TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
KARNIVAL FLYSISWA 2024
12 DISEMBER 2024 (KHAMIS) | 2:30 PETANG
DEWAN AGUNG TUANKU CANSELOR,
UiTM, SHAH ALAM
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Salam Sejahtera dan Salam Malaysia MADANI.
Alhamdulillahi rabbil ‘alamin
Nahmaduhu wa nusalli ala rasoolihil kareem
Yang Amat Berhormat dato’ Seri Amirudin bin Shari,
Menteri Besar Selangor;
Yang Berhormat Tuan Loke Siew Fook,
Menteri Pengangkutan;
Yang Berhormat Senator Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry bin Abd Kadir,
Menteri Pengajian Tinggi;
YBhg. Profesor Datuk Dr. Shahrin Bin Sahib @ Sahibuddin,
Naib Canselor Universiti Teknologi MARA;
Profesor-Profesor yang hadir;
Ketua Setiausaha; dan
Anak-anak yang dikasihi sekalian.
- Alhamdulillah kita dapat bersama-sama, dan ini ikhtiar menteri dan Kementerian Pengangkutan untuk meringankan sedikit beban mahasiswa Labuan, Sabah dan Sarawak dan juga mengekang kenaikan harga yang kadang-kadang melambung tidak munasabah, penerbangan Sabah Sarawak ke Semenanjung dan juga Semenanjung ke sana.
- Acara ini sebenarnya dilakukan untuk menunjukkan keprihatinan kita. Kita memang mencatat pembangunan yang memberansangkan. Dan kita tahu Malaysia sekarang menjadi hab semikonduktor bagi rantau ini.
- Pagi tadi saya luncurkan pusat atau markas Ai Malaysia. Dan menjadi tumpuan untuk melonjakkan perhatian dan dukungan kepada Ai. Saya sebut hal ini semua, termasuk umpamanya Microsoft, Google, AWS, HUAWEI, ZTE, kalau di utara, NVIDIA yang bikin cip dari Jerman, kita ini tidak mahu jadi sekadar kilang, kita juga mahu memanfaatkan pembaharuan ini dalam bidang digital, dalam bidang Ai supaya anak-anak dapat menguasai ilmu itu dan punyai peranan dalam bidang-bidang yang diterokai baru.
- Di sini dulu saya selalu sebut dunia mencabar kita. Kita diasak supaya melakukan sesuatu yang lebih berani yang saya sebut meneroka alam pemikiran baru, meneroka disiplin baru dan teknologi baharu. Maknanya seolah-olah kita menggapai langit. Apa yang tak tercapai sebelumnya, dengan ilmu, disiplin, teknologi baru. Tetapi kita juga anak Malaysia, kita punyai nilai kita, agama kita, budaya kita. Maka kita mesti berakar ke bumi. Ini selalu saya tekankan dalam bidang pendidikan. ‘Mengakar ke bumi, menggapai di langit’. Baru boleh jadi manusia yang layak yang mempunyai nilai kemanusiaan atau manusiawi. Ini tumpuannya.
- Sebab itu beban yang saudara pikul itu kita cuba ringankan kerana kita mahu anak-anak pusatkan perhatian dia. Kalau tidak kita catat pelaburan dan angka yang terakhir tu RM268 bilion agak tertinggi dalam sejarah. Tetapi bagi saya ini satu permulaan. Bagaimana ekosistemnya? Bagaimana supply chain nya? Bagaimana talent anak-anak yang menguasai bidang ilmu itu? Dan diberikan kesempatan supaya kita boleh bersaing dengan gagah dan bergaya. Ini cabaran bagi kita semua. Profesor, anak-anak, mahasiswa, kerana keadaan berubah.
- Siapa boleh andaikan bahawa tumpuan kita dalam bidang pendidikan sekarang dengan lonjakan perubahan itu, energy transition, transformasi digital, artificial intelligence, green hydrogen, ammonia, itu hal-hal yang tidak dibicarakan 30 – 40 tahun yang lalu. Jadi sebab itu saya mahu institusi pendidikan ini pimpinannya, naib canselor dan dekannya, semua itu juga menguasai bidang-bidang yang baru dan merasakan mereka itu bertanggungjawab dan tertekan untuk melahirkan, menghasilkan anak-anak yang bermutu tinggi. Kalau tidak kita rugi.
- Apa yang mampu dilakukan, YB Zambry aktif dalam bidang ini. Dialog, wacana, untuk mencari kaedah-kaedah baru dan saya ingin mulakan dengan menekan hal ini. Saya sebut menggapai di langit kerana penerokaan disiplin dan teknologi baru. Saya sebut juga mengakar ke bumi kerana kita tidak mahu hilang nilai kemanusiaan. Dalam dunia politik, dalam ekonomi, sosial, kita tahu masyarakat kita berkecamuk kerana hilang kemanusiaannya. Bicara sesuka hati, nilai kemanusiaan diketepikan. Fahaman perkauman sempit mengatasi kepentingan kemanusiaan. Fahaman agama digunakan untuk menyemai permusuhan dan perselisihan di antara satu sama lain. Fahaman wilayah dan negeri dan daerah dihasut supaya menimbulkan kebencian. Lupa bahawa kita ini hidup sebagai negara Malaysia tercinta, satu kesatuan yang harus kita suburkan.
- Jadi kita tidak boleh ketepikan. Saya sebagai bapa berdepan dengan anak-anak, tidak boleh hanya bicara yang lunak-lunak yang baik-baik kerana kenyataannya berbeda. Lihat sahaja perbahasan di parlimen, lihat saja politik di desa, di perkampungan dan di pedalaman. Apa yang ditanam? Kebencian, permusuhan. Kerana apa? Warna kulit. Ada yang bicara bentuk matanya. Ada bicara kefahaman agamanya. Allah jadikan perbedaan ini bukan kita pilih. Tiada siapa yang pilih untuk menjadi kaum ataupun kabilah atau warna kulit. Tapi Quran menegaskan untuk apa? Untuk lita’arrafu – kenal, hormati, memuliakan satu sama lain. Dan menilainya bukan kerana keturunan, bukan kerana negeri. Kamu dia Perlis kamu hebat, kamu di Sarawak kamu hebat, kamu di Sabah hebat. Tak ada. Yang ada apa? Kemuliaan insan, kamu itu orang baik atau orang korup. Kamu itu meletakkan nilai karamah insaniah yang disebut dalam al- Quran walaqad karramna banee adam – Allah SWT angkat darjat kemanusiaan, kerana apa? Inna Akramakum Indallahi Atqakum – kemuliaan itu kepada nilai kemanusiaan dan ketakwaannya bukan kerana keturunannya, bukan kerana negerinya, bukan kerana kekayaannya. Ini kita harus ingat.
- Saya meletakkan harapan yang setingginya kepada anak-anak, menentukan garis masa depan. Tukar wacana bobrok yang sekarang ini hebahkan. Bawa satu nilai insan yang baik di kalangan kita. Boleh kritik boleh tegur, dalam wacana ‘Temu Anwar’ saya beri kebebasan sepenuhnya hendak tegur, hendak kritik yang mezahirkan, tidak bersetuju, tapi bukan kebencian, bukan kerana warna kulit dan kaum, negeri dan daerah. Siapa kata tidak ada masalah di kalangan orang Melayu? ada masalah, Melayu di Johor ada masalah, Melayu di Selangor pun banyak masalah. Siapa kata orang Iban atau orang Penan tidak ada masalah, ada! orang India, orang Cina. Tapi kita masih leraikan cara baik. Kita leraikan dengan semangat muafakat kecintaan. Kita dengar dan cuba selesaikan. Apakah mampu kita selesaikan semua? Tidak mungkin kita selesaikan semua. Dana kita terbatas, semua kita tidak cukup.
- Saya Menteri Kewangan tidak ada majlis yang saya pergi, tidak ada universiti saya pergi yang kata “terima kasih untuk Dato’ Seri, wang semua sudah cukup, tidak payah bagi lagi dah.” Semua kata ini rosak, ini tidak baiki, ini asrama, pergi universiti ini bas kami tak ada, pergi sini pula, semua, tidak apa, apakah mereka menipu? Tidak. Apakah mereka lahirkan kenyataan? Ya. Tetapi kita cuba selesaikan dengan baik. Apa yang diumumkan saudara Anthony Loke sebentar tadi, Menteri Pengangkutan, apakah memadai? tidak. Kalau ikut betul-betul harga mesti diturunkan. Peluang pulang balik 2 atau 3 kali setahun itu kalau keadaan semua lumayan.
- Tapi diberikan bantuan kerana kita prihatin. Orang dari Kundasang, ada? Takkan ramai pergi tukar dia kundasang? Entah dari Kelantan mengaku Kundasang (nada seloroh). Baik, jadi kita hargai saudara. Sebab itu diumumkan dari RM200 juta, jadi RM300 juta dan untuk tahun depan insya- Allah saya umumkan naik RM400 juta. Bukan RM400 juta, haa itu you tepuk, tak tanya dulu. RM400 bantuannya, pengurangannya. Baik dan jumlahnya RM48 juta, saya hendak test menteri dia ingat tak? (nada berseloroh). Baik RM48 juta, RM400 ya, baik.
- Saudara-saudara, ini yang kita ikhtiar kerana apa ya? kerana kita memikirkan negara ini harus menjaga kesatuannya. Saya tekankan perkara ini, kadang-kadang saya lihat umpamanya kadang-kadang tuntutan itu berlebihan. Ada yang mengatakan “oh Kerajaan MADANI ini langsung tidak bantu orang Kelantan, ada yang mengatakan “wang ehsan di Terengganu diketepikan”, anak-anak Kelantan dan anak Terengganu wajib mencari faktanya. Peruntukan yang kami beri daripada Kerajaan MADANI itu jauh lebih tinggi dalam sejarah. Kalau ada orang miskin kita bantu, kalau ada banjir kita bantu, kalau ada tebing di Tasik Kenyir runtuh kita bantu, RM200 juta, ada masalah tebatan banjir kita bantu, apa kosnya RM200 juta, RM600 juta bantu, RM1 bilion pun kita bantu kerana menyelamatkan rakyat. Saya tidak peduli dari negeri mana.
- Tetapi ini berbeda dengan hasutan, sama di Sabah. Baru-baru ini yang menyebut Sabah, “kita tidak ada apa-apa dengan orang Malaya.” Ini kamu cakap apa dari otak atau dari selut!. Jadi kalau anak muda di sini pulang ke Sabah, betulkan. Mana? siapa yang kata tidak ada perhatian, peruntukan negeri Sabah itu tertinggi di Malaysia sekarang hari ini. Sebab itu kalau saya, saya cabar ada orang di sini yang Melayu mengatakan, “kita orang Melayu ini diketepikan, orang Melayu dan miskin, semua Cina kuasai, semua DAP kuasai.” Orang pun tepuk, sedih ya Allah, apalah jadi kepada Melayu. Kamu tengok muka Melayu yang cakap itu. Tengok harta dia, ratus juta ringgit, bilion ringgit.
- Sebab itu dua (2) tahun lalu saya katakan kamu hendak jadi hebat? kamu pejuang Melayu? Betul? kamu tengok berapa kekayaan kamu RM2 bilion, ya. Serah balik RM1 bilion kepada rakyat. Baru kamu boleh bicara adil atau tidak.
Ini sepatut yang dibicarakan oleh anak muda. Saya kalau masuk universiti itu bicara saya, cara begitu. We are the student, concerns of the majority. Kita jadi jurubicara rakyat. Kita tolak rasuah dan penyelewengan, tolak penindasan. Kita tidak mahu harta negara ini dikaut oleh beberapa orang. Berapa kerat orang kaya dan pemimpin-pemimpin guna kuasa mereka sebagai Menteri, Perdana Menteri untuk kaut kekayaan untuk diri dan keluarga mereka, kita tentang mereka. Baru boleh jadi. Sekarang saya cakaplah sebab Ketua Polis Negara ada sama saya sini. Kalau dulu cakap macam ini kena dah. Tapi sekarang ini ya saudara-saudara sebab itu saya sebut, tanggungjawab kita cari fakta. Mana ada ajaran agama yang tipu dan fitnah? Mana mungkin ajaran agama hari ini maki orang, besok saya minta maaf, minggu depan buat lagi.
- Kemudian bila kita ugut kes mahkamah “saya minta maaf, saya tarik balik”, guna kopiah dan jubah sebagai sijil mengesahkan fitnah dan penipuan. Saya berbicara dengan anak -anak. Ada orang kata sebagai perdana Menteri kita tidak boleh guna kedudukan untuk menceritakan isu politik. Apa politiknya? Ini soal kehidupan kita, kalau anak-anak tak mahu jamin bahawa masa depan kita adalah masa hadapan semua rakyat. Kita harus perhatikan kepentingan orang Melayu, Cina, India, dayak, kadazan, Dusun, Murut, Bugis semua ini harus dijaga sebagai keluarga besar kita. Kalau sudah fikir begitu selamat negara.
- Sebab itu kalau tugas ilmu, ilmuan ini apa? Pencerahan, kecelikan sebagai disebut kecelikan mencelikkan kita, pendedahan yang disebut to become literate. Itu maknanya menimba ilmu, menilai, mendengar kemudian menilai dan tidak hanya terpukau dengan kata-kata, atau memilih satu kenyataan. Masalah kita dan tugas besar anak-anak ialah untuk mencari kebenaran. Tugas ilmu, tugas kita ialah untuk mendapatkan maklumat yang sahih.
- Saya sengaja menekankan dua (2) perkara ini kerana saya lihat walaupun kita sudah jadi negara besar, kita berjaya dalam banyak bidang tapi saya lihat ada bibit-bibit pepecahan, baik di Semenanjung atau di Sarawak atau di Sabah yang memikir seolah-olah negara ini negeri dia. Dia tidak pernah fikir luar daripada itu, sebab itu saya ucap terima kasih kepada anak-anak Sabah dan Sarawak dan di sini. Kita berikan apa yang saksama? Kalau kita katakan FlySiswa kita tidak pilih kaum mana dari Sabah atau kaum mana dari Sarawak, kita anggap semua yang memerlukan bantuan. Kalau seorang profesor mengajar, dia mengajar ilmu kepada dewan kuliah yang 80 orang atau 100 orang yang semuanya mendengar, kemudian menelaah dan menguasai ilmu itu. Jadi anak-anak jangan lupa keperluan kita hidup sebagai satu negara bangsa, ya siapa yang tidak kasih kepada bahasanya, budayanya dan agamanya tidak ada salah. Salahnya bila kita mula menghasut, menanam bibit-bibit kebencian di antara satu sama lain, merendahkan martabat keinsanan.
- Banyak kenyataan-kenyataan. Dua minggu yang lalu saya ke Pulau Pinang, ada Indian Muslim yang kumpulannya dipanggil Liga Muslim, ramai dan beribu orang. Dia usulkan kami ini sudah lama jadi orang Islam, kami memang lahir sebagai orang Islam sudah berketurunan di Malaysia. Kami nak minta Kerajaan dan Perdana Menteri pertimbangkan kerana bahasanya semua sama. Mengapa tidak boleh diiktiraf sebagai bumiputera? Jadi saya jawab, apa yang seorang Perdana Menteri boleh jawab. Saya tidak boleh kata saya setuju semua, saya tidak boleh kata saya tidak setuju, tapi saya katakan mesti ikut proses. Apa prosesnya? Iaitu memutuskan berdasarkan permohonan setiap orang, ikut proses biasa. Seorang apa keturunan pun, daripada bangsa mana pun, dia mesti ikut proses itu. Tapi ada seorang profesor luar negara, dia kecam dan hujahnya inilah Perdana Menteri fanatik Muslim dia bagi satu pertimbangan khas kepada Indian Muslim. Tapi itu seorang profesor, tambah lagi yang bawah-bawah ini lagi lah keliru kerana dia main sentimen itu, sentimen bukan Melayu menentang Islam tidak membantu sama sekali. Kita bangkitkan.
- Gaza, dilanyak, dibunuh, dihancurkan jadi Kita bantu sedikit dan kita bawa yang sakit bayi-bayi berapa orang, puluhan orang ke Hospital Tentera, tapi ada yang kata anak Melayu yang miskin, anak dayak di mana dan anak India pun tak dibantu nak fikirkan negara lain. Manusia apa begini? Ini masih disuarakan di mana kemanusiaan kita. Sebab tu di Jerman, di Amerika Syarikat di hadapan pemimpin-pemimpin saya kata “enough of this hypocrisy! Where is our humanity gone? Why are we so fixated? Why can’t we use a little bit of our resources to help and assist those who have suffered immensely.”
- Maknanya tidak ada kemanusiaan, ada ilmu sedikit tapi bibit-bibit perkauman sempit masih ada, baik Melayu atau Cina, bukan sahaja Melayu yang perkauman Cina pun ada, India pun ada, orang Sarawak pun ada dan orang Sarawak, Sabah pun ada. Kita kena tanam bibit-bibit ini dan hidupkan kemanusiaan.
- Banyak isu-isu berbangkit di Parlimen dua hari sudah, hari Selasa, saya terpaksa jawab tentang addendum iaitu kes yang melibatkan Lembaga pengampunan, saya dicerca. Anak-anak harus fikir apa isu dia? isu dia proses hukum jalan, siapa yang dakwa dulu? Perdana menteri dahulu. Macam mana dijatuhkan hukuman? Maknanya masa Perdana Menteri dahulu. Siapa yang kena cerca? Perdana Menteri sekarang? Saya tidak terlibat dalam pendakwaan dan saya tidak terlibat dalam penghukuman tapi saya tidak nafi sayalah di antara yang paling keras dulu menyerang isu 1MDB kerana harta rakyat dan kerugian kepada negara. Apa benar atau tidak? Benar! Berapa kerugian yang kita terpaksa bayar? Akibat kerugian 1MDB iaitu RM48 bilion. Ingat! RM48 bilion. Berapa sekolah kita boleh bina? Berapa universiti kita boleh bina? Berapa hospital kita boleh bina? Berapa banyak anak-anak yang kita boleh bantu?
- Baik, tetapi kita ikut proses hukum, kemudian Lembaga Pengampunan. Oh!, ada yang marah kerana saya bawa kes Datuk Seri Najib untuk dipertimbang oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong. Saya dimasukkan ke penjara kali pertama masa Tun Dr. Mahathir dan kali kedua semasa Datuk Seri Najib, tetapi saya sekarang Perdana Menteri, saya tidak boleh berdendam dan hasad dengki. Hak setiap orang banduan itu, setiap orang tanpa kecuali ada hak untuk mengemukakan rayuan pengampunan. Maka apabila saya tengok dalam mesyuarat tidak ada agenda rayuan Datuk Seri Najib, saya kata tidak boleh. Saya persembah kepada ke bawah duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong ketika itu. Saya kata, “ampun Tuanku, selayaknya semua orang berhak memohon.” Apakah mahu dipertimbangkan oleh Lembaga ataupun mahu diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong itu kemudian, tetapi hak merayu harus ada. Satu pihak kecam saya kerana bawa agenda, padahal saya hanya menggunakan tanggungjawab saya supaya adil untuk dipertimbangkan. Ini saya katakan sebab apa? Sebab beliau salah ke atau tidak salah pun sudah masuk penjara, adalah ihsan atau kemanusiaan. Kita minta dipertimbangkan, apakah Lembaga Pengampunan akan pertimbang? mengikut rayuan? Itu terserah dan akhirnya keputusan Yang diPertuan Agong. Ini pun salah.
- Kemudian soal addendum, dibangkitkan. Sekarang saya tidak boleh ulas sebab keputusan kes di Mahkamah Rayuan adalah pada 6 Januari. Saya nak anak-anak fikir bagaimana, adakah isu ini harus diketahui? Ya, kerana Fakulti Undang-undang ada, ada tidak daripada Fakulti Undang-undang UiTM dan lain-lain? Ada, belajar law kena tahu ini kan proses dia. Ini dikatakan negara hukum, rule of law, ada proses, ada peruntukan undang-undang. Jadi jika ada kes di mahkamah, Parlimen atau kita tidak boleh bincang secara terbuka yang disebut sub judice. Jadi kena tunggu, itu hormat proses undang-undang. Apabila saya jawab begitu. dikecam dikatakan nak tipu, nak selindung pasal addendum.
- Ini yang saya katakan berlaku kerana kedangkalan ilmu, kerana maklumat tidak disampaikan, kerana budaya kita kadang-kadang budaya picisan, baca sekerat-sekerat, amalan membaca, mencari kebenaran tidak ada, tabayyun tidak ada. Berbicara soal Melayu, bicara soal Islam tetapi akhlak tidak ada. Minat untuk mencari kebenaran tidak ada, ini jadi masalah. Jadi semua hal akan ditimbulkan jadi masalah, baik sebagaimana ekstremis Melayu atau ekstremis Cina atau India. Ada anak-anak India di sini? Tak ada India di sini? Ya, di UiTM ini tiada tetapi di universiti-universiti lain? Okey ada, yang India tidak mengaku pasal apa? Dan Saudara YB Anthony Loke tahu, Senator Dato’ Seri Zambry bin Abdul Kadir tahu, kita cuba bantu semua. Peruntukan bukan hanya melalui MITRA. Dahulu bantuan India itu hanya melalui MITRA, sekarang TEKUN pun ada, Amanah Ikhtiar pun kita bagi, tetapi kita tidak kata ini program India, ini program Cina, ini program Dayak, tidak. Siapa yang layak kita berikan, tetapi ada dalam wacana ini dibawa seolah-olah tidak ada langsung pembelaan.
- Baik, mengapa saya singgung semua isu ini dalam Majlis FLYsiswa ini? Apa relevannya? Anak-anak mahasiswa mesti menjadi bakal pemimpin yang berwibawa yang tahu apa dia kebenaran dan keadilan. Kita menguasai bidang-bidang disiplin kita tertentu, tetapi jangan sekali-kali kita tinggalkan bahawa nilai manusia itu pada kebenarannya kepada keadilannya, kepada nilai akhlaknya. Jangan lupa. You may excel in your discipline, but never forget, ignore the fact that finally it is about character. It’s about inculcating ethical and moral values. The nation, this great nation can only be saved if we have the younger generation, the youth with that sort of dedication, awareness that we want to excel and succeed, but we must never lose side our principles and values and dignity of men and women.
- Kerana sebaiknya kita hilang itu, jadilah porak-peranda seperti mana kita lihat di dunia sekarang. Kita nak Malaysia ini MADANI, keterampilan, kemampanan, tetapi tidak pernah meninggalkan soal nilai dan akhlak dan kemanusiaan yang kita harus jayakan sebagai satu negara Malaysia yang hebat di rantau ini. Itu cita-cita kita.
- Jadi demikian tajuk saya FLYsiswa petang ini. Saya bicara kerana saya anggap anak-anak ini bukan sahaja pemimpin masa depan. Ada orang kata semasa saya muda dulu, muda remaja. sekarang hanya muda tidak remaja (nada seloroh). Bila saya dengar pemimpin berleter “sebagai anak-anak muda, pemimpin masa depan”, saya tidak berapa suka dengar. Sebab ada peranan di mana anak muda itu pemimpin sekarang. Soal nilai, soal kemanusiaan itu sekarang. You must dictate the policies now! dan saudara jangan izinkan orang yang menyebabkan porak-peranda, menghasut, menjahanamkan kesatuan perpaduan kita. Itu now! Not tomorrow, not after tomorrow. Sebab tu saya katakan anak muda ini, ya pemimpin masa akan datang, tetapi juga harus memimpin sebagai conscience, pemikiran dan prinsip rakyat Malaysia hari ini.
- Jadi mudah-mudahan majlis kita ini membawa keberkatan. Saya harap anak-anak betul-betul ambil pesan daripada seorang ayah ini secara serius. Kalau yang pulang, cium tangan ibu bapa, tunjukkan kasih sayang kepada mereka. Jangan abaikan tanggungjawab itu. Kalau tidak pulang, jangan lupa telefon mereka, tanya khabar mereka, tunjuk kasih kepada mereka dan kalau telefon malam ini, kata Pak Anwar, Tok Anwar kirim salam pada ayah dan ibu. Boleh? Kerana saya nak tunjuk bahawa sukses anak-anak ini kerana jasa ibu bapa, jasa guru-guru, dan kini pengajar dan profesor yang ada sekarang.
- Kepada Naib Canselor dan kakitangan UiTM, Menteri Besar dan Menteri-menteri, Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Pendidikan Tinggi khususnya, dan utamanya anak-anak, saya ucapkan banyak-banyak terima kasih atas kesediaan untuk hadir dan menyokong usaha kita.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Similar Posts:
- MALAYSIA MADANI ANGKAT SEMULA MARTABAT NEGARA – PM ANWAR
- JEMAAH MENTERI SETUJU POTONG GAJI 20 PERATUS – PM ANWAR
- COVID-19: MALAYSIA TIDAK DISKRIMINASI PELANCONG ASING, UTAMAKAN KESIHATAN RAKYAT
- BELANJAWAN 2023 AMBIL KIRA CABARAN EKONOMI SEMASA – PM ANWAR
- PM CADANG KERJASAMA SWASTA, GLC PERKASAKAN TVET