TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS MAKAN MALAM ALUMNI UNIVERSITI MALAYA – JEJAK MEMORI

 

TEKS UCAPAN

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

SEMPENA

 

MAJLIS MALAM ALUMNI UNIVERSITI MALAYA – JEJAK MEMORI

 

 

17 DISEMBER 2024 (SELASA) | 8.30 MALAM

 

DEWAN TUNKU CANSELOR

UNIVERSITI MALAYA

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

 

Alhamdulillah, Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem.

 

Mengadap Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, Sultan Perak Darul Ridzuan merangkap Canselor Universiti Malaya;

 

Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr. Haji Ali Mohd Rustam,

Yang di-Pertua Negeri Melaka;

 

Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof,

Timbalan Perdana Menteri; Menteri-Menteri; serta

 

 

Yang Berbahagia Naib Canselor dan Keluarga Universiti Malaya, Profesor dan Tenaga Pengajar dan rakan-rakan Alumni, Saudara-Saudari yang dimuliakan.

 

Ampun Tuanku,

Izinkan patik melafazkan ucapan kepada rakan-rakan, Naib Canselor dan Alumni.

 

  1. Universiti Malaya punyai sejarah yang gemilang. Pasca kemerdekaan kita melahirkan bukan sahaja mahasiswa tetapi yang lebih penting, gergasi dalam bidang ilmu. Dengan tapak, di bawah Almarhum Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz, dengan rangkaian sarjana ulung ketika itu, Syed Muhammad Naquib al-Attas di bidang Islam; Syed Hussein Al-Attas, Sosiologi; Chin Fung Kee Kejuruteraan; TJ Danaraj, Perubatan; Khoo Kay Kim dan Zainal Abidin Abdul Wahid, Sejarah; Taib Osman Antropologi; Bakar Hamid, Sastera; dan Syed Husin Ali, Antropologi dan Sosiologi, merupakan gergasi dalam bidang ilmu di negara kita.

 

  1. Jadi generasi kami tentunya beroleh manfaat terdedah dengan kekuatan budaya ilmu dan asakan kepentingan ilmu sebagai asas pertumbuhan dan pembinaan negara.

 

  1. Walaupun saya tidak boleh nafikan bahawa ada juga bidang ilmu yang kita kecapi di luar kuliah. Kadang-kadang ada hari-hari di mana di luar kuliah lebih banyak daripada dalam kuliah.

 

  1. Kita hidup dalam zaman pasca normal dan seperti mana idea yang dilontarkan oleh Naib Canselor. Dia menuntut kita membawa perubahan. Saya selalu ungkapkan dalam dialog dengan mahasiswa, mesti ada hasrat dan tekad untuk menggapai ke langit tetapi mengakar ke bumi.

 

  1. Menggapai ke langit kerana ada disiplin yang harus diterokai, yang baharu yang disebut ilmu baru, teknologi baru, penemuan baru sama ada digital, transisi tenaga ataupun Artificial Intelligence (AI) tetapi tidak pernah melepaskan tanggungjawab kita, kesedaran kita, tentang kekuatan bahasa, budaya dan tamadun kita, dengan mengakar ke bumi bangga dengan jati diri kita, dengan sejarah bangsa kita, di samping memaklumi kenyataan bahawa tanpa tekad untuk membawa perubahan negara dan masa tidak akan ke mana. Oleh sebab itu, cabaran bagi Universiti Malaya itu amat besar sekali.

 

  1. Saya ucap tahniah kepada pihak Universiti Malaya dan pimpinannya kerana terus mewarnai budaya ini dengan hasrat mengangkat martabat sebagai gedung ilmu ke arah kecemerlangan ilmu, tetapi tetap mengakar ke bumi. Ada juga kelainannya di universiti di depan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, wajar saya singgung kerana pengalaman saya selaku Menteri Pendidikan dengan canselor ketika iaitu Almarhum Tuanku Azlan Shah. Canselor bukan dalam erti kata kehadiran memenuhi ceremony, tetapi menggesa supaya kesedaran ilmu dan budaya ilmu tu dipertahankan dan ini diwarisi oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Canselor yang memberikan wajah keilmuan, menunjukkan kecintaan dan tradisi yang disebut tradisi aqliyah yang sangat dituntut dalam negara kita.

 

  1. Sama ada kita bicara soal bahasa, bangsa, agama atau budaya dan ekonomi, tidak boleh lari dari keperluan menekankan kepentingan kecergasan mengangkat martabat melalui ilmu dan tradisi ilmu kerana tanpa kesedaran itu, negara akan berkecamuk, berbicara dengan cara dangkal, tidak mengakar ke bumi, tidak menggapai ke langit dan tidak menghormati fakta dan kebenaran.

 

  1. Semasa kami muda remaja, slogan kami itu menegak kebenaran dan keadilan. Ini membantu memupuk kesedaran dan saya mengulangi kenyataan kebanggaan kami kerana kami diasuh oleh gergasi ilmu pada zaman itu. Rakan-rakan saya yang seangkatan, sebelumnya dan sesudahnya tahu bahawa pengaruh professor-profesor kanan ketika itu sangat menebal dan sangat membantu memupuk mewarnai watak dan wajah kebangkitan dan kesedaran negara yang wajib melakukan perubahan dan anjakan sekiranya kita mahu maju dan bertapak sebagai negara hebat dan gagah di rantau ini.

 

  1. Saudara Naib Canselor menggagaskan perubahan dan juga bantuan dan saya percaya rakan saya, Dato’ Sri Fadillah, Menteri, Mohamad Hasan pun ada, KPPA pun ada bersetuju kalau saya katakan bermula dengan ahli-ahli Jemaah Menteri yang merupakan alumni, kita akan mulakan dana wajib RM10,000 seorang. Dan saya percaya setiap graduan universiti yang sumber pendapatannya itu menjangkau lebih dari RM10,000 harus diwajibkan untuk menghulurkan RM1,000 kepada Endowment Universiti Malaya. Maka kalau kita kumpul keseluruhannya ini, saya percaya kita boleh melepasi angka setengah bilion supaya tidak membebankan pemerintah dengan dana yang lebih besar.

 

  1. Saya tidak mahu melepaskan tanggungjawab pemerintah, tetapi seperti saudara-saudara tahu, kita ada kekangan, keterbatasan kerana kita warisi keadaan ekonomi yang tidak diurus dengan begitu bertanggungjawab. Negara lebih terkenal dengan kelemahan tatakelola dan rasuah sehingga beban hutang mencecah pada ketika itu RM1.5 trilion. Maka pengurusan dana itu harus lebih cekap dan sebahagian besar yang membantu mengurus, merencana dan mengurus ekonomi itu adalah alumni Universiti Malaya. Mudah-mudahan kita diberikan kekuatan untuk memperbaiki supaya peruntukan untuk masa akan datang dapat ditambah.

 

Rakan-rakan yang saya muliakan,

 

  1. Demikian sahaja saya nak imbau dan saya bagi pihak Kerajaan dan alumni pada malam ini ingin menzahirkan menjunjung kasih tidak terhingganya kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Nazrin kerana kepekaan, dukungan dan semangat budaya ilmu dan juga keprihatinan yang baginda tunjukkan.

 

Sekian,

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.