TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI UTAMA ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
PERASMIAN PENANG INTERNATIONAL HALAL EXPO 2024 (PIHEX)
7 DISEMBER 2024 (SABTU) | 2.30 PETANG
TAPAK PARKIR GRAVITAS,
JALAN BARU, PERAI
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Alhamdulillaahil lazeee anzala ‘alaa ‘abdihil kitaaba,
wa lam yaj’al lahoo ‘iwajaa,
Wa Nusalli Ala Rasoolihil Kareem,
Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.
Yang Berhormat Dato’ Dr. Mohamad bin Abdul Hamid,
Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang;
Yang Berbahagia Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar,
Ketua Setiausaha Negara;
Yang Berhormat Dato’ Haji Zulkifli bin Long,
Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang;
Sahibus Samahah Prof Madya Dato’ Dr. Mohd Sukki bin Othman,
Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang; dan
Semua yang hadir.
- Terima kasih atas penganjuran Penang International Halal Expo 2024 (PIHEX) ini. Saya minta maaf tadi terpaksa keluar sekejap. Ada panggilan telefon yang sangat penting. Yang di Pertuan Agong dah 4, 5 kali cari saya, jadi saya terpaksa jawab. Keadaan terkawal. Baik, industri halal ini alhamdulillah, telah menjadi salah satu fokus dalam pembangunan ekonomi, pelaburan dan perdagangan.
- Saya baru-baru ini ke mana? Dalam setahun ini, semua Negara ASEAN, China, Jepun, Korea, Peru, Brazil, Mesir Arab Saudi, Qatar dan Emirates tanpa kecuali. Semua negara ini Muslim dan bukan Islam. Negara China, Vietnam, Laos, semua kata dia minta kerjasama Malaysia kerana Malaysia punyai nama, kekuatan dan pengiktirafan, pertama dari segi pensijilan. Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pun ada. Pensijilan halal (halal certification) yang diiktiraf. Ada negara-negara lain? Ada, tetapi nama dan imej Malaysia itu baik.
- Dan keduanya, potensi perdagangan halal ini mencecah lebih satu trilion dolar Amerika. Ini besar dan halal ini tidak hanya dari segi penyembelihan daging, semua produk, perubatan, kosmetik dan lain-lain. Kosmetik saya tidak tahu sangat. Ini Ketua Setiausaha Negara (KSN) dia lebih tahu tentang hal itu (nada seloroh). Baik, bahkan bila saya bicara dengan Presiden China, Xi Jinping, dia sebut industri halal. Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba dan sebelum itu Fumio Kishida sebut industri halal. Saya jumpa Presiden Luiz Inácio Lula da Silva di Brazil, dia cakap industri halal. Peru dan jumpa Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa, tatkala bermesyuarat di Rio De Janeiro, Brazil dia sebut tentang pelaburan, semikonduktor dan pelbagai yang lain tetapi termasuk industri halal.
- Jadi sebab itu kita harus memandang serius bagaimana boleh kita angkat keupayaan kita menjadi betul-betul pusat kegiatan industri halal termasuk kewangan Islam secara menyeluruh mengikut matlamat dan maqasid syariah. Bank dan insurans secara yang lebih utuh daripada pengenalan dulu. Dulu bila sebut halal, sekadar menyembelih begitu. Kalau sebut bank halal maknanya tidak ada riba, walaupun dia sebut Shariah-compliant tapi sebenarnya dia minus riba. Semua instrumen kewangan itu mengikut pengalaman Barat. Begitu juga industri halal. Tapi lama-kelamaan sekarang fokusnya apa dia? Pertama, halal sebenarnya dalam semua bidang. Halal termasuk kebersihan. Perniagaan halal maknanya mutu tu terjamin. Tidak menjanjikan sesuatu tetapi tidak menyempurnakan mengikut janji kita.
- Ada produk umpamanya dia halal tapi tahap kebersihan dipertikai. Kesan-kesan sampingan chemical dan contamination itu masih ada. Jadi sebab itu halal itu yang menjadi tarikan kepada negara-negara termasuk negara bukan Islam, itu dianggap penting kerana ia melibatkan pengertian kesihatan secara menyeluruh. Ini yang harus diteroka. Sebab tu saya katakan pada JAKIM, kerjasama dengan semua Halal Development Corporation, semua sekali dan Kerajaan Negeri agar pengertian halal ini lebih mantap, lengkap dan menyeluruh. Ini baru ada tarikan.
- Keduanya, kita tak mahu terkenal hanya dari segi pensijilan. Nak sijil datang Malaysia kita pun bagi sijil kemudian khalas. Habis. Tapi tidak, kerana halal ini aspek keduanya ialah menjana kegiatan ekonomi. Kegiatan ekonomi harus diperkukuh melalui kegiatan, hubungan antarabangsa dan perdagangan. Jadi kalau Negara China mahu industri halal, maka dia harus juga bekerjasama dengan industri tempatan yang punyai kemahiran dan kepakaran bukan sahaja beri sijil halal tetapi kegiatan dan industri halal. Dan penyertaan itu akan menambah keyakinan. Kalau tidak, apa yang berlaku sebelum ini ialah kita sahkan, bagi sijil halal, kita bagi peluang pula mereka daftar tetapi tidak ada apa yang dikatakan kesan sampingan kegiatan ekonomi. Jadi sebab tu saya katakan pengertian industri halal tu telah berubah.
- Tapi kalau kita panjangkan tentang institusi kewangan. Sekarang banyak kajian yang mula, bukan mempertikai. Institusi Bank Islam ataupun Islamic window yang dahulu tetapi merasakan tidak cukup. Ia hanya riba free tetapi dia bukan lagi sistem ekonomi yang memenuhi maksud maqasid syariah. Dia tidak hanya dilihat sebagai satu alternatif. Dia bukan alternatif. Instrumennya yang sama. Apa yang dibuat oleh City Bank New York atau Basel III yang ditentukan untuk mengawal sistem perbankan kita ikut tetapi kita tidak mengemukakan instrumen baharu.
- Salah seorang Sarjana Ekonomi yang banyak mengupas soal instrumen kewangan Islam ini dan perbankan Islam yang termasuk Dr. Monzer Kahf, Muhammad Zubair Umar dan Mohammad Nejatullah Siddiqi. Nejatullah Siddiqi di akhir hayatnya menulis rencana yang agak keras mengatakan orang yang berpuas hati dengan sistem perbankan Islam yang tidak memenuhi maqasid syariah itu dia dalam keadaan penafian. Bahawa kita harus berganjak untuk perkenalkan sistem itu dan instrumennya serta penyertaannya dan bukan hanya faktor mencatat keuntungan semata-mata, tetapi keadilan sosial, penyertaan ekonomi yang lebih menyeluruh dan bank itu harus merupakan tempat dan kesempatan di mana masyarakat terbanyak terlibat barulah memenuhi maqasid syariah dari sudut ekonomi Islam.
- Jadi mudah-mudahan dengan PIHEX ini, kita menggalakkan kegiatan ekonomi dan kita menarik minat pelaburan dalam pelbagai bidang. Maknanya sekarang ini seperti saudara tahu, ubat gigi, ubat, kapsul dan semua bidang orang mahu yakin bahawa halal itu dari satu sudut untuk memastikan tidak ada kecelaruan dari segi keyakinan kita tentang halal termasuk kebersihannya dan mutunya. Selain itu, mesti value for money. Bagaimana kita katakan halal, teknikal halal tidak ada najis, unsur sama ada dari khinzir dan sebagainya, tetapi tidak halal kerana prosesnya itu penuh dengan kecelaruan dan penipuan. Mutu yang dijanjikan tidak ditunaikan. Ini semua mesti termasuk dalam kategori halal.
- Jadi saudara-saudari yang terlibat dalam kegiatan halal ini harus ingat. Bila kita pamerkan, tanggungjawab kepada kita tu lebih berat untuk memastikan ia memenuhi maksud halalan toyyiban kerana halal dan toyyiban itu yang disebut dalam Al Quran itu tidak hanya tidak ada khinzir atau tidak ada najis. Ia mesti memenuhi maksud tapi aspek yang kedua yang saya rasa perlu diberi penekanan ialah aspek menjana kegiatan ekonomi umat.
- Jadi perencana yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang, terima kasih Dr. Mohamad bin Abdul Hamid atas ikhtiar ini iaitu menggalakkan penyertaan termasuk yang kecil. Industri halal ini bukan setakat bank, syarikat syarikat besar, tetapi keseluruhannya. Tadi saya di Pulau Pinang bersama Ketua Menteri untuk meluncurkan satu pendekatan dari segi semikonduktor yang lebih kompleks, yang lebih canggih dan lebih tingkat teratas yang paling high tech. Dia sebut front end dalam semikonduktor. Melayakkan kita sama-sama meningkatkan keupayaan untuk produce chips dalam kegiatan fab.
- Ini hal-hal yang tinggi, yang dulu tak pernah kita jangka. Kita memang terkenal dengan semikonduktor dari dulu, tetapi ini dianggap back end atau low end. Sekarang ini, sudah high tech. Tentunya penting dan tentu memerlukan dana yang besar ratusan juta bilion ringgit. Nvidia di Johor itu hampir RM10 bilion. Beberapa syarikat RM5 bilion, RM3 bilion. Baru-baru ini Google USD$2 billion makna RM9.6 bilion. Besar. Tetapi dalam membangun ekonomi umat ini dan ekonomi negara. Kita juga fikirkan orang yang memerlukan RM2,000 permulaan perniagaan untuk buat kuih, yang bersih boleh dijual perniagaan gerai-gerai.
- Sebab itu saya semasa saya tanggungjawab untuk Kuala Lumpur, sebelum meminta Yang Berhormat Dr. Zaliha binti Mustafa membantu, saya katakan Kuala Lumpur, begitu juga Seberang Jaya atau Pulau Pinang tidak perlu dikenali dengan jambatan paling panjang, bangunan paling tinggi tersergam dan kompleks yang lebih canggih. Ya, tapi bukan itu sahaja harus dikenali. Juga gerai, warung, restoran dan peniaga kecil yang bersih kerana warung, gerai dan penjaja itu dilayani, disantuni oleh majoriti rakyat. Kalau di Kuala Lumpur, yang ke gerai, restoran kecil, warung itu 80% lebih rakyat terbanyak. Yang 15% tu barulah yang di santuni oleh orang-orang kaya atau masyarakat peringkat atas. Yang lain itu gerai.
- Sebab itu saya katakan kalau di Pulau Pinang, Tan Sri Khalid bin Ramli ada, saya kata tumpuan kita seperti mana yang saya lakukan di Kuala Lumpur saya nak semua gerai, pusat gerai, pusat perniagaan untuk rakyat itu diberi keutamaan. Saya tidak rasa perlu lagi Kuala Lumpur dah ada Twin Tower dah cukup dah ada lagi TRX building tapi saya nak bila orang datang Kuala Lumpur ini negeri kota yang bersih. Ini kota di mana warung, restoran dan gerainya itu bersih. Kerana nilaian ini oleh masyarakat terbanyak.
- Jadi ini yang kita harus beri tumpuan. Dan bagi saya juga tergabung dalam apa yang dikatakan industri halal yang kita perluaskan pengertiannya. Jadi penyelidikan penting, dana suntikan untuk membantu penting. Dan harus diselaraskan baik MARA, baik TEKUN, pelbagai agensi untuk tumpu beri sokongan bagi syarikat-syarikat kecil untuk mereka mampu meningkat dan ruang daripada MIDA, MATRADE dan sebagainya supaya mereka dapat eksport keluar.
- MIHAS yang serupa dibuat oleh Pulau Pinang ini kita lakukan di Kuala Lumpur. Ekspo Halal, iaitu MIHAS kita adakan sejak tahun lalu dan tahun ini merupakan ekspo halal terbesar di dunia. Mengalahkan kota-kota lain negeri Arab. Maknanya kita upaya untuk meningkat ratusan syarikat-syarikat di luar, Argentina, Uzbekistan, Afrika Selatan semua datang untuk menyertai pameran dan ekspo halal di Kuala Lumpur.
- Jadi PIHEX saya harap punyai prinsip yang sama. Walaupun dianjur oleh negeri dengan kerjasama agensi-agensi Persekutuan juga, tetapi kita harap supaya dapat memberikan ruang dalam ekspo ini supaya kerjasama diperluaskan dan juga beri tumpuan kepada pengusaha kecil, peniaga-peniaga kecil dalam negara kita. Jadi inilah kita cuba lakukan.
- Saudara-saudari saya ingin sentuh juga hal ini. Kadang hal-hal ini itu tidak diberi pengiktirafan sama sekali. Kerana dengar-dengar celoteh tu asyik maki hamun saja. Ada orang yang datang umpamanya ceramah di Permatang Pauh ini, tazkirah dia kata MADANI dan PMX dasar ekonomi dia tidak Islam. Sebab dia cukai orang miskin, dia tidak cukai orang kaya. Jadi yang dengar tu pun tak mahu tanya. Ini penipuan begini ini atas nama Islam, pakaian berjubah, kopiah putih jadi dia ingat mestilah benar. Tak benar!
- Elektrik ini kita pasang, 85% tak naik. Kita bagi subsidi terus. Yang dikenakan kenaikan baru ini adalah industri, orang-orang rumah-rumah yang ada 5-6 pendingin hawa dan 5-6 kipas. Itu dinaikkan tarif. Maknanya kita tarik subsidi 15% teratas. Siapa yang di sini 15% teratas? Tak kena. Yang marah ni sebab apa? Menghentam keras bukan main marah naik kadar elektrik. Naik ni bukan untuk kamu. Naik untuk orang kaya. Kamu pergi Parlimen terjerit duk pertahan siapa? Kalau kita tak kenakan, tarik subsidi kepada orang kaya, nak tolong orang miskin bagaimana? Di maahad tahfiz, sekolah agama, universiti, kolej, sekolah, pusat perubatan, klinik. Dari mana wang itu? Dari cukai orang kaya. Jadi orang kaya 15% bayar elektrik lebih tinggi daripada rakyat biasa.
- Begitu juga diesel. Bila kita naik diesel, rakyat kita bagi suntikan MADANI. Dana tambahan yang dipanggil Budi MADANI, adalah bantuan RM200. Tetapi diesel untuk golongan 15% terkaya dia bayar. Tapi riuh di bawah ini tentang kita tidak berbuat apa-apa untuk tolong. Malah kita gunakan dasar bantu orang Kaya dan mendera orang miskin. Cukai orang miskin dan tidak kepada orang kaya. Mana boleh kita gunakan ruang masjid atau surau tazkirah untuk menipu begitu rupa. Tak pernah, saya bagi tahu tak pernah di mana cukai mana yang kita beri kepada orang miskin dan lepaskan orang kaya?
- Ini kita bicara sekarang RON 95. Kita bagi tahu dia RON 95 untuk 85% rakyat, tak naik! Yang kita naikkan orang kaya, sebab apa kita naikkan? Ini sebab yang saya cakap ini ekonomi Islam. Sebab apa kita naikkan? sekarang ini subsidi minyak ini di Malaysia paling murah dalam kalangan negara ASEAN. Oh, dia kata pasal apa nak banding dengan di sini, tak banding dengan Saudi. Minyak kita sekarang lebih murah daripada Arab Saudi. Dulu masa saya katakan minyak harus turun, minyak di Saudi berapa? 50 Sen. Kita masa itu seringgit lebih. Sekarang minyak Saudi berapa? RM2.95. Kita RM2.05 kerana jarak 20 tahun, kadar kos pengeluaran minyak meningkat. Tanyalah dulu kalau tak reti. Janganlah hukum terus, ini masalahnya. Ini saya minta tolong Muftilah jelaskan esok. Ya. Inilah masalah kita.
- Betul saya ditanya mengapa saya nak jelaskan ini, kita bincang soal Ekspo Halal, ya, ada kaitan dia. Dasar kita mesti membantu rakyat. Jadi sekarang ini, jadi jurucakap-jurucakap di Parlimen datang ke Kampung kami pejuang orang Kampung. Pergi di Parlimen bercakap bagi pihak orang kaya. Saya nak bagi nasihat, orang kaya kamu tak payah pejuang, dia cukup kuat. Kalau nak berjuang, nak bela, ini orang susah. Ini dasar kita sekarang. Sebab itu bila kita memperkenalkan tindakan umpamanya isytihar harta orang kaya. Orang yang punggah kekayaan, SPRM siasat. Bagi balik kekayaan itu kepada rakyat. Oh, itu pun dianggap bersalah.
- Saya nak beritahu bahawa dalam mengurus negara ini mesti bersih, mesti telus, mesti gunakan kuasa itu pertahankan prinsip yang disebut tatakelola ini dan mesti hentikan. Jadi Perdana menteri atau Menteri Kewangan mesti jadi billionaire, mesti ada bangunan RM2 bilion, mesti ada bank di luar, mesti ada kekayaan sana sini tanpa siapa Siapa berani tegur? Saya hendak hentikan amalan macam ini. Saya dengan mandat dan kuasa yang ada insya-Allah dalam beberapa tahun Allah izinkan ini, saya akan tentukan supaya dasar negara kita ini, hentikan orang politik atau pegawai ataupun orang-orang besar yang rasa dengan kuasa dia boleh bina dan punggah kekayaan dan tak siapa berani siasat dan tegur. Harus dihentikan. Kalau tidak ranap negara kita.
- Yang kaya berbilion-bilion tak siapa berani tegur, sentuh dan siasat. Bila kita siasat terus ada yang bangkit. Pejuang-pejuang Melayu dan Islam kononnya. Bangkit dan pertahankan orang-orang yang rasuah dan memunggah kekayaan berbilion-bilion. Sarjan ataupun guru ataupun kerani yang ambil RM1,000 atau RM2,000 ditangkap tak ada pula kamu nak bela. Kerana? “Biar proses siasatan berlaku”. Tetapi bila golongan maha kaya ini disiasat, terus diserang, “PMX ini dendam. Benci orang kaya”. Saya tak benci orang kaya. Dalam Islam tidak pernah kita disuruh untuk benci orang kaya. Tapi orang kaya janganlah kita bagi subsidi. Sekarang ini orang kaya dapat subsidi. Berapa subsidi orang kaya untuk elektrik? RM4 bilion ringgit. Pasal apa nak bagi subsidi? Ini macam bantuan, kita bantu rakyat. Orang kaya tak payahlah bantu. Untung RM400 juta setahun, untung RM1 bilion, Elektrik? subsidi. Tak cerdik politik dan ekonomi begini.
- Begitu juga saya kata dalam RON95. Bawa Rolls Royce, bawa Mercedes besar, minyak? Kerajaan bantu subsidi. Bila kita nak naikkan, dia marah kita. Kita nak naikkan bagi yang maha kaya, yang mampu. Dia boleh mampu beli satu kereta RM1 juta. Nak bayar harga minyak. Harga minyak bukan saya mintak tambah, tak. Harga minyak tanpa subsidi. Kalau harga minyak RM3, RM3 lah. Kalau RM3.50, RM3.50 lah. Itu pun seperti mana saudara tahu, harga minyak di Malaysia ini jauh lebih rendah daripada negara-negara jiran. Sebab itu penyeludupan tinggi. Jadi kita ini kadang-kadang bercakap bergegar-gegar Melayu Islam tapi duk sokong orang kaya dan penyeludup nak curi harta negara dan orang asing. Sekarang ini kalau kita tak naikkan, yang kita nak bagi subsidi kepada siapa? Orang asing. Kalau saudara ada kad pengenalan rakyat Malaysia, tak naik. Tapi tak ada kad pengenalan, rakyat negara lain dia kena bayar ataupun kalau pun dia ada kad pengenalan tapi kaya. Satu bulan gaji RM50,000. Satu bulan RM100,000. Satu bulan RM1 juta pun ada. Ada Rolls Royce, ada Mercedes, ada Maserati, ada Lamborghini. Tapi minyak? Kerajaan bagi subsidi. Bila kita nak naikkan, riuh rendah, Allahuakbar!, kata dia.
- Sebab itu saya kata dalam dakwah ini yang ditekankan, “Ud’u ilaa sabeeli Rabbika bilhikmah, walmaw ‘izatil hasanati wa jaadilhum billatee hiya ahsan” (Surah An-Nahl, Ayat 125). Ini sebabnya kalau bicara dengan baik dengan hikmah, maknanya ada ilmu, ada maklumat, tanyalah dulu. Kalau orang datang saya balik Ceruk To’kun dia tanya, “Datuk Seri, pasal apa harga elektrik ini naik?” Saya tak marah. Dia tanya, tanggungjawab kita bagi penjelasan. Tapi terus dihukum. Ini Kerajaan zalim dan tak Islam dan ikut Firaun. Ini tok guru macam susahlah kita. Kalau jawab dia kata kita tak hormat tok guru. Mana boleh tok guru hukum begitu rupa.
- Ini yang baru-baru ni yang saya sebut seorang Kiai Gus di Indonesia yang riuh ini. Faham agama, fasih Quran dan hadis, tapi bila tengok orang jual teh berdiri itu dia hina, tergelak terbahak-bahak, memalukan, mengaibkan orang ini yang miskin. Jadi bagi saya kitab apa dia baca? Dia itu pendakwah, tok guru, Gus yang terkenal. Apakah boleh biarkan begitu tak dijawab? Maka kita jawab. Memang ada tindakan, Presiden Indonesia telah pecat dia daripada jadi penasihat. Tapi saya nak bagi contoh, tak ada jaminan. Sebab itu jaminannya itu bukan pada ilmunya. Ada ilmu tapi bongkak, sombong dan pantas menghukum. Kerana lain kelab, lain parti, bukan berdasarkan fakta, bukan hasanah, bukan bil hikmah, bukan maw’izah hasanah. Ini saya harap dapat difahami.
- Kerana saya di Permatang Pauh ini ambil peluang bercakap panjang sikitlah bab-bab ini. Di Kuala Lumpur tak boleh, dia kata Perdana Menteri dia bercakap serius sahaja. Kalau balik kampung sendiri lepas dah sikit menjawabnya. Saya selalu kena hari-hari tak jawab pun. Masa saya dalam Parlimen tu aman sikit. Saya keluar je dia mengaum lah. Saya tak ada je dia orang (riuh) tapi saya ada okay lah. Kalau saya bagi peluang tanya, tanya lah.
- Jadi mudah-mudahan dengan PIHEX ini, Expo peringkat antarabangsa, halal, jadi banyak dia maksud dia. Mudah-mudahan Allah memberi kekuatan kepada kita, berikan kita peluang untuk maju dan saya sebut soal percukaian itu penting kerana kita nak hasil. Nak cukai orang miskin saya tak sanggup, kita cukai orang kaya. Untuk apa? Dulu sekolah agama, ketua mereka sekarang Perdana Menteri dulu, dia batalkan semua peruntukan dan bantuan kepada sekolah agama. Terus sampai 2022. Saya ambil alih jawatan Perdana Menteri, saya bagi balik peruntukan kepada sekolah agama. Yang salah saya, yang kawan tu disanjung, diusung merata-rata.
- Marah Israel, masa mereka kapal Israel Zim boleh masuk pelabuhan Malaysia. Bila? 2002. Bila? 2015. Bila? 2020 sampai 2022. Semua Kerajaan bagi kapal Israel Zim masuk berniaga di pelabuhan kita. Bila berhenti? 2023. Kerajaan mana? Kerajaan MADANI hentikan, tak boleh Israel berniaga. Tapi yang salah kita. Cuba tanya pasal apa kamu tak tanya orang itu pasal apa dibenarkan? Dia tak tanya. Yang tok-tok guru yang menyokong mereka, dia tak tanya. Kalau dia tegur kita, tak apa. “Oh, Anwar tak cukup kamu buat, kamu kena tegas lagi” Okay. Tetapi yang kamu bagi kapal Israel masuk tu jawab boleh tak? Kamu bagi pesawat Israel laluan udara kita dulu tahun 2000-2020. Saya tak bagi. Arahan kita termasuk Anthony Loke yang Menteri Pengangkutan dia bawa keluar arahan, semua pelabuhan diharamkan kapal berpengkalan dari Israel untuk berlabuh di Malaysia. Oh! tapi kita yang diserang “tak Islam”, “sekular”, “liberal”, “tak menghayati Islam”. Yang bagi? Islam.
- Ini keadaan kita sebab itu dah hilang kewarasan kerana benci semata-mata atau hasad dengki. Dia tak fikir kenyataan, tak peduli fakta dan ini disampaikan dari kampung-kampung. Tapi saya yakin insya-Allah, kalau kita jawab dengan baik bagi fakta insya-Allah kebenaran akan tertera juga.
- Yang perlu kita lakukan yang sebaiknya saudara-saudara, Malaysia hari ini aman, ekonomi sekarang berkembang, dunia bagi perhatian dan kalau kita dapat terus kerja begini, baiki, kita akan tingkatkan. Anak-anak Maahad Tahfiz ramai. Kadang-kadang peluang pekerjaan tidak ada. Jadi bersama majlis TVET di bawah Datuk Seri Zahid, kita kata bagi peluang anak-anak ini. Bagi dia belajar dan hafal Quran tapi bagi dia juga TVET dan kalau dia tingkat, naik higher Kalau dia pandai lagi bawa ke universiti. Itu rencana yang kita lakukan sekarang. Ada dibuat dulu? Tidak? Ini mudah-mudahan kita diberikan kerjasama dan pohon doa saudara dan saudari supaya kita dapat laksanakan dengan sebaiknya.
- Dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim, saya rasmikan PIHEX 2024
Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Similar Posts:
- PERBINCANGAN INTELEKTUAL UNTUK RESPONS KEPADA ISLAMOFOBIA – PM ANWAR
- COVID-19: MALAYSIA TIDAK DISKRIMINASI PELANCONG ASING, UTAMAKAN KESIHATAN RAKYAT
- JANGAN AMAL BUDAYA SELESA, TEKAD LAKSANA PERUBAHAN UNTUK NEGARA – PM
- DENGAR PENDAPAT PAKAR NAMUN JANGAN SESEKALI ABAI PANDANGAN RAKYAT BIASA – PM ANWAR
- JEMAAH MENTERI SETUJU POTONG GAJI 20 PERATUS – PM ANWAR