
TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
KETIKA
PEMBENTANGAN
RANG UNDANG-UNDANG PERBEKALAN (2025)
DI DEWAN RAKYAT
JUMAAT, 18 OKTOBER 2024
BELANJAWAN 2025:
MEMBUGAR EKONOMI, MENJANA PERUBAHAN, MENSEJAHTERA RAKYAT
Tuan Yang Di-pertua izinkan saya, sebelum membentangkan Belanjawan MADANI ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua ahli-ahli yang berhormat yang memberi sokongan padu kepada rang undang-undangan kewarganegaraan semalam. Bagi saya petanda meningkatnya muafakat dan juga pengiktirafan kepada hak wanita, pengiktirafan juga kepada hak kanak-kanak. Mudah-mudahan semangat ini terus dalam menyokong belanjawan ini.
MUKADIMAH
Tuan Yang di-Pertua,
Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang bernama “Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2025 dan bagi memperuntukkan jumlah wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu” dibaca bagi kali kedua sekarang.
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
- Saya mulakan pembentangan Belanjawan kali ini dengan mengungkap kalimah suci firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam Surah Al Baqarah, ayat 22:
ٱلَّذِى جَعَلَ لَكُمُ ٱلْأَرْضَ فِرَٰشًۭا وَٱلسَّمَآءَ بِنَآءًۭ وَأَنزَلَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءًۭ فَأَخْرَجَ بِهِۦ مِنَ ٱلثَّمَرَٰتِ رِزْقًۭا لَّكُمْ ۖ فَلَا تَجْعَلُوا۟ لِلَّهِ أَندَادًۭا وَأَنتُمْ تَعْلَمُون َ
“Dia yang menjadikan bumi sebagai hamparan bagimu, dan langit sebagai binaan, dan menurunkan air dari langit, lalu dengannya dikeluarkan beraneka buah-buahan sebagai rezeki buatmu. Maka janganlah kamu menjadikan sesuatu sebagai sekutu bagi Allah, sedangkan kamu mengetahui.”
- Imam al-Baydawi dalam tafsirnya yang tersohor “Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta’wil” menegaskan kekuasaan Allah Subhanahu wa Ta’ala mengatur alam dengan penuh keteraturan. Sunnatullah alam harus digarap tatkala kitaran hujan dari langit menjadi prasyarat penting yang menyuburkan tanaman dan memberikan banyak manfaat kepada manusia. Semuanya diciptakan Allah SWT agar manusia memerhati, merenung, mempelajari, mengolah dan menguruskannya dengan penuh amanah. Tanpa ketinggian ilmu, hikmah dan usaha terancang, kita tidak akan mampu meraih manfaat daripada bumi bertuah ini.
- Maka kita harus mentadabbur pedoman agung Qurani yang penuh berhikmah ini. Disulami perintah syukur dan rezeki yang Allah kurniakan, al-Quran menegaskan betapa pentingnya mewujudkan ekosistem yang mantap dan lestari serta urustadbir yang cekap bagi menguruskan kekayaan sumber, sumber alam secara adil dan saksama.
“The virtue of wealth is not to have it but to use it rightly.”
(Aristotle; Etika Nicomachus, Buku IV)
Tuan Yang di-Pertua,
- Sebelum saya membentangkan Belanjawan MADANI Ketiga 2025, saya ingin mengambil kesempatan untuk menyatakan penghargaan setingginya kepada semua Ahli Yang Berhormat atas sokongan padu yang bersejarah yang dicapai semalam yang memberikan beberapa implikasi positif lagi bermakna. Pertama, ia bukti permuafakatan yang kukuh antara Ahli-ahli Yang Berhormat. Kedua, pengiktirafan kepada kaum ibu dan hak kanak-kanak.
- Seterusnya, dengan rasa penuh tanggungjawab kepada negara dan rakyat, saya berdiri di Dewan yang mulia ini bagi membentangkan Belanjawan MADANI Ketiga 2025 yang tercerna dari usaha gigih para perencana setelah mengambil kira tantangan serta ketidaktentuan global yang semakin mengganas.
- Belanjawan yang bakal terhampar ini pastinya akan mencakup serta mencerminkan cita murni rakyat yang mendambakan sebuah tatanan yang berketerampilan, mampan dan inklusif.
- Dalam merangka prakarsa ekonomi, pertimbangan asasi terpasak kepada keperluan mengadakan reformasi untuk menjamin pertumbuhan. Pertimbangan dunia sekarang membicarakan pertumbuhan yang rancak tetapi tidak boleh terlepas dari usaha merungkai permasalahan kesenjangan yang membengkak dan kemiskinan yang melebar.
- Justeru itu, kerangka pokok adalah untuk memacu pertumbuhan yang segar mengambil kira perkembangan dan cabang pembelajaran yang baru serta tuntutan zaman tetapi tidak terlepas dari tonggak utama, iaitu menjamin keselesaan rakyat melalui pendidikan dan kesihatan. Itulah juga menjadi sebahagian besar dari kerangka Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat yang telah kita luncurkan, dan bertekad serta beriltizam untuk meneruskan agenda reformasi.
- Merangka kebijaksanaan dan kebijakan ekonomi termasuk Belanjawan, seringkali tertumpu kepada pandangan para elit, pengurus ekonomi, cerdik pandai, dan dialog dengan pengusaha industri dan perwakilan serta peniaga kecil. Namun tidak dimungkiri kenyataan bahawa banyak pengajaran yang saya perolehi dari kunjungan ke akar umbi.
- Kunjungan menemui rakyat di akar umbi begitu mengesankan. Malah, membantu kita memahami masalah rakyat dan merangka Belanjawan pada tahun ini, kita menyaksikan sendiri permasalahan rakyat akibat hakisan dan banjir; pendidikan; kesihatan dan dampak sosial. Permasalahan ini ketara, jika ditelusuri, adalah microcosm permasalahan yang lebih luas. Walhasil, selain dari prakarsa ekonomi makro yang diolah dalam Belanjawan, persoalan kritis adalah bagaimana dasar yang mantap, kerangka yang canggih akan menjamin manfaat langsung kepada rakyat.
Kunjungan Menemui Rakyat
Lahad Datu, Sabah
- Saya ke FELDA Lahad Datu dua bulan lalu, memantau daerah yang pernah terancam dengan pencerobohan pengganas di Tanduo. Segar kembali kisah insiden tersebut; pengorbanan perajurit, dukungan dan kesabaran rakyat dan perajurit yang terkorban itu ada yang dari Semenanjung dan yang di Semenanjung pernah terkorban, ada dari Sabah dan Sarawak. Saya hadapi permasalahan yang berbangkit di Tambisan kerana tuntutan hak tanah adat. Saya lihat keperluan menambah kemudahan Sekolah Kebangsaan (SK) di sana. Masalah tanah adat berbangkit dan berakhir dengan penyelesaian kepada penduduk Tambisan. Saya turut berjanji kita memenuhi keperluan SK di sana.
Pasar Siti Khadijah, Kelantan
- Saya berkunjung ke Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu Kelantan, melihat sendiri keadaan pasar yang daif dan uzur dan beberapa masalah asas seperti bumbung, tandas, bekalan elektrik dan air yang terus menghimpit warga dan peniaga selain daripada ancaman masalah banjir. Namun, semangat mereka luar biasa kuat, cekal. Dan inilah satu-satunya peniaga di pasar yang puluhan yang saya lawati yang menyatakan bahawa mereka rasa selesa bekerja dan mohon tentunya kalau ada bantuan tetapi rasa lebih selesa kerana harga barangan yang mereka beli dari Thailand itu jauh lebih Ini satu-satunya pasar yang memberitahu saya yang mereka berpuas hati kerana barang yang mereka perolehi murah dan dijual dengan harga yang lebih murah ketimbang kota-kota lain. Sebab itu, saya segera mengumumkan peruntukan 5.5 juta ringgit bagi menambah baik pasar ikonik tersebut dan mendapat kerjasama daripada kerajaan negeri.
Kapit, Sarawak
- Lawatan saya ke Kapit, Sarawak, meninjau beberapa projek pembangunan termasuk IPD Kapit dan jalan yang telah kita diluluskan dan telah mula dikerjakan. Kapit merupakan daerah yang terpencil dan miskin. Namun, saya terharu saat disapa seorang ibu dari desa berlari berhampiran hadir hanya untuk menghadiahkan sehelai vest yang dibuat dari manik yang ditenun sendiri. Ketua masyarakat Iban menyerahkan pakaian tradisional yang segak dan sungguh mengesankan bagi saya dan mengagumkan Azizah. Ternyata semangat ‘Segulai, Sejalai’ begitu mengakar dan menjalar ke akar umbi.
- Di akhir acara, saya berkunjung ke Rumah Panjang Robert, Nanga Sebatu untuk ketemu pimpinan, tuai rumah selain masyarakat setempat dan ditambah lagi kerana saya lihat sendiri hakisan sungai, yang dibuat permohonan beberapa lama tetapi mereka rasa terdesak kerana hakisan itu menghampiri rumah panjang mereka, maka saya luluskan segera RM2 juta ringgit untuk kerja-kerja menangani permasalahan hakisan tersebut.
Alor Setar, Kedah
- Musibah banjir lazimnya turut memusnahkan tanaman. Malah, yang paling terkesan yang menghadapi masalah banjir adalah keluarga miskin kerana mereka selalu duduk atau tinggal di pinggir sungai. Maka, tatkala saya di Alor Setar, berunding dengan badan-badan, agensi Kerajaan Persekutuan dan Jabatan dan Kerajaan Negeri, saya setuju untuk meluluskan RM13 juta ringgit untuk perbaiki infrastruktur, kemudahan sekolah dan bantuan kepada rakyat dan pesawah yang terkesan.
- Yang saya nak sampaikan Tuan Yang di-Petua, memaknai Ekonomi MADANI adalah meneruskan dasar-dasar yang diluncurkan tetapi khusus maksud, menyusul sebagai ikhtiar mengemudi Malaysia ke landasan tepat dan gagah. Tidak mungkin kita dapat hulurkan bantuan begitu banyak kalau tidak dapat kita pacu pertumbuhan dengan lebih segar lagi.
- Pertumbuhan serta pemerataan ekonomi diatur seperti di bawah:
- Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP);
- Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR);
- Pelan Strategik Semikonduktor Kebangsaan (NSS);
- Pelan Tindakan KL20; dan
- Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera.
- Kebijakan fiskal dipandu melalui:
- Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal;
- Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta; dan
- Penyasaran subsidi.
- Tatakelola dan integriti diangkat dengan:
- Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional;
- Pindaan Akta Audit 1957; dan
- Ikhtiar Reformasi Kerenah Birokrasi.
- Dalam suasana ekonomi dunia yang rencam kini, Kerajaan akan berusaha sedaya mungkin bagi memastikan ekonomi negara kekal teguh dan berdaya saing, selain punyai fundamentals yang kukuh bagi menepis sebarang gejolak yang mampu menggoncang sistem ekonomi negara.
- Tetapi tidak boleh melepaskan tanggungjawab kita dari melihat permasalahan kemiskinan dan kesenjangan. Dan ini umpamanya ahli-ahi yang berhormat sedia maklum pemenang Hadiah Nobel terbaru bagi Ekonomi, Daron Acemoglu, Simon Johnson, dan James A. Robinson; itu telah menekankan keperluan ekonomi negara, melihat kepada permasalahan pokok termasuk apa yang pernah dilontarkan oleh Thomas Piketty satu abad yang lalu mengenai kesenjangan yang membengkak.
- Mereka mengusulkan reformasi, sistem ekonomi agar membasmi kemiskinan dan mengurangkan kesenjangan. Dan ini bukan perkara baharu, sebab itu kita perlu kesepakatan semua pihak untuk terima kenyataan. Ini termasuk reformasi yang telah saya gerakkan semasa kali pertama menjawat jawatan Menteri Kewangan lebih dua dasawarsa yang lalu, dan saya masih kekal teguh dan konsisten di jalur ini. Sementara yang kaya akan bertambah kaya dan yang miskin akan terus tenggelam dalam lembah kemiskinan. Justeru, penghargaan setingginya kepada ketiga-tiga mereka kerana berjaya memecahkan tembok usang tersebut dan menekankan betapa reformasi mesti disegerakan.
- Kerana dari negarawan Rom sendiri, Marcus Tullius Cicero menyatakan, “prosperity demands of us more prudence and moderation than adversity”. Jadi menyemangati maksud tersebut, maka untuk kembali meletakkan tatanan ini ke landasan yang tepat, kita mesti berhemah dalam soal perbelanjaan dan memahami keperluan pengurusan dan lebih bertanggungjawab. Bahawa adalah kelaku biasa di mana-mana negara bekas penjajah untuk “spend big to win big” tanpa mengambil peduli mengenai dampak jangka masa panjang kepada negara. Walhasil, kemakmuran yang dicapai akhirnya tidak diragukan lagi menjadi tidak mampan dan bersifat sementara seraya hutang terus membengkak untuk dibeban dan ditinggalkan kepada generasi akan datang.
- Lantaran itu, kita berusaha untuk mengelak pembaziran dan ketirisan dengan gigih dan sama sekali tidak akan membiarkan rakyat menderita akibat dari kekurangan serta kekangan yang ada.
- Yang di-Pertua, Malaysia kini berada di persimpangan. Ekonomi dunia berdepan cabaran yang terus mengasak tanpa henti, dasar dan kebijakan yang telah digerakkan, dapat menarik beberapa pelaburan besar yang strategik dan menjamin kemakmuran jangka panjang.
- Atas semangat yang sama, Kerajaan, melalui Belanjawan kali ini akan memberi lebih penekanan terhadap usaha pemulihan ekonomi, menguasai aspek inovasi, selain memastikan pengagihan kekayaan yang lebih adil dan saksama. Dengan tumpuan tersebut, maka ia secara tidak langsung akan memperkukuh iltizam negara dalam membina serta membangun masa depan yang hijau, digital, dan berdaya tahan (resilience) sambil terus membela warga yang lemah dan melarat supaya tidak ada yang terpinggir dalam usaha menggapai status negara berpendapatan tinggi (high income nation).
- Saat mengambil alih tampuk pemerintahan negara, Kerajaan MADANI menetapkan satu hala tuju yang jelas bahawa ketelanjuran tidak boleh diteruskan dan dipertahankan. Prinsip tatakelola yang baik (good governance) mesti terus mengakar dan disemarakkan.
- Maka, ini yang dibentang dan dihamparkan hari ini bukanlah Belanjawan Kementerian Kewangan atau Kerajaan semata, tetapi ini adalah Belanjawan rakyat dan negara Malaysia. Justeru, saya ingin merangkul seluruh kekuatan rakyat. Sepertimana yang pernah saya lontarkan sebelum ini bahawa tidak pernah kita punyai kesempatan terbaik untuk melakar agenda memperkasa ekonomi dan mengangkat martabat rakyat seperti yang kita saksikan sekarang. Negara harus dikenali dengan contoh tatakelola yang baik, dengan nilai, dan yang tidak menggunakan kuasa dan kedudukan untuk menjaga lingkungan. Dengan penuh tawaduk saya membentangkan Belanjawan ini agar dihadham maksud dan manfaatnya buat rakyat dan negara.
PENCAPAIAN DAN TANTANGAN EKONOMI
- Meskipun ekonomi dunia serba galau dek hiruk-pikuk geopolitik tidak berkesudahan; kedudukan ekonomi negara kalis tantangan dan terus mengukuh.
- Pertumbuhan ekonomi suku kedua 2024 mencapai 5.9 peratus, ketimbang 4.2 peratus suku pertama.
- Pengangguran setakat Ogos 2024 menurun kepada 3.2 peratus, kadar ini terendah sejak Januari 2020.
- Inflasi Ogos 2024 turun 1.9 peratus setelah tiga bulan berturut-turut berada pada paras 2 peratus. Namun yang di-pertua, kita tidak berganjak dalam hal meredakan kenaikan kos sara hidup yang membebankan rakyat.
- Kita mencipta sejarah tahun lalu apabila meraih pelaburan diluluskan 329.5 bilion ringgit – tertinggi pernah direkodkan. Bagi separuh pertama 2024, kita berjaya meraih pelaburan diluluskan 160 bilion ringgit, melonjak ketimbang 135.6 bilion ringgit pada period Saya ucap tahniah kepada semua rakan-rakan Jemaah Menteri dan pegawai-pegawai dalam dan di luar negara yang bekerja bertungkus lumus membantu mengangkat martabat ekonomi negara.
- Kita berjaya mengukuhkan ringgit kepada 14.4 peratus ketimbang dolar Amerika dalam suku ketiga 2024; pencapaian terbaik sejak tahun 1973.
- Sejarah tercipta tahun ini apabila nilai pasaran ekuiti domestik mencecah angka tertinggi melepasi 2 trilion ringgit selain Indeks Bursa FBM KLCI kembali melepasi 1,600 mata.
- Kita berjaya kekalkan taraf kredit berdaulat oleh Moody’s, S&P Global dan Fitch masing-masing pada A3, A- dan BBB+ dengan tinjauan “stabil”.
- Firma terkemuka global turut meningkatkan taraf pasaran saham Malaysia iaitu JP Morgan kepada taraf (neutral), HSBC (neutral), Goldman Sachs (neutral) dan Nomura (wajaran tinggi).
- Prestasi ekonomi mengatasi jangkaan, sama ada dari segi pertumbuhan, pelaburan dan nilai ringgit; mengambarkan keyakinan pelabur dan kejayaan awal daripada langkah pembaharuan Ekonomi MADANI. Dengan itu, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) 2024 diunjur lebih kukuh antara 4.8 hingga 5.3 peratus; ketimbang antara 4 ke 5 peratus sebelumnya. Malah, Bank Dunia juga menaikkan unjuran pertumbuhan Malaysia kepada 4.9 peratus, ketimbang 4.3 peratus April lalu.
- Tahun hadapan, kita yakin ekonomi negara berkembang insya’Allah kukuh antara 4.5 hingga 5.5 peratus, didukung langkah dan strategi Belanjawan MADANI Ketiga 2025.
- Tidak dimungkiri kenyataan bahawa kejayaan ini selain dari perkembangan serantau dan dasar-dasar fiskal. Namun, kita tidak boleh khayal dengan kejayaan-kejayaan ini seandainya kita menyimpang daripada komitmen atau iltizam kepada agenda perubahan dan reformasi. Budaya selesa, culture of complacency, mudah terbuai dengan pujian mesti dihentikan.
- Maka, Belanjawan MADANI Ketiga akan menghimbau:
- perihal menelusuri Ekonomi MADANI;
- perihal mengislah lebih tegas;
- perihal menghapus kerenah birokrasi;
- perihal menaikkan gaji dan pendapatan;
- perihal menangani kos sara hidup.
- Walhasil, segala ikhtiar yang dibentang hari ini adalah untuk menyusul setiap penanda aras Ekonomi MADANI dengan tiga tumpuan iaitu membugar ekonomi, menjana perubahan dan mensejahtera rakyat.
- Bagi menjamin perubahan, tekad reformasi yang kita anjurkan mesti terpasak kemas dengan keyakinan bahawa ia mesti diperhebat dengan mencakup langkah-langkah pembaharuan fiskal yang lebih segar dan lebih agresif, memungkinkan rombakan institusi serta meningkat tahap keupayaan dan ketangkasan serta mutu perkhidmatan kepada rakyat.
IKHTIAR 1: TANGGUNGJAWAB FISKAL DAN PENGURUSAN HUTANG
- Justeru, Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) telah menetapkan penanda aras yang jelas terkait pengurusan hutang dan defisit fiskal.
- Kerajaan MADANI mewarisi bebanan hutang yang menggunung. Paras hutang tahun lalu adalah pada 1.2 trilion atau lebih 64 peratus KDNK. Jika termasuk liabiliti, paras hutang telah mencecah 1.5 trilion ringgit atau 80 peratus KDNK. Bagi setiap seringgit pungutan cukai, 16 sen perlu dibelanja hanya untuk membayar faedah hutang; dan ini tidak termasuk hutang pokok.
- Hutang akan terus meningkat selagi tidak dikurangkan defisit. Maka, langkah-langkah tegas dan berperingkat telah diambil oleh Kerajaan bagi mengurangkan kadar defisit secara konsisten iaitu:
- daripada 5.5 peratus (2022);
- kepada 5 peratus (2023);
- seterusnya anggaran 4.3 peratus (2024);
- dan unjuran 3.8 peratus (2025).
- Atau dengan erti kata lain, yang banyak mengelirukan tentang jumlah hutang, hutang terkumpul, hutang lama, hutang baharu itu yang kita kurangkan: Saya telah janjikan kita tidak akan menambah hutang, So, dengar baik-baik yang saya sebut ialah:
- Tahun 2022, Kerajaan berhutang 100 bilion ringgit;
- 2023, kita kurangkan ke 90 bilion ringgit;
- Tahun 2024, dianggar dikurangkan 85 bilion ringgit;
- dan unjuran untuk tahun hadapan 2025, dari 100 bilion, kita kurang ke 80 bilion ringgit.
- Ini maknanya pengurangan hutang yang jelas dan bertanggungjawab. Dan ini bermakna apabila dapat dikurangkan kadar defisit dan pinjaman baharu secara berperingkat setiap tahun membolehkan kita mencapai sasaran jangka sederhana FRA iaitu defisit fiskal pada 3 peratus dan paras hutang di bawah 60 peratus KDNK.
IKHTIAR 2: KUTIPAN HASIL
- Pada tahun ini, kutipan hasil diunjur semula lebih tinggi daripada unjuran awal kepada 322 bilion ringgit ketimbang 308 bilion. Kerajaan juga menjangkakan, kutipan hasil tahun 2025 terus meninggi kepada 340 bilion ringgit.
- Maka kita bersyukur dan berterima kasih kepada Kastam dan LHDN tetapi kita bersyukur peningkatan hasil yang nyata. Kendatipun begitu, asas hasil masih rendah, Malaysia menggunakan sistem percukaian, pengutipan hasil antara terendah di Asia sementara perbelanjaan subsidi memuncak ke paras tertinggi di rantau Asia.
- Kita harus menangani kemelut ini, asas cukai perlu diperluas. Cukai yang dipungut masih antara terendah yakni 12.6 peratus kepada KDNK pada 2023 ketimbang negara tetangga seperti Thailand
(16.1 peratus), Filipina (14.1 peratus) dan Singapura (13.7 peratus).
- Lebih jelas, kita menanggung subsidi, insentif dan bantuan mencecah 80 bilion ringgit tahun lalu; subsidi dan bantuan kepada rakyat mencecah 80 bilion ringgit. Ia tidak menjadi masalah. Masalahnya ialah bila dinikmati oleh golongan maha kaya dan warga asing. Dari 80 bilion itu, sebahagiannya di manfaat oleh maha kaya dan warga asing. Dan ini harus diluruskan.
- Arakian, reformasi fiskal tahun hadapan akan lebih agresif mencakup peluasan hasil cukai secara progresif dan penyasaran subsidi kepada majoriti rakyat yang memerlukan.
IKHTIAR 3: PELUASAN HASIL CUKAI
- Penambahbaikan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan
- Bagi maksud menambah hasil dan meluaskan asas percukaian, maka Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) akan dilaksanakan lebih progresif tetapi tidak membebankan rakyat awam.
- Cukai Jualan tidak akan dikenakan ke atas barangan makanan asas yang digunakan oleh rakyat. Cukai Jualan akan dikenakan ke atas barangan bukan keperluan asas seperti barang premium yang diimport seperti ikan salmon dan avocado. Yang berhormat belah sini dan belah sana makan. Ini harganya akan lebih tinggi bila kita laksanakan.
- Skop Cukai Perkhidmatan akan diperluas meliputi perkhidmatan komersial antaranya perniagaan seperti perkhidmatan kewangan berasaskan fi.
- Bagi memastikan kelangsungan perniagaan, Kerajaan akan melaksanakan sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan serta industri berkaitan sebelum memuktamadkan skop peluasan dan kadar cukai yang dikenakan. Peluasan skop SST secara progresif akan dilaksanakan berkuat kuasa 1 Mei 2025. Sebahagian hasil akan dimanfaat untuk menambah baik bantuan tunai kepada rakyat terbanyak selain meningkatkan kualiti perkhidmatan pendidikan dan kesihatan.
- Cukai Dividen
- Kerajaan bercadang meluaskan asas cukai secara progresif dengan memperkenalkan cukai dividen kepada 2 peratus ke atas pendapatan dividen melebihi 100 ribu ringgit yang diterima oleh pemegang saham individu bermula tahun taksiran 2025. Ini kalau diambil perkiraan dikirakan seseorang yang memperolehi dalam saham 2 juta ringgit. Kalau ada 2 juga ringgit, bayarlah cukai sedikit supaya diagihkan kepada rakyat. Ikhtiar ini dilaksanakan supaya cukai pendapatan yang dikutip tidak hanya bergantung kepada sumbangan penerima gaji, tetapi turut merangkumi sumbangan pemilik syarikat serta individu dengan milikan harta saham jutaan ringgit.
- Pertimbangan akan diberikan bagi mengecualikan Pengecualian pendapatan dividen ini akan diberikan kepada simpanan Kerajaan seperti KWSP, amanah saham di bawah PNB dan pendapatan dividen dari luar negara itu akan dikecualikan.
IKHTIAR 4: PENYASARAN SUBSIDI
- Subsidi dari segi prinsip sepertimana juga sedekah tidak sewajarnya diambil manfaat oleh golongan maha kaya yang telah saya tekankan di Dewan Rakyat yang mulia ini. Selama ini, kita membelanjakan subsidi secara pukal untuk bahan api, elektrik, air, perkhidmatan pendidikan dan kesihatan hatta barangan asas seperti ayam. Pastinya pendekatan sedemikian tidak munasabah tatkala negara terhimpit dengan bebanan hutang dan asas hasil yang rendah.
- Seperti yang diungkapkan dengan bijaksana oleh Confucius dalam The Analects:
过而不改,是谓过矣 (Guò ér bù gǎi, shì wèiguò yǐ)
“Jika berlaku kesilapan, dan tidak memperbetulkannya, maka itulah kesilapan yang sebenar.”
“If you make a mistake and do not correct it, this is a true mistake.”
- Kesilapan fatal inilah—menurut Confucius—yang telah menjerumuskan kita ke perangkap putaran ganas ‘一错再错’ (yī cuò zài cuò) (yang cina faham) iaitu mengulangi kegagalan yang sama berulang kali!
- Justeru, Kerajaan perlu akur dan mengambil pendekatan menyasarkan subsidi. Hendak memperkenalkan penyasaran subsidi kena ambil dari Al-Quran, daripada Konfucius, daripada Thirukkural, barulah aman sedikit. Langkah ini telah membawa penjimatan bermakna yang boleh dibelanjakan untuk kepentingan lain. Umpamanya apabila kita laksanakan penyasaran subsidi elektrik, tarif air, harga ayam, subsidi diesel, itu kini diterima lebih baik. Tetapi subsidi tarif air tidak menjadi masalah kerana semua negeri bersetuju dan semua negeri laksanakan.
- Penyasaran subsidi elektrik tahun 2023 telah menjana penjimatan 4 bilion ringgit. Penyasaran ini hanya melibatkan pengguna elektrik melebihi 600 kilowatt-jam yang perlu membayar penuh tanpa subsidi sementara 85 peratus rakyat kekal menikmati subsidi elektrik.
- Pelarasan tarif air juga telah dilaksanakan tahun ini sesuai dengan kehendak hampir semua negeri termasuk negeri-negeri pembangkang.
- Harga ayam telah kita apungkan sepenuhnya. Sekarang, Kerajaan tidak lagi perlu membelanjakan 1.2 bilion ringgit setahun untuk subsidi ayam.
- Subsidi diesel telah disasarkan membawa penjimatan sehingga 4 bilion setahun. Bahkan rakyat di bawah meraih manfaat menerusi bantuan tunai BUDI MADANI 200 ringgit sebulan, selain sektor logistik terpilih, nelayan dan pengangkutan awal kekal menikmati diesel bersubsidi.
Penyasaran subsidi diesel terbukti berjaya mengekang ketirisan akibat penyeludupan dan penggunaan oleh sektor perniagaan tidak layak. Sejak dilaksanakan, jualan diesel bersubsidi menurun 30 peratus dengan penjimatan lebih 600 juta ringgit sebulan meskipun subsidi masih disediakan untuk pengangkutan awam, nelayan dan sektor logistik. Dan sejak dilaksanakan, harga pam telah dikurangkan 40 sen seliter kepada 2 ringgit 95 sen.
- Maka, tidak harus timbul sebarang kemusykilan dalam pendekatan ini kerana Kerajaan akan pertahankan kepentingan rakyat terbanyak. Setiap penyasaran subsidi adalah untuk membetulkan ketempangan amalan subsidi pukal yang memberi manfaat kepada kelompok elit maha kaya dan warga asing.
- Penyasaran Subsidi Petrol RON95
- Petrol RON95 – kenyataan yang tidak dapat disangkal adalah bahawa, warga asing dan 15 peratus teratas pengguna maha kaya menikmati 40 peratus subsidi petrol RON95 bernilai 8 bilion ringgit. 8 bilion ringgit itu subsidi Kerajaan dari orang yang mengutip cukai kepada golongan maha kaya dan warga asing. Maka, lebih baiklah 8 bilion ringgit ini dimanfaatkan bagi untuk kemudahan pendidikan, kesihatan, pengangkutan awam termasuk orang asli.
- Sehingga kini, harga RON95 Malaysia ialah 2 ringgit 5 sen ketimbang negara tetangga seperti Thailand (5 ringgit 85 sen), Indonesia (3 ringgit 38 sen), Singapura (9 ringgit 2 sen) dan Arab Saudi (2 ringgit 66 sen). Harga yang rendah menyebabkan Kerajaan menanggung jumlah subsidi RON95 tahun 2023 mencecah 20 bilion ringgit.
- Namun, Kerajaan komited untuk mengekalkan subsidi untuk majoriti rakyat, seperti yang dilaksanakan dalam penyasaran subsidi elektrik, maknanya 85 peratus rakyat tidak terkesan dengan penyasaran subsidi RON95. Bagi mengelakkan kekeliruan, saya tegaskan sekali lagi bahawa tanggungan subsidi masih diteruskan bagi 85 peratus rakyat. Maknanya, Kerajaan akan terus menanggung subsidi yang dianggar berjumlah 12 bilion ringgit untuk keperluan 85 peratus rakyat. Jadi 8 bilion ringgit yang boleh diselamatkan itu adalah dari golongan maha kaya dan warga asing. Dan saya harap di Dewan ini tidak ada yang mewakili maha kaya dan warga asing.
- Kerajaan bercadang untuk melaksanakan penyasaran subsidi RON95 pada pertengahan tahun 2025. Saya tegaskan, penjimatan ini akan menjamin faedah di bidang pendidikan, kesihatan dan kebajikan rakyat. Penjimatan yang dicapai daripada ini akan dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat terbanyak.
- Penyasaran Subsidi Pendidikan & Kesihatan
- Matlamat asal penubuhan sekolah berasrama penuh (SBP) adalah untuk membantu murid cemerlang dan dari keluarga susah termasuk pedalaman mendapatkan pendidikan terbaik. Subsidi bagi seorang murid SBP mencecah 15 ribu ringgit setahun. Namun, berdasarkan angka terkini, didapati 30 peratus murid dari keluarga berpendapatan tinggi mendapat manfaat.
- Begitu juga di peringkat pendidikan tinggi, umpamanya purata yuran pengajian setahun yang dibayar oleh penuntut sarjana muda farmasi 3,000 ringgit, padahal kos sebenarnya 30 ribu ringgit. Subsidi ini diberikan tanpa mengambil kira pendapatan keluarga.
- Jadi kita cadang untuk mengenakan sedikit kenaikan yuran – tidak kepada 85 peratus, tidak kepada B40, tidak kepada M40, tidak T5, cuma T15 yang teratas sahaja yang akan dikenakan kenaikan yuran. Maknanya di SBP atau Sekolah Menengah Sains dan Universiti-Universiti awam, kita kenakan sedikit kenaikan untuk SBP dan IPTA bagi golongan yang masuk kategori 15 peratus. Dan daripada dana itu boleh digunakan untuk membantu rakyat atau pelajar dan mahasiswa dalam kategori M40 dan B40.
- Penyasaran subsidi ini juga akan dikenakan di hospital-hospital kesihatan awam kerana sekarang ini, mereka dilayan sama, masuk hospital bayar seringgit walaupun pendapatan mereka 100 ribu sebulan atau pendapatan mencecah jutaan ringgit. Jadi sepatutnya mereka dikenakan sedikit tambahan perkhidmatan wang supaya dapat ditambah tabung Kementerian Kesihatan dan diagihkan kepada pesakit-pesakit miskin.
- Seandainya subsidi pendidikan dikurangkan secara berperingkat bagi kumpulan pendapatan 15 peratus teratas, kutipan yang diraih boleh dimanfaatkan untuk menambah baik prasarana SBP dan IPTA tersebut untuk manfaat semua pelajar.
- Penyasaran subsidi seumpama ini akan turut melibatkan kesihatan awam. Golongan berpendapatan tinggi wajar menyumbang kepada perkhidmatan kesihatan lebih baik di hospital Kerajaan. Penjimatan diraih dapat dimanfaat untuk membiayai peranti perubatan untuk pesakit miskin dan menaik taraf peralatan hospital dan klinik awam.
- Penguatkuasaan
- Sejak 2022 hingga September 2024, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan hasil yang mencecah hampir 2 bilion ringgit. Oleh itu, KPDN dan JKDM disediakan peruntukan 60 juta ringgit untuk terus membanteras ketirisan dan penyeludupan.
- Setakat September 2024, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) berjaya memecahkan tembok penguasaan kartel dan penipuan bida melibatkan jumlah penalti dikenakan hampir 600 juta ringgit melibatkan lebih 350 syarikat. Oleh itu, MyCC disediakan tambahan peruntukan 27 juta ringgit untuk terus memerangi tembok penguasaan kartel dalam sistem ekonomi negara kita.
IKHTIAR 5: ANGGARAN PERBELANJAAN 2025
- Kerajaan terus mengekalkan Belanjawan mengembang meskipun bertekad mengurangkan defisit fiskal secara berperingkat. Anggaran Belanjawan 2025 adalah yang tertinggi yang pernah diumumkan iaitu 421 bilion ringgit membabitkan 335 bilion ringgit belanja mengurus dan 86 bilion ringgit belanja pembangunan.
- Selain peruntukan pembangunan oleh Kerajaan, projek secara usaha sama awam-swasta (PFI) bernilai 9 bilion ringgit turut dilaksanakan serta pelaburan langsung domestik oleh syarikat GLIC bernilai 25 bilion ringgit. Maknanya Ini menjadikan pelaburan awam untuk pembangunan tahun 2025 yang berjumlah 120 bilion ringgit.
IKHTIAR 6: PEMBANGUNAN TERANGKUM
- Namun, kita tidak akan melaksanakan projek mega. Pembangunan negara akan menumpukan kepada infrastruktur, prasarana dan projek berkepentingan rakyat dan menyokong kawasan perindustrian mengikut keutamaan negeri. Dan saya akan kepilkan dengan izin Yang di-Pertua, senarai mengikut negeri, tiap negeri tanpa kecuali diberikan tempat dan juga peruntukan supaya dapat meningkatkan pelaburan.
Perak: (1) Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) sebagai hab hijau berteknologi tinggi pertama di Asia Tenggara yang diterajui oleh SD Guthrie dan PNB.
(2) Projek Penyaluran Air Mentah Sungai Perak untuk bekalan air di kawasan utara Perak dan Pulau Pinang.
(3) Lembah Teknologi Tinggi Automatif (AHTV) di Tanjong Malim sebagai hab automotif negara dipacu oleh Proton dan Geely.
(4) Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) sebagai hab industri maritim serantau.
Pahang: (1) Projek Tebatan Banjir Berkeutamaan Tinggi melibatkan sungai-sungai di Pahang.
(2) Pembinaan Jalan Pintasan Cameron Highlands dengan menaik taraf Jalan Dari Bulatan McDonalds ke Persimpangan Brinchang.
Johor: (1) Projek pelebaran Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) daripada empat kepada enam lorong Fasa 3 dari Simpang Renggam ke Machap.
(2) Projek RTS Johor-Singapura yang dijangka beroperasi pada 2027.
(3) Projek Pembinaan Baraj dan Takungan Air Pinggiran Sungai di Sungai Sedili Besar, Kota Tinggi.
Kelantan: (1) Projek pembinaan Loji Rawatan Air Machang.
(2) Projek Pemanjangan Landasan Kapal Terbang di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu.
Melaka: (1) Pembinaan Pusingan U Bertingkat dan Direct U-Turn dari Persimpangan Pulau Gadong hingga Persimpangan Taman Cheng Perdana, Melaka Tengah.
(2) Pembinaan Pasar Besar Melaka Sentral.
Perlis: (1) Projek pembinaan jalan menghubungkan Jalan Pesisir Pantai ke Kuala Sanglang serta naik taraf Jalan Persiaran Wawasan, Kangar daripada dua kepada empat lorong.
(2) Projek naik taraf Pos Kawalan dan pembinaan blok baharu di Kompleks ICQS Wang Kelian.
Selangor: (1) Rancangan Tebatan Banjir Sungai Langat 2.
(2) Pembesaran Pelabuhan Klang ke arah aspirasi sebagai 10 pelabuhan terbaik dunia. Kerajaan turut akan melebarkan jalan di Lingkaran Pulau Indah dan Pelabuhan Utara Klang.
Kedah: (1) Pembesaran Kulim Hi-Tech Park yang akan menempatkan syarikat semikonduktor seperti Infineon.
(2) Pembinaan Bangunan Tambahan Hospital Kulim.
Kuala Lumpur: (1) Membangun Rantau Warisan dengan membaik pulih Bangunan Sultan Abdul Samad, Bangunan Stesen Kereta Api Kuala Lumpur dan Carcosa Seri Negara oleh Khazanah.
(2) Projek Lebuh Raya Laluan Istana – Kiara (LIKE) daripada Jalan Duta ke Jalan Istana.
Negeri Sembilan: (1) Projek Naik Taraf Jalan Bahau-Keratong, Jempol.
(2) Projek Naik Taraf Loji Rawatan Kumbahan Serantau Kuala Sawah.
Pulau Pinang: (1) Projek LRT Pulau Pinang.
(2) Projek Pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.
(3) Projek Batu Kawan Industrial Park 3.
Terengganu: (1) Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Tepoh dan Banggol Air Lilih, Kuala Nerus.
(2) Loji Janakuasa Solar Hibrid Cypark, Merchang.
(3) Projek Ladang Solar Terapung Hidro Hibrid Kenyir dan hab hidrogen hijau.
- Kerajaan MADANI menunaikan kesepakatan pemimpin terdahulu terkait Perjanjian Malaysia 1963. Maka tidak harus dipertikai sebab Sabah dan Sarawak diberi perhatian khusus kerana pertama, jurang pembangunan antara negeri perlu dirapatkan khususnya melibatkan prasarana asas seperti jalan raya, elektrik dan air bersih. Oleh itu:
- Peruntukan pembangunan Sabah dan Sarawak terus diberi keutamaan dan adalah yang tertinggi antara negeri iaitu masing-masing 6.7 bilion ringgit dan 5.9 bilion ringgit.
- Pemberian Khas Sarawak tidak pernah dikaji sejak 1969. Di bawah MADANI, tahun ini kita telah menaikkan kadar kepada 300 juta ringgit ketimbang 16 juta ringgit sebelumnya dan 125.6 juta di Sabah. Maka mulai 2025, kita akan menaikkan kadar Pemberian Khas Sabah dan Sarawak sekali ganda lagi kepada 600 juta ringgit.
- Bagi kerja-kerja Pan Borneo Sabah Fasa 1B, 17 pakej dikeluarkan SST dengan nilai kontrak 9.7 bilion ringgit. Ini meliputi jajaran Kota Belud ke Kudat; Tawau ke Kampung Lot M dan Telupid ke Ranau. Sementara itu, Pan Borneo Sarawak dijangka siap November 2024. Secara keseluruhan, Projek Pan Borneo Sarawak dan Sabah telah menelan belanja sebanyak 25.1 bilion ringgit tanpa dikenakan tol.
- Kerajaan telah memuktamadkan empat pakej kerja Sabah Sarawak Link-Road (SSLR) Fasa 2 bernilai 7.4 bilion ringgit. Dua pakej sudah dianugerahkan, manakala baki pakej sebelum hujung tahun 2024.
- Kerajaan juga bersetuju melaksanakan Projek Pembesaran Lapangan Terbang Tawau, Sabah dan Lapangan Terbang Miri, Sarawak dengan kos 253 juta ringgit.
- Kerajaan Persekutuan dan Sarawak bekerjasama membangunkan Pusat Kanser Sarawak yang dianggarkan 1 bilion ringgit. Dan saya berterima kasih serta memuji kesediaan Sarawak yang mendahulukan pembiayaan hospital kanser di Kuching.
IKHTIAR 7: KERJASAMA AWAM-SWASTA
- Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta atau PIKAS menggariskan hala tuju ampuh dalam memperkukuh hubungan strategik badan awam dan swasta. Tumpuan utama untuk meningkatkan pelaburan swasta sebanyak 78 bilion ringgit dan menjana 900 ribu peluang pekerjaan menjelang 2030.
- Projek pembangunan akan dilaksanakan dengan mengambil kira elemen ‘pengguna bayar’. Projek berkepentingan rakyat yang mengguna pakai pendekatan PPP termasuklah:
- Hospital Sultanah Aminah 2 di Johor;
- Lebuhraya Bertingkat Juru dan Sungai Dua, Pulau Pinang;
- Lebuh Raya WISE dari Gopeng ke Kuala Kangsar, Perak;
- Projek Tanaman Padi Lima Musim Dua Tahun di kawasan MADA Kedah dan Perlis, utara Pulau Pinang; dan
- Lebuh Raya WCE bagi jajaran Banting ke Gelang Patah diberi keutamaan dalam perancangan.
IKHTIAR 8: PERANGI RASUAH
- Sejak mengemudi negara, semua sedar dan tahu ketegasan saya dalam soal memerangi rasuah kerana rasuah ialah barah senyap yang menjatuhkan moral rakyat dan keyakinan pelabur. Tidak guna ditetapkan hala tuju ekonomi kalau tidak dapat dibanteras dengan berkesan. Oleh itu masa depan, kalau untuk menjamin masa depan negara kita harus beri kekuatan tambahan kepada SPRM untuk meningkatkan ikhtiar mereka untuk memerangi rasuah.
- SPRM akan terus menyiasat dan mengambil tindakan tegas bagi mengheret pesalah rasuah ke muka pengadilan. Angka menunjukkan peningkatan lebih 20 peratus penangkapan dan pembukaan kertas siasatan untuk tahun 2023 ketimbang tahun sebelumnya.
- Maka tahun hadapan, peruntukan SPRM ditingkatkan kepada 360 juta ringgit ketimbang 338 juta ringgit sebelum ini.
- Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) telah digubal bagi menghapus segala bentuk rasuah melalui strategi ampuh dan terperinci. Antara ikhtiar lain yang menyusul termasuklah RUU Kebebasan Maklumat dan RUU Perolehan Kerajaan bertujuan memperkasa tatakelola dan kecekapan perkhidmatan awam.
- Soal “Follow The Public Money Audit” – Akta Audit telah dipinda untuk memberi Ketua Audit Negara kuasa menyemak dan mengaudit dana awam termasuk syarikat yang menerima jaminan Kerajaan. Sebanyak 200 juta ringgit disediakan kepada Jabatan Audit Negara, meningkat ketimbang 173 juta ringgit sebelumnya. Ini sesuai dengan peranan mereka pengauditan terhadap hampir 2,000 syarikat dan entiti yang menerima peruntukan dan jaminan Kerajaan.
IKHTIAR 9: INSTITUSI PARLIMEN
- Kita memelihara kebebasan Parlimen. Oleh itu untuk tahun 2025, peruntukan Parlimen ditambah dari 166 ke 180 juta ringgit. Sebahagiannya adalah untuk memperkasa peranan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara, Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Negara dan Dewan Rakyat sebagai wadah semak dan imbang.
- Seabanyak 20 juta ringgit disediakan untuk menyokong All-Party Parliamentary Group Malaysia Sustainable Development Goals yang merentasi kawasan parlimen dan parti politik.
IKHTIAR 10: REFORMASI PERUNDANGAN
- Untuk Bahagian Hal Ehwal Undang-undang dinaikkan kepada 209 juta ringgit ketimbang 194 juta ringgit, sesuai dengan komitmen reformasi perundangan dan institusi.
- Sebanyak 3,000 undang-undang lapuk perlu dikaji semula. Kerajaan akan membentuk Pasukan Reformasi Perundangan bagi menerajui mengemas kini undang-undang komersial seperti Akta Kontrak 1950 supaya seiring dengan peredaran zaman.
- Kerajaan akan membentangkan RUU Kredit Pengguna pada mesyuarat akan datang. Sebuah Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna akan ditubuhkan bagi mengawal selia penyedia kredit bukan bank dan penyedia perkhidmatan kredit seperti syarikat pemfaktoran, pemajakan bukan bank dan “Beli Sekarang Bayar Kemudian”.
- Kemudian kita harus juga terima peranan besar institusi kehakiman sebagai badan bebas yang terus harus diperkasa. Lebih 60 juta ringgit disediakan bagi badan kehakiman bagi menaik taraf prasarana kehakiman termasuk pembangunan sistem e-Kehakiman yang menyokong agenda digital.
IKHTIAR 11: REFORMASI INSTITUSI KERAJAAN
- Entiti Kerajaan dengan peranan hampir sama telah dipusatkan bagi memastikan mandat penubuhan ditunaikan dengan lebih efektif. Ini termasuk :
- Perbadanan InvestKL dan Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (MIDA) disatukan;
- Razak School of Government (RSOG) dan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) disatukan;
- Perbadanan Pembangunan Halal (HDC) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) disatukan;
- Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) digabungkan.
Ini dapat menjimatkan belanja dan menjamin suatu peranan yang lebih efisien dan membantu dari segi pengurusan yang teratur.
- Terkait tatakelola Badan Berkanun Persekutuan (BBP):
- Garis Panduan Pengurusan dan Tatakelola BBP disediakan bagi tujuan penubuhan dan tidak tersasar daripada tujuan asas.
- Pejabat Penyelaras Rasionalisasi BBP ditubuhkan untuk menelusuri semula hala tuju BBP, keupayaan kewangan serta pertindihan peranan. Sekitar 544 entiti di bawah ekosistem BBP terlibat dan turut diperluas merangkumi Syarikat Berhad Menurut Jaminan (CLBG).
IKHTIAR 12: ILTIZAM KECEKAPAN PENTADBIRAN
- Kita bertekad melaksanakan reformasi perkhidmatan awam, tatakelola yang baik. Rang Undang-undang Iltizam Kecekapan Pentadbiran Awam akan digubal meliputi tiga anjakan besar: mengurangkan birokrasi, mempercepatkan proses dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan.
- Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam menumpukan lima keberhasilan meliputi Nilai dan Tatakelola, Pembangunan Modal Insan, Pembangunan Organisasi, Penyampaian Perkhidmatan dan Sinergi Strategik Awam dan Swasta.
- Pasukan STAR
- Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) diterajui oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) bertanggungjawab menyelaras isu-isu berkepentingan rakyat seperti sekolah dan klinik daif, kesesakan di hospital dan kaunter imigresen serta kelancaran urusan perniagaan.
- Antara pencapaian besar Pasukan STAR termasuklah memendekkan proses kelulusan di bawah Ikhtiar Reformasi Kerenah Birokrasi. Umpamanya:
- Ikhtiar Kulai Fast Lane telah memendekkan tempoh kelulusan sijil perakuan siap kerja (CCC) kepada 14 hari ketimbang 30 hari dan kelulusan lesen operasi kepada 1 hari ketimbang 30 hari.
- Permit Pembinaan Ekspres di Kulim pula membolehkan kilang dapat beroperasi dalam tempoh 10 bulan ketimbang 24 bulan sebelum ini.
- Sejumlah 25 juta ringgit disediakan untuk STAR untuk bekerjasama dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) untuk melaksanakan Ikhtiar Reformasi Kerenah Birokrasi. Ini termasuk mengkaji peraturan yang boleh memendekkan proses kelulusan peniaga dan rakyat.
- Mempercepat Urusan Kerajaan
- Kita mengakui dengan sistem baharu dan pengiktirafan yang Kerajaan berikan, dan perubahan positif sebahagian besar penjawat awam yang dedikasi dalam menjalankan tugas.
- Adapun, masih terdapat keperluan menambah baik beberapa hal yang dilihat merumitkan rakyat yang mahu berurusan dengan Kerajaan. Ada sesetengah kes terpaksa mengambil cuti untuk menyelesaikan permohonan. Adakala juga perlu beratur panjang untuk nombor giliran dan sekiranya habis, terpaksa datang pada hari lain. Ini belum lagi rakyat dibebankan dengan mengisi pelbagai borang untuk maklumat yang sama.
- Sebab itu kita mahu menoktahkan permasalahan ini. Iltizam kita supaya tiada lagi keperluan beratur panjang di pejabat Kerajaan, proses permohonan diselesaikan secara dalam talian dan tujuan rakyat ke pejabat Kerajaan hanya untuk mengambil dokumen yang dilulus atau diperbaharui.
- Walaupun Kerajaan telah menyediakan pelbagai bentuk bantuan membantu rakyat, adakalanya ia merumitkan kerana terpaksa menunggu, memohon pelbagai kementerian dan agensi dengan kriteria yang berbeza. Kerajaan bersetuju membentuk saluran berpusat di UTC bagi membantu rakyat memohon bantuan merentasi pelbagai agensi.
- Urusan Kerajaan melibatkan perniagaan juga dinilai semula. Ini juga yang merumitkan. Mengapa perlu dibebankan syarikat dengan terpaksa mendaftar secara berasingan sekali dengan KWSP, kemudian dengan PERKESO, kemudian dengan HRD Corp padahal maklumat pekerja adalah sama? Sebaiknya, pendaftaran syarikat dapat disekalikan. Dan kita akan menelusuri hal tersebut.
- Begitu juga perkhidmatan kaunter-kaunter yang harus diperbaiki:
- Yang telah dimulakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang menambah 1 jam waktu operasi di kaunter.
- UTC di Seberang Perai, Pulau Pinang dan dibekalkan dengan Sistem Penggiliran (QMS) supaya rakyat mendapat nombor giliran secara dalam talian tak perlu menunggu berjam-jam.
- Ikhtiar Kiosk Sentuhan MADANI menjamin pelaksanaan kelulusan yang lebih pantas dengan menghimpun pelbagai kiosk perkhidmatan Kerajaan di kawasan tumpuan ramai seperti di pusat beli-belah supaya rakyat boleh berurusan dengan Kerajaan di luar waktu pejabat.
- Sistem iPayment yang dibangunkan Jabatan Akauntan Negara Malaysia sebagai platform bayaran tanpa tunai akan digunakan di semua kaunter Kerajaan bermula tahun 2025.
- Perkhidmatan Bergerak
- Begitu juga Perkhidmatan Bergerak dengan peruntukan 100 juta ringgit. Maknanya kemudahan itu terus ke desa dan kawasan pedalaman untuk memudahkan pendaftaran dan kerja oleh rakyat yang terkesan.
- Perkhidmatan Komuniti Bergerak ini lebih banyak di Sabah Sarawak ke Kampung Pangaraan, Sabah dan Pulau Bruit, Sarawak.
- Klinik bergerak oleh hospital pengajar universiti, rawatan saringan mamogram oleh Pusat Perubatan Universiti Malaya.
- Klinik Gigi Bergerak ditambah 9 lagi menjadikan 54 buah di seluruh negara.
- Bank BSN Bergerak ditambah 4 lagi menjadikan 12 buah terutamanya untuk Sabah dan Sarawak bagi memudahkan penyaluran bantuan Kerajaan.
- Perkhidmatan JPN dan mahkamah bergerak juga ditambah baik.
IKHTIAR 13: SEJATI MADANI
- Yang menarik ialah Sejati MADANI di mana setiap pedesaan, miskin bandar, di kampung, pedalaman dan rumah panjang diberi peruntukan antara 50 ribu hingga 100 ribu ringgit. Ini anjakan bagi memperkasa akar umbi, biar mereka putuskan sendiri keperluan projek dan mengikut keutamaan mereka. Kita beri keyakinan dan peranan Jabatan hanya memantau dan memberi galakan.
- Sejati MADANI setakat ini telah membenih lebih 6,400 kegiatan ekonomi pedesaan.
- Saya tertarik bila Kampung Tebuk Haji Dollah, Selinsing, Perak dia membeli dari dana itu tiga dron. Saya bilang kaget, terkejut buat apa orang kampung beli dron? Rupanya kecekalan mereka, kepintaran mereka mengatasi kadang-kadang pandangan pegawai-pegawai berpengalaman. Merekamengatakan, kalau dengan dron mereka boleh membaja, meracun 600 ekar sawah dan boleh memberi pinjaman, sewaan kepada syarikat-syarikat berdekatan. Jadi menjimatkan masa dan memberi keuntungan.
- Ada di Kampung Kuala Bibang, Semporna telah membangunkan teknologi pengeringan hasil laut yang memendekkan masa memproses kepada 3 jam ketimbang 3 hari secara tradisional. Hasil 25 ribu ringgit sebulan.
- Kampung Sayong Pinang, Kota Tinggi, Johor dari suku kaum Jakun melaksanakan program sewaan bot untuk aktiviti memancing, berkayak dan ATV di perkampungan mereka. Jadi pendapatan Orang Asli Sayong Pinang mencecah 15 ribu ringgit sebulan. Tuan Yang di-Pertua boleh pergi melawat projek tersebut.
- Projek ikan keli sangkar Mukim Dusun, Kota Bharu, Kelantan
- Oleh itu, tahun hadapan, ikhtiar Sejati MADANI bakal diperhebat dengan jalinan kerjasama yang lebih meluas. Lebih banyak pengurusan tertinggi jabatan akan dilibatkan untuk mengetuai ikhtiar Kampung Angkat MADANI. Universiti dan institusi TVET juga akan dilibatkan bagi memberi khidmat di peringkat komuniti. Syarikat-syarikat mega diseru untuk terlibat sama menghulurkan bantuan kepada rakyat yang susah dan memerlukan. Peruntukan 1 bilion ringgit disediakan untuk Ikhtiar Sejati MADANI termasuk:
Pertama: 600 juta ringgit untuk merancakkan ekonomi pedesaan di kampung-kampung, bandar-bandar, pedalaman dan perkampungan Orang Asli; manakala jawatankuasa kampung yang akan memutuskan aktiviti ekonomi yang boleh menjana pendapatan tambahan kepada komuniti masing-masing.
Kedua: 200 juta ringgit bagi memperluas Kampung Angkat MADANI di 200 kampung seluruh negara yang diterajui pengurusan kementerian dan jabatan.
Ketiga: 100 juta untuk universiti awam, TVET, kolej menyantuni rakyat, memperbaiki rumah dan memberikan khidmat.
Keempat: 100 juta ringgit untuk memperkasa komuniti PPR seluruh negara melalui pelbagai program sosioekonomi.
Kelima: Saya menerima baik tawaran syarikat sawit utama seperti KLK, IOI, SD Guthrie, TH Plantations dan United Plantations baru-baru ini kerana mereka telah memutuskan untuk mengambil pekebun kecil sawit di sekitar estet-estet besar, menjamin benih terbaik, baja terbaik dan hasil akan dijual kepada mereka dengan harga yang lebih tinggi. Itu jaminan mereka dan kita akan pantau pelaksanaannya dan saya anggap ini suatu ikhtiar yang sangat membanggakan. Kita ucap terima kasih kepada syarikat-syarikat kelapa sawit besar yang catat keuntungan tapi menunjukkan keprihatinan kepada nasib pekebun-pekebun kecil di sekitarnya.
- Selanjutnya, proses perolehan bagi projek-projek berkepentingan rakyat akan dimudahcara:
- Had nilai bagi kerja gotong-royong ditingkatkan kepada 200 ribu ringgit ketimbang 100 ribu ringgit;
- Had nilai sebut harga bagi kerja penyelenggaraan dan penggantian lif melibatkan perumahan rakyat dan kuarters dinaikkan sehingga 1.2 juta ringgit;
- Had nilai untuk lantikan terus dan sebut harga bagi semua kerja penyelenggaraan dan pembaikan kecil turut dinaikkan masing-masing kepada 200 ribu ringgit dan 1 juta ringgit sebagai tambahan kepada projek sekolah, klinik daif dan fasiliti kesihatan sedia ada.
IKHTIAR 14: PENGGUNAAN SUMBER YANG OPTIMUM
- Acapkali berlaku juga walaupun kita tegas dan keras, kadang-kadang keterlanjuran sama ada melibatkan jabatan, agensi dan syarikat Kerajaan. Dana yang dibelanjakan itu adalah dana rakyat, dan kita pemegang amanah. Jadi sebab itu, Kerajaan baru-baru ini terpaksa membatalkan rombongan 68 pegawai ke satu pameran di Berlin, Jerman. Walaupun nilainya mungkin dianggap kecil, tetapi kita nak berikan satu mesej bahawa reform ini, tatakelola dan pengurusan harus diambil kira sebagai suatu pendekatan yang serius dan kita tidak akan mudah bertolak ansur. Dan saya harap dengan kerjasama Jemaah Menteri, mana-mana syarikat atau agensi di bawah kerajaan, GLIC di bawah menteri-menteri berkenaan harus mendapat laporan sepenuhnya terhadap apa-apa yang dianggap tindakan dianggap keterlanjuran sedemikian.
- Yang di-Pertua, kita ada hadapi ruang bangunan puluh tahun yang kosong. Sama ada oleh kerajaan, GLIC dan GLC, kita dah putuskan bahawa semua bangunan-bangunan kosong ini dibangunkan dan disesuaikan, apakah perlu untuk prasekolah, untuk taska dan untuk pusat latihan kemahiran untuk TVET dan jangan dibiarkan kosong. Jadi dengan cara ini, kos boleh dikurangkan dan pembaziran akibat bangunan yang kekal kosong puluh tahun dah berpuluh-puluh tahun ini akan dapat diatasi.
- Dalam soal transformasi digital, paksinya ialah MyDigital ID. Itu keputusan kita daripada awal. MyDigital ID sebagai Aplikasi Tunggal Kerajaan yang memusatkan semua agensi meliputi antaranya PADU, JPJ dan LHDN. Dan setakat ini baru sejuta yang telah berdaftar, dan kita telah mengarahkan supaya peningkatan usaha supaya Malaysia dikenali dengan negara yang di antara negara yang dapat melaksanakan MyDigital ID.
- Antara kebijakan lain memanfaat sumber Kerajaan termasuklah menyalurkan sebahagian hasil yang diraih daripada penjualan nombor plat khas untuk membantu rakyat susah. Itu menampungkan yang dilakukan oleh Kementerian Pengangkutan:
- Menampung bayaran mendapatkan lesen motosikal oleh 15 ribu anak muda yang kurang mampu dari sekolah menengah, mahasiswa dan belia yang mencari kerja;
- tiket penerbangan bagi 60 ribu mahasiswa kurang mampu khususnya di Sabah dan Sarawak untuk pulang ke kampung halaman; dan
- Mengedarkan 67 ribu keluarga susah dengan topi keledar secara percuma untuk keselamatan anak-anak.
IKHTIAR 15: KESELAMATAN SIBER
- Negara-negara yang mencanang kebebasan keterlaluan kini telah mengambil beberapa tindakan untuk mengekang keterlanjuran, termasuk yang menyebabkan kematian melalui aplikasi media sosial. Ancaman siber kini semakin menggugat tatahidup bermasyarakat dan menjadi lebih membimbangkan. Isu scam, pornografi kanak-kanak, pembulian siber di media sosial sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa ialah isu besar yang mesti dibendung.
- Transaksi mencurigakan lebih 380 juta ringgit berjaya disekat dalam membendung kes scam di Malaysia. Kendatipun begitu, isu scam masih dilihat parah dengan kes yang kian meningkat.
- Peranan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan terus diperhebat dengan peruntukan 20 juta ringgit.
- Portal Fraud Kebangsaan telah diluncurkan sebagai ikhtiar memerangi penipuan dalam talian. Portal ini mempermudah pengesanan transaksi mencurigakan secara automatik.
- Akta 574 Kanun Keseksaan dan Akta 593 Kanun Prosedur Jenayah telah dipinda bagi membolehkan tindakan lebih berkesan diambil oleh badan penguat kuasa untuk mengekang sindiket akaun keldai, pada tahun ini.
- Bagi mengekang buli siber yang kian merunsingkan, Rang Undang-undang Keselamatan Dalam Talian akan digubal. Dan mudah-mudahan ini akan dapat membantu mengawal scam dan salah guna.
- Yang di-Pertua, keselamatan siber negara dan penggubalan Akta Keselamatan Siber 2024, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) akan diberi tambahan perjawatan seramai 100 orang dengan tambahan peruntukan 10 juta ringgit.
IKHTIAR 16: MUSIBAH DAN BENCANA
- Masalah yang dihadapi hari ini dan bulan-bulan lalu dan bulan-bulan yang mendatang adalah musibah banjir kilat yang melanda ibu kota dan beberapa bandar serta negeri. Sebagai langkah segera, selain daripada projek tebatan banjir yang sedang diselenggarakan sebahagiannya siap seperti di Kelantan dan di Alor Setar tetapi ada tindakan segera yang harus dilakukan. Maka hari ini, saya arahkan penyaluran segera 150 juta ringgit kepada PBT dan Jabatan Pengairan dan Saliran untuk membersihkan longkang-longkang, pengorekan sungai di kota-kota dan kawasan-kawasan desa yang terkesan.
- Pada masa yang sama pengurusan bencana negara terus ditambah baik di samping menyegerakan pelaksanaan projek tebatan banjir melibatkan kerjasama semua kontraktor.
- 600 juta ringgit disediakan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai persiapan mendepani musibah banjir. Ini termasuk lebih 300 juta ringgit yang telah disediakan untuk persiapan sekiranya berlaku bencana pada bila-bila masa.
- Sejumlah 20 juta ringgit disediakan segera kepada Yayasan GLIC dan GLC untuk memperhebat respons dan penyaluran bantuan kepada mangsa di kawasan terjejas banjir.
- PBT serta warga bandar perlu bersama-sama memastikan longkang dan parit tersumbat yang mengakibatkan banjir kilat dapat ditangani segera.
- Sejumlah 50 juta ringgit disediakan bagi kerja-kerja pembersihan dan naik taraf longkang dan parit.
- Bagi memastikan pelaksanaan segera, JPS dan PBT dibenar untuk melaksanakan perolehan sehingga 1 juta ringgit melalui kaedah sebut harga atau secara undian dalam kalangan kontraktor G1 hingga G3 berdaftar.
- Kerajaan telah berjaya menyiapkan lapan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) 540 juta ringgit. 12 projek RTB dengan kos 3 bilion ringgit telah dikeluarkan SST dan berjalan mengikut jadual antaranya melibatkan:
- RTB Sungai Damansara, Selangor;
- RTB Sungai Likas, Kota Kinabalu, Sabah;
- RTB Sungai Triang, Bera, Pahang;
- RTB Sungai Tepoh dan Banggol Air Lilih, Kuala Nerus, Terengganu; dan
- Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Kelantan Fasa 2, Kota Bharu sedang dipantau dan minta disegerakan.
- Mutakhir ini sering terjadi insiden tanah jerlus dan tanah runtuh menjadi. Ini termasuk kejadian menyayat hati yang menimpa seorang wanita warganegara India di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur. Bagi mengawal kejadian ini, beberapa projek dilaksanakan meliputi:
- Lebih 250 juta ringgit untuk membaiki cerun seluruh negara;
- 20 juta ringgit untuk mengekang isu tanah jerlus di Kerian Laut, Perak, Kedah dan Perlis;
- 10 juta ringgit untuk melaksanakan Kajian Geoteknikal Struktur Lapisan Tanah di sekitar Segi Tiga Emas Kuala Lumpur.
- MEMBUGAR EKONOMI KE MEDAN JAYA
- Yang dipertua, Negara harus dipacu lebih pantas, ini cabaran kita. Dasar dan prakarsa baharu yang telah diumumkan perlu ditelusuri dan dilaksanakan dengan berkesan tanpa berlengah. Dasar menaikkan siling bermakna kesungguhan ikhtiar mengangkat ekonomi negara ke tahap yang lebih tinggi. Menurut kerangka Ekonomi MADANI, penyegaran ekonomi negara yang mampan berpaksikan teknologi dan daya cipta akan hanya bermakna seandainya ia melimpah dan bermanfaat kepada rakyat dengan kenaikan lantai. Ini bermaksud pendapatan rakyat ditingkatkan di kalangan golongan profesional, pekerja, pekebun, petani dan nelayan.
IKHTIAR 17: KERANGKA INSENTIF PELABURAN BAHARU
- Suatu anjakan baharu perlu dilakukan bagi meraih pelaburan lebih bermakna. Pendekatan lama dalam memberi galakan dan insentif kepada pelabur tanpa mengambil kira limpahan ekonomi yang diraih tidak lagi boleh digunakan. Umpamanya, pelaburan pusat data (data centre) tidak sepatutnya menjadi rebutan sekiranya ia tidak memberi nilai tambah kepada rakyat dari segi peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dan perkongsian kepakaran. Sekarang, anjakan segar dan penekanan harus dilakukan supaya galakan yang diberikan dapat memberi limpahan ekonomi kepada rakyat dan tidak hanya menguntungkan syarikat pelabur.
- Kerajaan bersetuju memperkenalkan Kerangka Insentif Pelaburan Baharu iaitu aktiviti bernilai tinggi ketimbang insentif sedia ada yang berasaskan produk tertentu. Kerangka ini dijangka dilaksanakan pada suku ketiga 2025:
Pertama: Bagi meningkatkan tahap kerencaman sektor ekonomi E&E melalui aktiviti bernilai tambah tinggi termasuk perkhidmatan reka bentuk litar bersepadu (IC) dan bahan termaju, galakan cukai bagi peningkatan eksport diperluas kepada aktiviti reka bentuk IC.
Kedua: Bagi menyediakan pekerjaan berpendapatan tinggi kepada rakyat dalam bidang AI dan teknologi terkini potongan cukai khas diberikan kepada universiti swasta dan institut latihan kemahiran swasta yang membangunkan kursus baharu seperti teknologi digital, AI, robotik, internet kebendaan (IoT), sains data, FinTech dan teknologi mampan.
Ketiga: Bagi mengukuhkan rantaian bekalan tempatan dan ekosistem sektor utama, Ikhtiar Ketahanan Rantaian Bekalan diperkenalkan dengan insentif:
- Perbelanjaan perusahaan multinasional (MNE) sehingga 2 juta ringgit setahun diberi potongan cukai dua kali untuk tempoh 3 tahun berturut-turut.
- MNE atau pembekalnya yang membuat pelaburan usaha sama dengan pembekal tempatan lain diberi potongan cukai ke atas jumlah pelaburan dibuat.
- Pembekal tempatan yang terlibat dalam Ikhtiar ini akan diberi pakej insentif cukai yang bersesuaian berasaskan keberhasilan; dan
- Dana padanan pelaburan lebih 100 juta ringgit disediakan melalui platform pendanaan awam ekuiti untuk pengembangan pembekal tempatan dalam sektor E&E, kimia khusus dan peranti perubatan.
Keempat: Perkumpulan ekonomi diwujudkan mengikut keistimewaan negeri seperti tenaga boleh baharu di Perlis dan Sabah, industri kimia khusus di Pahang dan Terengganu.
Kelima: Bagi mengurangkan jurang ekonomi antara wilayah, insentif cukai pendapatan pada kadar istimewa ditawarkan bagi pelaburan dalam 21 sektor ekonomi di negeri seperti Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak, tertakluk kepada keberhasilan limpahan ekonomi.
Keenam: Bagi memastikan pelaburan berlandaskan ESG, galakan cukai seperti elaun cukai pelaburan atau pengecualian cukai pendapatan diberikan bagi aktiviti CCUS.
Kerangka Insentif Pelaburan Baharu ini akan terus disokong melalui fasilitasi pelaburan yang inklusif untuk merangsang pertumbuhan ekonomi yang seimbang di seluruh negara. Langkah ini termasuk memperkenalkan dana pelaburan strategik bernilai 1 bilion ringgit sebagai usaha meningkatkan kapasiti bakat tempatan yang dilaksanakan di negara ini.
- Kerajaan juga telah menyatakan kesediaan melaksanakan cukai minimum global (GMT) ke atas syarikat multinasional. Kendatipun GMT memberi hasil tambahan, masih terdapat risiko negatif terhadap iklim pelaburan. Dalam mengurangkan kesan GMT, Kerajaan komited untuk memperkemas insentif sedia ada, mewujudkan insentif bukan cukai baharu serta mengkaji kebolehlaksanaan Kredit Cukai Pelaburan Strategik.
- Bagi memudah cara pelabur strategik, MIDA akan menjadi pihak berkuasa melulus untuk pas penggajian melibatkan graduan bukan warganegara lepasan universiti tempatan bagi memenuhi keperluan modal insan dalam sektor-sektor NIMP.
IKHTIAR 18: PELABURAN STRATEGIK
- Tahun hadapan, sejumlah 200 juta ringgit disediakan meliputi Dana Pelaburan Bersama Strategik (CoSIF) dan Dana Pembangunan Industri NIMP (NIDF) bagi menyokong pertumbuhan PKS dan syarikat pertengahan serta menggalakkan pendayaciptaan.
- GLIC melalui ikhtiar GEAR-uP akan meningkatkan pelaburan langsung dalam negara berjumlah 120 bilion ringgit bagi tempoh 5 tahun dengan 25 bilion ringgit dilaburkan tahun hadapan. Umpamanya:
- KWAP melalui Dana Pemacu 6 bilion ringgit memperkukuh pasaran persendirian tempatan meliputi ekuiti persendirian, prasarana dan hartanah. Pelaburan ini untuk merangsang pertumbuhan pengurusan dana tempatan melalui model unit kerjasama co-GP dengan 500 juta ringgit mulai dilaburkan tahun hadapan melibatkan lapan sektor utama seperti pusat data, peralihan tenaga dan pembuatan canggih.
- Khazanah menyediakan 1 bilion ringgit bagi menerajui pelaburan yang menyokong industri semikonduktor tempatan.
- Kerajaan menyokong pembangunan industri unsur nadir bumi (REE) tempatan melalui kerjasama dengan negara seperti China dan Australia yang punyai keupayaan teknologi. Sebagai langkah awal, Kerajaan bercadang meminda Akta Pembangunan Mineral 1994 selain memulakan pemetaan potensi sumber REE di seluruh negara.
IKHTIAR 19: SYARIKAT MULA NIAGA
- Kerajaan akan terus menyokong sepenuhnya pengembangan syarikat mula niaga tempatan.
- Saudara Azarol Faizi Zakaria Ansari, pengasas BateriKu mula dengan berniaga kecil-kecilan. Meraih manfaat daripada Dana Perintis di bawah KWAP, kini berjaya mengembangkan perniagaan dengan 1.5 juta pelanggan, melatih 1,000 juruteknik gig serta melahirkan 100 usahawan di bawahnya.
- Syarikat Vitrox bermula kecil-kecilan oleh dua jurutera muda lepasan USM. Kini, membesar sebagai peneraju bidang elektronik utama dengan menjadi pembekal kepada pasaran asia, eropah dan Amerika Syarikat.
- Greatech Technology Berhad syarikat tempatan berjaya menembusi pasaran global dalam sektor elektrik dan elektronik dan tersenarai sebagai Forbes Asia’s Best Under A Billion.
- Pada tahun hadapan:
- National Fund-of-Funds (NFOF) akan ditubuhkan di bawah Khazanah dengan dana 1 bilion ringgit. NFOF akan menyokong pengurus dana modal teroka melabur dalam syarikat mula niaga dengan 300 juta ringgit disediakan untuk 2025.
- KWAP di bawah Dana Perintis menyediakan 1 bilion ringgit untuk turut menyokong aktiviti syarikat mula niaga tempatan dengan 200 juta ringgit khusus untuk 2025.
- Cradle Fund diperuntukkan 65 juta ringgit bagi membantu syarikat mula niaga berpotensi untuk berkembang ke peringkat serantau dan global. Ini juga termasuk 15 juta ringgit geran padanan sebagai galakan untuk GLC bekerjasama dengan syarikat mula niaga melalui ikhtiar modal teroka korporat.
- Bagi memperkukuh ekosistem modal teroka supaya kekal berdaya saing dalam menarik pelaburan asing, proses kelulusan aliran dana rentas sempadan di bawah Dasar Pentadbiran Pertukaran Asing kini dimudah cara dan boleh dibuat berdasarkan jumlah saiz mandat dana.
IKHTIAR 20: DIGITALISASI DAN AUTOMASI
- Kerangka Dasar transformasi digital yang tegas berjaya menarik pelaburan masuk ke negara. Malaysia berjaya meraih pelaburan berjumlah 16.9 bilion dolar Amerika untuk tempoh sehingga 2038 daripada syarikat gergasi teknologi dunia AWS, Microsoft, Google dan Oracle. Ini mencerminkan tahap keyakinan mereka kepada potensi Malaysia sebagai pintu masuk bagi prasarana awan serantau.
- Sekarang ialah masa syarikat tempatan merebut peluang pelaburan ini. Manfaat haruslah sampai kepada rakyat meliputi peluang pekerjaan, pembangunan pusat kecemerlangan dan pemerkasaan masyarakat.
- Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) disediakan 10 juta ringgit bagi mengadun usaha meningkatkan penggunaan AI melalui kerjasama dengan akademia dan industri.
- Malaysia mengambil langkah berani untuk menjuarai ekonomi digital serantau melalui pengisytiharan penubuhan Rangkaian Keselamatan AI ASEAN (ASEAN AI Safe). Ini turut dianggotai negara tetangga dalam usaha menggembleng kepakaran dan keselamatan AI di negara masing-masing.
- Ke arah pelaksanaan sepenuhnya e-Invois pada 1 Julai 2025, Kerajaan bercadang perbelanjaan bagi pembelian peralatan ICT, pakej perisian komputer dan fi perundingan diberikan elaun modal dipercepatkan untuk dituntut sepenuhnya dalam tempoh 2 tahun.
- Kerajaan bercadang melaksanakan mekanisme levi pelbagai peringkat awal tahun depan bagi mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing. Hasil kutipan levi ini akan disalurkan semula kepada industri bagi merekayasa proses perniagaan ke arah automasi dan mekanisasi.
- Bagi meningkatkan kapasiti perniagaan PMKS supaya beralih ke arah pendigitalan:
- 50 juta ringgit disediakan sebagai Geran Padanan Digital PMKS dan Geran Digital Penjaja di bawah BSN untuk usahawan tempatan kekal berdaya saing dalam pasaran.
- 100 juta ringgit juga disediakan oleh SKMM untuk tempoh 5 tahun bagi memperkasa fungsi Pusat NADI di seluruh negara sebagai platform komuniti meningkatkan pendapatan melalui aktiviti keusahawanan dalam talian.
IKHTIAR 21: ZON EKONOMI KHAS JOHOR-SINGAPURA
- Memorandum Persefahaman Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JSSEZ), yang sekarang menjadi tumpuan pelabur di rantau khususnya dari Singapura, telah dimeterai pada Januari 2024 menandakan pencapaian besar kerjasama ekonomi antara Malaysia dan Singapura.
- Kerajaan telah meluluskan Forest City sebagai Pulau Bebas Cukai bagi menyokong aktiviti pelancongan dan ekonomi setempat. Pakej galakan cukai bagi Zon Kewangan Khas Forest City turut diumumkan bagi merancakkan aktiviti perkhidmatan kewangan seperti perkhidmatan perniagaan global kewangan dan Fintech.
- Skim Pejabat Keluarga Tunggal telah diluncurkan untuk Zon Kewangan Khas Forest City bagi menggalakkan pengurusan dana Keluarga. Bagi menjayakan pengoperasian Pejabat Keluarga, Suruhanjaya Sekuriti akan berperanan sebagai pihak berkuasa melulus untuk pemberian Pas Residen serta Pas Penggajian kepada masing-masing Pelabur Keluarga Pengasas dan profesional pelaburan Pejabat Keluarga berkaitan.
- Bagi memacu pertumbuhan JSSEZ sebagai zon ekonomi khas yang mampan, Kerajaan juga akan menyediakan insentif khas yang boleh menarik pelaburan berkualiti dan menawarkan pekerjaan bernilai tinggi. Insentif khas ini akan diumumkan menjelang akhir tahun ini.
- Invest Malaysia Facilitation Centre – Johor (IMFC-J) juga sedang ditubuhkan bagi memudah cara pelaburan di JSSEZ. Pusat ini bertujuan mengurangkan birokrasi di pelbagai peringkat bagi mempercepat kelulusan.
IKHTIAR 22: SOKONGAN PASARAN EKSPORT
- Jumlah perdagangan Malaysia bagi tempoh Januari-September 2024 mencatat lonjakan yang membanggakan kepada 10.2 peratus kepada 2.14 trilion ringgit. Kita meraih lebihan dagangan bagi 53 bulan berturut-turut sejak Mei 2020.
- Pemberdayaan PMKS akan terus diperhebat bagi menyokong usahawan tempatan menembusi pasaran eksport.
- Khazanah melancarkan Program Syarikat Mid-Tier dengan dana 1 bilion ringgit bertujuan menyediakan pembiayaan yang menyokong pembinaan keupayaan syarikat tempatan.
- Mendorong para pengeksport tempatan memperluas operasi mereka ke pasaran luar, iaitu 750 juta ringgit disediakan di bawah Skim Insentif Kemampanan Pengeksport oleh EXIM Bank.
- 40 juta ringgit disediakan di bawah MATRADE bagi geran pembayaran balik membantu pengeksport Malaysia mempromosi produk dan perkhidmatan buatan Malaysia yang boleh meneroka pasaran baharu di Afrika, Amerika Latin dan Timur Tengah.
- Dalam memacu sektor logistik:
- Kerajaan bercadang supaya syarikat logistik menjalankan aktiviti kompleks logistik pintar diberi elaun cukai pelaburan sebanyak 60 peratus bagi tempoh 5 tahun. Ini bagi meningkatkan kapasiti industri logistik dengan mengadaptasi teknologi IR4.0.
- Kerajaan turut bersetuju untuk membina dan menaik taraf jalan Lingkaran Pulau Indah dan Pelabuhan Utara Klang, Selangor dengan kos 107 juta ringgit.
IKHTIAR 23: TAHUN MELAWAT MALAYSIA 2026
- Persiapan rapi dilakukan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026. Hampir 550 juta ringgit disediakan bagi mempergiat promosi aktiviti pelancongan merangkumi:
- persediaan Tahun Melawat Malaysia 2026;
- penganjuran aktiviti budaya, acara pelancongan dan capaian penerbangan ke Malaysia;
- pemerkasaan ekonomi komuniti melalui seni termasuk mempromosi kraf tangan dan batik.
- Ini termasuk 110 juta ringgit bagi melengkapkan kawasan pelancongan, menjalin kerjasama ekopelancongan dan menyokong pencalonan UNESCO seperti:
- Menambah baik kemudahan di Taman Negara Endau Rompin, Johor; Pulau Redang, Terengganu; dan Pantai Tusan Bekenu, Sarawak;
- Menjalin kerjasama ekopelancongan dengan UNDP dan Habitat Foundation;
- Pencalonan UNESCO untuk Tapak Lombong Bijih Timah Sungai Lembing, Pahang, budaya perarakan Chingay dan tarian singa.
- Bagi memelihara Kuala Lumpur sebagai bandar raya budaya dan kreatif, Khazanah menyediakan 600 juta ringgit untuk memulih serta mengangkat nilai Bangunan Sultan Abdul Samad dan Carcosa Seri Negara. Ini termasuk membina jambatan bertingkat menghubungkan Taman Botani Perdana dengan Carcosa Seri Negara. Ini akan membantu merubah wajah Kuala Lumpur dari segi warisannya. Kuala Lumpur akan dikenal dengan sejarah gemilang dari Bangunan Sultan Abdul Samad, tentunya kepada Padang Merdeka, padang reformasi, sehinggalah Stesen Keretapi dan ke Carcosa.
IKHTIAR 24: KEPENGERUSIAN ASEAN-MALAYSIA 2025
- Yang Di-Pertua, Malaysia akan mempengerusikan ASEAN tahun depan, ini peluang terbaik kita mengemudi Wawasan Komuniti ASEAN yang disebut Wawasan Komuniti ASEAN 2045.
- Kita beriltizam melakar hala tuju ASEAN lebih berdaya tahan, berdaya cipta dan berpaksikan rakyat. Kita berpegang teguh kepada prinsip pendekatan bersama memahat agenda pembaharuan dan di peringkat ASEAN termasuk menggerakkan pembangunan di kawasan bersempadan dan ini termasuklah usaha kita untuk meningkatkan kemajuan di Utara Tanah Melayu bersama Selatan Siam, Johor-Singapura selain daripada acara yang melibatkan kerjasama ASEAN.
- ASEAN sekarang teruji sebagai medan mengelakkan persaingan kuasa-kuasa besar dan kita dapat menetapkan suatu kaedah yang jelas dalam 5 Points Consensus dalam isu Myanmmar dan juga bebas menyelesaikan dengan cara berkhemah dan rundingan dalam menghadapi masalah South China Sea. Yang menarik, seperti mana yang saya sebut di Parlimen minggu lalu, awal minggu ini ialah penambahan keyakinan kepada Malaysia yang julung kalinya berlaku di ASEAN iaitu mengadakan Sidang Kemuncak ASEAN Negeri Arab GCC+China buat julung kalinya.
- Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 melibatkan penganjuran lebih 270 mesyuarat dan aktiviti melibatkan semua negeri. Saya berharap, penganjuran ini dapat menjana pendapatan usahawan khususnya penyedia khidmat logistik, perhotelan, pelancongan termasuk jualan kraf tangan.
- Jadi bagi menyokong penggiat usaha-usaha ini, ada beberapa pendekatan kita. Puluhan Mesyuarat Peringkat Tertinggi, ratusan Mesyuarat Peringkat Pegawai Kanan, Menteri dan juga Pegawai-pegawai, semua hadiah yang diberikan mestilah daripada kraf tangan tempatan dan tidak ada daripada yang lain dan mungkin di antaranya adalah topi yang dipakai oleh Yang Di-Pertua. Sebagai contoh, beg dokumen yang saya gunakan hari ini ialah kerja seni tenunan songket hasil pereka tempatan, Adiguru Rasiah Yusoff dari Kampung Tikat Penambang, Kelantan.
IKHTIAR 25: PERALIHAN TENAGA
- Rencana NETR adalah untuk mengalihkan sektor tenaga ke arah mencapai sasaran gas rumah hijau sifar bersih seawal 2050. Tahun depan, lebih 300 juta ringgit disediakan di bawah Dana Mudah Cara Peralihan Tenaga Negara, ketimbang 100 juta tahun ini.
- Beberapa projek NETR memasuki fasa pelaksanaan seperti:
Pertama: Ladang Solar Terapung Hidro Hibrid Kenyir dan hab hidrogen hijau di Terengganu. Ini di antara yang agak terbesar dalam negara kita dan di antara yang terbesar di ASEAN dan akan diluncurkan dalam masa yang singkat melibatkan PETRONAS dan TNB di Tasik Kenyir.
Kedua: Program Large Scale Solar (LSS).
- Projek ini untuk membangunkan loji jana kuasa solar berskala utiliti dengan tawaran kuota 2,000 megawatt. Proses bidaan telah ditutup dan penilaian dijangka selesai selewat-lewatnya Disember 2024.
- Dalam isu capaian tenaga boleh baharu:
- Program Net Energy Metering (NEM) dilanjutkan kepada 30 Jun 2025 jadi bumbung premis dimanfaatkan untuk memasang solar photovoltaic (PV).
- Kemudian, Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) diteruskan dengan pembiayaan 1 bilion ringgit sehingga tahun 2026.
- UEM Lestra dan TNB akan melabur 16 bilion ringgit untuk meningkatkan keupayaan rangkaian transmisi dan pengedaran serta menyahkarbon kawasan perindustrian.
- Ikhtiar akses grid terbuka akan dilaksanakan melalui Program Corporate Renewable Energy Scheme (CRESS) untuk membolehkan syarikat korporat memperoleh bekalan elektrik daripada penjana TBB pilihan.
- Program khusus yang mengutama reka bentuk struktur penjanaan TBB dwifungsi seperti konsep agrivoltaic bakal diperkenalkan bagi mengelakkan kesan negatif loji jana kuasa TBB terhadap pengeluaran bahan makanan.
- Susulan penggubalan Akta Kecekapan dan Konservasi Tenaga, ikhtiar meningkatkan kecekapan tenaga terus diperhebat melalui:
- e-Rebat sehingga 70 juta ringgit disediakan termasuk industri membeli kelengkapan elektrik cekap tenaga.
- Kontrak Prestasi Tenaga akan diperkenalkan dan ini akan menjimatkan bil elektrik sehingga 10 peratus.
- Putrajaya bergerak ke arah bandar rendah karbon, ruang bumbung di laluan pejalan kaki sepanjang hampir 5 kilometer dan tempat parkir kereta akan dipasang solar untuk menjimatkan tenaga elektrik.
- Bagi menyokong pelaksanaan CCUS di Malaysia:
- Aktiviti penggunaan karbon diperluas sebagai produk hiliran dan akan disediakan galakan cukai berdasarkan Kerangka Insentif Pelaburan Baharu yang menekankan kerencaman ekonomi. Akses pembiayaan mampan khususnya pembiayaan campuran juga dimudah cara.
- Kerajaan berhasrat untuk membentangkan RUU Rangka Kerja Kawal Selia Progresif Mengenai CCUS dalam masa terdekat.
- Terkait Kenderaan Elektrik (EV):
- Kerangka insentif cukai EV sedia ada telah distruktur semula selari dengan hasrat untuk menggalakkan peralihan EV pemasangan tempatan CKD. Syarikat PERODUA sedang merancang untuk mengeluarkan EV berharga di bawah 100 ribu ringgit bagi memenuhi permintaan rakyat.
- Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik CKD hingga 2,400 ringgit akan diteruskan dengan peruntukan 10 juta ringgit.
- Bagi menyokong ekonomi kitaran, Kerajaan bercadang:
- potongan cukai ke atas sumbangan atau penajaan Smart Artificial Intelligence – Driven Reverse Vending Machine dilanjutkan sehingga 31 Disember 2026; dan
- skop pelepasan cukai bagi pembelian pengecas kenderaan elektrik diperluas meliputi pembelian mesin kompos sisa makanan untuk kegunaan isi rumah sehingga tahun taksiran 2027.
- Kerajaan akan memperkenalkan Cukai Karbon ke atas industri besi dan keluli. Cukai ini bertujuan menggalakkan penggunaan teknologi rendah karbon dan ini juga akan membantu membiaya program penyelidikan dan teknologi hijau.
IKHTIAR 26: PERLINDUNGAN KHAZANAH ALAM
“Dan dengan sederap rentak dan sesyahdu suara
kita tetap bertekad melindungi rimba terdera.
Kau yang pendera usah berhelah atau berpura
kerana sedalam kuburmu rimba akan membela.”
Petikan puisi ‘Langkah Lestari’ (A. Samad Said)
- Belanjawan 2025 kekal komited melindungi khazanah alam termasuk melalui:
- Dana Ecological Fiscal Transfer (EFT) ditingkatkan kepada 250 juta ringgit, ketimbang 200 juta ringgit sebelumnya dan ini termasuk perlindungan hutan dan hidupan liar termasuk Harimau Malaya yang agak berkurangan dan membimbangkan. Kriteria pengagihan EFT ditetapkan semula iaitu 50 peratus peruntukan yang diagihkan tertakluk kepada prestasi perbelanjaan Kerajaan negeri, ketimbang 30 peratus pada masa ini.
- Peranan orang asli dan veteran beruniform dalam membenteng kawasan hutan simpan kekal amat dihargai. Kerajaan meningkatkan lantikan renjer komuniti kepada 2,500 orang dengan peruntukan 80 juta ringgit.
- Sekitar 4 peratus sungai dikategorikan tercemar antaranya Sungai Anak Bukit, Kedah; Sungai Pegalan, Sabah dan Sungai Etanak, Sarawak. Projek Pembersihan Sungai Bersama Komuniti akan dilaksanakan di bawah Program Denai Sungai Kebangsaan dengan peruntukan 10 juta ringgit.
- Kerajaan bersetuju menaik taraf loji rawatan kumbahan serantau sedia ada dan membina rangkaian paip pembentungan di Sungai Kim Kim, Johor untuk mengekang pencemaran air.
- Bagi melindungi generasi masa hadapan, Kerajaan bercadang meminda Akta Kumpulan Wang Amanah Negara 1988 bagi memperluas sumber sumbangan kepada Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) serta memperketat kawalan tatakelola pengeluaran dana.
IKHTIAR 27: KETERJAMINAN MAKANAN
- Antara kelemahan ketara kita, kebergantungan yang tinggi kepada import makanan walhal punyai kesuburan tanah dan kemampuan meningkatkan keterjaminan makanan negara. Kita ucap tahniah kerana kesungguhan Kementerian dalam bidang ini, maka ditambah:
- 300 juta ringgit bagi menjalin kerjasama projek pertanian dengan kerajaan negeri, menokok ketimbang 150 juta tahun ini. Ini termasuklah pengeluaran bawang di Perak, ternakan talapia merah di Pahang dan peningkatan hasil padi di Negeri Sembilan.
- Kerajaan bersama badan swasta akan memanfaat hampir 8,800 ekar tanah terbiar milik lembaga kemajuan wilayah dan agensi rangkaian mereka untuk melaksanakan projek pertanian seperti perusahaan ayam organik dan lembu serta tanaman berkelompok.
- Agrobank menyediakan kemudahan pinjaman 200 juta ringgit kepada pengusaha agromakanan yang menyokong keterjaminan makanan dan pertanian lestari.
- Sejumlah 27 juta ringgit turut disediakan sebagai insentif kepada petani dan penternak untuk meningkatkan ternakan lembu pedaging, ruminan kecil kambing pedaging, kambing tenusu dan bebiri serta pengeluaran bawang tempatan.
- Terkait industri padi negara:
- Projek Penanaman Padi 5 Musim 2 Tahun di kawasan MADA Fasa 1 selesai pengambilan masalah tanah dengan kerjasama Kerajaan Negeri dan sekarang 1 bilion ringgit disediakan untuk memulakan projek yang melibatkan hampir 11 ribu hektar. Harapannya ialah peningkatan sebanyak 15 peratus melonjakkan pendapatan hingga 6,100 pesawah padi makna kenaikan pendapatan 43 peratus dengan pendapatan 6,000 ringgit.
- Pengurusan padi di Sekinchan, Sabak Bernam terbukti menghasilkan padi lebih banyak sehingga 12 tan sehektar. Kerajaan akan memulakan projek rintis bagi memperoleh baja termasuk baja organik mengikut kawasan penanaman padi secara tender terbuka.
- 65 juta ringgit disediakan bagi membangunkan pengairan dan saliran jelapang padi serta meluaskan estet padi FELCRA di Sabah dan Sarawak.
- Kesejahteraan pesawah dan nelayan terus dipelihara:
- Sejumlah 2.78 bilion ringgit disediakan sebagai subsidi, bantuan dan insentif untuk pesawah dan nelayan, meningkat ketimbang 2.6 bilion ringgit.
- Kerajaan bersetuju menaikkan kadar siling bantuan bina baharu atau penempatan semula rumah nelayan kepada 84 ribu ringgit untuk Semenanjung dan 90 ribu ringgit untuk Sabah dan Sarawak.
IKHTIAR 28: PERLADANGAN DAN KOMODITI
- Belanjawan 2025 meningkatkan peruntukan FELDA, FELCRA dan RISDA kepada 2.6 bilion ringgit.
- Bagi memperkukuh sektor sawit negara:
- Kerajaan bercadang menaikkan nilai ambang kenaan levi keuntungan luar biasa ke atas buah kelapa sawit bagi Semenanjung Malaysia kepada 3,150 ringgit, manakala bagi Sabah dan Sarawak kepada 3,650 ringgit. Struktur julat harga pasaran dan kadar duti eksport minyak sawit mentah disemak semula mulai 1 November 2024. Layanan semasa bagi eksport minyak sawit mentah dari Sabah dan Sarawak juga akan dikekalkan.
- Insentif galakan kepada pekebun kecil menanam semula sawit akan diteruskan bagi menggantikan sawit tua yang tidak lagi produktif dengan peruntukan 100 juta ringgit.
- Malaysia sebagai antara pengeluar minyak sawit terbesar dunia punyai potensi menghasilkan bahan api penerbangan mampan (SAF) daripada sisa kilang kelapa sawit. Petronas akan menjalin kerjasama dengan SD Guthrie dan FGV Holdings Berhad bagi penghasilan SAF daripada sisa kilang kelapa sawit.
- Kerajaan telah menyediakan galakan cukai automasi sektor perkilangan, perkhidmatan, pertanian dan sektor komoditi dalam bentuk Elaun Modal Dipercepatkan dalam tempoh 1 tahun serta pengecualian cukai pendapatan ke atas perbelanjaan modal yang sama. Melalui galakan cukai ini, syarikat dapat mengadaptasi teknologi yang lebih maju seperti dron dan AI dalam operasi perladangan seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing.
- Komitmen mempertahan industri sawit diperhebat bagi menangkis salah tanggap Eropah dan meningkatkan tahap kelestarian sawit dengan peruntukan 65 juta ringgit.
- Terkait perusahaan getah:
- Getah yang terpaksa kita eksport kerana pengeluaran lateks telah berkurangan. Maka, RISDA akan ditugaskan untuk memberikan geran padanan 60 juta ringgit kepada pekebun yang mampu menghasil getah lateks bagi memenuhi keperluan industri.
- Ladang-ladang getah milik persendirian yang terbiar juga akan diusahakan dengan peruntukan 20 juta ringgit. Ikhtiar ini dilaksanakan melalui pendekatan pajakan tanah, iaitu tanah terbiar akan dipajak untuk diusahakan semula dan keuntungan dibahagikan mengikut persetujuan antara pekebun kecil, agensi pelaksana serta pemilik tanah.
- Serangan perosak seperti kulat pestalotiopsis, ulat bungkus dan kulapuk jelaga menyebabkan kerugian jutaan ringgit. 10 juta ringgit bagi melaksanakan mitigasi dan kawalan penyakit agar tidak terus merebak.
IKHTIAR 29: DAYA CIPTA KEWANGAN ISLAM
- Petunjuk Ekonomi Islam Global 2023 mengekalkan Malaysia pada kedudukan teratas untuk tahun ke-10 berturut-turut. Adapun banyak lagi ruang boleh diteroka bagi mengangkat sektor kewangan Islam ke tahap lebih adil berlandaskan maqasid syariah selain berupaya menyaingi produk konvensional.
- Sektor kewangan Islam perlu dipacu lagi supaya lebih berdaya cipta. Sejumlah 100 juta ringgit dana padanan disediakan bagi menggalakkan inovasi pembiayaan kewangan Islam baharu berasaskan nilai Islam dan syariah supaya tidak lagi bergantung kepada produk terbatas patuh syariah tetapi mirip konvensional. Maka, antara pembiayaan yang diperintiskan termasuklah berasaskan prinsip musharakah yang melibatkan perkongsian risiko dan keuntungan yang adil. Ini projek kewangan iklim termasuk projek keterjaminan makanan dan dilaksanakan dengan padanan dana institusi perbankan Islam dan pelabur swasta.
- Program i-TEKAD yang ditawarkan 13 bank dan 70 rakan pelaksana telah membantu lebih 8,000 usahawan mikro berpendapatan rendah. Tahun hadapan, 20 juta ringgit geran padanan disediakan dengan 5 juta ringgit khusus untuk menyumbang kepada caruman insurans atau takaful bagi usahawan mikro. Ini akan dipadankan dengan sumbangan syarikat insurans atau pengendali takaful untuk manfaat peniaga dan penjaja kecil, penghantar barang dan makanan serta peserta Ikhtiar Pendapatan Rakyat yang rosak tanaman akibat bencana.
- Kerajaan juga menyokong pelaburan berimpak sosial lain termasuk pembiayaan P2P patuh syariah dan pendanaan awam ekuiti di bawah program MyCIF dengan menyediakan geran padanan 40 juta ringgit.
- Bagi merancakkan kajian dalam bidang ekonomi Islam, sejumlah 10 juta ringgit diperuntukkan bagi menyokong usaha sama antara Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan INCEIF University dalam meningkatkan lagi kefahaman serta pemakaian nilai-nilai universal ekonomi Islam. Perkembangan penyelidikan dan pembangunan program akademik akan terus mencambah aplikasi ekonomi Islam dalam pembentukan dasar semasa yang selaras dengan prinsip maqasid Shariah yang adil, inklusif, lestari dan kemakmuran bersama.
IKHTIAR 30: PEMBANGUNAN INDUSTRI HALAL
- Hampir keseluruhan negara dunia mengiktiraf pensijilan halal Malaysia. Oleh itu, usaha sama JAKIM, HDC dan MATRADE harus dilipatgandakan supaya ada faedah langsung bukan sahaja memberikan sijil tetapi mendapat faedah bersama industri tempatan yang disebut industri halal negara.
- Dan ini pengeluaran sijil halal, juru audit halal ditambah 100 orang lagi supaya dipercepatkan proses dan dapat menarik penyertaan syarikat-syarikat baharu. Sistem MYeHALAL juga ditambah baik bagi memusatkan 20 agensi Kerajaan dan 100 badan pensijilan halal luar negara di bawah satu platform.
- Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) dan SME Bank menawarkan pembiayaan khusus kepada PMKS halal dengan dana tersedia hampir 600 juta ringgit.
- Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) juga sedia menjamin sehingga 80 peratus pembiayaan PKS halal dengan nilai jaminan sehingga 1 bilion ringgit.
- MATRADE ditugaskan untuk memacu perkembangan kapasiti lebih banyak perusahaan halal supaya lebih berdaya saing dengan peruntukan 20 juta ringgit.
IKHTIAR 31: PEMBANGUNAN TANAH WAKAF
- Sekarang ini kita juga beri tumpuan terhadap soal tanah wakaf. UDA Holdings Berhad berperanan besar. Dua projek utama yang dilaksanakan termasuk di Pulau Pinang dengan kerjasama Majlis Agama Pulau Pinang tapi Wakaf MADANI hendak diperluaskan dengan dan diperkasa melalui agensi kerajaan.
- KWAP menyediakan dana 300 juta ringgit bagi meningkatkan pembangunan tanah wakaf untuk membina rumah persaraan mandiri warga emas kepada para pesara pendapatan rendah.
- UDA dengan dana 200 juta ringgit akan terus menumpukan pembangunan rumah mampu milik untuk rakyat di tanah-tanah wakaf.
- LPPSA akan menyediakan dana untuk penjawat awam yang membeli rumah di atas tanah wakaf.
- SJKP pula akan menjamin pinjaman pembeli rumah pertama bernilai sehingga 500 ribu ringgit yang dibangunkan di atas tanah-tanah wakaf.
- Setakat 10 Oktober lalu, 22 ribu orang pemegang unit ASNB telah mewakafkan pelaburan mereka sebanyak 73 juta unit. Hasil daripada Wakaf ASNB disalurkan ke projek wakaf untuk kemaslahatan ummah. Kerajaan akan terus menggalakkan wakaf pelaburan seumpama ini.
- Wakaf MARA MADANI akan terus berusaha menarik sumbangan wakaf daripada sektor korporat termasuk figura yang pernah meraih manfaat daripada MARA bagi mencapai sasaran dana 1 bilion ringgit.
IKHTIAR 32: BANTUAN DAN PEMBIAYAAN PERNIAGAAN
- Dalam memacu ekonomi subur, tidak hanya tergantung kepada konglomerat utama. 90 peratus ekonomi melibatkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menggaji hampir separuh pekerja dan menyumbang 40 peratus kepada KDNK. Sehubungan itu, Kerajaan memutuskan untuk memberi tumpuan kepada pembangunan PMKS dalam bidang-bidang tumpuan seperti keterjaminan makanan, peralihan tenaga dan digital.
- Institusi Kewangan Pembangunan dan agensi Kerajaan memainkan peranan besar peringkat perniagaan mereka. Umpamanya, hampir 40 tahun lalu, Bank Pembangunan merupakan institusi pertama yang menyediakan pinjaman Bank Pembangunan membantu Ramly Burger sehinggakan perusahaan menjadi satu kejayaan membina kilang melalui kemudahan pembiayaan Skim Transformasi Digitalisasi Industri. BSN juga menyediakan pinjaman mikro untuk para peniaga kecil Ramly Burger.
- Jadi, 40 bilion ringgit disediakan sebagai kemudahan pinjaman untuk PMKS di bawah agensi kerajaan.
- Pinjaman bersaiz mikro sehingga 3.2 bilion ringgit, antaranya oleh TEKUN dan BSN bagi membantu penjaja kecil termasuk komuniti OKU, masyarakat Cina, India dan Bumiputera terutamanya.
- Bank Pembangunan Malaysia Berhad menyediakan dana pembiayaan 6.4 bilion ringgit menyokong pembiayaan sektor pembangunan infrastruktur, digitalisasi, pelancongan, logistikdan pengangkutan serta tenaga boleh baharu dan peralihan.
- SJPP menjamin pembiayaan PKS sehingga 20 bilion ringgit termasuk jaminan 5 bilion ringgit khas untuk PKS Bumiputera.
- Dana pinjaman PKS 3.8 bilion ringgit disediakan oleh BNM antaranya bagi menyokong usahawan untuk beralih ke arah digital dan automasi selain terus membantu sektor agromakanan dan amalan lestari.
- 650 juta ringgit juga akan dikhususkan untuk menyokong wanita dan belia menceburi bidang keusahawanan.
- Bagi memelihara modal insan, sosial dan kebajikan masyarakat India, 130 juta ringgit untuk program tambahan masyarakat India selain penyertaan mereka dalam TEKUN, Amanah Ikhtiar, dan program-program yang sedia ada.
- Kerajaan mencadangkan had amaun pinjaman atau pembiayaan Skim Pembiayaan Mikro bagi tujuan pengecualian duti setem dinaikkan daripada 50 ribu ringgit kepada 100 ribu ringgit mulai 1 Januari 2025.
- Bagi meluaskan akses PMKS kepada pinjaman atau pembiayaan alternatif, Kerajaan mencadangkan pengecualian duti setem sepenuhnya ke atas surat cara perjanjian pinjaman atau pembiayaan yang disempurnakan PMKS dengan pelabur melalui platform Initial Exchange Offering (IEO) mulai 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2026.
- Kerajaan terus menyokong aktiviti perniagaan badan-badan koperasi termasuk menyediakan modal pusingan. Dana pembiayaan sehingga 100 juta ringgit disediakan di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia.
IKHTIAR 33: KEMUDAHAN PENJAJA DAN PENIAGA KECIL
- Pendirian saya kekal bahawa keadaan warung, gerai dan pasar perlu dijamin tahap keselesaan serta keselamatannya. Peniaga kecil, penjaja tidak diabaikan, maka sebab itu diadakan langkah di antara Kementerian, Dewan Bandaraya, Majlis Perbandaran, KPKT untuk menjamin tahap keselesaan dan keselamatan warung, gerai dan pasar. Tahun hadapan, 100 juta ringgit disediakan bagi:
- meningkatkan lagi gerai-gerai, prasarana awam disemua PBT seluruh negara.
- membina gerai-gerai dan membaik pulih prasarana pasar awam di semua PBT seluruh negara.
- menyediakan ruang niaga kepada penjaja terutama penjaja kecil Tamu Desa Sabah dan Sarawak; serta
- dan menaik taraf kemudahan perniagaan di DBKL, MARA, Sarawak, Sabah dan seluruh negara.
IKHTIAR 34: TRANSFORMASI EKONOMI BUMIPUTERA
- Peluncuran Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera yang diputuskan membawa pengarahan dan kebijakan baharu. Kita tidak boleh lagi terkurung dengan pendekatan lama. Oleh itu, tatakelola harus diperbaiki kerana tidak boleh nama agensi bumiputera digunakan dan tidak diurus dengan cekap dan baik kerana ini tidak akan menjadi agenda untuk mengangkat martabat dan darjat Bumiputera.
- Usahawan Bumiputera
- Sebab itu, pemusatan Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) dan Ekuinas di bawah Yayasan Pelaburan Bumiputera adalah untuk menyokong perniagaan Bumiputera sepanjang kitaran perniagaan mereka. Ekuinas akan melabur dalam syarikat pertengahan dan setelah itu, syarikat yang berjaya akan disenaraikan dan mendapat pelaburan sewajarnya daripada PNB.
- Peruntukan 800 juta ringgit pembiayaan di bawah MARA dan PUNB tersedia untuk melatih dan memberi peluang kepada usahawan Bumiputera dan menyokong artisan tempatan.
- Kerajaan bersetuju memperuntukkan 1.3 bilion ringgit untuk memperkasa kontraktor G1-G4 khususnya Bumiputera. Ini memberi peluang kepada kontraktor melaksanakan projek-projek kecil dan sederhana termasuk pembinaan jalan raya serta pembaikan dan penyelenggaraan prasarana awam.
- Pada masa yang sama, sejumlah 200 juta ringgit disediakan untuk Skim CAKNA 2 bagi menyokong aliran tunai kontraktor G1-G4 menyiapkan projek berskala kecil Kerajaan bernilai sehingga 1.5 juta ringgit.
- Tanah Rizab Melayu
- Buat pertama kalinya dalam sejarah, Kerajaan MADANI telah bersetuju menetapkan 50 ekar daripada pembangunan projek strategik Bandar Malaysia sebagai Tanah Rizab Melayu. Ini hanya permulaan dalam mengenal pasti tanah-tanah Kerajaan yang sesuai bagi memastikan aspek pembangunan tidak diabaikan supaya keseimbangan sosioekonomi jangka panjang di kawasan bandar dipertahankan.
- PNB dan PHB akan terus meningkatkan kerjasama membangun tanah rizab Melayu dalam projek perumahan mampu milik, penginapan pelajar dan pembangunan komersial.
III. MENSEJAHTERA RAKYAT KE TAHAP BAHAGIA
- Tanggungjawab pemimpin dan penjawat awam adalah untuk berkhidmat dengan penuh amanah dan keikhlasan bagi membebaskan rakyat dari segala bentuk penindasan dan belenggu, sekali gus mengangkat martabat pentadbiran negara ke tahap yang lebih tinggi dan terpuji. Peringatan tersebut selaras dengan seruan ayat al-Quran dalam surah al-Balad yang memerintahkan agar membebaskan manusia dari segala belenggu perhambaan dan penindasan demi mencapai matlamat kebahagian dan kesejahteraan hidup yang sebenar.
- وَمَآ أَدْرَىٰكَ مَاٱلْعَقَبَةُفَكُّ رَقَبَةٍأَوْ إِطْعَـٰمٌۭ فِى يَوْمٍۢ ذِى مَسْغَبَةٍۢ يَتِيمًۭا ذَا مَقْرَبَةٍ أَوْ مِسْكِينًۭا ذَا مَتْرَبَةٍۢ ثُمَّ كَانَ مِنَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَتَوَاصَوْا۟ بِٱلصَّبْرِ وَتَوَاصَوْا۟ بِٱلْمَرْحَمَةِ
Dan apakah engkau mengetahui: apakah amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan? . (Di antara amal-amal itu – bagi orang yang mampu) ialah: memerdekakan hamba abdi. Atau memberi makan pada hari kelaparan. Kepada anak yatim daripada kaum kerabat. Atau kepada orang miskin yang terlantar di atas tanah (fakir). Kemudian, orang yang beriman dan saling berpesan dengan kesabaran serta berpesan dengan kasih sayang (Surah Al-Balad: 12-17)
IKHTIAR 35: KOS SARA HIDUP RAKYAT
- Perlu ditekankan bahawa, langkah-langkah yang diambil untuk memperbaiki pengurusan, meluruskan ketempangan, mengelak ketirisan termasuk kebijakan penyasaran subsidi, peluasan asas hasil adalah di antara lain mengupayakan bantuan yang lebih bermakna kepada rakyat.
- Rakyat masih terus mengeluh kerana terpakasa berdepan dengan apa yang dianggap kos yang meningkat. Sebab itu kita berikan peningkatan tertinggi bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA). Saya ingin mengumumkan pada tahun ini, SARA untuk rakyat miskin dan STR akan mendapat peningkatan terbesar dalam sejarah 13 bilion ringgit. Ini akan memberi manfaat kepada 9 juta penerima atau 60 peratus penduduk dewasa negara.
- Tahun hadapan, 4.1 juta penerima STR akan menerima SARA sebanyak 100 ringgit sebulan, ketimbang 700 ribu penerima sebelum ini.
- Bantuan SARA dikreditkan dalam MyKAD penerima bermula April 2025 dan dibelanjakan untuk membeli barangan asas seperti makanan dan minuman, ubat-ubatan, barang persekolahan dan lain-lain. 600 pasar raya akan disediakan untuk bersama dalam bidang ini.
- Kategori bujang tidak ketinggalan, mereka akan mendapat STR 600 ringgit.
- Penambahan peruntukan 3 bilion ringgit membolehkan kadar maksimum yang diterima isi rumah meningkat kepada 4,600 ringgit, ketimbang 3,700 ringgit.
- Kita akui dan mendengar terus rungutan demi rungutan tentang kos sara hidup. Lantaran itu, kita mengambil langkah serta kebijakan ekonomi yang merupakan peningkatan peruntukan dan kadar maksimum bantuan tunai yang pernah diberikan oleh Kerajaan.
- Ini juga akan ditambah melalui peningkatan peruntukan bantuan tunai di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) meningkat kepada 2.9 bilion ringgit bantuan oleh JKM:
- Kadar bantuan kebajikan bulanan kepada rakyat miskin ditingkatkan:
- Kadar Bantuan Warga Emas dinaikkan kepada 600 ringgit sebulan ketimbang 500 ringgit sebulan
- Kadar Bantuan Kanak-kanak Keluarga Miskin turut dinaikkan iaitu:
- Daripada 200 ringgit kepada 250 ringgit seorang bagi anak berusia 6 tahun dan ke bawah; serta
- Daripada 150 ringgit kepada 200 ringgit seorang bagi anak lingkungan usia 7 hingga 18 tahun;
- tertakluk kepada kadar maksimum 1,000 ringgit sekeluarga.
- Untuk Wilayah Persekutuan, Kadar Bantuan Am juga dinaikkan kepada 150 ringgit ketimbang 100 ringgit, dengan kadar maksimum sekeluarga sebanyak 500 ringgit sebulan. Saya percaya Kerajaan Negeri yang sudah terus mengadakan program ini ataupun kalau boleh ditambah.
- Jika dihitung keseluruhan bantuan STR, SARA dan JKM tidak termasuk Zakat dan bantuan Negeri atau bantuan NGO:
- Isi rumah miskin dengan tiga anak di Malaysia layak menerima bantuan lebih 13 ribu ringgit setahun, yakni peningkatan yang tertinggi yang pernah diperkenalkan.
- Untuk warga emas miskin layak menerima bantuan lebih 10 ribu ringgit setahun.
- Ini bermakna tidak ada rakyat di Malaysia yang berpendapatan kurang 1,100 sebulan. Paling miskin sekalipun mesti ada minimum 1,100 sebulan. Ini tanpa dimasukkan bantuan Yayasan, Zakat dan Kerajaan Negeri.
- Maka, tanggungjawab kita nak pastikan tiada keciciran. Maka, JKM dan ICU, JPM harus berganding bahu dengan semua Kementerian menggandakan usaha verifikasi golongan miskin.
- Pada kesempatan ini, saya ingin umumkan bahawa bayaran bagi STR 2024 Fasa 4 akan disalurkan kepada penerima bermula 7 November depan melibatkan peruntukan 1.7 bilion ringgit.
- Seluruh jentera Kerajaan digerakkan bagi menggembleng kekuatan mengawal harga dan bekalan barangan untuk termasuk menghapus tembok penguasaan kartel yang meratah keuntungan mahabesar daripada wang rakyat.
- 1 bilion ringgit disediakan untuk menganjurkan ikhtiar menangani kos sara hidup.
- Ini meliputi Program Payung Rahmah ditingkatkan kepada 300 juta ringgit ketimbang 200 ringgit. Jualan Rahmah diperhebatkan di semua DUN setiap bulan.
- 700 juta ringgit dikhususkan untuk memperbanyak saluran program kos sara hidup lain bagi mengawal harga barang, termasuk melalui usaha sama dengan pengusaha pasar raya, pasar borong, kedai runcit, pasar tani, koperasi dan sebagainya.
- Selain itu, 250 juta ringgit disediakan untuk mengedarkan barangan keperluan asas di kawasan pedalaman dan desa termasuk memperluas ke kawasan baharu di Magandai, Kota Marudu, dan Nanga Pelawan, Bintulu.
- Saya ingin mengumumkan:
- Pelepasan cukai pendapatan individu atas bayaran premium insurans pendidikan dan insurans perubatan dinaikkan kepada 4,000 ringgit untuk meringankan beban.
- Pelepasan cukai pendapatan individu bagi perbelanjaan perubatan sehingga 10 ribu ringgit adalah juga meliputi bahagian bayaran perubatan yang dilakukan oleh pembayar cukai di bawah produk insurans dan takaful perubatan serta kesihatan dengan ciri-ciri pembayaran bersama.
- Pengecualian cukai pendapatan ke atas pendapatan yang terbit daripada sumber luar negara dan telah tertakluk kepada cukai pendapatan di negara sumber serta diterima oleh individu di Malaysia, diberikan secara bertempoh sehingga 31 Disember 2026, dilanjutkan sehingga 31 Disember 2036.
IKHTIAR 36: PENDAPATAN RAKYAT
- Kerajaan MADANI sentiasa menitikberatkan soal pendapatan rakyat. Penstrukturan ekonomi hanya dianggap berjaya apabila rakyat meraih gaji dan upah yang bermakna untuk menjalani hidup dengan lebih selesa.
- Untuk itu, Kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada 1,500 kepada 1,700 ringgit sebulan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Februari 2025.
- Penangguhan hanya diberikan membabitkan majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja bagi tempoh 6 bulan iaitu berkuat kuasa 1 Ogos 2025.
- Kementerian Sumber Manusia juga akan menerbitkan garis panduan untuk rujukan pekerja. Jadi ini harus dibezakan gaji untuk Juruteknik Terlatih lulusan TVET, mahasiswa, graduan universiti, tidak boleh digunakan kadar 1,700. Mereka wajar diberi pertimbangan dan kita akan pantau syarikat-syarikat yang berjaya dan berkeuntungan besar yang tidak munasabah kalau mengekalkan gaji siswazah pada tahap yang rendah sepertimana sekarang. Umpamanya, gaji permulaan Juruteknik Industri dan Pengeluaran (2,290 ringgit), Jurutera Mekanikal (3,380 ringgit) dan Profesional Pereka Kandungan Kreatif (2,985 ringgit).
- Dasar Gaji Progresif ini ikhtiar Kerajaan MADANI untuk mereformasi pasaran buruh dengan matlamat meningkatkan pendapatan pekerja. Dasar ini sudah mula dilaksana secara rintis pada Jun lalu dan akan dikuatkuasakan sepenuhnya pada tahun hadapan. Dasar Gaji Progresif diperuntukkan 200 juta ringgit dan akan memanfaatkan 50 ribu pekerja.
- Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) adalah ikhtiar kita menoktahkan kemiskinan tegar melalui peningkatan pendapatan rakyat. Melalui IPR INSAN, umpamanya Saudari Normaladiana Mohd Yazal yang merupakan OKU fizikal, membantu suaminya berniaga dan berjaya meraih pendapatan untuk keluarga hampir dua kali ganda. Tahun hadapan, 250 juta ringgit disediakan untuk meningkatkan penyertaan lebih ramai rakyat miskin tegar termasuk OKU mengikuti program IPR bagi menambah pendapatan mereka.
IKHTIAR 37: PERLINDUNGAN SOSIAL
- Agenda perlindungan sosial akan memastikan rakyat terbanyak dilengkapkan dengan simpanan persaraan yang munasabah serta caruman insurans daripada musibah.
- Bagi menggalak lebih ramai pekerja tidak formal dan mereka yang tidak punyai pendapatan tetap menabung untuk persaraan, insentif padanan i-Saraan KWSP ditingkatkan kepada 20 peratus ketimbang 15 peratus sekarang, tertakluk kepada had maksimum insentif padanan tahunan 500 ringgit atau 5,000 seumur hidup.
- Program i-Suri diteruskan. Ini ikhtiar Bandar Tun Razak dulu. Ia secara insentif padanan melalui caruman Kerajaan dan caruman secara aktif daripada pencarum.
- Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri akan menanggung sehingga 70 peratus caruman pekerja dengan peruntukan 100 juta ringgit. Ini sebagai persediaan ke arah penetapan caruman wajib sebagai salah satu syarat memperbaharui lesen vokasional bagi individu bekerja sendiri tahun hadapan. Syarikat pengendali juga diseru untuk menanggung baki caruman sebagai iltizam membela kebajikan pekerja.
- Program insurans sosial iaitu Skim Perlindungan Tenang diteruskan dengan kerjasama Bank Negara, industri insurans dan takaful untuk manfaat sehingga 2 juta penerima STR telah mendapat manfaat. Menerima baucar 30 ringgit untuk membiayai sebahagian daripada kos membeli produk Perlindungan Tenang yang menawarkan perlindungan akibat kematian, kemalangan diri dan risiko am (seperti) kebakaran dan banjir.
- Ke arah negara menua, KWSP sedang mengkaji semula skimnya bagi memperkukuh pendekatan pemindahan antara generasi iaitu sebahagian simpanan KWSP ahli boleh dipindahkan terus ke akaun KWSP ahli keluarga terdekat.
- Kerajaan bercadang untuk melanjutkan pelepasan cukai pendapatan individu ke atas caruman dalam Skim Persaraan Swasta dan bayaran premium anuiti tertangguh sehingga tahun taksiran 2030.
- Kerajaan komited memberi layanan adil kepada semua pekerja tanpa mengira kewarganegaraan sesuai dengan piawaian antarabangsa. Kerajaan bercadang mewajibkan semua pekerja bukan warganegara untuk mencarum KWSP. Ini akan dilaksanakan secara berfasa.
- Bagi mengurangkan kos penyerahhakkan dan menggalakkan hibah perlindungan insurans serta takaful kepada ahli keluarga, surat cara penyerahhakkan polisi insurans hayat dan sijil takaful keluarga secara pemberian kasih sayang atau melalui pemegang amanah akan dikenakan duti setem pada kadar berperingkat antara 10 ringgit hingga 1,000 ringgit berdasarkan nilai pindah milik.
IKHTIAR 38: PENDIDIKAN ARUS PERDANA
- Wajar merenung seketika bait-bait nukilan penyair W.S. Rendra ‘Sajak Anak Muda’. Jika ditelaah, akan terjentik dhamir untuk mendamba perubahan dan mencerna reform agar pendidikan lebih bermutu dan mampu memberi pencerahan di samping serta mendamba pemikiran kritis.
“Kita adalah angkatan gagap
yang diperanakkan oleh angkatan takabur.
kita kurang pendidikan resmi
di dalam hal keadilan,
karena tidak diajarkan berpolitik,
dan tidak diajar dasar ilmu hukum.”
–
“Bukan pertukaran pikiran.
ilmu sekolah adalah ilmu hafalan,
dan bukan ilmu latihan menguraikan.
Dasar keadilan di dalam pergaulan.”
–
“Lalu akhirnya
Menikmati masa bodoh dan santai.
Di dalam kegagapan,
Kita hanya bisa membeli dan memakai,
Tanpa bisa mencipta.
(Petikan W.S. Rendra)
- Maknanya pendidikan ilmu untuk berfikir, untuk merenung, membentuk nilai dan akhlak dan menguasai ilmu dengan baik. Dan ini tepat seperti mana yang dirumuskan oleh junjungan besar Rasulullah SAW:
أدبني ربي فأحْسن تأديبي
“Bahawa Tuhanku telah menitipkan akan daku
dengan sebaik-baik adab”
- Kementerian Pendidikan diberi peruntukan 64.1 bilion ringgit – peruntukan tertinggi dalam sejarah.
- Keutamaan adalah memastikan ruang pembelajaran selesa dan selamat untuk anak-anak menimba ilmu.
- 2 bilion ringgit untuk naik taraf dan penyelenggaraan sekolah seluruh negara.
- 1 bilion ringgit menyelenggara semua jenis sekolah terutamanya keadaan bilik darjah yang uzur: Ini termasuklah di sekolah kebangsaan, sekolah cina, sekolah tamil, sekolah agama, sekolah dalam kem tentera dan sekolah pendidikan khas OKU.
- 1 bilion lagi bagi menaik taraf prasarana daif di 543 buah sekolah terutamanya di Sabah dan Sarawak.
- Sebanyak 44 sekolah baharu dibina tahun hadapan. Boleh semak kepilan untuk melihat nama-nama sekolah. Yang tidak tercatat boleh buat tuntutan dari Menteri Pendidikan.
- SK Bandar Putra Indah, Batu Pahat, Johor;
- SMK Bandar Seri Putra (2), Hulu Langat, Selangor;
- SMK Lok Kawi, Putatan, Sabah;
- SMK Semeling, Sungai Petani, Kedah; dan
- SK Dudong, Sibu, Sarawak.
- Bagi memastikan capaian internet di sekolah desa dan pedalaman, Kerajaan bersetuju melaksanakan Program Ketersambungan Infrastruktur Jalur Lebar Talian Tetap ke Sekolah-sekolah Luar Bandar dengan peruntukan 100 juta ringgit. Projek Point of Presence (POP) sedia ada juga diteruskan dengan peruntukan 800 juta ringgit.
- Alhamdulillah, berkat kesungguhan semua, kita berjaya membaik pulih tandas lebih 8,300 sekolah dalam masa singkat. Tumpuan sekarang membaik pulih kemudahan lain seperti kantin, musolla dan kemudahan-kemudahan asas dengan 100 juta ringgit.
- Kemudahan lain seperti dewan juga dinaik taraf melalui komitmen badan swasta dan syarikat Kerajaan. Saya menyeru supaya badan swasta, alumni dan dermawan untuk mengambil tanggungjawab korporat menyumbang ke arah persekitaran sekolah anak-anak yang selesa.
- Hanya ketinggian ilmu yang dapat mengeluarkan rakyat dari kepompong kedaifan hidup melarat. Sejumlah 17 jenis bantuan pendidikan terus disediakan dengan peruntukan 5.3 bilion ringgit.
- Bantuan makanan asrama: 2 bilion ringgit.
- Rancangan Makanan Tambahan (RMT): 870 juta ringgit meningkat ketimbang 784 juta ringgit. RMT bakal memanfaat lebih 860 ribu murid dan peluang diberikan kepada pembekal sajian makanan oleh syarikat di daerah.
- 800 juta ringgit Bantuan Awal Persekolahan kepada semua 5.2 juta murid tahun 1 hingga tingkatan 5 tanpa mengira pendapatan ibu bapa.
- Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin ditingkatkan kepada 180 juta ringgit.
- Bagi meningkatkan akses pendidikan pelajar dari keluarga susah, Kerajaan bersetuju bayaran gaji atau upah kepada tenaga pengajar oleh institusi dan organisasi dengan objektif pendidikan yang diluluskan di bawah subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 dibenarkan sebagai perbelanjaan kebajikan.
- Sejak 2002, sudah 22 tahun kadar Geran Per Kapita (PCG) TVET tidak disemak semula. PCG ialah sumber kewangan utama sekolah dan kadar lama tidak lagi dapat menampung kos pembelajaran yang kian meningkat. Sekolah kurang murid di pedalaman pula bergantung kaedah PCG yang sama. Bermakna, sekolah kurang murid selama ini kurang dana.
- Oleh itu, harus ditambah dan ditingkatkan sebanyak 15 peratus menjadikan peruntukan keseluruhan 900 juta ringgit.
- Peruntukan khas 10 juta ringgit disediakan sebagai Bantuan Persekolahan kepada semua 687 sekolah pedalaman.
- Selanjutnya, Kerajaan bersetuju Elaun Sara Hidup bagi siswa guru Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan di Institut Pendidikan Guru ditingkatkan kepada 530 ringgit sebulan ketimbang 430 ringgit.
IKHTIAR 39: PENDIDIKAN TINGGI
- Falsafah pendidikan perlu terus diterapkan dalam prakarsa pendidikan tinggi (KPT). Langkah awal yang dimulakan perlu ditingkatkan dengan lebih gigih lagi. Di antara strategi lanjutan termasuklah peningkatan mutu bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, di samping penguasaan bahasa-bahasa lain terutamanya Inggeris. Ini yang ditekankan KPT sekarang. Universiti perlu pantas memperkenalkan disiplin baharu yang membuka ruang penerokaan pemikiran dan teknologi baharu. Pimpinan universiti dan para ilmuan perlu diberi ruang dan wewenang untuk menggagaskan pembaharuan ke arah kemantapan dan peningkatan mutu.
- Kementerian Pendidikan Tinggi diperuntukkan 18 bilion ringgit tahun ini.
- Terkait kemudahan untuk anak-anak melanjutkan pelajaran ke menara gading:
- Peruntukan 4 bilion ringgit biasiswa, pinjaman dan elaun pendidikan.
- GLIC dan GLC, 50 peratus biasiswa dikhususkan untuk pelajar daripada keluarga pendapatan rendah dan menengah. Sektor korporat harus lebih bermurah hati dan giat menyediakan biasiswa pelajaran terutama kepada golongan berpendapatan rendah. Jadi layak diberikan potongan cukai sama ada dikendalikan oleh Kerajaan atau swasta. Mana-mana perbelanjaan institusi yang membantu rakyat miskin akan diberi pengecualian cukai.
- Ke arah melahirkan graduan dengan kebolehpasaran tinggi, sesuai dengan tuntutan industri, PTPTN menyediakan dana pembiayaan pendidikan berjumlah 500 juta ringgit khusus untuk memberi keutamaan kepada pelajar yang mengikuti pengajian dalam bidang STEM di IPTA.
- Tabungan pendidikan tinggi anak-anak diberi melalui:
- Pelepasan cukai individu ke atas simpanan bersih dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dilanjutkan untuk tempoh 3 tahun lagi.
- Ikhtiar Geran Padanan Ihsan (GAPAI) diperluaskan geran padanan sehingga 5,000 ringgit atau Simpan SSPN pelajar yang melanjutkan pengajian di IPT kepada keluarga berpendapatan sehingga 6,000 ringgit, ketimbang 4,000 ringgit, bagi tempoh dua tahun.
- Permodalan Nasional Berhad akan melaksanakan Program Celik MADANI iaitu pembukaan akaun ASB bernilai 50 ringgit secara percuma kepada 100 ribu pelajar baharu yang melanjutkan pengajian peringkat tinggi.
- Belanjawan MADANI Ketiga kekal dengan komitmen meningkatkan mutu institusi pendidikan tinggi. 635 juta ringgit disediakan untuk menambah baik prasarana, mengganti peralatan usang dan sebagainya.
- UiTM disediakan peruntukan tambahan 20 juta ringgit supaya melahirkan lebih ramai jurutera E&E memastikan penyertaan Bumiputera dalam bidang semikonduktor.
IKHTIAR 40: KECERDASAN BUATAN (AI)
- Kemudian, kita melihat petanda positif Fakulti Kecerdasan Buatan Universiti Teknologi Malaysia dalam masa yang singkat. Ini memberikan harapan petanda institusi pendidikan kita sudah menuju ke arah kecemerlangan.
- Tahun hadapan, pendidikan berkaitan AI akan diperluas ke semua universiti penyelidikan dengan peruntukan 50 juta ringgit.
- Universiti Malaya menumpukan AI bidang perubatan bagi menangkis tantangan penyakit maut seperti kanser.
- Universiti Putra Malaysia menubuhkan Pusat Teknologi dan Pengurusan Kriptologi Malaysia dengan kerjasama NACSA bagi menyusul AI pengkomputeran kuantum sebagai persiapan mendepani ancaman keselamatan siber serba rumit. Ini satu kebanggaan kita kerana mereka telah dianggap di antara yang teratas 10 institusi pendidikan universiti terbaik di dunia dalam bidang ini. Sebab itu kita beri perhatian khusus.
- Universiti Sains Malaysia menelusuri AI semikonduktor, hub semikonduktor dunia terutama dengan Intel dan Infineon.
- Universiti Kebangsaan Malaysia menerajui AI alih bahasa supaya mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
- Kerajaan akan terus menyuburkan aktiviti penyelidikan, pembangunan, komersial dan daya cipta.
- Dana R&D ditingkatkan kepada 600 juta ringgit di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.
- Kumpulan Wang Amanah Malaysia Science Endowment (MSE) turut disediakan dana 170 juta ringgit. Tabung ini akan dimanfaatkan untuk menyediakan geran padanan untuk badan swasta dan industri memacu program R&D.
- Program Malaysia Techlympics dengan peruntukan 10 juta ringgit terus diperhebat sebagai dorongan bagi melahirkan anak tempatan yang pakar dalam bidang robotik dan teknologi AI.
IKHTIAR 41: PEMERKASAAN TVET
- TVET diberi peruntukan tambahan kepada 7.5 bilion ringgit ketimbang 6.8 bilion ringgit. Keutamaan diberikan untuk:
- kerjasama dengan industri;
- peluang latihan untuk belia rentan termasuk dari kelompok miskin bandar, terpinggir, pedalaman dan Orang Asli;
- membawa khidmat TVET bagi manfaat masyarakat.
- Kerajaan mengalu-alukan kerjasama PROTON melalui PROTON Advanced Automotive Technology Institute di Melaka yang menyumbang kurikulum, kemudian kerjasama seumpama ini diperhebatkan melalui:
- geran padanan 50 juta ringgit bagi Program “Anak Angkat ILKA”.
- GLC akan menerajui pembangunan latihan kemahiran baharu untuk industri masing-masing seperti TNB (peralihan tenaga) dan SD Guthrie (mekanisasi dan automasi perladangan).
- Syarikat akan diberikan potongan cukai atas peralatan dan mesin baharu yang disumbangkan kepada ILKA, politeknik atau kolej vokasional berdaftar mulai tahun taksiran 2025 hingga 2027.
- Majikan akan diberi kebenaran untuk menggunakan sehingga 50 peratus dana HRDCorp ketimbang 30 peratus sekarang.
- Majikan yang mengambil OKU dan bekas banduan bekerja akan diberi insentif sebanyak RM600 sebulan selama tiga bulan di bawah seliaan PERKESO.
- Peluang pendidikan dan latihan TVET akan dipertingkatkan:
- Kolej vokasional dan sekolah menengah teknik terus menyediakan pendidikan kepada 77 ribu orang pelajar dengan peruntukan 1.2 bilion ringgit.
- Pembiayaan sehingga 500 juta ringgit untuk manfaat lebih 20 ribu pelatih termasuk 100 juta ringgit khusus untuk bidang keutamaan NIMP seperti MRO, EV, aeroangkasa, AI.
- 3 bilion ringgit akan disediakan HRDCorp untuk menawarkan 3 juta peluang latihan. HRDCorp juga menguntukkan semula dana khas 15 peratus daripada jumlah kutipan levi bagi melaksanakan Program Latihan MADANI khusus untuk golongan rentan. Majikan turut dibenarkan menggunakan levi untuk membiayai elaun sehingga 1,000 ringgit selama setahun bagi graduan melalui HRD Corp termasuk menjalani latihan kemahiran.
- Khazanah menyediakan 200 juta ringgit melalui Program Pembangunan Belia Khazanah (K-Youth) bagi membekalkan 11 ribu bakat tempatan kepada sektor utama seperti semikonduktor.
- GiatMARA dan kolej komuniti 55 juta ringgit mengupaya 10 ribu anak-anak huffaz dari institusi tahfiz dan pondok dengan latihan kemahiran dalam tempoh 5 tahun.
- GiatMARA juga akan menyediakan latihan jangka pendek kepada lebih 3,000 pekerja gig.
- Kerajaan mencadangkan potongan dua kali ke atas perbelanjaan syarikat yang melaksanakan Program Latihan Berstruktur (MySIP) di bawah Talent Corp turut diperluas kepada pelajar yang mengikuti latihan berstruktur yang dijalankan oleh badan kawal selia industri dan dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2030.
- PERKESO membina Pusat Rehabilitasi yang serba canggih di Terengganu dengan kos hampir 600 juta ringgit. Perkhidmatan yang menyeluruh meliputi rawatan pemulihan sehingga program kembali bekerja.
IKHTIAR 42: PENJAGAAN KESIHATAN
- Tanggungjawab pemimpin dan Kerajaan – seperti yang terungkap dalam Thirukural – உறுபசியும் ஓவாப் பிணியும் செறுபகையும் சேரா தியல்வது நாடு – membangun negara mesejnya kuat. Membangun negara yang bebas dari kemiskinan, wabak penyakit dan musuh yang membinasakan. Nation is that which continues to be free from poverty, irremediable epidemics and destructive fools.
(Thirukural : 734)
- Kehidupan pascanormal menuntut sebuah tatanan penjagaan kesihatan yang lebih rumit serta pemaduan utuh badan kesihatan awam dan swasta selari dengan pertimbangan yang ditaakul dalam Kertas Putih Kesihatan negara.
- Kementerian Kesihatan menerima peruntukan kedua tertinggi iaitu 45.3 bilion ringgit. Jadi saya telah mengarahkan supaya Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan dan Kementerian-kementerian terkait beri sedikit lebih tumpuan kepada prasarana asas. Kerana kemudahan-kemudahan hospital di lobi, tandas itu banyak yang daif. Gunakan peruntukan ini dan pastikan diperbaiki. Jangan sebut tidak cukup peruntukan kerana peruntukan bagi Kementerian-kementerian ini dinaikkan. Jimatkan dalam bidang lain, pastikan kemudahan untuk masyarakat terutama pesakit-pesakit diberi keutamaan. Ini arahan bagi kesemua Jabatan dan Kementerian.
- Selenggara dan Naik Taraf Prasarana Kesihatan
- Keutamaan Kerajaan adalah untuk menyediakan kemudahan kesihatan berkualiti, selesa dan mesra rakyat. Sejumlah 1.35 bilion ringgit disediakan bagi menyelenggara prasarana kesihatan termasuk membaiki tandas hospital yang uzur dan wad-wad pesakit yang usang.
- Klinik-klinik daif seluruh negara ditingkatkan 150 juta ringgit (2024) disediakan dan 300 juta ringgit untuk 2025.
- War on Sugar
- Tadi dalam Khutbah Jumaat Wilayah Persekutuan, Khatib renung tentang obesiti dan penyakit diabetik yang terlalu tinggi. Maka kita harus pastikan kaedah kaedah untuk mengurangkan maka disokong langkah atau gerakan War on Sugar.
- Maka, Kerajaan bercadang untuk menaikkan kadar duti eksais bagi minuman bergula secara berfasa mulai 1 Januari 2025 sebanyak 40 sen seliter.
- Tambahan hasil yang diraih akan dimanfaatkan untuk perbelanjaan kesihatan awam termasuk:
- Bekalan ubat SGLT-2 inhibators bagi kegunaan rawatan diabetes dan Dialisis Center penyakit buah pinggang di seluruh negara.
- Penyediaan rawatan Dialisis Peritoneal untuk pesakit buah pinggang tahap akhir kepada lebih banyak pesakit selain FELDA yang turut menambah baik pusat dialisis mereka.
- Sebagai menyokong Agenda Nasional Malaysia Sihat, 27 juta ringgit disediakan bagi merancakkan lagi aktiviti sukan dan riadah rakyat termasuk penganjuran Hari Sukan Negara.
- Kerajaan bercadang memperluas skop pelepasan cukai pendapatan individu ke atas perbelanjaan perubatan meliputi bayaran ujian pengesanan penyakit, pembelian peralatan pemeriksaan kesihatan dan kit ujian pengesanan penyakit sebagai langkah ke arah amalan penjagaan kesihatan kendiri.
- Perkhidmatan Kesihatan Awam Berdaya Tahan
- Sistem dan struktur perkhidmatan kesihatan awam perlu diperkasa supaya lebih berdaya tahan, mampan dan mandiri.
- Maka, Ikhtiar Rakan KKM akan diperkenalkan melibatkan kerjasama GLIC bagi menyediakan pilihan perkhidmatan kesihatan berbayar pada kadar berpatutan kepada pesakit. Ini satu penyertaan swasta, rakyat dan Kerajaan. Ini bermula di lima hospital KKM setakat ini dan akan dikembangkan. yang mempunyai permintaan tinggi serta infrastruktur sesuai seperti Hospital Cyberjaya dengan peruntukan awal 25 juta ringgit.
- Kerajaan juga meningkatkan jalinan kerjasama dengan 91 hospital swasta bagi menyumber luar pesakit KKM melibatkan perkhidmatan seperti kardiologi, radiologi dan lain-lain. Untuk meringankan tekanan, bebanan dan kesesakan di hospital Kerajaan. Institut Jantung Negara (IJN) menjadi isu agak sedikit kontroversi kerana beberapa pesara Kerajaan yang telah berubat diminta juga ke hospital-hospital lain. Atas pertimbangan ini, kita setuju supaya memberikan kesempatan bagi pesakit yang sudahpun ke IJN terutama yang berumur 65 ke atas meneruskan rawatan di IJN. Pendekatan ini secara tidak langsung mewujudkan elemen persaingan mendapatkan harga terbaik buat Kerajaan. Penyumberluaran ini turut diteruskan dengan Institut Jantung Negara melibatkan pesakit jantung dari kalangan pesara Kerajaan.
- Dasar offtake atau perolehan khusus daripada syarikat yang membuat pelaburan domestik baharu untuk mengeluarkan produk farmaseutikal dan peranti perubatan kritikal ditingkatkan. Ini akan menyokong keterjaminan bekalan ubat tempatan dan mengurangkan kos. Kita akan menggalakkan pelaburan untuk mengeluarkan vaksin halal dan kita ucap tahniah kerana Pharmaniaga telahpun berjaya dalam bidang vaksin halal.
- Pusat Kecemerlangan Kesihatan
- Kita perlu iktiraf pakar-pakar kesihatan terbaik negara yang berkhidmat di hospital Kerajaan termasuk di Pusat-pusat Kecemerlangan seperti Hospital Serdang untuk rawatan Jantung; Hospital Selayang untuk Transplant & Hepatobiliari; Institut Kanser Negara, Putrajaya; Institut Endokrin Putrajaya; Institut Urologi dan Nefrologi, Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Wanita dan Kanak-kanak, Kuala Lumpur.
- Jadi, bagi mengukuhkan Pusat-pusat Kecemerlangan yang telah dikenal pasti, Kerajaan menyediakan peruntukan 100 juta ringgit termasuk perolehan peralatan terkin bagi pusat-pusat yang disebutkan termasuk penambahan Hospital Pakar Jantung di Kota Kinabalu. Di samping pusat kecemerlangan sedia ada, Kerajaan juga sedang melaksanakan kerja-kerja awalan bagi menubuhkan Pusat Kanser di Kuching dan Hospital Pakar Jantung di Kota Kinabalu.
- Penyakit Jarang Jumpa
- Kerajaan telah menubuhkan sebuah Tabung Penyakit Jarang Jumpa. Tahun hadapan:
- Peruntukan bagi menampung kos perubatan penyakit jarang jumpa ditingkatkan kepada 25 juta ringgit.
- Skim Mysalam juga diperluas untuk turut meliputi penyakit jarang jumpa dan Rheumatoid Arthritis.
- Sumbangan ke dalam Tabung Penyakit Jarang Jumpa juga layak mendapat potongan cukai bersamaan jumlah sumbangan sebenar.
IKHTIAR 43: RUMAH KEDIAMAN RAKYAT
- Kita beri keutamaan kepada perumahan mampu milik untuk rakyat:
- Hampir 900 juta ringgit bagi melaksanakan 48 Program Residensi Rakyat (PRR) dan 14 projek Rumah Mesra Rakyat termasuk dua projek PRR baharu di Port Dickson dan Seberang Perai Tengah. 30 projek PRR dijangka siap penghujung 2025. yang bakal memanfaat hampir 17,500 penghuni baharu.
- Perai Tengah. 30 projek PRR dijangka siap penghujung 2025 yang bakal memanfaat hampir 17,500 penghuni baharu.
- SJKP telah luluskan 12.8 bilion ringgit Jaminan Kerajaan kepada lebih 57 ribu pembeli rumah pertama. Ini termasuk Saudara Venukannan Balakrishnan, seorang pemandu e-hailing yang tidak punyai pendapatan tetap. Melalui SJKP, beliau mengecap impian memiliki rumah sendiri di Rawang bersama isteri tersayang. Kerajaan akan terus menjamin pembiayaan perumahan sehingga 10 bilion ringgit bagi manfaat 20 ribu pembeli rumah.
- Kerajaan bersetuju menyeragamkan dan menaikkan bantuan bina baharu rumah rakyat antaranya penghuni PPRT, nelayan, Kampung Baru Cina, kepada maksimum 90 ribu ringgit. Kadar siling baik pulih rumah rakyat juga ditingkatkan kepada maksimum 20 ribu ringgit.
- Perumahan PPR dilaksanakan puluhan tahun untuk manfaat rakyat susah. Kerajaan terus menggembleng usaha memastikan persekitaran PPR dan komuniti perumahan yang lebih manusiawi.
- Rumah strata kos rendah dan sederhana awam diselenggara termasuk mengganti lif-lif usang dengan peruntukan hampir 200 juta ringgit.
- 48 buah Taman Awam MADANI dinaik taraf meliputi kawasan rekreasi serta landskap serba indah termasuk di bandar dan pekan kecil dengan peruntukan hampir 100 juta ringgit.
- Ini termasuk Kampung Baru Cina diperuntukkan 84 juta ringgit antaranya untuk menaik taraf kemudahan asas dan sosial bagi kegunaan komuniti. KPKT juga diberi tanggungjawab untuk menyelaras keperluan di perkampungan kaum India.
- Program Anak Kita terus diperkasa dengan peruntukan 30 juta ringgit sebagai ikhtiar bersepadu menangani isu keciciran 80 ribu anak-anak. Yayasan Hasanah juga menelusuri isu keciciran termasuk menarik minat anak-anak menceburi bidang TVET.
- Usaha menangani isu malpemakanan dalam kalangan anak-anak di PPR Lembah Klang diperhebat melalui projek rintis yang turut dibiayai bersama Pertubuhan Kanak-kanak Sedunia dengan peruntukan 5 juta ringgit.
- Aktiviti ekonomi rakyat seperti perusahaan makanan menggunakan platform Dapur Digital oleh Pepper Labs dipergiat dengan peruntukan 5 juta ringgit.
- 180 kamera litar tertutup berdefinisi tinggi dan 45 butang cemas akan dipasang di Putrajaya dan Labuan bagi meningkatkan tahap keselamatan.
- Kerajaan akan membentuk sebuah rangka kerja pemerkasaan komuniti bagi memperkukuh peranan persatuan penduduk sebagai pemudah cara di peringkat komuniti. Persatuan penduduk diberi latihan kepimpinan sewajarnya oleh Yayasan Sime Darby, NGO dan agensi Kerajaan berkaitan.
- KPKT akan menggalakkan usaha pemilikan rumah pertama, Kerajaan bercadang memberikan pelepasan cukai individu sehingga 7,000 ringgit ke atas bayaran faedah pinjaman perumahan seperti berikut:
- Pelepasan cukai sehingga 7,000 ringgit diberikan bagi rumah kediaman berharga sehingga 500 ribu ringgit.
- Pelepasan cukai sehingga 5,000 ringgit diberikan bagi rumah kediaman berharga melebihi 500 ribu hingga 750 ribu ringgit.
Pelepasan ini boleh dituntut bagi tiga tahun taksiran berturut-turut ke atas perjanjian jual beli yang disempurnakan dalam tempoh 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2027.
IKHTIAR 44: PRASARANA ASAS DESA
- Prasarana asas di kawasan kampung, desa dan pedalaman terus ditumpukan bagi memberi keselesaan kepada rakyat dengan peruntukan hampir 2.9 bilion ringgit.
- Jalan-jalan kampung akan dibina dan dibaiki seperti di Kota Belud, Sabah; Pasir Puteh, Kelantan dan Kuala Lipis, Pahang dengan peruntukan hampir 1.8 bilion ringgit;
- Projek bina dan baiki jambatan serta pemasangan dan selenggara lampu jalan kampung diteruskan melibatkan peruntukan lebih 350 juta ringgit.
- Bekalan air bersih dan elektrik di Sabah dan Sarawak meliputi 5,150 buah rumah dengan peruntukan hampir 500 juta ringgit.
- Kerajaan juga menyokong kerjasama universiti awam dalam menambah baik prasarana kampung seperti kejayaan projek pemasangan solar di Pulau Tuba oleh Universiti Malaysia Perlis.
IKHTIAR 45: KETERSAMBUNGAN DIGITAL
- Digital Nasional Berhad (DNB) telah diambil alih oleh entiti swasta susulan liputan 5G yang melepasi 80 peratus kawasan berpenduduk di Malaysia. Melangkah ke hadapan:
- Kerajaan akan mengumumkan rangkaian kedua 5G sebagai usaha meningkatkan daya saing bidang ICT.
- Kerajaan akan terus menggalakkan penggunaan 5G terutamanya dalam memacu kes-kes penggunaan 5G oleh industri menjelang Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga dengan dana 120 juta ringgit bersetuju untuk menambah baik capaian internet di universiti awam, sekolah, kem-kem tentera dan institusi MARA.
IKHTIAR 46: PENGANGKUTAN AWAM
- Kerajaan akan terus pastikan sistem pengangkutan awam yang cekap sangat perlu, berpatutan dan selesa untuk manfaat semua rakyat.
- Perkhidmatan Udara Luar Bandar Sabah Sarawak diteruskan dengan peruntukan lebih 200 juta ringgit. Ini termasuk membuka laluan baharu dari Kota Kinabalu ke Layang-layang dan Miri ke Long Banga.
- Prasarana pula telah membuat perolehan 250 bas elektrik tahun ini. Kementerian Pengangkutan juga telah memulakan perolehan 12 gerabak tren penumpang KTMB bagi keselesaan penumpang. Manakala 50 gerabak tren lagi akan diperoleh secara pajakan melalui kerjasama Kerajaan-Kerajaan dengan negara China.
- Pas Bulanan My50 diteruskan bagi manfaat 180 ribu pengguna Lembah Klang menggunakan bas dan rel Prasarana.
- Perkhidmatan bas henti-henti terus disokong dengan peruntukan lebih 270 juta ringgit dan setiap bandar utama di semua negeri akan dipastikan dapat menerima manfaat.
- Capaian bas ditingkatkan di Lembah Klang. 10 juta ringgit disediakan bagi menambah lorong bas khas melibatkan Jalan Ipoh, Jalan Cheras dan Jalan Gombak sepanjang 47 kilometer.
- 100 hentian bas di Lembah Klang akan ditambah baik melibatkan kerjasama GLC dan badan swasta bagi meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna perkhidmatan bas awam.
- Prasarana akan menyediakan kemudahan van untuk anak-anak ke sekolah daripada stesen tren terpilih dengan bayaran 50 sen sehala. Sebagai permulaan, stesen yang terlibat ialah di LRT Sri Rampai dan LRT Melati.
- Kerajaan juga bersetuju memberikan tambang percuma kepada semua mahasiswa universiti, politeknik, kolej komuniti dan matrikulasi di seluruh negara yang menggunakan perkhidmatan BAS.MY.
- Penyelenggaraan jalan diberi keutamaan bagi mengurangkan kes-kes kemalangan akibat keadaan jalan yang tidak selamat.
- 8 bilion ringgit disediakan untuk menyelenggara Jalan Persekutuan:
- 1 bilion ringgit dikhaskan untuk segera membaiki jalan bukan utama seperti jalan sekunder, jalan FELDA dan jalan industri serta jalan yang rosak akibat banjir.
- 450 juta ringgit juga dikhaskan untuk kontraktor G1-G4, meningkat ketimbang 300 juta sebelum ini tahun ini.
- Untuk jalan negeri, 5.5 bilion ringgit dana MARRIS disediakan. Kerja pembersihan jalan juga ditambah baik meliputi longkang, saliran air, bahu jalan dan persekitaran sehingga selamat digunakan. Kerajaan telah meluluskan perolehan sebuah jambatan sementara Bailey kepada semua kerajaan negeri menggunakan peruntukan MARRIS tahun 2025 sebagai persediaan awal kerajaan negeri bagi menangani masalah jalan terputus akibat bencana banjir.
- 178 juta ringgit bagi memasang lampu-lampu jalan baharu dan lampu isyarat pintar di Jalan Persekutuan seluruh negara.
- 30 juta ringgit disediakan untuk terus memanfaat peranan 115 Jurutera Daerah sebagai barisan hadapan dalam menyegerakan penurapan Jalan Persekutuan yang berlubang.
- Kerajaan bersetuju memasang High Speed Weight in Motion di lokasi-lokasi terpilih bagi mengekang nahas jalan raya disebabkan kenderaan lebih muatan.
IKHTIAR 47: GOLONGAN WANITA
- Purata wanita memegang jawatan lembaga pengarah dalam 100 syarikat teratas yang tersenarai di Bursa Malaysia adalah pada kadar 32.2 peratus setakat 10 Oktober. Kendatipun sasaran 30 peratus penglibatan wanita telah tercapai, ini masih belum dipenuhi oleh 39 syarikat dalam lembaga pengarah mereka. Kerajaan menyeru, mendesak untuk menuntut penjelasan mengapa sasaran ini tidak tercapai oleh syarikat-syarikat berkenaan dan diberi tempoh setahun lagi untuk menimbangkan kenaikan penyertaan wanita dalam lembaga supaya sasaran ini dicapai semua syarikat sebelum akhir 2027.
- Kerajaan akan terus menggalakkan wanita kembali bekerja. Wanita digalakkan juga berkerja terutama dalam menghadapi tekanan kewangan sekarang.
- Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS) diperhebat di bawah Kementerian Wanita sebagai usaha melahirkan lebih ramai tokoh korporat dalam kalangan wanita.
- Program Returnship akan diperintiskan bagi menggalakkan wanita kembali bekerja dalam sektor kewangan. Program anjuran BNM dan SC ini akan menyediakan kemudahan latihan dan kemudian menghubungkan dengan bakal majikan yang bersesuaian untuk kembali bekerja.
- Maka Kerajaan bercadang memberikan potongan cukai tambahan sebanyak 50 peratus bagi penggajian yang dibayar untuk tempoh 12 bulan, kepada majikan yang menggaji wanita kembali bekerja.
- Sejumlah 470 juta ringgit dana pembiayaan disediakan oleh SME Bank, BSN, Bank Rakyat dan MARA dalam menyokong PMKS wanita mendapatkan modal kerja, membeli aset dan seterusnya meningkatkan kapasiti perniagaan ke tahap lebih tinggi.
- Terkait pembudayaan kerja dan kehidupan yang seimbang di samping menyokong agenda ekonomi penjagaan kepada pekerja, Kerajaan mencadangkan galakan cukai kepada majikan seperti berikut:
- Potongan cukai tambahan 50 peratus ke atas perbelanjaan kos pembangunan kapasiti dan perolehan perisian yang ditanggung oleh majikan dalam melaksanakan pengaturan kerja fleksibel; dan
- Potongan cukai tambahan 50 peratus bagi kemudahan cuti penjagaan tambahan berbayar oleh majikan sehingga 12 bulan kepada pekerja yang menjaga anak atau ahli keluarga yang sakit atau kurang upaya.
IKHTIAR 48: ANAK MUDA
- Program Latihan Khidmat Negara 3.0 akan dimulakan secara rintis dengan konsep baharu melibatkan peruntukan 50 juta ringgit kepada Kementerian Pertahanan bagi lepasan kadet sekolah. PDRM dan agensi beruniform lain turut terlibat menjayakan PLKN 3.0 menggunakan prasarana sedia ada dengan kerjasama Akademi Kenegaraan.
- Program Rakan Muda diperuntukkan 25 juta ringgit untuk terus menjadi wadah pembinaan potensi dan identiti belia berjati diri.
- Skim Step Up Financing diperkenalkan di bawah SJKP sebagai jaminan Kerajaan sehingga 5 bilion ringgit khusus untuk anak muda golongan muda yang ingin memiliki rumah pertama. Skim ini menawarkan kemudahan bayaran balik pinjaman yang lebih rendah bagi tempoh 5 tahun pertama.
- Kerajaan melalui TalentCorp menyediakan Geran Padanan 10 juta ringgit di bawah Program Latihan Industri Untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (LiKES) bagi membolehkan syarikat melatih mahasiswa dalam bidang STEM menerusi latihan industri.
- Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) disediakan 20 juta ringgit untuk terus menggalakkan generasi belia menceburi bidang perniagaan.
IKHTIAR 49: KANAK-KANAK
- Bayi baru lahir berisiko tinggi dijangkiti Hepatitis B. Ini perlu segera dibendung. Kerajaan menyediakan 5 juta ringgit untuk melaksanakan Ikhtiar 1,000 Hari Pertama Kehidupan. Usaha ini bagi memulakan saringan Hepatitis B secara universal kepada 420 ribu ibu hamil untuk pengesanan dan rawatan awal penyakit dalam usaha melahirkan generasi yang sihat dan produktif.
- Tahun ini, 122 ribu murid tahun 1 masih belum menguasai literasi dan numerasi. Pendidikan awal mustahak kerana tempoh ini tumbesaran otak berkembang paling pesat seraya perlu dilentur dan dididik sejak awal. Tahun hadapan, Kerajaan akan membina prasekolah baharu untuk pendidikan awal kanak-kanak antaranya:
- 34 prasekolah baharu antaranya di SK Pakatan Jaya, Kinta Utara, Perak dan SK FELDA Palong 1, Jempol, Negeri Sembilan; dan
- 16 TASKA dan TABIKA KEMAS antaranya di Gopeng, Segamat, Rompin dan Kota Samarahan.
- Bagi terus membantu ibu bapa mendapatkan perkhidmatan pendidikan awal dan penjagaan anak-anak, pelepasan cukai pendapatan individu ke atas bayaran yuran TASKA dan TADIKA dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2027.
- Kerajaan cakna dan akan memastikan kebajikan serta pendidikan anak-anak autistik kepada berada pada tahap terbaik. Ini adalah pengumuman melibatkan OKU, autistik, anak-anak yang terbesar, yang pernah diumumkan oleh kerajaan.
- 11 Pusat PERMATA baharu akan dibina bagi melengkapkan setiap negeri dengan pusat didikan anak-anak autistik. Ini termasuklah di Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.
- Dua sekolah baharu murid berkeperluan khas juga dibina di Tuaran, Sabah dan Johor Bahru dengan kos 300 juta ringgit. Sekolah di Johor Bahru bakal menjadi sekolah pertama yang memberi tumpuan sepenuhnya kepada pendidikan untuk autistik.
- Elaun Murid Berkeperluan Khas 150 ringgit sebulan juga terus disediakan kepada lebih 110 ribu murid OKU termasuk murid autisme melibatkan peruntukan 200 juta ringgit.
- Bantuan Yuran Pembelajaran Anak Autisme disediakan bagi meringankan tanggungan ibu bapa yang layak – ini bakal akan memberi manfaat 30 ribu anak autisme dengan dana 15 juta ringgit.
- Bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang selesa dan terangkum, 10 juta ringgit disediakan bagi untuk membantu sekolah autistik swasta yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan melengkapkan kemudahan pembelajaran
- Sebuah Pusat Perkhidmatan Autisme akan dibangunkan lagi bagi memanfaat komuniti autisme dengan peruntukan 5 juta ringgit.
- Had pelepasan cukai bagi perbelanjaan rawatan dan pemulihan anak autisme akan ditingkatkan kepada 6,000 ringgit ketimbang 4,000 ringgit.
IKHTIAR 50: WARGA EMAS
- Peruntukan kebajikan warga emas akan ditingkatkan mencecah 1 bilion ringgit. Ini bagi membiayai bantuan tunai, wang saku institusi warga emas dan pusat aktiviti.
- Kerajaan bercadang supaya pelepasan cukai pendapatan individu berkaitan aktiviti sukan dan penjagaan kesihatan disemak semula bagi memelihara kebajikan dan menjamin penjagaan warga emas.
Pertama: pelepasan cukai perbelanjaan pemeriksaan perubatan penuh ibu bapa diperluas untuk meliputi kos pemvaksinan;
Kedua: pelepasan cukai perbelanjaan peralatan dan aktiviti sukan diperluas kepada ibu bapa;
Ketiga: pelepasan cukai perbelanjaan rawatan perubatan bagi ibu bapa turut merangkumi datuk dan nenek;
Keempat: pengecualian cukai pendapatan individu ke atas elaun penjagaan anak diperluas meliputi penjagaan warga emas iaitu ibu bapa, datuk dan nenek; serta
Kelima: Potongan cukai tambahan bagi majikan yang membayar elaun penjagaan anak turut diperluas meliputi penjagaan warga emas iaitu ibu bapa, datuk dan nenek.
IKHTIAR 51: ORANG KURANG UPAYA
- Kesejahteraan komuniti orang kurang upaya (OKU) terus dibela:
- Peruntukan bantuan OKU di bawah JKM ditingkatkan kepada 1.3 bilion ringgit ketimbang 1.2 bilion.
- Syarat kelayakan gaji bagi menerima Bantuan Elaun Pekerja OKU akan ditingkatkan kepada 1,700 ringgit ketimbang 1,500 ringgit.
- Kemudahan mesra OKU di seluruh IPTA akan ditambah baik di samping terus melaksanakan Program Pemulihan Dalam Komuniti untuk OKU dengan peruntukan 30 juta ringgit.
- Kemudahan pembiayaan melalui Skim Sinar BSN disediakan dengan dana 50 juta ringgit untuk OKU ceburi bidang perniagaan.
- Kerajaan akan meringankan tanggungan pembayar cukai OKU dengan cadangan berikut:
Pertama: pelepasan cukai tambahan bagi OKU dinaikkan kepada 7,000 ringgit;
Kedua: pelepasan cukai tambahan bagi pasangan OKU dinaikkan kepada 6,000 ringgit; dan
Ketiga: pelepasan cukai bagi pembayar cukai mempunyai anak OKU yang belum berkahwin dinaikkan kepada 8,000 ringgit.
- Bagi memastikan sistem penyampaian awam lebih terangkum, pusat hubungan Kerajaan MyGCC akan menyediakan perkhidmatan khusus untuk memenuhi keperluan pemanggil OKU, seperti menyediakan kemudahan panggilan video dengan bahasa isyarat.
IKHTIAR 52: ORANG ASLI
- Masyarakat Orang Asli terus terbela di bawah Belanjawan MADANI dengan peruntukan ditingkatkan hampir dalam banyak ikhtiar telah diumumkan tapi peruntukan ditambah menjadi 380 juta ringgit ketimbang 330 juta ringgit. Ini termasuk untuk menaikkan meningkatkan taraf hidup mereka Orang Asli melalui projek pembangunan semula ladang Orang Asli seluruh negara.
- Sejumlah 10 juta ringgit disediakan untuk NGO dan JAKOA bekerjasama membina rumah di bawah program EPIC Homes yang juga dapat membekal elektrik dan air bersih kepada Orang Asli dengan lebih jimat dan pantas.
- Isu tanah runtuh kerap berlaku turut memberi kesan besar kepada perkampungan Orang Asli. Kerajaan akan membangunkan profil dan pemetaan kawasan cerun yang berisiko tinggi di perkampungan Orang Asli dengan kos 18 juta ringgit. Ini supaya pencegahan awal dapat diambil sekiranya terdapat perkampungan yang memerlukan perhatian segera.
IKHTIAR 53: PELUANG KEDUA
- Dasar Peluang Kedua yang melibatkan telah beri manfaat kepada lebih 170 ribu rakyat yang diisytihar bankrap untuk membina semula kehidupan. Melangkah ke hadapan, Dasar Peluang Kedua diperluas kepada syarikat-syarikat yang telah dibankrapkan.
- Bagi Jadi maknanya mengembalikan banduan ke dalam masyarakat, Program Peluang Kedua (PEKA) oleh Jabatan Penjara akan diteruskan. Agensi Antidadah Kebangsaan turut dilibatkan sesuai keputusan yang disepakati untuk menyahjenayah penagih dadah. Dan 10 juta ringgit disediakan untuk menjayakan program PEKA.
- Program Baitul Mahabbah akan diteruskan oleh Jabatan Imigresen dengan kerjasama NGO dan pertubuhan antarabangsa berkaitan. Ini bagi memastikan kanak-kanak warga asing mendapat perlindungan di tempat sementara yang sesuai selain di Depot Tahanan Imigresen.
- Kerajaan akan menggubal akta baharu bagi membolehkan hukuman tahanan di rumah sebagai alternatif untuk kesalahan tertentu. Pesalah dikehendaki berada di tempat tahanan yang dianggap bersesuaian seperti rumah kediaman, rumah jagaan atau asrama pekerja sepanjang tempoh penahanan dengan syarat-syarat ditetapkan dan dipantau oleh Pegawai Penjara.
IKHTIAR 54: SYIAR ISLAM
- Pemikiran dan aliran yang menyimpang daripada Islam yang sebenar berlandaskan Ahli Sunnah Wal Jamaah semakin membimbangkan. Usaha bersepadu giat dijalankan bagi itu langkah mengekang segala aktiviti pemesongan akidah yang kian menular sehingga menimbulkan kegelisahan rakyat Malaysia.
- Maka susulan Ops Global yang sedang dijalankan, Kerajaan akan menyediakan tambahan 25 juta ringgit kepada Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi menguruskan anak-anak yang teraniaya serta melaksanakan program pemulihan akidah.
- Tahun hadapan, peruntukan hal ehwal Islam khusunya melalui JAKIM berjumlah 2 bilion ringgit. Sebahagian peruntukan untuk Ini untuk memperkasa institusi pendidikan Islam:
- 150 juta ringgit bagi dikhususkan untuk menyelenggara prasarana pendidikan Islam JAKIM seperti termasuk sekolah pondok, sekolah tahfiz dan sekolah agama rakyat.
- Kerajaan bersetuju menambah kuota guru KAFA sebanyak 1,500 orang, selari dengan tuntutan pendidikan fardu ain untuk anak-anak.
- Bagi Kemudian membantu penuntut di Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS), Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS) dan Darul Quran JAKIM, Kerajaan bersetuju meningkatkan kadar wang saku penuntut sebanyak 100 ringgit.
- Insiden membakar al-Quran di Sweden dan penentangan terhadap Islam adalah kerana sifat kejahilan yang menebal dan Islamofobia. Bagi menyemai kesedaran ini terhadap Islam, Kerajaan akan kita telah meluncurkan tahun lalu ikhtiar wakaf Al-quran dengan niat untuk mencetak sejuta naskhah al-Quran untuk diedarkan ke seluruh dunia dengan terjemahan pelbagai bahasa termasuk bahasa dan sebahagian besar telah diedarkan termasuk dalam bahasa Kemboja, Thailand, Mandarin, Sweden, Sepanyol dan baru-baru ini diluncurkan secara besaran dengan kerjasama Yayasan Restu di United Kingdom. Usaha ini akan dilaksanakan JAKIM dengan kerjasama pihak seperti Yayasan Restu.
- Sebagai tanda persaudaraan, kita juga telah mengambil pendekatan membantu rakyat Palestin yang berada di Gaza yang terus dirundung malang akibat kezaliman rejim Zionis yang hilang perikemanusiaan dan terus dengan kebiadapan mereka, jadi langkah-langkah akan terus diambil untuk membantu termasuk yang uzur dan sakit. Ini termasuk membawa lebih 40 rakyat Palestin yang memerlukan rawatan kesihatan ke Malaysia. Bagi menyokong usaha pengumpulan bantuan atas tanggungjawab bersama, Kerajaan mencadangkan skop Badan Amanah akan dilepaskan daripada sedikit sebanyak daripada pelepasan kadar cukai untuk badan amal di bawah Seksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan diperluas meliputi sumbangan kepada bukan warganegara yang terjejas.
- Sekarang ini kita ada 70 ribu guru KAFA, guru takmir, imam, bilal, tok siak, noja dan marbut, Kerajaan bersetuju menyalurkan sumbangan khas 500 ringgit dengan peruntukan 35 juta ringgit.
IKHTIAR 55: PEMBANGUNAN SUKAN
- Kita merakamkan ucapan tahniah kepada semua atlet yang berjuang di pentas Olimpik dan Paralimpik Paris. Ini termasuk pencapaian saudara Cheah Liek Hou dan Bonnie Bunyau Gustin yang berjaya merangkul pingat emas. Pembangunan sukan negara terus diperhebat dan dengan peruntukan lebih 230 juta ringgit. Ini meliputi:
- Program podium, latihan atlet dan Road to Gold;
- Persiapan atlet para menjelang sukan para dunia termasuk Deaflympic Tokyo 2025;
- Kerja-kerja menyelenggara dan membaiki kemudahan belia dan sukan seluruh negara; serta
- Geran padanan sukan sebagai galakan penganjuran pertandingan sukan oleh persatuan dan NGO.
- Bagi menyokong pembangunan sukan bola sepak, saya telah umumkan 15 juta ringgit disediakan kepada Pasukan Harimau Malaya, termasuk Pasukan bawah 18 dan dan bawah 13 dengan kerjasama FAM bagi mendapatkan jurulatih terbaik, mengikuti sesi latihan terbaik serta diberi ganjaran yang setimpal kepada pemain.
- Kita berbangga dengan kejayaan pasukan badminton negara antaranya beregu wanita Saudari Pearly dan Saudari Thinaah serta beregu lelaki Saudara Sze Fei dan Saudara Izzuddin yang telah mengharumkan nama negara di pelbagai kejohanan antarabangsa. Saya melihat mereka mencerminkan semangat perpaduan serta kelebihan kita sebagai masyarakat berbilang kaum dan agama, yang boleh berjuang bersama dan menjulang kejayaan.
- Berikutan sambutan hangat saat berkunjung ke India, Pakistan dan Bangladesh baru-baru ini, saya terpanggil untuk turut mengumumkan peruntukan 1 juta ringgit kepada pembangunan sukan kriket.
- Baru-baru ini juga, Selangor Red Giants telah bergelar juara dunia bagi e-Sports World Cup. Kerajaan bersetuju menyediakan 20 juta ringgit untuk memperkasa ekosistem e-sukan meliputi pembangunan bakat serta naik taraf arena e-sukan.
- Kerajaan mencadangkan pengecualian cukai pendapatan diberikan ke atas ganjaran hadiah wang tunai kemenangan sukan yang diterima oleh pemenang atlet individu dan pasukan melalui Skim Hadiah Kemenangan Sukan yang diberikan oleh Kerajaan melalui MSN.
IKHTIAR 56: KESUKARELAWANAN
- Dalam membentuk sahsiah mulia dan menangkis perbezaan sesama masyarakat antara kaum, penganjuran program-program pemupukan semangat perpaduan serta jati diri ditambah melalui akan diperbanyak dengan peruntukan 50 juta ringgit.
- Program komuniti yang menyubur semangat kesukarelawanan Sukarelawan ini penting dalam negara MADANI maka akan terus diperkasa dengan peruntukan 150 juta ringgit. Ini antaranya untuk bekerjasama dengan termasuk dengan bantuan Yayasan GLIC/GLC dan NGO dalam menangani isu-isu rakyat, selain penganjuran gotong-royong PIBG di semua sekolah seluruh negara.
- Terkait hal yang sama, 50 juta ringgit dana bantuan turut disediakan bagi kerja-kerja baik pulih dan selenggara rumah ibadat bukan Islam yang berdaftar di seluruh negara.
IKHTIAR 57: BAHASA DAN KARYA KREATIF
- Saya selalu tekankan dalam Gelombang Kebangkitan Asia bahawa pembangunan ekonomi harus seiring dengan pembangunan budaya dan nilai. Khazanah bahasa dan sastera perlu terus dipertahankan agar tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Bagi mengangkat darjat bahasa dan kesusasteraan, Kerajaan menyediakan 50 juta ringgit untuk Dewan Bahasa dan Pustaka bekerjasama dengan penggiat bahasa untuk mempergiat aktiviti bahasa dan kesusasteraan khususnya dalam kalangan generasi muda. Ini juga termasuk mengalih bahasa karya-karya agung, penganjuran teater serta memelihara bahasa kaum minoriti seperti etnik Siam.
- Kerajaan mendukung penuh pembangunan industri seni kreatif:
- Peruntukan Dana Kandungan Digital ditingkatkan kepada 65 juta ringgit bagi mempromosi karya-karya terutamanya yang berteraskan semangat kenegaraan.
- hampir 40 juta ringgit turut disediakan di bawah kepada Insentif Filem di Malaysia (FIMI) bagi menyokong penerbitan filem antarabangsa di Malaysia.
- MyCreative Ventures pula disediakan 25 juta ringgit bagi menyokong industri kreatif melalui suntikan ekuiti kepada syarikat berpotensi tinggi dan menyediakan pembiayaan untuk usahawan sosial kreatif.
- Program Belia Kreatif MADANI akan dianjurkan bagi menarik hampir 16 ribu anak muda menceburi bidang seni dengan peruntukan 30 juta ringgit. Aktiviti disematkan termasuklah bengkel kemahiran videografi kandungan kreatif, pembangunan komuniti filem serta pertandingan filem pendek.
IKHTIAR 58: KESELAMATAN DALAM NEGERI DAN PERTAHANAN
- Maruah dan kedaulatan negara perlu terus terpelihara daripada sebarang ancaman. Keharmonian dikecapi selama ini tidak boleh diganggu-gugat. Perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama yang sekian lama terbina perlu dipertahankan.
- Kementerian Dalam Negeri menerima peruntukan 19.5 bilion ringgit, menokok sebanyak 500 juta ringgit.
- Lebih 2.12 bilion ringgit peruntukan aset khusus untuk PDRM dan agensi beruniform di bawah KDN bagi menjamin keselamatan dalam negeri melalui usaha bersepadu membendung peningkatan kes jenayah selain mengekang anasir permusuhan yang memecah-belahkan rakyat.
- Beberapa Pejabat-pejabat polis baharu dibina tahun hadapan dengan kos 2.1 bilion ringgit. Antaranya melibatkan:
- Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang;
- Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju;
- Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya; dan
- Balai Polis Tanjung Minyak, Melaka.
- Kementerian Pertahanan pula menerima peruntukan 21.2 bilion ringgit, bertambah 1.4 bilion ringgit.
- Kerajaan akan terus memastikan Dan kesiapsiagaan kesiagaan penuh Angkatan Tentera Malaysia dengan 5.8 bilion dikhususkan untuk kerja-kerja senggara dan pembaikan serta perolehan aset-aset ketenteraan baharu.
- Bagi memanfaatkan kontrak senggara, program baharu PROTEGE – Veteran akan diperkenalkan khusus untuk mewajibkan kontraktor menyediakan peluang pekerjaan untuk veteran ATM, terutamanya yang punyai kelayakan TVET.
- Tumpuan khusus juga diberikan untuk membangunkan industri ketenteraan tempatan melalui pemindahan teknologi daripada pembekal aset ketenteraan dan menggalakkan pemain industri tempatan menembusi pasaran eksport. Sebagai contoh, syarikat tempatan Aerodyne yang muncul sebagai penyedia perkhidmatan dron utama dunia wajar disokong untuk mengeksport aplikasi keselamatan kawalan sempadan.
IKHTIAR 59: URUSAN SEMPADAN NEGARA
- Acap kali ditegaskan, isu Laut China Selatan perlu diselesaikan di meja rundingan. Kita kekal dengan pendirian bahawa ini boleh ditangani secara aman, kendatipun tidak bermakna kita bertoleransi dengan hak dan kedaulatan negara.
- Aset-aset perairan akan ditambah dan diselenggara. Ini merangkumi perolehan baharu di bawah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia iaitu:
- 6 kapal di bawah Ship Life Extension Programme Fasa 2;
- Sebuah kapal Multi Purpose Mission Ship; dan
- 2 Kapal Ronda Generasi Baharu.
- Sejumlah 560 juta ringgit disediakan untuk memperkasa sempadan negara. Antaranya untuk:
- membina baharu dan menaik taraf ICQS di Rantau Panjang dan Bukit Berapit;
- membina dua pos sempadan baharu di Bantul dan Serudung, Sabah; serta
- membekalkan badan penguat kuasa dengan teknologi dron dan AI untuk meningkatkan capaian kawasan boleh diawasi.
- Selain itu, pembangunan pekan-pekan yang bersempadan dengan Kalimantan, Indonesia dan Selatan Thailand turut diberi keutamaan ini peruntukan mencakup penyediaan prasarana asas serba lengkap dengan peruntukan hampir 1 bilion ringgit. Ini termasuklah pembinaan jambatan yang sedang mula diselenggarakan Rantau Panjang ke Golok dan Pengkalan Kubor ke Tumpat dengan kos lebih 50 juta ringgit kerjasama dengan Thailand.
- Susulan kekangan bekalan air di kawasan ESS Zone, Sabah, 5 juta ringgit disediakan bagi membekalkan air bersih secara hibrid menggunakan air hujan dan air bawah tanah.
- Terkait urusan keluar masuk sempadan negara:
- Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia telah ditubuhkan bagi meningkatkan pengurusan keluar masuk sempadan.
- Sebanyak 63 negara telah menggunakan sistem pagar automatik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
- Kaedah kod QR telah digunakan bagi memeriksa penumpang bas dan pengguna motosikal di pintu masuk utama selatan tanah air, dan ini memendekkan masa pemeriksaan sehingga 40 peratus. 20 juta ringgit disediakan untuk terus memperkasa kawalan pintu masuk negara.
IKHTIAR 60: PENJAWAT AWAM
Di kesempatan yang sama, saya ingin mengajak keseluruhan pasukan penjawat awam untuk menerapkan budaya kerja yang baru sebagai menyemangati maksud memulih serta menambah baik kecekapan tahap perkhidmatan kepada rakyat. Sementelahan tidak ada makna sekiranya kebijakan yang kita usulkan tidak dilonjak dengan kecekapan para penjawat awam. Justeru, ketangkasan mesti disemarak dan khidmat bakti kepada rakyat mesti terangkat. Kesejahteraan penjawat awam terus terpelihara:
- Kementerian Kesihatan akan melaksanakan sistem kerja baharu di hospital dan klinik kesihatan secara bersasar. Bagi fasiliti kesihatan yang mengguna pakai sistem ini, Kerajaan bersetuju supaya Elaun Tugas Atas Panggilan dinaikkan antara 55 ringgit hingga 65 ringgit kepada Pegawai Perubatan dan Pegawai Pergigian mengikut bidang perkhidmatan dan Jabatan tertentu.
- Sejajar dengan dasar pembelajaran sepanjang hayat, Kerajaan memperkenalkan Program APEL.Q di bawah kendalian INTAN. DI bawah program ini, Kerajaan akan menanggung kos pengajian sebanyak 50 peratus atau maksimum 15 ribu ringgit kepada penjawat awam yang telah berkhidmat melebihi 15 tahun untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
- Lebih 1.8 bilion ringgit disediakan bagi membina, menyelenggara dan membaik pulih semua kuarters penjawat awam termasuk guru, doktor, anggota polis, bomba, penjara dan Rumah Keluarga Angkatan Tentera.
- Skim pembiayaan LPPSA akan memperkenalkan Skim Pembiayaan Perumahan Muda untuk penjawat awam muda memohon pembiayaan perumahan sehingga 40 tahun.
- Masih segar di ingatan, serangan pengganas di Balai Polis Ulu Tiram yang meragut nyawa dua anggota polis: Allahyarham Lans Koperal Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Allahyarham Lans Koperal Muhamad Syafiq Ahmad Said serta Sarjan Mohd Hasif Roslan yang cedera akibat terkena tembakan.
- Bagi memperkasa perlindungan sosial kepada semua penjawat awam, Skim Ex-Gratia Bencana Kerja akan diperluas dan dipermudahkan yang hilang upaya kekal semasa dalam operasi, bayaran faedah:
- Ex-Gratia Operasi sehingga 50 ribu ringgit akan diberikan bagi bencana kerja mulai tahun 2024.
- Bayaran faedah Ex-Gratia Pukal sebanyak 20 ribu ringgit turut diberikan sebagai tambahan kepada waris bagi kes kematian bencana kerja mulai tahun 2024.
- Kadar Elaun Layanan Sentiasa dinaikkan kepada 1,500 ringgit ketimbang 500 ringgit mulai 1 Januari 2025 termasuk kepada penerima sedia ada.
- Kesejahteraan para pesara dan veteran tentera tidak diabaikan:
- Kerajaan bersetuju supaya kadar Bantuan Sara Hidup berdasarkan pendapatan garis kemiskinan (PGK) untuk veteran ATM tidak berpencen dinaikkan kepada 500 ringgit sebulan ketimbang 300 ringgit pada masa ini.
- Kerajaan turut bersetuju melanjutkan bayaran Penghargaan Khas Kepada Pesara dan penerima pencen terbitan mulai Januari hingga Disember 2025.
- Saya amat terkesan dengan keikhlasan penjawat awam yang mencurahkan khidmat bakti tanpa berkira masa, tenaga dan wang ringgit, umpamanya ada contoh-contoh yang sangat positif:
- Kisah Cikgu Azam dari SK Klang juga amat menginspirasikan. Beliau telah menghasilkan Caballus RAFVI atas inisiatif dan dana sendiri untuk memberikan pengalaman indah kepada anak muridnya yang OKU penglihatan menyertai acara larian bersama rakan-rakannya yang lain.
- Ustaz Wan, seorang guru di SK Nami, Gulau Sik, Kedah secara kreatif menyediakan kemudahan bermain boling di kawasan anjung sekolah untuk anak-anak murid beriadah pada waktu rehat atas ikhtiar sendiri.
- Kerajaan amat menghargai Jangan lupa pengorbanan Pasukan MALBATT yang menyumbang tenaga dalam misi di Lubnan.
- Kita berbangga dengan pencapaian SMART yang diktiraf sebagai pasukan khas kedua terbaik di Asia Tenggara oleh PBB. Saya ceritakan beberapa kes dimana perkhidmatan awam yang membanggakan dan memenuhi harapan rakyat tetapi peringatan supaya jangan kita cuai kerana peningkatan gaji dan upah dengan harapan peningkatan tanggungjawab. Bagi mendorong penjawat awam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat termasuk menggalakkan budaya daya cipta, Kerajaan akan menganjurkan Anugerah Perkhidmatan Awam MADANI sebagai tanda pengiktirafan dengan pemberian ganjaran yang sewajarnya.
- Kerajaan membuat penstrukturan semula gaji penjawat awam kepada Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) berkuatkuasa 1 Disember 2024.
- Ini melibatkan pelarasan gaji 15% kepada kumpulan pelaksana dan professional, 7% kepada kumpulan pengurusan tertinggi.
- Penjawat awam akan memperolehi pendapatan minimum RM2,115 sebulan dan berjumlah seperti yang mana saya sebut RM10 billion ringgit untuk tahun 2025 tambahan daripada gaji yang lalu.
- Selaras dengan SSPA, pelarasan pencen juga akan dilaksanakan secara berfasa berdasarkan pelarasan peratusan ke atas gaji akhir pesara mengikut kumpulan perkhidmatan masing-masing dan ini termasuklah pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
- Sukacita saya umumkan kerajaan bersetuju memberikan bantuan khas kewangan RM500 kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak. Bantuan khas ini diberi kepada semua persara kerajaan termasuk veteran berpencen, veteran tidak berpencen sebanyak RM250. Ini disalurkan pada bulan Februari 2025. Ini bermakna Disember ada kenaikan, bulan Januari ada kenaikan bulan Februari ada Bonus,
- Atas keprihatinan terhadap permasalahan rakyat dan tantangan fiskal yang menghimput, saya amat berterima kasih kepada Tan Sri KSN dan Tan Sri KPPA, atas kepimpinan mereka, barisan Pengurusan Tertinggi Gred Utama TURUS telah menunjukkan tauladan dan secara sukarela. Mereka memberi sedikit cadangan supaya sementara menerima sistem perlarasan gaji ini tetapi mencadangkan mereka sanggup melepaskan pelarasan gaji permulaan ini untuk menunjukkan kesediaan mereka menyokong langkah-langkah kerajaan. Ini bermakna untuk TURUS memilih untuk menyumbang balik pelarasan gaji 7 peratus itu tidak akan diambil, walaupun untuk ada cadangan mereka kurang sikit saya tambah jadi 7% sedikit yang ditawarkan di bawah SSPA.
- Sementara itu, menteri-menteri serta lantikan politik juga akan terus membuat pemotongan kerana menteri-menteri masih ada potongan 20 peratus gaji dan saya Perdana Menteri masih belum mengambil sendiri tidak akan menerima gaji,jadi elok TURUS memberikan contoh yang baik.
Tuan Yang di-Pertua,
Akhirul kalam, kita bersyukur kehadrat Ilahi kerana haluan dan kemantapan negara kian jelas memancar. Angka pertumbuhan, pelaburan mula meyakinkan; pemantapan tatakelola melalui penguatkuasaan tegas dan reformasi institusi kini bertapak jelas; dan budaya mempedulikan rakyat kian berbekas. Semua ini merupakan petanda awal ke arah penjelmaan negara madani yang diidamkan. Dan demikianlah hasil permuafakatan semua pihak, pimpinan, jentera pentadbiran, pedagang-pengusaha, pekerja dan rakyat keseluruhannya. Sesungguhnya keamanan dan kestabilan ini perlu diperkukuh bagi memupuk semangat perpaduan kaum, negeri, muhibbah serta kasih sayang. Rakyat mampu terangkat dan terbela sekiranya kita semaikan ihsan, rasa cinta dan iringan doa kehadrat Ilahi.
- Mari kita hadham petikan bait-bait puisi ‘Kepada Cinta’ oleh penyair ‘Teguh Esha’ berikut:
Kepada Cinta aku bertanya: “Mengapa benci marak di sini?”
Kepada Doa aku bertanya: “Mengapa dusta laris di sini?”
Kepada Berita aku berkata: “Mengapa fakta dikhianati?”
“Kepada Sastra aku bercerita tentang kata-kata yang berubah arti..
Banyak orang bicara cinta sambil menyebar bara benci
Banyak nian para pendusta berlagak kawan sejati
Banyak orang menghafal doa tapi mereka tidak mengerti
Banyak orang berbuat dosa tapi berlagak suci..”
Kepada Cinta aku berkata: “Padamkan benci di banyak diri…”
Kepada Doa aku bisikkan: “Tetaplah murni jangan tercemari!”
Kepada Rindu aku kisahkan: “Doa dan cinta kekal abadi..”
Kepada Allah aku memohon: “Teguhkan aku di semua sepi..”
Sekian, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mencadang.
Similar Posts:
- KERAJAAN TIDAK BERCADANG PERKENAL GST, CUKAI KEPENGGUNAAN BERASAS LUAS TANGANI ISU HUTANG NEGARA – PM ANWAR
- KERAJAAN TUMPU USAHA TURUNKAN HARGA BAHAN MENTAH – PM ANWAR
- PM ANWAR BERI JAMINAN TADBIR URUS TERBAIK DI MALAYSIA
- KEMAKMURAN DIKECAPI 2022 PACU DAYA TAHAN EKONOMI NEGARA 2023
- KERAJAAN AKAN BERI TUMPUAN KEPADA SEKTOR PERKHIDMATAN DALAM BELANJAWAN 2023