TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS MAKAN MALAM BERISTIADAT SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA 2025

                     

TEKS UCAPAN

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

SEMPENA

 

 

 

MAJLIS MAKAN MALAM BERISTIADAT

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA 2025

 

 

13 FEBRUARI 2025 | KHAMIS | 8.00 MALAM

PUSAT DAGANGAN DUNIA, KUALA LUMPUR

 

 

 

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

 

Alhamdu lillaahil lazeee anzala ‘alaa ‘abdihil kitaaba wa lam yaj’al lahoo ‘iwajaa

Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in

 

YBhg. Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar,

Ketua Setiausaha Negara dan Puan Sri;

 

YBhg. Dato’ Mohd Dusuki bin Mokhtar,

Peguam Negara dan Datin;

 

YBhg. Tan Sri Wan Ahmad Dahlan bin Haji Abdul Aziz,

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dan Puan Sri;

 

YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam bin Baki,

Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Puan Sri;

 

Seluruh Keluarga Besar SPRM; dan

 

Rakan-rakan yang saya muliakan.

 

 

  1. Saya turut mengatur syukur ke hadrat Allah SWT dan berasa bangga kerana dapat bersama-sama saudara-saudara. Ada sebabnya, bagi saudara-saudara yang tidak mungkin mengikuti dari awal kerana ketika itu masih di bangku sekolah. Saya mempunyai sedikit pengalaman dan pendedahan dengan Badan Pencegahan Rasuah (BPR). Pada ketika itu saya mempengerusikan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pengurusan Kerajaan, sebenarnya anti rasuah dan memang terdapat banyak kesukaran. Rakan-rakan pimpinan BPR mengesyorkan kalau serius dalam menangani permasalahan berhubung rasuah kita mesti ada beberapa iltizam untuk membawa beberapa perubahan.

 

  1. Dan kirim pasukan ke Hong Kong, kerana Hong Kong juga mempunyai sejarah juga yang tertentu. Tahun 60-an, 70-an Hong Kong terkenal sebagai rantau atau daerah yang paling tinggi jenayah dan rasuah. Maka ada keputusan pada ketika itu menubuhkan Hong Kong Anti Corruption Commission dan Suruhanjaya itu diperkasa pertama dengan peruntukan undang-undang yang kemas dan kukuh, dengan jentera yang lengkap dan dengan pengiktirafan kepada pegawai-pegawai dan dengan upah yang munasabah. Kerana tiga (3) faktor ini kebebasan mereka, maka dalam masa lima, maksima lapan tahun Hong Kong berubah wajah kepada suatu daerah yang bersih.

 

  1. Saya terkesan dengan laporan itu, dan saya pada ketika itu sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan merasakan harus kita perkasa melalui pindaan undang-undang, peruntukan tambahan kewangan termasuk penambahan pegawai dan memberikan ruang yang lebih kepada mereka. Baru saya terkesan bahawa rupa-rupanya retorik membanteras itu lunak di dengar tapi sukar dilaksanakan kerana sistem dan pimpinan politik tidak semuanya serasi.

 

  1. Selain itu, sejarah. Walaupun ada sedikit kejayaan tetapi perubahan daripada beberapa peruntukan yang perlu itu dikeluarkan. Di antara peruntukan yang paling dibenci oleh pimpinan politik pada ketika itu yang menyebabkan saya kemudian juga tersingkir, adalah peruntukan yang mengatakan, andai kata seseorang penjawat awam atau pemimpin mengumpul kekayaan dan dikesan lama selepas itu, lima tahun atau sepuluh tahun selepas itu mereka tetap akan didakwa. Ini tidak disenangi oleh ramai rakan-rakan, ya, selepas itu sejarahlah saya.

 

  1. Tetapi, bila ada perdebatan di Parlimen, pada ketika itu saya Ketua Pembangkang, yang melihat perubahan itu ada tetapi harus diberikan kekuatan dan kebebasan. Rasuah di negara kita ini saya tetapkan sebagai sistemik, berakar dan hampir jadi budaya. SPRM adalah diantara tunggak utama untuk mempertahankan tatakelola sistem yang mempunyai integriti dan menyelamatkan bangsa dan negara dari keruntuhan berterusan.

 

  1. Negara tidak boleh terkenal dengan pelbagai skandal rasuah. Jabatan itu bukan sijil atau ruang atau seorang pemimpin atau sang Perdana Menteri atau menteri-menteri untuk memunggah kekayaan. Maka, bila Kerajaan MADANI ditakdirkan untuk memimpin, saya dan rakan-rakan beri mesej yang jelas tidak wajar lagi diizinkan perolehan tanpa tender dan beri wewenang sepenuhnya kepada SPRM di semua peringkat untuk menggeledah, membongkar dan bertindak. Saya syukur Alhamdulillah, betapa apapun sanggahan, sergahan di luar saya hormat kepada pimpinan dan keluarga SPRM kerana bertindak dengan jujur.

 

  1. Jadi di hadapan saudara-saudara saya ucapkan penghargaan setingginya kepada saudara Tan Sri Azam Baki kerana memikul amanah yang sukar, tidak senang dan saya pernah ungkapkan hal ini menyatakan seorang pemimpin kalau benar-benar cuba jadi bersih, banteras rasuah sepatutnya didukung oleh semua, walhasil kenyataan hidup ini tidak begitu. Segerombolan tertentu dengan sudut kekayaan mereka, dengan pengaruh politik mereka, dan media sosial mereka akan menggunakan segala ruang menyerang untuk menghalang perubahan ini. Tetapi percayalah saudara-saudara, sekiranya kita mahu menyelamatkan bangsa dan negara kita tidak mempunyai pilihan.

 

  1. Saya yakin tanpa mengira penilaian yang disinggung oleh Tan Sri Azam sebentar tadi, penilaian itu realiti saudara-saudara. Bagi saya yang terkuat di negara kita adalah tekad kita. Melihat saudara-saudara bekerja, seluruh keluarga SPRM, dengan tegas dan berani mengharung segala ujian, tekanan dan ugutan. Tengok kes-kes pendakwaan, lihat segala tender selama dua (2) tahun ini, dan saya beritahu kepada rakan-rakan Jemaah Menteri, kalau ada sahaja laporan, ada sahaja kes melibatkan mereka saya tidak akan pertahankan, dan ini dimaklum oleh semua, Tan Sri KSN juga ada. Ini pendirian kita. Bagi saya perubahan itu mesti dari atas, mesti dengan tekad politik, mesti dari amalan dan tindakan bukan dengan kata-kata.

 

  1. Pimpinan di mana di seluruh dunia ini tidak melahirkan rasa dan suara yang tegas membanteras rasuah. Kita baca sejarah, The Problem of Corruption, Syed Hussein Alatas, semuanya menyebut tentang tekad pimpinan tetapi kenyataannya adalah sebaliknya.

 

  1. Oleh itu, pada malam ini dengan penuh istiadat, dengan gaya dan kacaknya saudara saudari, mari kita tegaskan semula bahawa tugas kita sudah bermula dan kita harus pastikan supaya dalam masa singkat, insya-Allah kita angkat martabat, harakat dan darjat negara ini sebagai negara yang mampu bersih daripada salah guna kuasa dan rasuah. Dan saya memberikan kepercayaan penuh kepada saudara-saudara seperti mana sering saya tegaskan kepada Ketua Pesuruhjaya bahawa Kerajaan ini mahu jadikan di antara tunggaknya membina satu negara yang berwibawa, yang bersih dan salah satu kaedahnya adalah memperkasa SPRM sebagai satu badan bebas dan berintegriti.

 

  1. Jadi, kita doa kepada Allah SWT mudah-mudahan semangat ini dihadam oleh rakan-rakan semua. Sampaikan salam kepada rakan-rakan, keluarga dan jentera di bawah. Berikan semangat dan dorongan, dan selagi saya mampu melaksanakan tugas ini percayalah saya tidak akan bertolak ansur dengan tekad memerangi rasuah di negara kita.

 

  1. Sekali lagi saya tegaskan kuasa itu bukan ruang untuk mengisi tembolok sang penguasa, kuasa itu amanah, ‘taklif wa la tashrif’ – tanggungjawab dan bukan keistimewaan. Dan saya memberi kepercayaan dan akan memberikan seluruh sokongan kepada saudara-saudara untuk melaksanakan amanah besar ini.

 

Terima kasih,

Wassalamualaikum Warahmatulahi Wabarakatuh.

 

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.