TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI : PROGRAM MADANI RAKYAT 2024 ” SARAWAKKU SAYANG”

TEKS UCAPAN

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

SEMPENA

 

PROGRAM MADANI RAKYAT 2024

“SARAWAKKU SAYANG”

 

 

28 SEPTEMBER 2024 (SABTU) | 2.30 PETANG

 

DATARAN PEKARANGAN BOULEVARD MALL

MIRI, SARAWAK

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan

Salam sejahtera.

Alhamdulillah, Nahmaduhu wa nusalli ‘ala rasoolihil kareem.

YAB Datuk Patinggi Tan Sri Dr. Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg,

Premier Sarawak;

YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof,

Timbalan Perdana Menteri;

YB Senator Dato Awang Bemee bin Awang Ali Basah,

Yang Di-Pertua Dewan Negara;

Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar,

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak;

Menteri-menteri Persekutuan dan Menteri-menteri Sarawak;

YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar,

Ketua Setiausaha Negara;

Pegawai-pegawai Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak; dan hadirin yang dimuliakan.

  1. Hari ini kita dapat menyempurnakan Program MADANI Rakyat di Miri, “Sarawakku Sayang” dan kita meneruskan agenda ini di beberapa zon. Tujuannya adalah untuk memperkenalkan program-program yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang dapat menyantuni rakyat secara langsung. Rakyat boleh lihat apa langkah-langkah yang telah diambil dan saya diberitahu oleh Dato’ Seri Fadillah, walaupun target untuk MADANI Rakyat “Sayangku Sarawak” ini 100,000, tapi sehingga kini sudah mencatat 70,000 orang yang sudah datang berkunjung ke sini. Ini menunjukkan bahawa sambutan rakyat kian hangat.
  1. Kita di Kuala Lumpur baru selesai MAHA di bawah saudara Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Haji Mohamad Sabu dan kita juga catat rekod yang luar biasa. Yang menyantuni, hadir beri sambutan di program MAHA itu mencecah lebih 5.5 juta rakyat. Ini rekod dalam negara kita. Ini menunjukkan bahawa program-program menyantuni rakyat supaya rakyat dapat ikuti secara langsung. Ia bukan teori dalam kita merangka program. Tetapi kita turun ke bawah dan kesempatan itu diambil untuk mendapat pandangan, maklumat, teguran malah kritikan dari rakyat tentang apa yang kurang yang boleh kita perbaiki.
  1. Sebab itu saya ucap terima kasih kerana hari ini, yang menjadi tuan rumah dan untuk kejayaan MADANI Rakyat di Miri, PETRA di bawah Dato’ Seri Fadillah yang menjadi tuan rumah. Ini kerana dia orang Sarawak kalau apa-apa salah tolong bagi tahu dia. Jadi saya ucap terima kasih, tahniah kepada seluruh Kementerian dan juga kerjasama penuh oleh Kerajaan Negeri.
  1. Ini yang disebut oleh Premier Abang Jo tadi. Negara kita harus dipastikan kekal aman. Mengurus negara berbilang kaum, agama, suku-suku kaum dan wilayah itu tidak mudah. Tetapi rakyat harus pilih. Mahu jadikan ini satu kesatuan yang boleh membangkit ekonomi dan membela nasib rakyat atau menimbulkan politik pecah belah, adu domba dan huru hara. Banyak pengalaman negara-negara hari ini, saban hari dalam media tidak selesai kerana percaturan politik yang berlebihan yang kita anggap terlanjur daripada pokok tunggak untuk menyatukan rakyat dan membela nasib mereka.
  1. Sebab itu kita bersyukur, seperti mana saya katakan, dan saya sudah sebut tahun lalu di Kuching. Kadangkala rakan-rakan saya di Semenanjung harus juga belajar pengalaman rakan-rakan Sabah Sarawak, khususnya Sarawak seperti yang disebutkan tadi. Orang Islam boleh menghayati Islam, mengimarahkan masjid untuk tempat beribadah, menyatukan semangat, menanam kesedaran, menimba ilmu. Tapi tidak menghalang sama sekali, malah dianjurkan supaya ada hubungan yang baik dengan rakan-rakan yang lain. Kalau contohnya seperti di Miri ini di mana gereja ada bersebelahan. Kerana kalau tanya apa matlamat orang-orang-orang Nasrani? Tentulah untuk agape. Untuk matlamat yang murni, untuk mencari ketenangan, keamanan, keadilan dan kesejahteraan manusia.
  1. Jadi saya ucap terima kasih kerana gesaan itu dan saya harap berita ini dapat kita sampaikan ke seluruh pelosok Semenanjung. Kerana kadangkala masih ada orang politik yang sudah agak desperate, yang agak lemas. Dia tengok ekonomi berkembang, ringgit kian kukuh, tahap pengangguran berkurangan maknanya peluang pekerjaan meningkat, inflasi lebih terkawal, maka jalan keluar mereka adalah menghasut supaya timbul kebencian antara kaum dan kegelisahan kerana perbezaan fahaman agama. Jadi kita mesti kemukakan contoh yang baik. Siapa kata tidak ada masalah? Ada. Siapa kata tidak ada masalah sama sekali di antara kaum, agama atau negeri, ada. Tetapi masalah itu boleh kita luruskan dengan perbincangan, saling percaya-mempercayai, hormat menghormati. Atau kita memilih cara permusuhan. Sebab itu politik kadang-kadang di Semenanjung ini sudah sampai ke suhu panas yang tidak menguntungkan.
  1. Syukur Alhamdulillah kerana majoriti rakyat masih memilih jalan yang lebih baik. Kerana dengan jalan itu baru boleh kita capai ‘Segulai Sejalai’, perpaduan di kalangan masyarakat.
  1. Saudara-saudara ikuti umpamanya, politik terumbang ambing bertahun-tahun menyebabkan ekonomi kita tidak menarik. Dua hari yang lalu, Amazon Web Service (AWS) adakan jamuan untuk meluncurkan program mereka melabur dalam tempoh 5-7 tahun sebanyak RM26 bilion di Malaysia. Saya hadir dan bila dibicara oleh Jeff Johnson, di antara ketua pengurusannya bagi Asia, dia beritahu saya, faktor pertama ialah keyakinan dia bahawa politik ini stabil. Tapi seperti mana saya selalu tekan, stabil ini bukan untuk peluang kita salah guna kuasa, perkayakan diri kita. Stabil ini dengan memperkenalkan dasar-dasar yang baik. Dasar Ekonomi MADANI, dasar transisi tenaga, dasar transformasi digital, pelan perindustrian, semikonduktor. Ini semua kita lakukan dan diperjelaskan. Jadi kata orang daripada AWS, pertama dia lihat Malaysia ini aman, politiknya stabil. Kedua, dia baca dasar-dasar yang telah kita luncurkan dan ketiga, dia mahu lihat keberkesanan pentadbiran kita memastikan projek dilaksanakan dengan cekap dan pantas.
  1. Tiga (3) faktor ini yang melibatkan pimpinan politik, Persekutuan dan Negeri, penjawat awam, golongan pekerja, golongan swasta bekerjasama sehingga kita catat pelaburan tertinggi dalam sejarah tahun lalu. Foreign direct investments dan juga domestic investment dan kita lihat perkembangan termasuk angka terbaru bulan Ogos tahun ini, tahap perdagangan yang meningkat ketimbang tahun lalu lebih 18.1%. Jadi saudara, ini tidak mungkin berlaku kerana hanya 1-2 orang atau 1-2 ketua. Dia berlaku kerana komitmen yang menyeluruh. Sebab itu saya seru supaya bukan sahaja pemimpin politik dan penjawat awam, Persekutuan dan Negeri, daerah dan jajahan beri kerjasama dan supaya rakyat ikuti perkembangan ini.
  1. Premier Abang Jo kaitkan dengan pengukuhan ringgit. Benar, ada faktor-faktor international dan global. Tetapi ada faktor lain iaitu keyakinan pelaburan. Wang dari luar masuk, wang rakyat Malaysia yang di luar pun dibawa masuk, jadi perkuatkan ringgit sekarang. Kita doa kepada Allah SWT, moga ada kekuatan kita seperti yang pernah kita lalui dan alami sebelumnya.

Saudara-saudari,

  1. Kata orang Iban, “agi hidup agi gelaban”. Ini semangat di kalangan rakyat. Sekarang ini maknanya atau kata orang Iban, zaman ini zaman “mansang” (maju). Saya di antara orang yang popularkan semua jenis-jenis bahasa suku kaum. ‘Segulai sejalai’ dah jadi bahasa nasional sekarang dan juga ‘zaman mansang yang membangkit’ pun sudah jadi zaman nasional. Padahal saya Melayu, saya bercakap bahasa Melayu. Tapi saya ambil sikap bahawa ini keluarga besar Malaysia yang harus kita hidupkan dan ada semangat tolak ansur dan hormat menghormati.
  1. Baru-baru ini selain daripada AWS, Google melabur sebanyak RM9.4 bilion. Bila kita sebut pelaburan ini, dia ada kesan sampingan. Sebab itu penambahan pekerjaan itu bertambah dan cabarannya, dan saya ucap tahniah sekali kepada Kerajaan Negeri Sarawak kerana cepat menangkap. Kalau kita ada pelaburan, Sarawak sekarang termasuk Miri sudah menjadi medan energy hub bagi rantau kita. Mana-mana negara kalau tengok mana dia nanti energy hub yang boleh supply green energy, alternative energy, green hydrogen, dia tak lihat kepada mana-mana negeri, dia lihat terus ke Sarawak. Jadi Sarawak punyai potensi kekuatan ekonomi yang gagah di masa hadapan.
  1. Sebab itu saya dukung hasrat pimpinan supaya politik yang stabil dan tumpu ke arah pembangunan ini. Kita juga jalankan tanggungjawab ini dan seperti mana saya sebut di Kuching, sama dengan kunjungan saya ke Arab Saudi, atau ke Jerman, Jepun atau baru-baru ini ke Vladivostok jumpa Presiden Putin. Kita tak pernah melepaskan bahawa pembangunan ini pembangunan seluruh negara, saya bincang soal Selangor, Johor dan Pulau Pinang. Dan bila bicara soal tenaga dan tentunya lain-lain, Sarawak tetap disebut dan didorong supaya menjadi suatu yang benar-benar berhasil dan berjaya.
  1. Dalam Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) ini yang telah disebut tadi, ini program yang baru. Kita belanja minimum RM1 bilion dan untuk setiap kampung, dan kalau kampung dan rumah panjang itu terlalu kecil, minimum RM50,000. Kalau kampung itu sederhana, mungkin sampai RM70,000 dan maksimum RM100,000 dan bukan kita yang putuskan. Rakan-rakan di rumah panjang atau kampung ataupun lereng-lereng di kota, mereka bermesyuarat, mereka putuskan nak buat apa. Kraftangan, pertanian ataupun projek-projek lain mereka putuskan dan kita bantu selaraskan. Ini pertama kali satu projek yang melibatkan semua kampung, semua rumah panjang seluruh negara kita dan saya harap mendapat kerjasama penuh daripada tuai rumah dan daripada masyarakat supaya projek-projek ini berbeza daripada projek lain, Lebuh Raya Pan Borneo ataupun tenaga ataupun empangan. Itu semua projek-projek lain yang Kerajaan harus fikirkan. Yang ini kita akan salurkan kepada rakyat secara langsung dan rakyat putuskan secara kecil-kecilan bagaimana mereka dapat urus supaya ada penglibatan masyarakat di peringkat akar umbi.
  1. Untuk tahun 2024, selain daripada yang saya sebutkan tadi, kita juga telah meluluskan projek-projek baru yang juga melibatkan Sarawak. Saya dengar kadang-kadang pandangan Sarawak terutama bila kita bicara Pan Borneo, Pan Borneo is a Sarawak success story. Masalahnya sebab Sabah terlambat sangat. Inilah sebabnya Sarawak ini jadi memudahkan kerja. Program itu diluncur sama masa zaman Dato’ Sri Najib menjadi Perdana Menteri. Tapi pelaksanaannya berbolak-balik dan lambat. Di Sabah hampir 50% siap, tapi dia Sarawak hampir lebih 90% sudah siap. Tahniah dan ini membanggakan kita.
  1. Projek ini sepertimana kita tahu bukan kecil. Dia mencecah sehingga RM16 bilion. Projek lebuh raya yang paling mahal dalam negara kita dan tidak dikenakan tol. Jadi kalau di sini tak apa lah, Abang Jo kata “okey, biar lah”. Tapi kalau di Semenanjung itu, dia hentam saya. Dia kata “Pasal apa di Sabah Sarawak tak payah bayar tol? Sebab apa orang Pulau Pinang dan Perlis kena bayar tol?”. Saya jawab mudah. Saya kata “boleh tak kamu pergi melawat kawasan-kawasan Sabah dan Sarawak?”. Kalau dia melawat dia lebih simpati dan lebih faham bahawa beberapa daerah tu ketinggalan sekian lama. Jadi dasar kita itu harus dasar yang lebih prihatin. Sebab itu bila kita buat penyasaran diesel, seluruh Semenanjung terkesan tapi kita kecualikan Sabah Sarawak kerana permasalahan khusus orang-orang yang menggunakan kenderaan diesel di Sabah dan Sarawak.
  1. Saya sebut perkara ini kadang-kadang kerana orang-orang yang kritik saya ini dia tak sebut yang positif, dia sebut yang lambat belum dapat saja. Jadi saya harap kita adil lah. Yang kita dah janji MA63, yang perlu untuk kita laksanakan, laksanakan lah. Takkan dah berpuluh tahun runding sana, runding sini, bincang sana, bincang sini tak habis-habis. Alhamdulillah, 11 perkara tambahan itu kita luluskan dalam setahun setengah yang lalu. Jadi kalau pun nak minta supaya ada hal-hal yang disegerakan, boleh. Tapi janganlah lupa bahawa dalam masa singkat dalam satu tahun setengah, kita selesaikan lebih daripada 11 perkara. Kadang-kadang dia mengambil sedikit masa kerana melibatkan perundangan, pindaan, sepertimana perkara kecil umpamanya pemindahan milik Pelabuhan Bintulu yang dulu dimiliki oleh Kerajaan Persekutuan mahu dipindah kepada Kerajaan Negeri. Itu Perjanjian MA63. Jangan tanya saya (sama ada), saya suka atau tak suka. Tanggungjawab saya melaksanakan apa yang sudah dijanjikan, itu yang penting.
  1. Yang kedua, dia tidak hanya dengan satu perjanjian, kena pinda undang-undang di Parlimen. Undang-undang itu tahun lalu atau awal tahun ini telah diluluskan supaya Pelabuhan Bintulu diserahkan kepada Kerajaan Negeri. Orang tanya “apa sebab Pelabuhan Pulau Pinang tak serah kepada Kerajaan Negeri?”. Pening saya nak jawab, saya anak Pulau Pinang. Dia kata ni Bintulu serah kepada Sarawak, sebab apa Pelabuhan Pulau Pinang tak serah kepada Kerajaan Pulau Pinang? Jadi saya jawab, baca Perjanjian MA63. Kerana janji itu hanya khusus bagi Sabah dan Sarawak, tidak untuk Pulau Pinang atau Johor. Sebab itu kita kena ada juga usaha untuk memberikan pencerahan dan kefahaman. Untuk anak-anak kita di Sabah, Sarawak dan juga Semenanjung, kefahaman ini perlu supaya jangan timbul ketegangan dan salah faham. Isu salah faham ini bukan salah faham antara kaum dan agama sahaja, kadang-kadang di antara negeri, sentimen itu ada.
  1. Jadi, saya tidak berhasrat umumkan semua hal-hal yang telah dikaitkan, cuma ada dalam mesyuarat kita terakhir, ada pandangan bagaimana harus kita segerakan. Sebahagiannya kita pindahkan. Ini kali pertama sejak merdeka. Beberapa projek bawah RM50 juta, kita serahkan kepada Negeri untuk kendalikan, untuk percepatkan dan beberapa hal yang melibatkan proses-proses pentadbiran itu kita juga sudah minta untuk percepatkan. Tan Sri Shamsul Azri, Ketua Setiausaha Negara yang baru tahu pandangan kita. Dalam perjumpaan dia yang awal, itu arahan yang jelas kepada semua pegawai-pegawai, supaya mereka faham dan diberi juga pencerahan tentang MA63.
  1. Tapi selain daripada itu, soal memastikan pertumbuhan ekonomi, pembangunan itu tidak jauh ketinggalan. Bukan sahaja Semenanjung dan Sarawak, dalam Semenanjung sendiri pun beberapa daerah umpamanya kota besar di Kuala Lumpur dan Johor Bahru, dengan kawasan pedalaman di Hulu Tahan, ataupun di Manik Urai di Kelantan, ataupun di beberapa kawasan Charok Kudong di Kedah itu perubahan yang sangat besar. Jadi harus pendekatan yang lebih adil. Samalah sepertimana kita cuba dekati bukan sahaja perkembangan di kota-kota, Kuching, Miri, Sibu dan Bintulu, tetapi di kawasan-kawasan pedalaman. Sebab itu esok, saya dengan Premier Abang Jo menerima jemputan daripada YB Alex Nanta Linggi untuk ke Kapit. Jadi maknanya bukan sahaja lawatan di sini tetapi terus ke Kapit.

Saudara-saudara yang dihormati sekalian,

  1. Ada juga yang khusus pada hari ini yang disebut tadi termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR). Ini sebab saya kata perlu kita adakan projek, adakan sumbangan tapi kena faham yang di bawah umpamanya. STR untuk Sarawak ini, yang menerima 28,944 orang, bermakna setiap keluarga dapat sumbangan daripada Kerajaan. Tetapi kita salur melalui akaun bank, tapi ada tuai-tuai rumah beritahu di rumah panjang, tidak ada akaun bank. Bagaimana? Maka itulah sebabnya di sini ada 500,000 penerima STR yang layak tapi tidak mempunyai akaun bank, baik di Sarawak, Sabah atau juga di Semenanjung dan lebih 51,000 orang yang tidak punya akaun itu termasuk di Sabah dan di Sarawak. Maka oleh itu, di Miri ini, pertama kali kita nak lancarkan program di mana kita boleh beri tunai secara langsung dengan penerima yang berbeza daripada suntikan langsung melalui akaun bank dan kita akan sampaikan sebagai program pertamanya, kita luncurkan di Miri dan juga di Kapit.
  1. Baru-baru ini saya sebut tentang klinik daif dan bukan sahaja Abang Jo, Dr. Sim lagi bising dengan saya sebab lambat. Oleh itu, seperti mana kita tahu memang kita beri keutamaan. Kalau di Miri, klinik yang dinaikkan tarafnya termasuk Klinik Kesihatan Long Bemang, Klinik Kesihatan Tudan, Klinik Kesihatan Jambatan Suai. Klinik untuk dibaikpulih lagi di sekitar Miri termasuk di Taman Negara Mulu, Klinik Kesihatan Long Loyang, Klinik Kesihatan Beluru dan Klinik Kesihatan Long Miri. Tapi cabarannya bagaimana kita nak percepatkan? Dana sudah ada. Bagaimana nak percepatkan pelaksanaan projek itu dan insya-Allah kita akan berikan perhatian.

Saudara-saudari,

  1. Saya nak ucap terima kasih banyak kepada PETRA, kepada Kerajaan Negeri kerana beri sambutan yang begini baik. Tapi oleh kerana saya faham di antara masalah kita hadapi selama ini ialah kerana kurang hubungan, kurang saling mempercayai satu sama lain dan kurang menyantuni rakyat di peringkat bawah. Jadi kadang-kadang kita putuskan ini sama ada di ibu negeri atau ibu kota. Saya ingat dalam 2-3 minggu lagi ke Sabah, kemudian balik ke Sarawak lagi. Terima kasih banyak atas sambutan yang begitu baik dan terutama Premier Abang Jo dan rakan-rakan saya ucap terima kasih.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.