikan supaya ada gambaran jelas kepada negara bahawa kita ada usul untuk memulakan wajah Kuala Lumpur yang tidak terpisah daripada warisan budaya gemilang kita.
Terima kasih. Assalammualaikum.
Similar Posts:
- JANGAN AMAL BUDAYA SELESA, TEKAD LAKSANA PERUBAHAN UNTUK NEGARA – PM
- PM ANWAR ARAH JEMAAH MENTERI AMBIL SERIUS TEGURAN LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA 2021
- PENJAWAT AWAM DISERU BAWA PERUBAHAN KEMBALIKAN MALAYSIA KE TAHAP GEMILANG
- PERBINCANGAN INTELEKTUAL UNTUK RESPONS KEPADA ISLAMOFOBIA – PM ANWAR
- PM ANWAR BERI JAMINAN TADBIR URUS TERBAIK DI MALAYSIA