TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI UTAMA ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS PECAH TANAH PROJEK LRT LALUAN MUTIARA PULAU PINANG
11 JANUARI 2025 (SABTU) | 10.00 PAGI
TAPAK STESEN LRT BANDAR SRI PINANG
Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera
Yang Amat Berhormat Tuan Chow Kon Yeow,
Ketua Menteri Pulau Pinang;
Yang Berhormat Tuan Loke Siew Fook,
Menteri Pengangkutan;
Saudara Lim Guang Eng;
Yang Berhormat Ahli Jemaah Menteri;
Yang Berhormat Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau
Pinang;
Yang Berhormat Timbalan-Timbalan Ketua Menteri Pulau
Pinang;
Ahli-ahli Majlis Kerajaan Negeri;
Pengurusan Tertinggi MRT Corp;
Ahli-ahli Yang Berhormat; dan
Rakan-rakan yang saya muliakan.
- Hari ini bukan sahaja ada anak Pulau Pinang tetapi saya percaya rakyat seluruhnya dan pengunjung menyaksikan satu lagi detik sejarah yang penting untuk memperkasa pengangkutan awam di Pulau Pinang. Dan ini dijalankan tentunya dengan kebijaksanaan kerjasama Menteri dan Kementerian Pengangkutan, MRT Corp yang diamanahkan dan kerjasama penuh Setiausaha Kerajaan Negeri sejak zaman Saudara Lim Guan Eng sehinggalah asakan demi asakan yang dibuat oleh Ketua Menteri Chow Kon Yeow.
- Saya sampai tak larat hendak dengar dia punya cerita LRT ini (nada berseloroh). Tetapi saudara tahu apabila Jemaah Menteri memikir, merencana, dia merencanakan keperluan, keperluan rakyat dalam bidang pengangkutan. Pulau Pinang menjadi hab semikonduktor penting.
- Baru-baru ini, Chris Miller yang menulis buku “Chip War”, menyebut tentang keupayaan Malaysia termasuk Pulau Pinang yang mencatat sejarah permulaan infrastruktur semikonduktor yang gagah, tapi harus terangkat sekarang dengan talent, mutu pendidikan yang lebih baik untuk memenuhi keperluan baru, kerana kita sudah sampai kepada chip, fab, design yang semuanya menuntut penyertaan yang lebih dan pelaburan yang lebih.
- Negara-negara luar, syarikat-syarikat besar yang melabur mahu infrastruktur baik. Termasuk pengangkutan, peluang pekerjaan tentunya jauh bertambah. Sebab itu kita memutuskan akhirnya, setelah menunggu sekian lama LRT diluluskan. Dan saya harap MRT Corp yang diamanahkan akan menjalankan kerja mereka, bukan sekadar mengekalkan rekod mereka telus, bersih, cekap dan mengurus dengan baik tanpa apa-apa muslihat dan ketirisan seperti mana yang kita tahu pada era lalu dengan pelbagai karenah. Jadi saya percaya ini dapat disegerakan.
- Ada juga isu-isu yang dibangkitkan dengan perjalanan seperti yang disebut oleh Saudara Anthony Loke tadi iaitu tentang keperluan melihat garis yang menjaga kepentingan awam. Perumahan mereka, kemudahan asas mereka, keperluan pemindahan yang adil. Dan juga yang dibangkitkan dalam kes tapak pesta. Saya bincang dengan Ketua Menteri, kita mengambil kira pandangan ini dan sedang berbincang kalau boleh, kalau pun tidak sepenuhnya menyelamatkan sebahagian daripada tapak Pesta kerana bagi orang Pulau Pinang ini dia cukup sentimental. Orang Pulau Pinang ini menarik, dia sentimental. Dia sentimental dengan Nasi Kandar, sentimental dengan tapak Pesta.
- Jadi kalau boleh semua hendak kekal seperti yang lama, tapi dia nak LRT, dia hendak pembesaran lapangan terbang. Tapi dia hendak kekal yang lama jadi saya ingat orang Pulau Pinang kena rumuskan dengan baik. Bila membawa perubahan, maknanya sedikit penyesuaian harus dilakukan.
- Walau bagaimanapun, kerana hal ini dibangkitkan oleh ramai, saya telah minta dan saya percaya Ketua Menteri bersetuju untuk berbincang bagaimana boleh kita membuat sedikit penyesuaian sekiranya perlu untuk menyelamatkan, kalau tidak sepenuhnya sebahagian daripada tapak Pesta. Kalau tidak wang tidak diluluskan (nada seloroh). Kita tengok kesesuaian, saya boleh bagi jaminan perkara ini akan diberi pertimbangan seserius mungkin. Seperti mana pernah kita singgung tatkala bicara soal kereta ke Bukit Bendera, negara harus berkembang, dalam harus maju. Harus technologically savvy Tetapi dengan perkembangan ini kita harus jaga identiti khas Pulau pinang dan negara Malaysia.
- Maknanya dia harus cekap dan moden tetapi bagaimana perancangan seni binanya, laluannya mengambil kira untuk menjadikan Pulau Pinang ni agak unik, kerana kita tahu dan saya singgung dulu dalam ucapan bagaimana apabila diperhatikan peringkat awal Washington D.C – impressive infrastructure, modern, challenging but culturally barren. Itu yang disinggung pada pemerhatian awal. Jadi kita nak moden, nak cekap, nak sesuai dengan perkembangan baru tetapi bagaimana boleh kita sesuaikan supaya ada identiti khas, kalau lihat terus dia tahu ini Pulau Pinang, Malaysia dengan kekayaan budaya dan seni yang indah.
- Jadi saya harap hal-hal ini juga difikirkan supaya ia tidak hanya jadi LRT seperti mana LRT mana-mana tempat di dunia. Tentunya kenderaannya sama, beberapa infrastrukturnya sama, tetapi ini satu cabaran yang besar yang harus kita renungkan. Dan saya lihat kalau ikut dari segi program senibina yang dibuat di kenderaan di Bukit Bendera, ia memenuhi maksud kita – modern but culturally enriching vibrant. Itu yang pertama.
- Yang keduanya, saya ikuti perkembangan daripada Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Ketua Menteri Pulau Pinang supaya program dan projek pembesaran Lapangan Terbang Pulau Pinang juga disegerakan kerana tarikan pelancong dan juga keperluan industri. Ada cadangan syarikat FedEx untuk bersama dalam satu projek di situ kerana apabila kita besarkan pelabuhan dan sudah penuh, keperluan pesawat yang bertambah untuk pelancongan, industri dan sekarang saudara tahu bagaimana industri dari pulau sehingga ke seberang di sebelah Prai dan kini Batu Kawan yang hampir penuh kerana sambutan dan keyakinan bukan sahaja kepada dasar Kerajaan Persekutuan tetapi cara negeri dan pimpinan negeri mengurus negeri dengan cekap dan pantas.
- Saya sering berjumpa dengan syarikat-syarikat besar yang melabur dan tentunya saya mahu pandangan dan feedback mereka tentang tahap kecekapan kita dalam kelulusan, dan umumnya mereka berikan gambaran prestasi yang sangat baik kepada Kerajaan Negeri dan penjawat awam Pulau Pinang yang memberikan kelulusan yang pantas dan cekap.
- Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) telah mengemukakan juga kertas dan kita telah bersetuju dengan kesesakan yang juga melibatkan Lebuh Raya Utara-Selatan, maka kita juga akan menyegerakan pembinaan lingkaran di sekitar kawasan Juru yang menjadikan satu tempat sesak di Seberang Perai, dan seperti mana yang disebut tadi, program kita juga akan sampai ke seberang kerana saya ambil perhatian ini, kerana di kalangan rakyat ia dilihat infrastruktur tetapi selalu dia tanya bagaimana untuk kita, daerah kita, kepentingan kita.
- Jadi sementara instruktur-infrastruktur ini penting, lingkarannya harus ke pulau dan ke seberang dan keduanya, tumpuan kita untuk negeri ini tentang apa yang saya tekankan secara tegas iaitu soal pembasmian kemiskinan, perumahan rakyat, peluang-peluang perniagaan bagi kalangan kecil, warung-warung dan restoran kecil yang harus dibersihkan dan ditingkatkan hak mereka kerana kita tidak mahu Pulau Pinang dikenali hanya dengan KOMTAR ataupun LRT dan lapangan terbang atau Bukit Bendera, kita nak juga Pulau Pinang ni dikenali sebagai negeri yang utama yang boleh membasmikan kemiskinan, yang memberi jaminan perumahan rakyat kepada majoriti rakyat dan kemudian memberikan peluang perniagaan bagi golongan yang kecil, warung-warung dan restoran-restoran kecil dan peniaga-peniaga kecil mendapat tempat yang bersih. Dan ini cabaran bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai dan Pulau Pinang serta ini juga tumpuan yang saya berikan untuk Kuala Lumpur.
- Semalam umpamanya saya solat Jumaat di Masjid India dan kita telah luluskan umpamanya projek rakyat peniaga kecil, tetapi kadang pelaksanaan iaitu lembap, tender terpaksa dibatalkan kerana tidak memenuhi syarat dan kita tahu kalau betul tidak boleh memenuhi syarat, ambil tindakan awal, janganlah tunggu sampai habis tempoh dan saya bagi arahan itu sampai dah lebih daripada setahun yang lalu, satu setengah tahun yang lalu. Ini sebagai contoh-contoh di mana rakyat di peringkat bawah yang hanya melihat dan menyaksikan projek-projek besar dan gagah tetapi melihat seolah-olah nasib mereka terabai. Sebab itu saya mahu Kerajaan Negeri berikan pemusatan yang selaju sederas apa yang kita lakukan untuk projek-projek penting seperti pengangkutan awam untuk rakyat.
- Tetapi ini juga penting dalam rangka yang besar. Ada yang mengatakan ini kerana Anwar dari Pulau Pinang diberi tumpuan Pulau Pinang, itu tidak benar. Kita luluskan untuk pesawah Kedah, program sekitar MADA sebanyak RM1 bilion ringgit untuk meningkatkan produktiviti bersama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM). Saudara YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu umpamanya telah turun ke gelanggang beberapa kali kerana itu kelompok termiskin di antara yang termiskin dalam negara kita dan kita beri tumpuan di situ kerana maksud untuk meningkatkan produktiviti dari 2 tan naik kepada 6 tan, di Sekinchan boleh mencecah 10 ke 12 metrik tan, jadi ini memerlukan infrastruktur tambahan. Ianya memerlukan baja, benih dan pengurusan serta pengawasan lebih teliti. Saya nak jelaskan begini kerana kita lihat kerangka yang lebih besar.
- Di Kelantan, banjir saban tahun dan projek tebatan banjir kita buat ikut unjuran. Tahun ini, Rantau Panjang fasa satu kerana kekangan kewangan, tahun 2026 Rantau Panjang fasa 2, tahun 2027 Kuala Krai fasa satu, jadi rakyat miskin Kelantan yang hidup di tepi tebing sungai itu terpaksa mengalami banjir 2 ke 3 kali setahun untuk 7 hingga 8 tahun lagi. Saya telah minta umpamanya diubah semula, dasar kita apa pun masalah dan kekangan mesti menyantuni dan menyelesaikan masalah asas rakyat.
- Bagi saya tebatan banjir walaupun kemungkinan banjir mungkin besar yang tak terkawal itu saya faham, tetapi ternyata bila kita lakukan fasa pertama di Rantau Panjang sebahagian daripada kawasan bandar dan kampung yang terlibat itu dapat mengawal ancaman banjir. Jadi oleh itu saya dah minta kementerian yang berkenaan bersama Kementerian Ekonomi, Kewangan dan seluruh jentera Kerajaan membuat penyesuaian. Kalau ini bermakna kita terpaksa potong dari peruntukan-peruntukan lain termasuk kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang kita akan lakukan untuk menumpukan projek utama yang mendesak dan mengganggu keselesaan serta keselamatan rakyat.
- Setiap tahun bantuan pasca banjir itu hampir RM 1bilion, sekolah perlu diperbaiki semula, jambatan perlu dibina semula, jalan terpaksa diperbaiki. Kemudian tahun lepas, PPS ratusan mangsa banjir masuk ke sekolah. Tandas yang baru diperbaiki perlu diperbaiki lagi, jadi ini bukan hal yang mudah. Sebab itu saya fikir kita harus melakukan anjakan, ini juga menelan belanja berbilion ringgit untuk Kelantan.
- Semalam Perdana Menteri Jepun, Ishiba Shigeru datang dan saudara-saudara lihat sekarang ini Malaysia menjadi tarikan, dan dalam kurang dari tiga minggu, 4 Perdana Menteri, Presiden daripada Thailand, selepas itu daripada Singapura dan Indonesia yang datang sekejap untuk makan tengah hari, berbincang kerana lawatan rasminya pada akhir bulan. Kemudian semalam Perdana Menteri Jepun, Ishiba Shigeru, lawatan Perdana Menteri Jepun yang pertama selepas beliau dilantik sebagai perdana menteri itu ke Malaysia, beliau ada hadir sidang multilateral international conference yang diperlukan hadir tapi untuk bilateral visit yang pertama beliau memilih Malaysia, dan tentunya saya ucap terima kasih kerana diberikan satu keutamaan yang jarang berlaku dalam sejarah.
- Dan perbincangan itu sangat substantif. Saudara Anthony Loke hadir dalam mesyuarat. Itu secara komprehensif dibincang, soal pelaburan, soal energy transition, soal pendidikan. Tsukuba University Branch Campus yang akan bermula bulan September tahun ini. Hal-hal yang utama dalam energy transition termasuk penemuan baru dalam isu green hydrogen and ammonia yang mampu diselenggarakan bersama dengan Sarawak yang melibatkan Petros dan Petronas. Itu semua kita bicara. Maknanya Sarawak di situ diberi tumpuan.
- Sebelum itu dengan Lawrence Wong, Perdana Menteri Singapura, kita berjaya kerjasama yang rapat dan akrab Malaysia dan Singapura sehingga mewujudkan Johor-Singapore Economic Zone. Ini akan dapat menjana pertumbuhan yang lebih segar dan untuk wilayah Johor atau selatan, semenanjung.
- Jadi apa yang saya nak sebutkan di sini ialah kerangka besar ini bagi kita lihat satu negara. Fahaman-fahaman sempit lihat soal kaum, soal daerah, soal negeri hempas pulas bergaduh, pertahankan penyelewengan, pertahankan pemborosan dan rasuah-rasuah besar. Ini semua tidak akan membantu negara kita. Saudara percayalah kalau kita dapat pertahankan pace ini, bukan soal saya, seluruh team kita. Kalau kita dapat pertahankan pace yang kita lakukan ini, kerjasama yang sangat baik, persahabatan sangat baik dengan negara China, mempertahankan hubungan baik dengan Amerika Syarikat dan Eropah. Kemudian hubungan kita dalam ASEAN yang sangat akrab. Bincang berkali-kali dengan Thailand untuk bantu menyelesaikan masalah ketegangan di selatan Thailand dan membangunkan wilayah yang miskin di selatan Thailand dan utara Semenanjung. Itu kita nak bangunkan bersama sebagai umpamanya zon ekonomi bagi selatan Thailand dan utara Semenanjung.
- Kalau kita dapat kekalkan pace dan fokus dalam bidang ini, saya percaya Malaysia akan menempah sejarah dan terangkat sebagai negara hebat di rantau ini. Jadi kita nak ajar rakyat untuk tumpu hal-hal yang besar. Bukan soal video pelancongan yang tak ada nampak gambar masjid itu jadi pertarungan hebat. Tengok-tengok pelancongan Kelantan pun tak ada nampak masjid juga. Kalau iya pun, bagi cadangan kita baiki lah. Tapi inilah maknanya dibawa hal-hal ini untuk meretakkan hubungan antara kita dan main sentimen kaum, kebencian satu sama lain. Saudara ingat kalau dengan bergaduh bab ini boleh kita tumpu soal LRT? Soal pembangunan Lapangan Terbang Pulau Pinang? soal Juru? soal muda RM1 bilion untuk pesawah di Kedah atau RM2 bilion untuk tebatan banjir di Kelantan? Energy hub untuk Sarawak atau Johor-Singapore Economic Zone? Tak dapat kita beri tumpuan kerana hal-hal ini memerlukan tumpuan pimpinan seluruh dan penjawat awam.
- Dan saya beritahu baru-baru ini kepada semua KSU dan KP dan ini termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri. Mereka ini bukan ketua kerani, mereka ini pimpinan yang diamanahkan di peringkat negeri dan Kementerian. Bincang bersama, fikir bagaimana kita boleh melaksanakan pembaharuan dan perubahan hal-hal baru yang mencabar. Siapa fikir tentang transisi tenaga 10-20 tahun yang lalu? Mungkin sedikit, tetapi tidak menjadi dasar yang kuat. Siapa fikir soal transformasi digital dan AI 20 tahun yang lalu? Jadi sekarang kita mahu Ketua-ketua Jabatan itu juga bukan sahaja sebagai pelaksana tapi sedia memikir, bantu Ketua Menteri, bantu Menteri untuk memberikan hujah dan cadangan baru untuk perbaiki dan bukan untuk menggunakan keadaan dan peluang untuk mencari komisen dan helah mencari keuntungan yang haram. Ini saudara-saudara, dan jangan alihkan pandangan pada isu-isu remeh yang tidak membantu kita. Kita ada negara dan negara ini negara hukum, ikut jalur hukum dan jaga kepentingan negara kita.
- Jadi walaupun kita bercakap soal LRT, saya nak beritahu di sini dia tak boleh lari daripada kerangka dasar kita yang besar. Saya confident, ada orang kata itu kalau bagi di Pulau Pinang, di jaga Cina Pulau Pinang sahaja kerana takut kepada DAP. Saya tak ada terganggu begitu. Saya fikir dengar semua pandangan, di Kedah ini, di Kelantan ini, di Johor begini, di Pahang ini projek dia, di Sabah begini, Sarawak begini. Saya kata yes, Pulau Pinang memerlukan ini, we do it. Kalau kita nak dengar kerenah-kerenah penghasut ini, siapa pun tidak akan untung, siapa pun tidak akan makmur dan negara ini akan terhambat sebagai negara yang mundur kerana perpecahan antara kaum, penghasut-penghasut dari segi agama dan wilayah yang akan merugikan kita.
- Jadi saudara-saudara, di Pulau Pinang saya nak bagi contoh. Pulau Pinang ada dasar, pengalaman, sejarah jaga kecekapan, integriti, jadi tarikan dari segi semikonduktor umpamanya dan AI. Saudara harus pertahankan ini dan kerja sebagai satu pasukan.
- Hari ini kita bertuah kerana kita dapat bersama-sama melihat, menyaksikan projek baru pecah tanah LRT. Laluan pun namanya Laluan Mutiara Pulau Pinang. Bukan laluan kaca, laluan Mutiara. Orang Pulau Pinang ini kalau tentang bahasa….ehhh (nada seloroh). Jadi laluan Mutiara, maka jadikan ia betul-betul semangat dari keindahan satu mutiara. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri, kepada Anthony Loke dan Kementerian Pengangkutan dan amanah untuk MRT Corp untuk menjalankan dengan cekap dengan bersih.
Terima kasih.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Similar Posts:
- KERAJAAN TUMPU USAHA TURUNKAN HARGA BAHAN MENTAH – PM ANWAR
- COVID-19: MALAYSIA TIDAK DISKRIMINASI PELANCONG ASING, UTAMAKAN KESIHATAN RAKYAT
- BELANJAWAN 2023 AMBIL KIRA CABARAN EKONOMI SEMASA – PM ANWAR
- NASIB GOLONGAN MISKIN TEGAR TERUS JADI KEUTAMAAN KERAJAAN PERPADUAN – PM ANWAR
- BINCANG SEMULA KADAR GAJI, UPAH PENJAWAT AWAM BILA KEWANGAN NEGARA BERTAMBAH BAIK – PM ANWAR