TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: JAMUAN TEH RAKYAT BERSAMA YAB PERDANA MENTERI SEMPENA TAHUN BAHARU CINA 2025

  

TEKS UCAPAN

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

SEMPENA

 

JAMUAN TEH RAKYAT BERSAMA YAB PERDANA MENTERI SEMPENA TAHUN BAHARU CINA 2025

 

 

 

31 JANUARI 2025 (JUMAAT) | 3.00 PETANG

DEWAN SJKC CHONG HWA KANTHAN BARU

 

Terima Kasih Saudara YB Tuan Nga Kor Ming,

Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT);

 

Ahli-ahli Majlis (EXCO) Kerajaan negeri;

Dato’ Speaker;

 

YB Tuan Wong Kah Woh,

Timbalan Menteri Pendidikan;

 

YB Tuan Muhamad Arafat Varisai Mahamad;

ADUN Hulu Kinta; dan

 

Kawan-kawan semua, terima kasih.

 

  1. Sempena Gong Xi Fa Cai, saya ucap terima kasih dan ucap Selamat Hari Raya Cina, Xin Nian Kuai Le dan untuk pastikan tiap-tiap tahun baik, ‘Xin Nian Hao, Nian Nian Hao’.

 

  1. Tadi saudara YB Tuan Nga Kor Ming terangkan tentang perkembangan ekonomi kita. Saya tegaskan bila semua rakyat bersatu, ini negeri bukan senang sebab ada banyak kaum, banyak agama, banyak kawasan, Perlis dengan Sarawak lain. Johor dengan Kelantan lain. Kemudian kaum-kaum tetapi, kalau semangat begini, yang kita mahu apa? Kita mahu anak-anak kita sekolah baik, hospital kita baik, jalan baik, anak-anak muda ada kerja, bapa-bapa, ibu-ibu, mak-mak di rumah kita jaga dengan baik, sakit ada rawatan baik, inilah tujuan Kerajaan.

 

  1. Sebab itu kita mesti bersepakat, kerjasama. Ini penting, saya datang walaupun di Hari Raya Cina, saya Melayu tetapi saya anggap ini di Malaysia, kawan-kawan Cina hormat orang Melayu masa Hari Raya Puasa, orang Melayu atau India hormat orang Cina masa Gong Xi Fa Cai. Baru boleh selamat kita sebagai negara yang kuat.

 

  1. Sekarang Malaysia seperti mana yang disebut tadi, kita lawat mana-mana negara luar orang hormat. Hari Ahad ini, Dr Thaksin Shinawatra, Perdana Menteri Thailand akan dahulu akan datang kerana beliau mahu bincang sikit pasal ASEAN. Kemudian minggu berikutnya Presiden Uzbekistan datang. Minggu satu lagi Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan akan datang. Jadi orang bagi perhatian, sebab apa? negeri aman. Apa sebab lagi? Wèishéme? sebab ekonomi kita baik, orang boleh labur dalam negara kita. Jadi sebab itu saya ucap terima kasih kepada semua kerana kita dapat terus maju dalam hal ini.

 

  1. Apa kita tidak ada masalah? ada. Apa masalah kita? Harga barang masih naik. Ya betul, ekonomi baik, kerja baik, inflasi rendah tetapi masih ada orang susah. Jadi kita kena cari jalan bagi selesai. Bukan gaduh tetapi cari Jalan. Bukan senang selesai. Satu dunia sama ada Amerika, China. Eropah, Jepun, Indonesia atau Thailand semua menghadapi masalah harga barang.

 

  1. Kita kena cari jalan kurangkan masalah bagi rakyat, dan ini kita lakukan. Kalau ada tuan-tuan, puan-puan mahu bagi cadangan lain, kita boleh terima dengan baik. Tapi sementara itu, oleh kerana ekonomi baik, hasil negara baik, maka menteri-menteri jalankan kerja. Wong Kah Woh tahu dari segi pendidikan, kita tambah. Nombor satu, belajar untuk pendidikan. Nombor dua untuk kesihatan. Kemudian Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tadi sebut untuk Tambun sahaja, tahun ini kita nak selesaikan projek-projek rakyat. Mana kita tahu? Kita tanya. Haa ini dia mahu dewan, ini dia mahu lampu jalan, ini dia mahu baiki longkang, ini dia mahu cuci parit. Semuanya berapa projek? 107 projek. Ini untuk yang KPKT. Ada lagi lain-lain? Berapa belanja? RM160 juta. Jadi kita ambil tahu. Mana saya tahu parit mana mahu cuci? Mana saya tahu dewan mana mahu baiki? Kita dengar, orang angkat tanya kita, bagi cadangan, kita man man, kita kasi selesai. Ini yang kita lakukan. Jadi maknanya wakil rakyat, pemimpin-pemimpin masyarakat turun, dengar dan cari jalan selesai.

 

  1. Jadi tuan-tuan dan puan-puan, hari ini kita minum teh sama-sama. Saya ucap terima kasih, tapi ada satu hal yang saya mahu singgung sedikit, isu nasional sikit. Dalam dua (2) hari yang lalu, ada sedikit kes di antara Malaysia, APMM di bawah Kementerian Dalam Negeri, Polis Diraja Malaysia iaitu yang jaga sempadan kita itu telah mengikut siasatan mereka, cuba menangkap orang-orang terlibat yang masuk keluar tanpa kebenaran, tanpa visa. Jadi ini berlaku penyeludupan (smuggling) Sindiket bawa orang masuk keluar, tauke-tauke besar terlibat sama ada Indonesia atau Malaysia. Tetapi malangnya dalam kes terbaru, ada tuduhan diganggu pasukan keselamatan, berlaku tembakan, ada warganegara Indonesia yang meninggal dunia dan cedera. Maka media di sini lapor tentang penyeludupan, tentang orang yang tidak ada hak masuk, menyeludup, kartel dan sindiket haram. Di Indonesia mengatakan bahawa tindakan kita tidak ikut peraturan, ganas dan tidak berperikemanusiaan.

 

  1. Saya ikuti kenyataan Presiden Prabowo Subianto, yang tentunya prihatin, tetapi minta supaya ada siasatan yang rapi. Indonesia adalah negara sahabat. Jadi saya ingin bagi jaminan siasatan kita akan cukup rapi, cukup telus dan tidak untuk melindungi sesiapa. Dan pagi tadi saya telah minta supaya laporan siasatan awal di sampai ke Kedutaan Indonesia. Ini hanya berlaku kerana negara ini sahabat baik. Dan siasatan ini bila lengkap sepenuhnya akan juga diteliti oleh rakan-rakan kita di Indonesia.

 

  1. Kita tidak mahu hal-hal ini mengganggu hubungan baik. Tetapi negara ini mesti ikut hukum. Terlalu ramai orang yang datang tanpa izin, terlalu ramai yang datang melalui penyeludupan manusia, dadah, barang-barang haram dan kita terpaksa tegas untuk menghalang hal-hal sedemikian. Tetapi saya ingin beri jaminan tidak boleh melanggar hukum, tidak boleh melakukan tindakan yang bertentangan dengan undang-undang. Jadi oleh yang demikian, saya harap kedua-dua pihak seperti mana suara Presiden Indonesia dan saya ikut jalur hukum, jangan hendak ikut umpamanya kemarahan melulu kerana ia akan menjejaskan hubungan baik di antara kita.

 

  1. Saya tidak mahu melindungi sesiapa kalau ikut, tidak ikut peraturan dan hukum. Saya telah berbincang sendiri dengan Ketua Polis Negara sampaikan juga kepada Menteri Dalam Negeri supaya hal ini diteliti supaya hubungan kita dengan Indonesia kekal baik.

 

  1. Jadi itu sementaranya, saya ambil kesempatan menjelaskan kepada media supaya benda ini jangan berlarutan. Ada sedikit sebanyak keterlanjuran kerana kedutaan kita di Jakarta itu diganggu dan dibaling dengan telur dan sebagainya dan saya tahu ini hanya kumpulan kecil. Tetapi saya harap di Malaysia jangan ada tindak balas, biar kita ikut hukum dan kita faham kadang kemarahan berdasarkan laporan-laporan yang tidak bertanggungjawab yang menghangatkan suasana, menghukum sebelum ada fakta, menghukum selesai siasatan. Jadi sebaiknya kita tunggu dan saya ingin beri jaminan. Saya tegaskan harus ada siasatan yang telus dan kedua-dua pihak harus mengambil maklum tentang hasil siasatan itu.

 

  1. Sekali lagi saya ucap terima kasih, “xie xie ge wei, Xin Nian Kuai le, Gong Xi Fa Cai,” Terima kasih banyak.

 

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.