TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS MEMPERINGATI YTM ALMARHUM TUNKU ABDUL RAHMAN PUTRA AL-HAJ

 

 

TEKS UCAPAN

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

SEMPENA

 

 

MAJLIS MEMPERINGATI

YTM ALMARHUM TUNKU ABDUL RAHMAN

PUTRA AL-HAJ

 

17 FEBRUARI 2025 | ISNIN | 5.00 PETANG

 

MEMORIAL TUNKU ABDUL RAHMAN

KUALA LUMPUR

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

 

Alhamdulillahi rabbil al-amin

Nahmaduhu wa nusolli ala rasulil kareem

Wa’ala aalihi wasahbihi ajmaeen.

 

YB Tan Sri Dato’ (Dr.) Johari bin Abdul,

Yang di-Pertua Dewan Rakyat;

 

YB Tuan Aaron Ago Dagang,

Menteri Perpaduan dan keluarga Kementerian Perpaduan;

 

Menteri-menteri yang hadir;

rakan-rakan yang dimuliakan,

 

YBhg. Datin Sri Sharifah Menyalara Hussein; dan seluruh keluarga Yang Teramat Mulia (YTM) Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj serta rakan-rakan saya muliakan.

 

  1. Menghimbau negarawan atau tokoh itu bukan sahaja mengulangi kenyataan atau fakta sejarah. Kita berhimpun pada hari ini untuk juga mengingatkan kita tentang kekuatan, pesan, gesaan, wawasan, kepimpinan pejuang kemerdekaan, penegak UMNO sebagai wadah awal kemerdekaan, pencapaian kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dan juga merangka, melakar satu konsep negara dengan penyertaan Sabah dan Sarawak sebagai negara kesatuan Malaysia yang kini tegak megah.

 

  1. Jadi agak sukar kalau dalam masa singkat kita sekadar menyingkap pengalaman. Kerana pengalaman itu tentunya besar dan yang penting bukan sahaja sosok peribadinya tetapi gesaannya. Segala pesan dan mesej yang konsisten, tuntas sepanjang berabad-abad mengharungi liku-liku perjuangan, menentang penjajahan Inggeris, menuntut kemerdekaan, berunding dengan bijak, dengan lucu, menawan hati rakyat dan utamanya Sabah dan Sarawak untuk menerima kenyataan bahawa masa depan Malaysia di rantau ini akan lebih terselamat kalau ada Persekutuan ini dalam keadaan suasana geopolitik yang tidak menentu dan arus pertembungan perang dingin yang memuncak pada waktu itu.

 

  1. Bagi saya hanya pimpinan negarawan yang berwawasan akan melihat ke depan, dan Allah mentakdirkan kehadiran Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sebagai tokoh yang mampu mengendali. Tapi kekuatan yang lain yang mengingatkan saya atau mengajar saya tentu dalam pengalaman saya semasa saya muda, ada pendirian kita yang agak tegas, kurang sependapat dalam beberapa hal, tetapi saya tidak boleh nafikan beberapa perkara pokok iaitu sosok peribadi yang sederhana yang mampu menawan hati rakyat semua kaum negara ini.

 

  1. Sukar dicari ganti tokoh negara ini sejak sebelum sehingga selepas kemerdekaan, seorang tokoh dan negarawan yang mampu mencuit perasaan, menggamit dukungan seluruh kaum di negara kita. Dan sosok ini adalah Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Sebab beliau konsisten bicara soal perpaduan negara, baik di negeri-negeri Persekutuan Tanah Melayu dan kemudiannya dengan Sabah dan Sarawak. Menerima kenyataan kepelbagaian kerencaman kaum dan budaya Melayu, Cina, India, Dayak, Iban, Kadazan, Dusun, dan Murut. Ialah bahawa kenyataan di Tanah Melayu dan Malaysia, memaksa kita untuk menerima kenyataan yang ada.

 

  1. Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj adalah di antara yang meletakkan tunggak prinsip-prinsip negara. Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, Islam sebagai agama Persekutuan, hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera, kedaulatan Raja Raja Melayu, itu dipertahankan kerana bagi beliau sehingga kini kita terima itu adalah tunggak kewujudan negara dan kenyataan sejarah yang tidak dimungkiri.

 

  1. Tetapi dalam menegakkan prinsip-prinsip ini, beliau mahu dirangkul semua budaya. Dirangkul semua kefahaman, semua kaum, semua perbedaan untuk melihat kepentingan negara mengatasi semua yang lainnya. Jadi pada hari ini saya hanya ingin menggesa rakan-rakan, rakyat di negara ini terutama generasi muda dan anak-anak supaya memahami bahawa negara ini tertegak dengan prinsip-prinsip dan tunggak Perlembagaan yang jelas, tetapi dari awal menerima kenyataan budaya yang rencam, kaum yang pelbagai dan wilayah yang berbeda. Tetapi semangat kesatuan mengangkat martabat Malaysia sebagai satu negara bersatu dan maju dan makmur.

 

  1. Dan ini harus kita ingat kerana apa yang beliau perjuangkan walaupun umumnya diterima oleh majoriti rakyat, ia tidak terlepas daripada hambatan, singgungan, sergahan dan usaha-usaha untuk melanggar, menolak prinsip ini. Ada pejuang-pejuang yang katanya pejuang negara hari ini, yang masih belum menerima kenyataan ini. Setelah sekian lama merdeka dan berdaulat bahawa negara ini tertegak dengan keunikannya dengan keistimewaannya menerima beberapa tunggak dan dasar utama yang termaktub dalam perlembagaan, tetapi menerima kerencaman dan kepelbagaian, sehingga Tunku memilih Jata Negara, ‘Bersatu Bertambah Mutu’. Maknanya dalam Persekutuan ini perbedaan itu mampu menambah kekuatan. Itu agak aneh. Perbedaan boleh bawa persatuan, perbedaan boleh melemahkan, boleh digunakan untuk menanam kebencian. Perbedaan warna kulit, perbedaan keyakinan dan kefahaman agama, perbedaan kaum, dan perbedaan budaya boleh melemahkan, tetapi Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj dari awal meyakini bahawa kepelbagaian itu “Bersekutu Bertambah Mutu”.

 

  1. Perbedaan itu boleh menambah kekuatan. Dan ini pada beliau seperti mana kita saksikan, lihat sahaja budaya kita pelbagai, mana? tak banyak negara di dunia yang boleh rasa bangga dengan penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, penguasaan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua, penerimaan bahasa Cina, bahasa Tamil dan bahasa-bahasa suku kaum yang ratusan di seluruh negara. Bagi kita kerencaman itu juga kekuatan.

 

  1. Lihat sahaja acara kesenian kita baru-baru ini. Ramai pemimpin-pemimpin negarawan dunia yang melawat Malaysia. Jadi, selalu kita bentangkan, hidangkan dengan tarian asli, pelbagai kaum, corak dan pakaian. Dan mereka agak bukan sahaja berminat tetapi rasa agak kagum, kadang-kadang hairan kerana kepelbagaian itu jaraknya jauh sekali, tapi boleh disatukan dalam satu semangat perpaduan.

 

  1. Jadi, bagi saya mesejnya begitu, saya tidak mahu menggunakan balik ini sekadar mengimbau data-data sejarah dan angka-angka. Kerana kita tahu semua dasar-dasar awal yang termaktub dalam perlembagaan di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman itu kita kembangkan sekarang. Dari bahasanya, budayanya, sistem ekonominya, sistem politiknya, pengasingan kuasa; eksekutif, legislatif dan kehakiman. Ini semua asasnya, tunggaknya, tidak banyak negara yang dapat mengecapinya.

 

  1. Tentunya generasi sekarang, generasi saya dan lebih-lebih lagi generasi baharu muda dianggap ini sebagai suatu kemestian. It is a fact. We accept, we assume. This happen that therefore, it is a reality but do not for once deny the fact that the basis, the fundamentals, which is partly insight the constitution, partly in our traditional culture, has been the basis promoted strongly, confidently, consistently, adamantly by the great Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj.

 

  1. Kalau sekiranya kita bicara tentang tradisi demokrasi, walaupun dia tentunya evolved tidak sempurna di zaman Tunku Abdul Rahman tetapi asasnya dibina ketika itu. Media yang bebas, tidak sempurna di kalangan dalam masa percaturan politik dan keganasan Parti Komunis Malaya pada peringkat awal. Tentunya kita faham beberapa kekangan, tetapi asas itulah yang menyebabkan kita merdeka, berdaulat dan megah pada hari ini.

 

Saudara-saudari,

 

  1. Tanggungjawab kita generasi kini ialah memaknai kemerdekaan itu. Memberi erti kepada hasrat yang murni dan mulia bapa-bapa dan ibu-ibu pejuang kemerdekaan dan pengasas negara ini. Supaya negara ini harum, tertegak atas prinsip dan landasan yang betul, dengan semangat perpaduan yang dimanfaatkan untuk mengangkat martabat negara kita.

 

  1. Sekali lagi, kepada Menyalara dan seluruh keluarga, saya ucap terima kasih dan percayalah, majlis ini sangat bermakna kepada keluarga, tapi sangat bermakna kepada setiap rakyat yang mencintai Malaysia yang berdaulat ini.

 

  1. Sebab itu, dalam masa singkat saya memilih, kebetulan saya terlepas pandang, kemudian teringat, terus malam itu juga menelefon Menteri Perpaduan, saya kata harus adakan segera sebelum Ramadan. Jadi, terima kasih kepada YB Datuk Aaron Ago anak Dagang dan KSU dan seluruh warga Kementerian Perpaduan. Saya uji sama ada mereka cekap atau tidak mengadakan majlis dalam masa singkat dan juga Memorial dan Yayasan Tunku Abdul Rahman yang dapat bersama pada petang ini.

 

  1. Dan kita seperti mana dipesan tadi, haruslah menggalakkan supaya generasi muda ikut. Bukan sahaja melangkar, melihat ini sebagai kenyataan sejarah, ini saya bimbang, memorial ini bukan memorial sejarah dalam erti kata lakaran sejarah atau menghimbau rentetan peristiwa sejarah. Memorial ini adalah untuk mendidik, memberi pencerahan dan kefahaman kepada anak-anak bangsa erti perjuangan, erti pengorbanan, erti perpaduan dan cita-cita membina kekuatan negara bangsa.

 

Terima kasih. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

 

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.