TEKS VERBATIM SESI TOWNHALL BERSAMA YAB PERDANA MENTERI SEMPENA PROGRAM 2 TAHUN KERAJAAN MADANI DAN KONVENSYEN NASIONAL REFORMASI PERKHIDMATAN AWAM TAHUN 2024

          

TEKS VERBATIM

SESI TOWNHALL BERSAMA

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

 

PROGRAM 2 TAHUN KERAJAAN MADANI

DAN KONVENSYEN NASIONAL REFORMASI PERKHIDMATAN AWAM TAHUN 2024

 

MADANI DI HATI, RAKYAT DISANTUNI

 

 

23 NOVEMBER 2024 (SABTU) | 11:00 PAGI

 

KUALA LUMPUR CONVENTION CENTRE

 KUALA LUMPUR

 

Mukadimah

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh

 

Alhamdulillah,

Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem

 

Salam Sejahtera kepada saudara-saudara Timbalan-timbalan Perdana Menteri,

 

YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi,

Timbalan Perdana Menteri Dan Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah;

 

YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof,

Timbalan Perdana Menteri Dan Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air;

 

YB Tan Sri Dato’ (Dr.) Johari bin Abdul,

Yang di-Pertua Dewan Rakyat;

 

YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar,

Ketua Setiausaha Negara;

 

Menteri-menteri, Timbalan Menteri, Setiausaha Kerajaan negeri dan semua yang hadir.

Terima kasih banyak.

 

  1. Kita mengadakan acara dua tahun ini terima kasih atas inisiatif Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan jentera Kerajaan sekadar untuk menjelaskan kepada rakyat apa yang dilakukan selama dua tahun ini, mendengar keluhan dan pandangan mereka supaya dapat kita perbaiki kekurangan dan kelemahan yang ada.

 

  1. Tetapi tentunya sebagai manusia kita tahu negara kita dalam keadaan yang aman, penghargaan kepada jentera keselamatan, tentera, polis dan semua penguatkuasa kerana ini menjadi suatu asas memungkinkan kita maju dalam pelbagai bidang dan kesyukuran kita kepada Allah SWT kerana berkat keamanan ada petanda-petanda yang telah diumumkan tadi dan ditegaskan dalam ucapan KSN; pertumbuhannya, pelaburannya dan pengiktirafan kepada Negara.

 

  1. Jadi kita mulakan dengan mengatur puji dan syukur kepada Allah SWT kerana kesyukuran itu sebagai satu keperluan bagi orang yang tahu, syukur pada Allah SWT atas nikmat yang dilimpahkan ‘wa-idh ta-azzana rabbukum la-in syakartum la-aziidannakum wa la-in kafartum inna ‘adzaabi lasyadiid’. Maknanya kalau kita bersyukur ke hadrat Allah SWT atas nikmat dan janganlah menolak kufur nikmat itu kerana orang yang mengingkari nikmat itu akan menerima seksa yang pedih.

 

  1. Saya tidak berhasrat untuk menyatakan semua kejayaan-kejayaan kerana di dalam paparan, laporan yang kita berikan dan tentunya ada ruang yang harus diperbaiki tetapi satu kenyataan yang harus diingat ini dimungkinkan kerana sistem politik yang stabil. Kestabilan itu berkat kerjasama pimpinan negara. Sebab itu saya minta umpamanya Timbalan-timbalan Perdana Menteri itu hadir bersama di ruang ini dan tidak menjadi hanya satu ruang pidato seorang Perdana Menteri. Ini juga petanda bahawa rakan-rakan Menteri-menteri yang memberi sumbangan yang tinggi, khidmat yang baik kepada negara kita.

 

  1. Sekiranya saudara telusuri kegiatan-kegiatan ini, program-program itu memenuhi hasrat negara MADANI kerana banyak anjakan yang dilakukan oleh mereka dan keberkesanan pelaksanaan dasar ini adalah kerana komitmen atau iltizam barisan penjawat awam yang menunjukkan kesediaan mereka untuk melakukan reformasi dan perubahan serta pelaksanaan yang jauh lebih cekap sekarang.

 

  1. Sebagai negara dagang yang berjaya kerana keupayaan kita mengeksport barangan pengeluaran kita yang tradisional seperti kelapa sawit, industri asas pertanian tetapi mula merangkak ke bidang industri dan sekarang semikonduktor sebagai hab tentunya kebijaksanaan pimpinan penjawat awam yang cekap dan swasta yang gigih dan punyai keupayaan untuk mencungkil bakat dan masuk gelanggang dan bidang yang baru dan mencabar.

 

  1. Jadi swasta dalam peranan dan sikap negara MADANI ini punyai juga peranan yang sangat kritikal untuk menjayakan kerana kemahiran kepakaran ada pada mereka. Kita hanya menjadi penjana, pemangkin untuk mempercepatkan proses, tetapi yang paling menarik dan penting adalah tenaga kerja di kalangan rakyat baik pekerja ataupun petani atau nelayan yang menunjukkan kesediaan mereka menjayakan dan menjadikan Malaysia ini negara yang hebat, terkenal, dihormati dan membela nasib mereka sendiri.

 

  1. Jadi saya harus tekankan di sini bahawa Malaysia MADANI sementara kita hanya mempamerkan kerja-kerja yang dilontarkan atau idea yang lontarkan oleh pimpinan, tetapi ia tidak akan bermakna kalau tidak ada kesediaan pasukan yang mantap begini, kerjasama dengan negeri-negeri dari Perlis hingga ke Sabah dan Sarawak, Johor dan semua negeri. Tidak sebut pula tadi Menteri-menteri besar minta maaf, Menteri Besar Negeri Sembilan dah merenung saya mengapa tertinggal Negeri Sembilah, dan Selangor, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan semuanya (nada seloroh).

 

  1. Saya nak tekankan di sini bahawa yang kita jelaskan adalah soal perubahan yang menyeluruh dan perubahan menyeluruh itu tidak mungkin berlaku tanpa komitmen dan penyertaan semua. Sebab itu saudara lihat dalam beberapa perbincangan termasuk di Parlimen, ini Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat pun ada, kita tidak terlalu sangat melayani kerenah picisan dan kenyataan-kenyataan hambar kerana itu tidak akan membantu kerana setiap langkah yang dibuat umpamanya yang disinggung tadi. Kita diiktiraf bukan kerana Perdana Menteri tetapi kerana negara ini aman, negara ini memacu pertumbuhan kerana pasukan itu bersuara dengan sederap dengan satu nada.

 

  1. Jadi bila sebut saja umpamanya masalah Gaza atau Palestin, suara kita didengar. Tetapi sementara satu dunia iktiraf, masih ada suara-suara mengatakan kita ini masih keliru untuk menyokong Israel. Baru-baru ini saya ke lima negara tentunya memakai pesawat Malaysia Airlines (MAS) dengan belanja tentu tinggi. Jadi kita anjurkan syarikat-syarikat swasta yang ada potensi sama ada untuk melabur atau sedang melabur seperti PROTON, PETRONAS, YinsonGroup, Sapura Energy, syarikat-syarikat semikonduktor Top Glove dan lain-lain. Mereka menyertai rombongan dan membayar kos, tetapi itu pun jadi salah.

 

  1. Jadi negara ini kadang-kalau kita layan sangat yang curi yang rompak yang sakau itu dipuja tetapi yang kita cuba jalankan program cara bersih itu dicerca, ini dikatakan jaman Edan – zaman separuh gila. Sebab itu saya katakan dalam kerangka ini dan termasuk Konvensyen Perkhidmatan Awam hari ini dan esok, kita tegaskan apa rancangan baru kita. Ya masalahnya ada, hutang masih banyak, keterlanjuran dan rasuah masih lagi berlaku tetapi kalau ditanya saya seperti mana saya tegaskan sebelumnya apa dia keistimewaan dalam Kerajaan MADANI ini? Adalah ketegasan pimpinan yang bermula di Jemaah Menteri untuk menetapkan setiap dana rakyat, setiap kelulusan perolehan mesti melalui proses yang telus, tender yang telus dan tidak diizinkan penyelewengan, rasuah dan amalan menyalah guna kuasa seperti mana lazim dikenal di negara ini.

 

  1. Dan ini bagi saya bukan mudah, ia memerlukan tekad politik yang jelas dan kerjasama satu barisan pimpinan. Kemudian dasar, puluhan dasar yang diperkenalkan supaya pelabur semikonduktor, dia nak tahu dasar kita mengenai semikonduktor. Pelan perindustrian, transisi tenaga, digital transformation. Sebab itu bila kita sebut Google, Microsoft, AWS, NVDIA betul dia dengar kita tetapi dia lihat apa dasar kita, jelas atau tidak? dan apakah langkah-langkah diambil menyusuli keputusan dasar dan tindakan-tindakan sesuai dan kita akui.

 

  1. Apa keistimewaan kita? tidak ada nada bongkak dan sombong. Tiap pakar yang datang bermula daripada orang ulama macam Sheikh Al-Allamah Sheikh Abu Bakar bin Ahmad Al-Malibari, seorang muhaddis menguasai hadis sahih Al-Bukhari yang terkenal di dunia. Kita ambil manfaat dan kita dengar, minta dia latih. Kemudian datang Google, kita dengar pandangan dia, apa kekuatan kita, apa kelemahan kita, apa yang dilakukan oleh negara-negara yang lebih maju, lebih berjaya daripada kita, yang sesuai yang wajar kita laksanakan. Kita ke Abu Dhabi dan melihat kejayaan Universiti Mohamed bin Zayer, Artificial Intelligence (AI) University dan kita pulang dan ambil idea itu, sesuaikan dan laksanakan fakulti dan program AI.

 

  1. Maknanya kita ada sikap Tawaduk, humility to acknowledge that we have our limitations, we have to acquire knowledge and to understand the demands and dictates of the time. Dan ini bagi saya, sifat kepimpinan yang perlu ada. Kita tidak akui atau anggap kita punyai penyelesaian kepada semua masalah tetapi kita ada kekuatan untuk mendengar, menimbang dan melaksanakan dan kekuatan itu kekuatan tekad politik, dasar yang jelas dan penjawat awam yang cekap dan sedia terima kenyataan bahawa dunia berubah dan dunia memerlukan cara kaedah dan tindakan penjawat awam yang lebih cekap dan lebih berkesan. Ini pasukan yang perlu.

 

  1. Anak-anak muda kita punyai peluang, sebab itu TVET, program AI diperluaskan dan sistem pendidikan terpaksa rombak. Kita tegas dalam soal pemerkasaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, tidak ada tolak ansur tetapi kita juga akui keperluan penguasaan bahasa Inggeris yang cukup baik dan kita terangkan secara terbuka dengan menghadapi semua risiko kerana ada yang menganggap ini sebagai sesuatu penyelewengan daripada dasar utama tetapi kita tegas bab itu kerana penguasaan bahasa Inggeris sekarang sudah menjadi keperluan dalam beberapa bidang baru, teknologi baru AI dan juga perdagangan antarabangsa.

 

  1. Dan kita mengambil sikap terbuka penguasaan bahasa-bahasa lain, bahasa Mandarin bukan lagi bahasa suku kaum Cina tetapi bahasa ekonomi rantau yang penting kerana kemaraan negara China sekarang ketimbang 50 tahun yang lalu. Maka kalau anak-anak kita menguasai bahasa Cina, bahasa Mandarin itu menguntungkan kita, begitu juga bahasa Tamil.

 

  1. Sementara itu, kita akui kepelbagaian ini menuntut kita menghormati dan memuliakan hak masing-masing. Islam mesti kita hayati dan mesti memaknai Islam sebagai agama Persekutuan. Tetapi kita akui bahawa negara Malaysia ini pemahaman Islamnya itu tidak melampau, tidak menyekat kebebasan dan tidak menghalang kemaraan dan amalan agama-agama lain sama Kristian, Buddha, Hindu dan lain-lain. Dan ini kita kena bicara secara terang. Barulah negara MADANI ini dimaknai.
  2. Jadi saudara saudari, saya nak tegaskan di sini ini prakarsa yang penting dan dalam memaknai MADANI, memahaman ini penting. Sebab itu kita mulakan dengan pencerahan sama ada bicara soal bahasa atau agama atau AI atau digital atau transisi tenaga, penguasaan maklumat dan pemahaman itu penting. Kalau tidak mudah kita diperkotak-katikkan. Alhamdulillah kita punyai negara dan tahap keamanan yang membanggakan tetapi jangan anggap ini sesuatu yang kekal berlaku kalau kita tidak bertanggungjawab.

 

  1. Izinkan umpamanya simpang siur, porak-peranda oleh penghasut yang desperate, Nak menang cara hujah yang munasabah tidak boleh, yang boleh hanya maki dan hasut. Nak menang cara berhemah dan hikmah tidak mampu, maka caranya memfitnah dan mengaibkan. Ini pun belum cukup berjaya maka di permainkan isu kaum dan sentimen agama atau puak dan kenegerian dan wilayah. Sebab tu saya kena ingatkan Malaysia ini tegak kerana ada sikap tolak ansur, kerana sikap memuliakan.

 

  1. Sebab itu dalam MADANI ini soal Ihsan itu penting, soal kemanusiaan itu, soal nilai dan akhlak. Kita berbeza dari segi kaum dari segi bahasa dari segi agama dari segi budaya dan juga warna kulit tetapi kita ada kekuatan kerana kita terima kenyataan tentang ‘Karamah Insaniyah’ itu sendiri, maknanya mengangkat martabat manusia.

 

  1. Perbezaan-perbezaan harus dibicara, dirunding cara baik. Siapa pun boleh hasut sentimen kaum, sentimen wilayah mudah menarik tetapi mudah juga memecah dan memporak-perandakan. Tidak ada negara di mana ada simpang siur politik yang ribut yang mungkin berjaya dalam bidang ekonomi. Yang berjaya hanya menghancurkan kekuatan yang ada. Jadi sebab itu saya mahu hal ini dijelaskan.

 

  1. Pemahaman itu perlu, dengar teliti jangan permainkan isu-isu yang mungkin merosakkan. Sebab itu saya puji tindakan badan penguatkuasaan sama ada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tidak boleh amalan-amalan dahulu. Kamu ada kekayaan, kamu ada pengaruh kamu bayar cukai kurang. Kamu ada kekayaan, kamu berpengaruh, kamu bolot kekayaan berpuluh bilion pun tidak ada siapa akan sentuh. That must end with this government MADANI sekarang ini.

 

  1. Dan kita harus tahu, sebab itu dalam Al-Quran itu jangan kita selindung ‘Wa laa talbisul haqqa bil baatili, wa taktumul haqqa wa antum ta’lamoon’. Jangan kita cuba selindung, bagi kenyataan. Kalau ada kelemahan kita terima kelemahan. Kalau harus kita perbaiki kita perbaiki. Tetapi kita tidak mungkin bercelaru di antara hak dengan batil. Saya lihat umpamanya kesungguhan MADANI untuk membersihkan negara dari jijiknya amalan rasuah yang sudah hampir menjadi sistemik dalam negara kita.

 

  1. Kalau dulu pergilah mana-mana pun di dunia, Malaysia dikenali sebagai negara yang korup. Kita mesti hapuskan tetapi jangan anggap ini mudah, seperti mana kita lihat baru-baru ini, lebih menyinggung orang-orang yang kaya-raya, yang maha kaya, yang membolot kekayaan itu yang mempertahankan tu ramai. Saya kadang-kadang bingung bagaimana mungkin seorang pejuang bangsa atau agama boleh bangkit pertahankan yang korup, menggunakan hujah Melayu dan Islam dan tidak mengizinkan tindakan oleh badan-badan penguatkuasaan.
  2. Jadi sebab itu saudara-saudara, jangan kita kelirukan seperti mana yang ditekankan dalam Al Quran ‘wa laa talbisul haqqa bil baatili’. Itu jangan kerana kalau tidak, negara tidak mungkin maju. Saya nak akhiri dengan menyebut kalau kita tegaskan landasan ini dengan dasar yang jelas, bekerja sebagai berpasukan, berilah hanya beberapa tahun lagi saya yakin, bukan saya angkuh astafirullahalazim, saya yakin saudara-saudara kalau Malaysia ini di tahap ini bekerja bersungguh dan ramai yang memberi sumbangan, betul saya pergi ke Mesir, saya jumpa dengan Presiden Mesir Abdel-Fattah al-Sisi, tetapi yang bekerjanya Kementerian Luar Negeri, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan tinggi. Ini semua yang telah menjalankan kerja yang membolehkan saya diberikan pengiktirafan dan kemudian menyelesaikan beberapa isu yang berbangkit.

 

  1. Jadi saya tidak pernah anggap sumbangan yang diberikan oleh pegawai-pegawai dan rakan-rakan dalam agensi itu tidak penting. Tapi kita kena harus ingat semua, kita harus harus bersedia untuk memperbaiki sebab itu sekarang ini selain daripada Finance and Fiscal Responsibility Act (FRA), Ketua Audit diperkasa, SPRM lebih kukuh, bagi saya ini semua agenda reform yang kita laksanakan. Ada orang yang buat penilaian diketepikan hal ini maknanya rasuah jadi nombor 10 dalam kategori penilaian. Yang nombor satu entah apa.

 

  1. Oleh itu jangan kita hanya terbawa-bawa dengan sentimen yang negatif. Saya masih yakin seandainya setelah melihat kemampuan kita dua tahun ini, dengan pasukan dan penjawat awam dan sektor swasta dan keghairahan anak muda diberi latihan, lalau kita dapat teruskan, tingkatkan sedikit lagi apa yang dikatakan dalam istilah pengurusan sekarang nudge sikit lagi, saya yakin insya-Allah beri ruang kita lihat wajah Malaysia di dalam negara dan di seantero dunia akan dilihat Malaysia yang gagah, yang baru, yang hebat Insha-Allah.

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Soalan 1

EKONOMI MADANI

Dalam dokumen Ekonomi Madani, ada gagasan meningkatkan lantai pendapatan. Sudah ada inistiaf gaji minima, gaji progresif tapi di akar umbi tetap resah dgn kos sara hidup. Adakah 2 tahun masih terlalu awal untuk rakyat merasakan kesan ekonomi MADANI?

 

Jawapan:

Bila ada perubahan, harapan atau expectation rakyat juga menggunung. Dia minta selesaikan semua, seperti soal penyasaran subsidi. Itu suatu keperluan, semua Kerajaan sebelum ini. Cuma tidak ada yang berani lakukan. Kerana risikonya ada dan kerana akan digunakan oleh pembangkang untuk menyerang walaupun mereka dulu mencadangkan. Semua parti politik dalam negara kita termasuk pembangkang pernah mengusulkan. Baik. Tapi kalau kita tidak lakukan, apa maknanya? Maknanya kelemahan ekonomi, kekuatan fiskal dan rating malaysia. dan pelaburan. Semua itu akan terjejas.

 

Jadi sebab tu kita kena guna pertimbangan yang rasional. Cuma pelaksanaannya seperti mana dirangka oleh Kementerian-kementerian, Kewangan, Ekonomi dalam merangkakan itu, bagaimana melaksanakan yang harus dilakukan tetapi dengan dampak yang paling kecil atau minima ataupun tidak memberi dampak kepada rakyat secara umum. Sebab itu kita kata 85% tidak terkesan.

 

Tapi kita akui daripada zaman sebelum merdeka sampai sekarang, inflasi itu ada. Tidak pernah ada tahun di mana harga secara spontan semua menurun. Tidak berlaku begitu dalam dasar ekonomi. Walaupun naik kecil, harga minyak, harga tepung, harga gula, harga minyak mentah, semuanya itu lebih rendah ketimbang negara-negara jiran. Tapi masih menjadi masalah kerana kita tidak ukur harga minyak di Singapura, Thailand atau Indonesia. Kita ukur dari segi keupayaan kita dan gaji kita.

 

Jadi sebab itu kita ambil keputusan di bawah kuasa Kerajaan, pertama naikkan gaji perkhidmatan awam, itu bawah tanggungjawab kita. Walaupun masalah ekonomi itu kalau kita lihat purely dari segi rasional ekonomi mungkin bukan timing. Tetapi setelah mereka menunggu 12 tahun dan kita kejutkan mereka, kerahkan mereka bekerja lebih kuat, saya fikir sesuai. Ini disusuli dengan semua GLICs yang juga jumlah ratusan ribu pekerja. Jadi kalau kumpulan itu kohort penjawat awam, GLICs dan dengan gaji progresif kita usulkan, saya rasa ni bukan masalah harga barang naik. Harga barang itu kita boleh kawal pada suatu-suatu tahap tetapi tidak mungkin kawal harga dari naik kerana pendapatan naik. Gaji petani dan nelayan tahun ini ketimbang masa 10 tahun yang lalu tentu lebih tinggi.

 

Maknanya harga barang mungkin naik, yang perlu ialah naik kadar upah dan gaji dan itu cabaran kita terbesar dan kita lakukan untuk penjawat awam, untuk GLICs yang ratus ribu pekerja dan disusuli oleh tekanan kita kepada syarikat-syarikat swasta terutama yang lebih maju dan untung. Kemudian tentunya langkah-langkah seperti gaji minima yang masih terlalu rendah. Siapa kata gaji minimum RM1,700 itu tinggi? Tetapi sekurang-kurangnya ada kenaikan. Itu pun dibantah. Masih ada yang bantah kenaikan gaji minimum kerana ada yang kata tidak upaya, Maka kita terpaksa laksanakan secara berperingkat. Tapi akhirnya bagi Kerajaan apa kita patut remehkan? Tidak. Sebab itu kalau kata Kementerian Pertanian, Kementerian Pengguna itu mengambil langkah apa yang wajar dan ini ada kaitan juga tentang kartel, tentang rasuah, tentang kebocoran dan tirisan. Ini juga harus dilakukan. Sebab itu saya katakan kena laksanakan secara menyeluruh.

 

Saya akui dua (2) tahun terlalu awal untuk menilai. Tapi jangan tunggu 10 tahun. Yang keduanya ada langkah-langkah yang mampu kita laksanakan segera. Umpamanya STR iaitu Sumbangan Tunai Rahmah. Itu sudah RM10 bilion. Ini kita tak tunggu 5 tahun. Dalam setahun ditambah jadi RM10 bilion. Kemudian bantuan-bantuan sekolah, kesihatan, sekarang sekolah autisme. Semua itu ditambah dan kalau saudara lihat umpamanya tahun-tahun yang sebelum ini dari segi jumlah bantuan kepada rakyat itu peningkatannya sangat tinggi. Sangat tinggi ya, yang belum pernah dilakukan kalau kita lihat dari segi angka, baik STR atau bantuan untuk orang miskin atau untuk OKU atau untuk anak-anak pergi ke sekolah. Ini semua bantuan-bantuan yang meningkat secara pantas yang belum tercatat sebelum ini. Tapi apakah ia sepenuhnya memuaskan? Saya fikir tidak mudah. Cuma ini langkah yang kita upaya.

 

Sebab itu saya katakan sementara gaji penjawat awam naik, gaji menteri tak naik dan masih ada potongan 20%. Bila saya kata saya tak ambil gaji, kena sindir. Jadi saya fikir mungkin tahun depan saya kena ambil baliklah (nada seloroh). Aneh tak? Kita tak ambil, gaji elaun parlimen kita ambil. Azizah pun ada elaun parlimen jadi campur-campur okay lah. Saya bukan miskin. Batik pun cantik, ini baru. Tetapi dia jadi bahan remeh. “Oh Nabi Muhammad pun tak ambil gaji”. Saya tak pernah dengar lah saya mungkin tak berapa pandai tapi saya tak pernah dengar kata Nabi Muhammad tak ada gaji. Tapi demikianlah politik picisan yang ada. Dia tidak hargai langkah. Dia boleh kritik, dasar ini belum cukup, digital belum, YB Gobind tak kerja kuat. Tak apa, saya tak ada masalah. Jangan asyik kritik Perdana Menteri sahaja. Tetapi bagi cadangan. Ini tidak ada cadangan. Yang ada hanya maki hamun. Jadi ini juga menghasut sebahagian daripada rakyat. Sebab itu saya katakan kalau mahu MADANI ini Berjaya, pencerahan mesti ada. Rakyat boleh dengar semua pandangan, boleh guna media sosial. Tetapi harus nilai, ada asas ilmu untuk menilai. Kalau tidak kita dengar satu pihak dan terus kita buat keputusan, dia akan merosakkan.

 

 

Soalan 2

Banyak reformasi berpusat di persekutuan dan tidak semua dapat atau mampu disambut di peringkat “state” sepertinya space pusat dan negeri tidak sama, Minta komen Datuk Seri.

                                                     

Jawapan:

Itu tidak semestinya tepat sebab dasar-dasar negara itu dasar yang diperuntukkan di peringkat persekutuan dan beberapa majlis dengan negeri kita berbincang dengan negeri, dasar tanah, dasar digital, dasar pelaburan, dasar pembangunan fizikal itu perbincangan dengan negeri dan sangat kerap. Kalau tengok jadual dari KSN pertemuan kita dengan negeri bawah MADANI itu paling kerap dan telah disebut oleh Saudara YAB Dato’ Fadillah Yusof sebentar tadi perbincangan kita malah lebih daripada itu, kita prgi kepada negeri kita bagi pandangan dari persekutuan dan kita minta pandangan balas negeri dan kita ubah suai dasar ikut keperluan negeri. Jadi oleh itu, saya tidak fikir ini tidak terlalu banyak masalah, cuma cadangan baharu yang KSN bangkitkan dan semua Setiausaha Kerajaan Negeri ada iaitu mahu mengesahkan, iaitu ‘commit’ mempunyai iltizam bersama untuk melaksanakan program-program reform penjawat awam juga diterima oleh negeri dan ini untuk kebajikan bersama. Tentu ada negeri yang punyai sedikit keutamaan yang agak berbeza saya tidak fikir itu masalah, itu kalua saya dalam perbincangan saya dengan semua Menteri Besar termasuk Menteri Besar pembangkang saya kata dalam soal urusan kerajaan runding dengan baik, dalam soal keperluan kita laksanakan berbeza politik parti itu kita ketepikan jadi saya belum nampak ada pertentangan dalam hal ini.

 

Tentunya kadang-kadang disebut dalam dibangkit sedikit dalam soal pendapat ini mengenai royalti tapi saya bagi angka untuk Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu itu jauh lebih tinggi daripada tahun-tahun sebelumnya dan kalau kita kumpulkan lebih tinggi daripada jumlah royalti yang kita ambil. Tapi fakta itu kadang-kadang tidak sampai di bawah kerana ini soal politik. Tetapi kalau soal kemiskinan, kemudahan awam, kesihatan, kemudahan asas, kerosakan-kerosakan umpamanya macam di Terengganu bila soal keruntuhan tebing Tasik Kenyir itu kita segerakan, tidak ada pertimbangan lain. Kalau ada keperluan RM 200 juta lebih kita luluskan dalam tempoh yang segera, bagi saya ini penitng dan saya minta kedua-dua persekutuan dan negeri dan bukan saya sahaja bila menteri-menteri ke negeri kebanyakannya juga berbincang dengan Menteri-menteri Besar termasuk dari pembangkang jadi bagi say aini urusan kerja kita, soal kerjasama dari segi persekutuan cukup jelas. Kalau negeri beri sikap yang positif ia memudahkan, kalau negeri beri sikap yang bengis ia mempersulitkan. 

 

Soalan 3:

Ada juga yang tanya di sini tentang ekonomi yang semakin mendadak berubah ini. Datuk Seri bawa masuk FDI tapi industri belum nampak bakatnya. Saya nak beri ruang 2 minit untuk Datuk Seri berkait tentang townhall ini 2 tahun Kerajaan MADANI dan kemudian konvensyen Reformasi Perkhidmatan Awam

 

Jawapan:

Bagi saya kita di landasan yang sudah betul tapi mesti ada peningkatan. Benar Munawwar sebut tadi jangan kita hanya anggap apa yang kita akan dapat. Kerosakan pimpinan negara begitu. Jadi Perdana Menteri atau Menteri Kewangan apa yang aku dapat? Lepas aku dapat, isteri aku dapat, lepas tu anak aku dapat, lepas tu menantu aku dapat. Ini yang tinggal sedikit itu barulah rakyat dapat. Ini macam filem P Ramlee, satu untuk kamu, 10 untuk aku.

 

Jadi ini saya ingat satu yang perlu kita lanjutkan. Kemudian perkara-perkara baru macam AI siapa yang tahu 10 tahun 20 tahun yang lalu? Tapi ini satu keperluan. Mahasiswa boleh kemukakan kita perlukan ini, cadangan-cadangan ini untuk perbaiki. Jadi saya fikir untuk maju ke depan, kita harus terima kenyataan manusia itu sendiri dan negara tak boleh di landasan atau tahap yang lama. Dia mesti ada kesediaan untuk bawa perubahan dalam kehidupannya, dalam sistem pemerintahannya, dalam tatakelolanya mesti ada lonjakan.

 

Islam itu juga satu agama yang dinamik, dia tidak beku, dia tidak statik, sebab itu ada hijrah. Hijrah itu meninggalkan yang lapuk, yang lemah, yang jahiliah kepada yang baru. Tapi bila kita bawa Islam, kita nak kekal di takuk yang lama, fahaman kita, sikap kita, perkauman kita, kesempitan kita. Jadi saya ingat keseluruhannya. Kita berbicara hal negara ini bicara semua. Budaya, bahasa sastera, teknologi, sains, segala kecanggihan. Jadi ini memerlukan sikap kita yang lebih terbuka.

 

Jadi kalau tanya saya, apa yang harus kita lakukan? Lakukan sebaiknya “islah mastata’tu” itu dibacakan tadi. Maknanya kita harus ada sikap nak bawa perubahan ini. Negara tidak boleh. Saya mohon maaf lah tekankan perkara ini sebab itu saya mula dulu sampai orang sebahagian dia dah tak senang dengan kenyataan bahawa tatakelola harus betul. Kalau tidak wang banyak mana pun seperti mana yang saya ungkapkan pandangan Mahatma Gandhi, “the world is enough for every man’s need, but never enough for every man’s greed”. Jadi kalau kita ambil sikap itu, keperluan manusia boleh kita isi. Hutang masih tinggi tapi boleh kita tangani. Saya yakin sebab siapa jangka jumlah pelaburan sedemikian. Iya katanya hanya pengumuman, tapi tak betul pengumuman. Lihat NVIDIA dah jalan pembangunannya di Johor. Google dah beli tanah dan telah mula dan di Cyberjaya beberapa data center sudah beroperasi. Dan 1 hari bulan Disember nanti saya ke Kenyir untuk floating solar bersama TPM. Jadi floating solar oleh PETRONAS, TNB. The biggest floating solar in the country untuk memenuhi keperluan energy. Kalau kita kata data center dia nak air bertambah, energy bertambah. Jadi ada kerangka itu.

 

Kemudian ada personal AI, maka fakulti AI. Ini YB Zambry, kalau lambat dia lah (nada seloroh). Maknanya kita kena teliti. Sebab itu dalam mesyuarat Jemaah Menteri dengan rakan-rakan saya kita teliti tiap apa nak dengar. Jumpa NVIDIA dia sebut ini, dan jumpa Microsoft dia sebut ini, kemudian jumpa Sheikh Al-Azhar dia sebut bahasa Arab, perlu. Saya kata bahasa Arab ramai dah belajar bahasa Arab. No. Dia kata mutu penguasaan bahasa Arab masih tidak baik. Siapa sebut? Sheikh Al-Azhar, professor-profesor Al-Azhar. Dia bagi penghormatan kita berucap di depan mereka. Tapi mereka bagi tahu penguasaan di kalangan mahasiswa masih lemah. Jadi dia usulkan untuk mewujudkan Institut Bahasa Arab dan kita letakkan di USIM. Semua itu harus kita kerjakan. Kemudian latihan kita gabungkan, mutu latihan harus berbeda. Semua ini dilakukan. Maknanya ada kejayaan.

 

Satu perkara saudara ingat bila kita kata ada pelaburan Google atau Kulim Hi-Tech atau kita nak buat KIGIP di Kerian, first green high tech di negara kita bahkan di rantau ini. Jadi orang membuka mata. Semikonduktor kita jadi hab. Kalau saudara dengar tadi Lima, Peru bagaimana Google dan Microsoft memberikan tumpuan kepada Malaysia di hadapan ratusan pengusaha-pengusaha dunia dan pelabur-pelabur dunia dia bagi pengiktirafan. Saya Syukur, tapi saya tidak perasan. Saya dah mula risau apa yang harus kita lakukan. What about the training? What about our expertise? What about our AI? Sekolah, YB Fadlina dia boleh cepatkah buat perubahan? Itu semua cabaran. Kita dah umum, tidak mudah sebab kita melibatkan satu negara. Tetapi semua perkara ini you bawa pelaburan AI, siapa yang nak kerja? Siapa nak train? Engineer tak cukup, AI expertise masih lemah. Kemudian prasarana dia, jalan kena baru, kemudian bekalan air kena tambah, energy kena tambah, wang tak tambah.

 

Saudara-saudara, ini saya sebut sebab itu supaya saudara faham bila nak urus negara ini dia bukan hanya propaganda murahan atau jerit-jerit macam kita dok dengar. Dia mesti ada kesediaan memikir semua. Kita dah ada pelan bagaimana nak execute plan. Jadi bila sakit kata Sambutan MADANI 2 tahun ini untuk apa? Untuk kita lihat kemajuan dan kemudian lihat langkah-langkah baru sama ada kelemahan atau kekurangan yang harus kita berikan tumpuan.

 

Sebab itu saya kalau akhir kalam saya nak katakan apa nasihat atau pandangan saya sebagai orang tua dalam negara ini. Saya kata, fokus kerja masing-masing dengan sebaik mungkin. Jangan anggap kita ini sudah buat yang terbaik. Kita usaha yang terbaik. Bagaimana kita tahu baik tak baik kita kena dengar pandangan lain. Kita kena banding kekuatan dengan negara-negara lain. Kita tengok persaingan begitu hebat. Jangan banding dengan negara yang lemah, banding dengan negara yang lebih maju dan lihat apa aspek yang harus kita pelajari. Apa yang harus kita perbaiki. Apa? Tetapi mulalah daripada yang asas.

 

Sebab itu bagi saya, governance nombor satu adalah tatakelola. Yang kedua jaga orang yang tersisih, yang miskin, yang terdampar kerana orang-orang ini tidak ada ruang untuk menyuara dan mengharapkan kita pimpinan untuk membela nasib mereka. Sebab itu bagi saya soal kemiskinan, kemiskinan tegar, soal orang OKU, soal Orang Asli, orang di pedalaman, miskin bandar mesti diberi keutamaan. Kita bina dewan yang megah begini? Iya Kuala Lumpur harus terkenal. Nak buat sidang ASEAN mesti dewan yang hebat. Tapi jangan lupa gerai-gerai ini dimanfaatkan oleh 80% rakyat Kuala Lumpur. Bukan di hotel besar, bukan di restoran. Saya bukan remehkan kepentingan hotel besar. Saudara mampu saudara pergi. Tetapi bagi yang penggubal dasar, YB Zaleha dan Datuk Bandar saya beritahu, jangan dia fikir pembangunan ini bermakna hijau, bermakna gerai mesti dibersihkan kerana ini digunakan oleh 80% lebih rakyat Kuala Lumpur.

 

Ini pendekatan-pendekatan baru yang kita katakan ada anjakan daripada dulu. Jangan fikir yang besar-besar sahaja kerana dia juga melibatkan pengguna-pengguna peringkat bawah. Kalau dia nak bawa pemainnya projek-projek mega semua memang cantik tetapi orang miskin tak mampu manfaatkan. Jadi semua ini melibatkan jentera kita dan kesediaan Menteri, KSU, KP dan jentera di semua peringkat. Kita adakan forum ilmuan bulanan sekarang yang diselaraskan oleh Menteri KPT untuk mendengar. Saudara ingat Menteri-menteri ramai dengar seorang sarjana di universiti, Menteri berucap seorang, seorang dari universiti, salah seorang daripada pihak swasta. Jadi tiap bulan kita ada Menteri bagi pandangan, kita ada seorang ilmuan bagi pandangan, kita ada seorang swasta bagi pandangan. Jadi Menteri-menteri dengar. Ini bagi saya suatu tradisi baru di mana kita boleh memanfaatkan kekuatan yang ada dalam negara kita.

 

Wasssalamualaikum warahmatullahhi wabarakatuh.             

 

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.