
UCAPAN YAB PERDANA MENTERI
SEMPENA
ULANG TAHUN HARI KEPUTERAAN RASMI TAHUN 2024
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA
SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG XVII
SULTAN IBRAHIM IBNI ALMARHUM SULTAN ISKANDAR
PADA
7 SEPTEMBER 2024, SABTU
BERTEMPAT DI
ISTANA NEGARA, KUALA LUMPUR
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Alhamdulillahi Rabbil A’lamin wa bihi Nastai’n,
Selawat dan Salam ke atas Rasul junjungan, Nabi Muhammad SAW serta keluarga dan sahabat-sahabat Baginda sekalian,
Menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik mohon diampun.
- Dengan penuh hormat dan takzimnya, Kerajaan serta sekalian rakyat jelata, mohon merafak sembah setinggi-tinggi ucapan tahniah sempena Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Tuanku pada hari yang berbahagia ini.
- Patik dan sekalian rakyat merafakkan doa ke hadrat Allah SWT semoga Kebawah Duli Tuanku dan Raja Permaisuri Agong serta seluruh keluarga dilimpahi rahmat dan hidayahNya serta terus diberi keafiatan dan penuh kedaulatan.
- Pada hari penuh bersejarah ini patik ingin menyampaikan ucapan menjunjung kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kebawah Duli Tuanku atas ihsan dengan hikmah dalam memayungi negara. Sesungguhnya sebagai Raja Berperlembagaan, peranan Kebawah Duli Tuanku amat penting dalam memelihara kestabilan dan keharmonian negara. Kebawah Duli Tuanku adalah payung perpaduan dan penaung keutuhan negara. Titah Kebawah Duli Tuanku dalam menasihati Kerajaan sering kali mencerminkan kebijaksanaan dan keprihatinan Kebawah Duli Tuanku terhadap kebajikan rakyat jelata.
- Syukur Alhamdulillah, dengan izin dan limpah kurnia Allah jua, Negara terus berada dalam keadaan yang lebih baik. Ekonomi negara telah menunjukkan pertumbuhan yang kukuh dengan kadar 5.9 peratus pada suku kedua tahun 2024.
- Di samping itu, pemulihan terkini Ringgit berbanding Dollar Amerika Syarikat dan mata wang utama lain, bersama dengan kenaikan pantas FBM KLCI tahun ini turut menunjukkan keyakinan pelabur. Ini menjadi bukti jelas bahawa dasar-dasar yang dilaksanakan oleh Kerajaan Madani telah membuahkan hasil yang positif, Alhamdulillah.
- Dalam pada itu usaha-usaha Kerajaan yang berterusan membaiki tatekelola, memerangi rasuah dan tumpuan terhadap pelaburan bernilai tinggi semakin berhasil dalam mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi untuk lebih ramai rakyat. Kini nama Malaysia semakin mengharum di persada dunia sebagai destinasi pilihan untuk pelaburan global. Kerajaan akan terus menggiatkan lagi langkah-langkah yang perlu untuk memastikan suasana yang stabil, ekosistem yang kondusif dan mesra perniagaan.
- Kerajaan Kebawah Duli Tuanku menyedari angka-angka pertumbuhan tidak bermakna jika tidak melimpah kemajuan hasilnya kepada rakyat. Sesungguhnya matlamat yang ingin dicapai oleh rangka kerja Ekonomi MADANI adalah sosio-ekonomi masyarakat yang lebih saksama iaitu pendapatan rakyat meningkat, mengurangkan kos sara hidup dan memperluaskan jaringan keselamatan sosial. Kerajaan Kebawah Duli Tuanku akan terus berusaha keras untuk meningkatkan akses kepada Pendidikan bermutu, prasarana kesihatan dan perumahan mampu milik supaya rakyat menikmati kehidupan yang lebih selesa.
- Pada hari yang bahagia dan penuh istiadat ini, bagi pihak diri patik, Kerajaan dan seluruh rakyat, berdoa agar negara di bawah naungan Kebawah Duli Tuanku terus dilimpahi rahmat dan berkat, bebas daripada sebarang musibah dan kekal aman makmur sepanjang zaman. Semoga ikatan kasih sayang antara Raja dan rakyat terus utuh dari zaman ke zaman.
- Dengan segala hormat dan takzimnya sekali lagi patik mengucapkan setinggi-tinggi tahniah Kebawah Duli Tuanku sempena Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Tuanku pada hari ini.
Kerajaan dan rakyat sekalian juga memohon untuk menyembah ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Kebawah Duli Tuanku.
Daulat Tuanku. Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Sekian, terima kasih.
Similar Posts:
- RAKYAT MAIN PERANAN BERTERUSAN PELIHARA KEAMANAN, SEMANGAT BERSATU PADU – PM
- ANWAR BERI PENGHORMATAN TERAKHIR KEPADA JIANG ZEMIN
- PASCA PRU15: ANGGOTA PERKHIDMATAN AWAM TERUS SEMPURNA TUGAS DEMI RAKYAT, NEGARA – MOHD ZUKI
- PASCA PRU15: ANGGOTA PERKHIDMATAN AWAM TERUS SEMPURNA TUGAS DEMI RAKYAT, NEGARA – MOHD ZUKI
- ANWAR IBRAHIM DILANTIK PERDANA MENTERI KE-10