TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI : MAJLIS PEMBUKAAN TILAWAH DAN HAFAZAN AL-QURAN PERINGKAT ANTARABANGSA KE -64

TEKS UCAPAN

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

 

MAJLIS PEMBUKAAN

TILAWAH DAN HAFAZAN AL-QURAN

PERINGKAT ANTARABANGSA KE-64

 

 

5 OKTOBER 2024 (SABTU) | 2 RABIUL AKHIR 1446H

8:45 MALAM

 

WORLD TRADE CENTRE (WTC),

 KUALA LUMPUR

 

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Alhamdulillaahil rabbil ’alamain

Nahmahduhu wa nusalli ala rasoolihil kareem.

Wa’ala alihi wasahbihi ajmain.

Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Johari bin Abdul, Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Yang Berbahagia Puan Sri Datin Noraini binti Mohd;

Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Yang Berbahagia Datin Setia Nik Roslini binti Raja Ismail;

Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara;

Yang Berhormat Senator Dr. Zulkifli bin Hasan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Yang Berbahagia Puan Hanani binti Harun;

Tuan Yang Terutama Duta-Duta Perwakilan Asing;

Yang Berbahagia Dato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaimee, Ketua Pengarah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Yang Berbahagia Datin Insyirah Irwati binti Jailani;

Jemaah Hakim dan Peserta Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-64;

Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan;

Rakan-rakan media; dan

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian.

 

 

PENDAHULUAN

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

  1. Alhamdulillah kita panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah Taala kerana kita dapat teruskan satu tradisi yang dimulakan awal sejurus selepas kemerdekaan. Atas ikhtiar Yang Teramat Mulia, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Majlis Tilawah kemudian diperkembangkan dengan pengisian dengan hafazan Al-Quran. Dan sehingga kini penyertaan itu sangat membanggakan.
  2. Tapi seperti mana kita sedia faham, semangat membaca, menghafal, memaknai, memahami dan melaksanakan semangat Al-Quran ini, satu hal yang terikat dengan keyakinan kita. Dan oleh demikian, mari kita ingatkan kesyukuran serta doa, mudah-mudahan majlis yang permai ini dengan peserta lebih 92 orang dari 71 negara itu memberikan kesan dari segi peningkatan kefahaman dan penambahan iltizam atau komitmen untuk melaksanakan cita-cita Islam.

Saudara-saudari,

  1. Kita mengadakan majlis dalam keadaan aman, suasana gemilang. Tetapi dunia Islam itu tidak begitu, kerana kecelaruannya, perpecahannya dan dijadikan gelanggang negara-negara musuh menyerang, menghina, menjajah seperti yang berlaku di Gaza, Palestin dan sekarang telah menjalar ke Lubnan. Jadi kita harus sentiasa bertekad memahami maksud dan keperluan perpaduan di kalangan kita, kefahaman dan kesabaran serta kebijaksanaan dalam mengambil apa-apa langkah kerana kekuatan dalaman, kekuatan negara itu menjadi tonggak sebelum kita mampu melangkah seterusnya.

  1. Sebab itu dalam kerajaan MADANI ini, kita mulakan dengan memupuk semangat perpaduan yang kental di kalangan kita. Menjamin supaya ada persefahaman dan perdamaian di antara umat Islam dan bukan Islam di negara kita. Kerana itu menjadi prasyarat bagi kita membangunkan ekonomi yang kita sebut mampan. Dan kemampanan itu supaya kita juga akan memberi pengertian yang berbeda, bukan sekadar ekonomi kukuh tapi ekonomi kukuh kerana memberi keselesaan dan jaminan kepada rakyat terutama rakyat miskin, bandar dan desa dan pedalaman, dan masyarakat yang lain yang merasakan diri mereka terpinggir.

  1. Saya mohon kebijaksanaan supaya negara MADANI ini dimengerti kerana tidak banyak negara yang mempunyai ruang kesempatan dalam kerukunan hidup yang damai yang meletakkan asas ekonomi yang kukuh dan kini telah mendapat perhatian dalam pelbagai bidang dan kita mahu umat Islam juga terus meneroka dalam bidang-bidang yang baru yang dulu asing dari kita. Sebab itu Maahad Tahfiz yang sekarang mencecah hampir 200,000 pelajar itu sama ada yang rasmi dan tidak rasminya dipastikan punyai kemampuan dan peluang untuk menjadi tenaga penggerak dengan kekuatan akhlak dan nilai mereka. Kemudian ditambah dengan kegiatan, keupayaan teknikal dan profesional dalam bidang tenaga, dalam bidang digital, dalam bidang AI kerana ini akan menentukan kekuatan kita, kini dan masa depan.

  1. Tapi yang kita pohon ialah pengertian dan kebijaksanaan, kerana pemikiran yang jumud akan menenggelamkan kita. Di samping itu pemikiran dan langkah yang gopoh dan tidak bijaksana juga akan menghambat dan menjadi cabaran kepada kita. Belajarlah daripada pengalaman daripada semangat Al Quran.

فَبِمَا رَحْمَةٍۢ مِّنَ ٱللَّهِ لِنتَ لَهُمْ ۖ وَلَوْ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ ٱلْقَلْبِ لَٱنفَضُّوا۟ مِنْ حَوْلِكَ ۖ فَٱعْفُ عَنْهُمْ وَٱسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِى ٱلْأَمْرِ ۖ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى ٱللَّهِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلْمُتَوَكِّلِينَ

  1. Dengan Rahmat Allah dengan semangat kasih sayang, ehsan dan rahmat maka diberikan kemaafan tetapi mesti kembali beristighfar kepada Allah SWT supaya kecurangan lampau, kegelojohan, tamak haloba, rasuah, penyelewengan, kerakusan kuasa dan keangkuhan dihentikan, itu baru makna yang disebutkan beristighfar kepada Allah SWT. Memaaf dan beristighfar, kemudian ada semangat rundingan berterusan ‘wasyaawirhum fil amr’ apakah coraknya itu di Parlimen dalam perbincangan ataupun Jawatankuasa Kampung atau Jawatankuasa Masjid, rundingan itu perlu mendapatkan sesuatu natijah ke arah kebaikan dan setelah kita buat keputusan ‘faidza azamta fatawakkal alallah’.

  1. Betapa pintar sekali pun kita dalam pelbagai bidang, betapa hebat pun kita diraikan sepertimana pun dianggap alim besar mana pun, jangan lupa keputusan kita mestilah keputusan berasaskan kepada kefahaman dan niat yang ikhlas allamalillah dan fatawakkal allahlah kerana sesungguhnya ‘innallaha yuhibbul mutawakkilin’, Allah kasih kepada umat yang menyerah dan bertawakal kepadanya dan mudah-mudahan Majlis Tilawah Al-Quran dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-64 ini memberi natijah dan kefahaman dan membangkitkan, mengangkat martabat, harakat, darjat umat kepada satu tahap yang lebih mulia dan membanggakan.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.