TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI DI MAJLIS MERAIKAN FORUM KOMUNITI PPR LEMBAH SUBANG: MADANI IN ACTION

                    

 

TEKS UCAPAN

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

SEMPENA

 

MAJLIS MERAIKAN FORUM KOMUNITI PPR LEMBAH SUBANG 1: MADANI IN ACTION

 

 

13 FEBRUARI 2025 | KHAMIS | 10.00 PAGI

DEWAN BLOK D DAN PERKARANGAN DEWAN BLOK A

PPR LEMBAH SUBANG 1, PETALING JAYA

 

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

 

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Amirudin bin Shari,

Dato’ Menteri Besar Selangor;

 

Yang Berhormat Tuan Nga Kor Ming,

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan;

 

Yang Berhormat Tuan Lee Chean Chung,

Ahli Parlimen Petaling Jaya;

 

Yang Berbahagia Dato’ Hamdan Abdul Majeed,

Pengarah Urusan Think City dan semua dari Think City;

 

Barisan tetamu kehormat,

Wakil Forum Komuniti PPR Lembah Subang 1 yang dihormati, seluruh jawatankuasa, terima kasih banyak-banyak.

 

 

  1. Saya pun ada sejarah juga dengan PPR ini, sebab PPR sepeti kita lihat di Wangsa Maju, Gombak ini banyak yang kita mula pada tahun 1995 semasa saya Menteri Kewangan dulu. Kemudian 30 tahun berlalu, jadi keadaan 30 tahun ini jadi daif sedikit, dan perlu difikir semula, dirancang semula, diperbaiki, pendekatan lebih baik, jadi kita dapat daripada KPKT, daripada Kerajaan Negeri, daripada Majlis Perbandaran, daripada Think City, bagaimana kita boleh rancakkan semula.

 

  1. Pertama baiki kemudahan-kemudahan asas, tapi kita masalah kita dahulu, kita lepaskan kepada masyarakat, dibiar, patutnya duduk di situ, rumah di situ, anak-anak di situ, maka tanggungjawab kita jagalah tempat itu. Dan ini nampaknya semangat yang ditunjukkan pada hari ini di PPR Lembah Subang I ini, dan saya walaupun saya tak tengok banyak, Hisham tunjuk semua yang elok sahaja, kadang-kadang biasalah Perdana Menteri datang ini, dia tunjuk hak yang elok sahaja, lif yang rosak tak tunjuk lagi.

 

 

  1. Saya ucap terima kasih kepada Menteri KPKT, Nga Kor Ming, kerana peruntukan yang kita luluskan dalam Kerajaan ini serius, banyak. Saya nak beritahu ada beza tak Kerajaan MADANI? Semua Kerajaan dipantau. Tetapi soal miskin bandar selain daripada di kampung, perumahan rakyat, itu kita bagi keutamaan. Jadi saya nak kawan-kawan di sini faham betul. Beda pendapat soal lain boleh beza, tapi hal ini jangan pertikai.

 

  1. Kalau tengok dalam sejarah selain dari tahun 1995 dahulu bila kita belanja kita bangunkan inilah kali pertama, tahun ini sahaja untuk lif, untuk cat baru, untuk baiki bumbung, untuk kemudahan-kemudahan asas, bagi PPR sahaja perbelanjaannya RM185 juta. Dua tahun sebelum ini RM50 + RM50, RM100 juta. Jadi sejak dalam dua tahun ini sudah RM285 juta.

 

  1. Tapi saya tiada masalah itu, kerana bukan membazir, baiki lif. Kemudian rakyat sendiri kumpul, bagi sumbangan perbaiki, indahkan, kita nak duduk. Kalau duduk, rumah pun robek, bocor, jiran tetangga tak kenal jadi tak ada semangat. Jadi, didikan kita itu mula daripada keluarga. Sebab itu dalam hadis, bila kita ucap selamat pengantin baru, ‘baiti jannati’ – rumah itu syurgaku. Hendak syurga macam mana? lif rosak, tandas pam tak jalan, hendak syurga macam mana? Sebab itu Kerajaan perhati, ambil tanggungjawab dan mesti disambut oleh masyarakat.

 

  1. Saya dengar Lee Chean Chung beritahu, entah betul ke tidak betul, dia kata setiap floor ada tempat duduk, tempat bekerja, tempat anak-anak belajar, tempat solat, tempat mengaji, jadi ini satu contoh yang baik. Kalau boleh nanti, Menteri Perpaduan juga ada, Menteri KPKT pun ada, kita nak jadikan, bagi masa sedikit masa lagi, kita perbaiki lagi, kita nak jadikan PPR Lembah Subang I contoh PPR dalam negara kita. Tapi mesti janji betul-betul kita akan laksanakan.

 

  1. Saya bincang dengan Menteri KPKT, Nga Kor Ming, apa lagi lif berapa ada? 17 semua sini? 23, berapa lagi belum dibaiki? Maknanya ada lagi yang belum dibaiki. Ada yang lobang-lobang sedikit sebanyak ada lagi kan? Baik, hari ini saya akan luluskan RM1.2 juta ringgit untuk pembaikan.

 

  1. Saya percaya KPKT, Majlis Perbandaran, Dato’ Borhan tentunya, Lee Chean Chung dan Dato’ Fahmi tengok supaya disegerakan. Saya tidak mahu umpamanya Perdana Menteri umum hari ini, minggu depan tak nampak apa, dua minggu tak ada apa-apa lagi, lepas Ramadan, lepas Raya lif rosak lagi. No!, saya tidak akan terima itu. Minggu depan saya nak dapat laporan dah mula jalan atau tidak. Jadi, boleh!

 

  1. Semalam saya luncurkan iPayment maknanya orang yang nak pergi JPJ, bayar lesen, passport semua kita permudahkan, tak payah pergi, guna iPayment secara digital. Jadi, tanya Akauntan Negara dia kata dah mula tapi akan dikembangkan sehingga bulan Mei tak salah saya, saya kata tidak!. Minggu pertama bulan Mac mesti siap, saya tanya boleh tak? dia kata boleh!. Begitu juga dalam soal lif. Jadi syarikat pengendali lif kena ingat, kita bayar bukan kita tak bayar, dan kelulusan wang segera, KSU ada? KSU ada dan segerakan kelulusan. Datuk Bandar tadi mana? Kalau lambat peruntukan Datuk Bandar beritahu saya. Tapi kalau sudah lulus benda tak jalan Datuk Bandar kena jawab dengan saya. Saya boleh bergurau kerana saya percaya Datuk Bandar dia prihatin, dia ambil berat dan terima kasih kerana kerjasama semua diberikan. Jadi sekurang-kurangnya kalaulah tak sempat puasa sebab seminggu dua lagi, jadi bila mula minggu depan jadi sempatlah baiki, sekurang-kurangnya Hari Raya lif siap semuanya.

 

  1. Saya pergi ke Wangsa Maju bulan lalu, untuk solat Jumaat, lepas itu saya dengar ada lif di situ, 24 tapi satu sahaja yang siap, macam mana nak turun? Boleh katanya, ada tangga. Nak jadi Superman tak boleh takut jatuh. Saya fikir kalau saya di situ susah jika saya di Tingkat 15 nak turun. Jadi, saya beritahu segerakan!

 

  1. Jadi sebab itulah kadang-kadang kita apabila jadi pemimpin mesti ambil tahu. Kerana kalau tidak, kita boleh cakap soal pertumbuhan. Saya tadi pagi di Parlimen, jawab soalan mengenai pertumbuhan ekonomi negara, sangat baik, pelaburan datang beratus bilion, ringgit lebih kuat, bon naik tapi bagi rakyat di PPR Lembah Subang I ini, mereka perlukan lif, perlukan sekolah untuk anak-anak dia, kemudahan kesihatan, jadi kita kena fikir dua-duanya sekali. Jadi saya tertarik kerana di sini bukan sahaja memanfaatkan kemudahan tambahan, saya kata RM1.2 juta itu menyegerakan senarai kerosakan.

 

  1. Jadi tanggungjawab ini dari segi Kerajaan saya laksanakan. Perlu wang kita bagi, kalau tak cukup untuk lif saya boleh tambah. Tetapi, pengawasannya harus teliti. Jadi dua-dua pihak, Jawatankuasa, masyarakat, komuniti, Forum Komuniti itu akan dapat membantu, kalau dapat diawasi dengan baik. Berapa saya katakan tadi, yang projek RM185 juta itu? 358 projek yang rosak merata Malaysia ini. Tuan-tuan bayangkan. Hari tu bila saya jadi Perdana Menteri saya tengok anak cucu kita di merata tempat nak pergi tandas pun kotor, pintu pecah. flush tak jalan, jadi kita repair sekitar 8600, tandas seluruh Negara. Tak apa lah pembangkang sindir saya, katanya Perdana Menteri tandas. Saya tidak apa sebab anak cucu kita yang pakai tandas tu. Pergi sekolah tandas tak cukup, beratur macam filem bujang lapuk P Ramlee. Jadi sebab tu kita buat, yang secara langsung memberi manfaat kepada rakyat.

 

  1. Kemudian sekarang KPKT lihat tandas awam seluruh negara. Kalau tengok tandas awam ada perubahan. Kemudian saya bercakap dengan PLUS dan syarikat-syarikat pengendali Lebuh raya. Bersihkan, surau ada surau, surau pun bersih yang dipanggil surau MADANI. Ini semua projek-projek kecil tapi bagi manfaat kepada rakyat. Satu lif umpamanya di Lembah Subang ini, siapa nak ambil tahu? Tapi Kerajaan MADANI ini lif di Subang pun kita fikir sampai ke kabinet Malaysia, Menteri-menteri dan Perdana Menteri ambil tahu berapa lif rosak di Wangsa Maju, daripada 25, 24 rosak. Berapa lif rosak di Lembah Subang 1? Ini baru kita kata Kerajaan yang prihatin tentang nasib rakyat. Cuma yang penting pelaksanaannya.

 

  1. Jadi RM1.2 juta tu bila boleh hantar? Terus hari ini? Esok lah, esok. Turun kepada mana? untuk enforce dilaksanakan? KPKT. Kalau tidak ada perubahan panggil YB Nga Kor Ming datang.

 

  1. Baik, saudara-saudara saya nak tekan perkara ini kerana akhirnya, apa sahaja pembangunan, perubahan bermula dari rumah kita, tempat tinggal kita. Jadi saya nak pesan satu hal lain yang mungkin tidak disenangi oleh sebahagian. Baik, nak belanja RM100 juta kita sudah bagi RM100 juta, tambah RM185 juta kita bagi. Tapi, saya nanti minta Kerajaan Negeri, Majlis Perbandaran, KPKT atur supaya dapat senarai nama yang duduk itu dipastikan dan dikenakan sewa yang menasabah. Kalau rasa terlalu tinggi kita boleh pastikan sewa tu yang kecil, tetapi kalau duduk begini tanpa tanggungjawab, tidak boleh. Tidak ada di dunia boleh duduk begitu sahaja.

 

  1. Jadi kita pastikan kita belanja bagi kemudahan tetapi senarai harus diberikan dan mesti jalankan tanggungjawab. Jadi Forum Komuniti ini dan masyarakat di setiap tingkat harus tahu sewa mesti bayar, mungkin tunggakan itu kita boleh bincang, kita boleh boleh runding sikit, tetapi saya nak pastikan bahawa sewa minimum mesti kita bayar supaya hidup kita lebih selesa dan masing-masing jalankan tanggungjawab mereka. Kalau ada lagi masalah sila kemukakan dan saya percaya bukan sahaja dari Forum Komuniti, tetapi Majlis Perbandaran, Ahli Majlis, Ahli Dewan Undangan Negeri, dan Ahli Parlimen boleh jalankan tanggungjawab mereka untuk baiki. Jadi saya bukan sebut hal ini sahaja saudara-saudara ya.

 

  1. Semalam Presiden Turki, Recep Tayyip Erdoğan datang, seorang sahabat. Turki sebagai negara yang sedang berkembang maju dengan teknologi yang pelbagai, tetapi dia lihat Malaysia sebagai negara sahabat. Dia rasa Malaysia punyai pendirian yang tegas termasuk soal kezaliman di Gaza. Tapi kalau kita tak atur rumah tangga kita, kita asyik bergaduh, bertengkar, musuh, benci sesame kita, bagaimana nak bina kekuatan? Sebab tu kalau orang tanya kena kerja kuat? ya kena kerja kuat, kena atur betul-betul? Ya, hentikan rasuah dan penyelewengan. Jangan projek itu satu juta, 100,000 sapu, sakau ini yang berlaku sebelum kita akan hentikannya ini. Kalau kita hentikan penyalahgunaan kuasa ini, saya percaya kita boleh angkat semula martabat negara Malaysia. Malaysia ini boleh hebat di rantau kita. Negara ini boleh jadi gagah dan maju. Tapi semangat kita. Kerjasama antara kaum mesti ada. Di sini Melayu ada, India ada, Cina ada, duduk faham, semangat. Sembahyang lain-lain tentunya., kepercayaan agama lain-lain tapi hormat sesama manusia mesti ada. Jangan timbul perbalahan. Tidak pernah dalam sejarah Islam ini mengajar sebagai musuh kaum lain atau warna kulit lain. Jadi itu prinsipnya, jaga keamanan, hormat budaya, hormat perbezaan. Kemudian tumpu pendidikan anak-anak. Saya selalu panggil budak budak sekolah ini tanya. Tandas sekolah baik semua tak? semua cikgu datang tak? ada satu tempat saya tanya, dia kata cikgu tu banyak kali tak datang, terus saya lapor kepada Menteri Pendidikan, suruh semak. Jadi, jangan ringankan tanggungjawab mendidik anak. Kita hidup macam ini kita nak anak-anak kita lebih berjaya daripada kita. Jadi kalau ada kelas bimbingan, ruang untuk belajar ulang kaji, manfaatkanlah dengan sebaiknya.

 

  1. Jadi sekali lagi lah saya nak ucap terima kasih banyak, kepada Hisham dan seluruh jawatankuasa. Panas-panas pun ramai datang. Terima kasih banyak. Saya pun semangat dan insya-Allah saya akan lapor di mesyuarat Jemaah menteri esok tentang apa yang Lembah Subang I buat. Saya juga minta televisyen malam ini sebar banyak sikit tentang kejayaan Lembah Subang I ini. Cerita apa? Cerita masyarakat itu bersama, cerita semua kaum hidup bersama, cerita tentang kebersihan, cerita tentang keindahan, cerita tentang memanfaatkan pembangunan tetapi menjaga nilai manusiawi itu.

 

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.  

 

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.