TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS PERAYAAN TAHUN BAHARU CINA DEWAN PERNIAGAAN DAN PERINDUSTRIAN CHINA PERAK (PCCCI) 2025
31 JANUARI 2025 (JUMAAT) | 10.00 PAGI
WEIL HOTEL, IPOH, PERAK
Terima kasih.
Salam Sejahtera kepada semua.
Yang Amat Berhormat Datuk Seri Saarani bin Mohamad,
Menteri Besar Perak Darul Ridzuan;
Ahli-ahli, Rakan-rakan Jemaah Menteri;
Yang Berbahagia Dato’ Liew Chee Ming presiden PCCCI dan Kepimpinan PCCCI; dan
Rakan-rakan yang saya muliakan.
- Terima kasih atas penghormatan ini dan sambutan yang begitu meriah di seluruh negara dan hari ini di Ipoh meraikan perayaan Hari Raya Cina. Istimewa di Malaysia ini disambut oleh masyarakat Cina, Melayu, India, Sabah dan Sarawak sebagai satu sambutan negara yang sangat permai. Jadi saya ucap “xie xie ge wei”.
- “Ge wei lai bin da jia hao.” Jadi sementara ini majlis Hari Raya Cina, jadi “Gong Xi Fa Cai, Xin Nian Kuai Le, Xin Nian How, Nian Nian Hao”.
- Kita dengar tadi ucapan Datuk Liew mewakili persatuan, terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Perak, di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Saarani dan rakan-rakan menteri yang berusaha untuk meningkatkan ekonomi negara.
- Kita lihat memang ada perubahan, tetapi kita kena fokus seperti mana saya sebut jangan hirau isu-isu bila ada negara yang pelbagai kaum, pelbagai agama, pelbagai negeri dan wilayah memang selalu dibangkitkan. Kerana sebahagian kecil mahu jadi jaguh, hero kaum masing-masing, kawasan dan wilayah masing-masing.
- Tetapi kita seru supaya majoriti rakyat fikir kepentingan negara keseluruhannya. Bahawa negara ini harus jadi contoh perpaduan yang baik di antara semua kaum. Ambil kira kepentingan semua, maju semua, tingkatkan ekonomi bagi faedah semua. Dan ini saya ucap terima kasih kepada PCCCI kerana bagi semangat yang sama. Walaupun ia Dewan Perniagaan Cina tetapi prihatin tentang masalah rakyat yang seperti mana disebut M40, B40 kerana ini masalah kita.
- Kerajaan umpamanya dari segi bantuan pada rakyat sudah tambah. Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sudah naik sehingga RM13 bilion. Ini kita tambah kerana kita tahu kos sara hidup meningkat, ini masalah yang dihadapi oleh seluruh dunia. Saya berjumpa dengan Presiden Prabowo Subianto Presiden Indonesia beberapa hari yang lalu, tajuknya kos sara hidup. Saya pergi ke European Union, cakap dengan Presidennya, Antonio, kos sara hidup, Perdana Menteri Netherlands, kos sara hidup. Jumpa Perdana Menteri UK, bagaimana hendak hadapi masalah kos yang meningkat? Walaupun kos kita meningkat itu relatif rendah tapi dia bebankan rakyat sebab itu kita tambah.
- Dan Malaysia di antara negara yang beri sumbangan tinggi kepada rakyat di peringkat bawahan. Saya katakan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) itu RM13 bilion. Ini tidak termasuk umpamanya projek-projek yang dijalankan oleh Kementerian-Kementerian lain, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) umpamanya. Bantuan kepada mahasiswa melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Pertanian, kita teruskan. Sebab itu tahun ini saya ambil keputusan untuk tingkatkan gaji penjawat awam, memang ada yang tegur kerana tambahan untuk 2025, tambahannya RM10 bilion ringgit, untuk tahun depan 2026, 18 bilion ringgit. Orang tanya sebab apa? saya kata sebab 12 tahun tak naik gaji dan kerja bertambah.
- Dan di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan kita lebih Kita tak mahu alasan lambatkan kelulusan minta rakyat tunggu berjam-jam nak dapatkan permit atau nak perbaharui lesen, kita tak benarkan lagi. Semua mesti kerja dengan betul dan saya minta umpamanya JPA melalui KSN dan KPPA, LHDN dan SPRM ambil tindakan kalau ada apa-apa penyelewengan.
- Oleh kerana tanggungjawab bertambah, maka kita harus beri pengiktirafan dan dengan cara begitu meningkatkan kadar upah mereka. Saya sebut ini semua mungkin kita lakukan kerana ekonomi kita lebih mantap. Ekonomi kita lebih mantap kerana politiknya stabil. Tidak mudah jaga satu negara dengan pelbagai kaum, pelbagai agama, pelbagai suku kaum dan wilayah. Tetapi kita hanya ingat, sebab tu saya sentiasa dengan rakan-rakan pimpinan mengatakan fokus, negara ini punyai potensi yang baik, tak payah umpamanya timbul pergaduhan angkat martabat semua.
- Jadi semangat Tahun Ular ni bersama kita manfaatkan. Saya tak ada masalah langsung, tetapi ada dibangkitkan ini orang Melayu pergi beraya dengan orang Cina, orang Melayu pergi Thaipusam, semua perkara yang berpuluh-puluh tahun tak jadi masalah sekarang dikaitkan jadi masalah.
- Tapi kita nak layan itu atau nak fokus perpaduan kita? kita boleh tanya? pilihan kita kita nak pilih untuk terus ada perbedaan pendapat dan gaduh atau nak fokus perpaduan kita, dan untuk apa perpaduan kita? untuk bangkitkan ekonomi kita. Bagaimana boleh bangkitkan ekonomi kita? dasar ekonomi yang jelas, pastikan pembangunan Perlis dibangunkan. Johor dibangunkan, Perak dibangunkan, Sarawak dibangunkan barulah boleh kita angkat negara ini sebagai negara maju dan hebat di rantau ini.
- Mulai minggu depan kita akan terima pelbagai kunjungan pembesar-pembesar dunia, satu demi satu, sampai terpaksa kita atur supaya jangan terlalu banyak pada satu masa. Kkita boleh terima Perdana Menteri Presiden Indonesia. Dua hari lagi saya terima Dr. Thaksin Shinawatra, seorang mantan Perdana Menteri Thailand yang saya minta jadi penasihat bersama pasukan kepada saya selaku Pengerusi ASEAN. Lepas itu, kita ada lawatan daripada Presiden Uzbekistan kalau tak silap saya, lepas itu Presiden Turkiye akan ke Malaysia pada bulan Februari. Sebab kita perlukan kawan sekarang. Kita tak boleh bergantung. Dulu kita memihak belah sana belah sini, sekarang kita teruskan minta pelaburan daripada Amerika Syarikat. Kita baiki hubungan kita dengan European Union. Kita baiki dengan BRICS dan kita rapat dengan negara China kerana negara China negara yang penting di rantau ini. Kekuatan ekonomi besar dan hubungan kita baik dan baik itu untuk kepentingan rakyat dan ekonomi.
- Ada orang bangkitkan di kampung-kampung kita serah semua kepada negara China. Ini pemikiran-pemikiran yang rosak. Kalau kita banyak dulu dengan Amerika tak apa pula, dengan Eropah tak apa pula, ini mentaliti terjajah. Bagi kita siapa pun termasuk negara China yang datang melabur kita berikan galakkan. Yang baik dengan kita, kita lebih baik dengan mereka. Ini dasar kita dan sebab itu sementara saya nak tekankan dalam perayaan Hari Raya Cina ini, kita akan teruskan program kita untuk buka jaringan.
- Kita tahu sekarang macam cabaran kita belum tentu. Sebab tu saya kata bila saya lihat umpamanya beberapa perubahan-perubahan dalam artificial intelligence yang dulu sejak minggu lalu dikatakan dikuasai sepenuhnya oleh Amerika Syarikat. Tiga hari lalu dikejutkan bahawa ada penemuan baru DeepSeek daripada negara China yang menjadi satu yang mengejutkan dunia tentang keupayaan negara China. Semalam keluar pula lagi dari Ali Baba ya.
- Maknanya kekuatan dengan China kita manfaatkan ya. Sebab tu saya kata jangan kita terperangkap dengan fikiran lama yang hanya bergantung kepada satu negara. Kita terus baik dengan semua negara tetapi kalau negara itu ada masalah dengan negara China, itu masalah dia, mengapa nak jadi masalah kita. Kita tiada masalah, malah pengalaman saya dalam pertemuan dengan Presiden Xi Jinping berapa kali, itu layanannya sangat baik. Paling akhir saya pergi sebenarnya atas undangan Premier Li Qiang tapi Premier Li Qiang sebut, boleh tak tangguh satu hari? kerana Presiden Xi Jinping sudi terima saya di Beijing untuk kunjung hormat.
- Sehari sebelum saya sampai, Presiden Xi Jinping kata, tidak. Dia nak minta saya hadir malamnya untuk makan malam dan berbincang. Negara Malaysia ini negara kecil. Pemimpin negara China itu di antara pemimpin besar dunia tapi dia beri penghormatan yang tinggi kepada kita bukan kerana Anwar, kerana Malaysia ini bersatu dan angkat ekonominya.
- Jadi saya nak terangkan ini tentang betapa pentingnya kita jaga. Saya optimis. saya bukan wakili kumpulan muda. Saya sudah lama dalam politik ini. Dalam beberapa tahun yang ada, saya nak tumpu dengan rakan-rakan saya. Saya minta kerjasama petani, nelayan, buruh, peniaga, pengusaha daripada orang Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan kita tumpu dan saya beri jaminan negeri ini akan ditadbir secara bersih. Saya tidak akan tolak ansur salah guna kuasa dan corruption kerana ini merosakkan negara kita.
- Dan saya percaya rakan-rakan Perak Chinese Chamber Of Commerce And Industry (PCCCI) akan beri kerjasama. Negeri Perak sekarang tidak seperti dulu lagi, asal betul kata Dato’ Liew Chee Ming, dahulu memang Perak ‘number one’ – Lembah Kinta, bijih timah, tin itu. Kemudian turun, turun, turun sikit, lemah sikit ekonominya, tetapi akhir-akhir ini terima kasih juga kepada Menteri Besar dan Menteri-menteri kita, Perak sudah dapat perhatian. Ada pusat-pusat pembangunan besar, sudah tentu di Tanjung Malim dengan automotif industri yang besar. Teknologi hijau, pelabuhan dan Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP). KIGIP ini adalah usaha high-tech hijau pertama di rantau kita dan potensi Perak digabungkan semua kekuatan ini dijalan dengan cekap dan cepat dan bersih, saya percaya Perak juga akan diangkat sebagai di antara negeri utama negara kita.
- Hal-hal yang patut kita bantu yang kecil seperti soal pengangkutan, soal banjir, soal kemudahan Pendidikan, itu semua kita akan atasi satu demi satu. Lapangan terbang seperti mana yang diumumkan, terima kasih YB Tuan Nga Kor Ming, tetapi dengan kerjasama MAHB, ditambah RM60 juta campur daripada negeri, RM4 juta perbandaran, jadi kita boleh besarkan, lebih efisien dan itu sebagai satu contoh sahaja, tetapi penting juga kita jaga tentang aspek pembangunan rakyat, dan mutu.
- Bila negeri ini maju, kita tengok semi-conductor hub, chip, data center dan artificial intelligence (AI), maka latihan anak-anak kita mesti ubah. Sekarang ini kita ambil satu keadaan di mana bukan sahaja mesti ubah tapi ubah dengan cepat. Ini challenge yang besar. We have to change but change as a fast, unprecedented pace and this is a major challenge to us. Which means the entire community, the entire missionary must be harness to undertake this as a major task in education, in business, in agriculture, we cannot continue and expect to succeed if we do not change and that is precisely the reason why the politics must be stable, the government must be transparent and clean, and the missionary must be efficient to ensure that we succeed as a great state and a great nation, insya-Allah.
- Jadi cukup hari ini kita nak makan, kita nak santai, kita nak happy. Dato’ Liew Chee Ming, nyanyi-nyanyi ada ke sikit-sikit? Wah ini serius punya orang meniaga Perak ini. Sepatutnya hari raya adalah nyanyi-nyanyi sikit. Okey, saya bergurau, only joking, don’t worry. Baik sekali lagi saya ucap terima kasih kepada PCCCI dan khususnya Datuk Liew dan seluruh jawatankuasa dan saya ingin bagi jaminan, apa pun yang dibicarakan di luar, saya dan rakan-rakan saya termasuk YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad dan pimpinan Kerajaan Negeri Perak akan terus tumpu untuk angkat negeri, angkat martabat dan angkat ekonomi negara kita.
Terima kasih.
Xie Xie Ge Wei (Terima kasih kepada semua hadirin).
Similar Posts:
- PM ANWAR BERI JAMINAN TADBIR URUS TERBAIK DI MALAYSIA
- PENJAWAT AWAM DISERU BAWA PERUBAHAN KEMBALIKAN MALAYSIA KE TAHAP GEMILANG
- JANGAN AMAL BUDAYA SELESA, TEKAD LAKSANA PERUBAHAN UNTUK NEGARA – PM
- COVID-19: MALAYSIA TIDAK DISKRIMINASI PELANCONG ASING, UTAMAKAN KESIHATAN RAKYAT
- BINCANG SEMULA KADAR GAJI, UPAH PENJAWAT AWAM BILA KEWANGAN NEGARA BERTAMBAH BAIK – PM ANWAR