![](https://www.pmo.gov.my/wp-content/uploads/2019/02/jataMalaysia-1024x681.jpg)
TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM PERDANA MENTERI
SEMPENA
PERJUMPAAN YAB PERDANA MENTERI BERSAMA WARGA JABATAN PERDANA MENTERI BAGI BULAN FEBRUARI 2025
10 FEBRUARI 2025 (ISNIN) | 8.00 PAGI
DEWAN DE’ SERI ENDON
PUSPANITAPURI, PUTRAJAYA
Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof,
Timbalan Perdana Menteri II;
Menteri-menteri;
YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar,
Ketua Setiausaha Negara; dan
Rakan-rakan yang saya muliakan.
- Alhamdulillah kita dapat bersama-sama pada bulan ini dan nampak kegiatan baik penjawat awam, baik negara, itu lebih rancak dengan persiapan ASEAN, dengan beberapa penguatkuasaan yang lebih cekap dari Kuala Lumpur sehingga ke kota-kota lainnya termasuk lapangan terbang, pelabuhan dan dengan kunjungan pembesar negara luar yang lebih kerap ke sini.
- Sebentar lagi kita akan menerima kunjungan sahabat saya dan juga Presiden republik Turkiye, Recep Tayyip Erdoğan dan oleh itu saya nak pesan tetapi oleh kerana doa tadi mengingatkan kita supaya siap untuk menyambut Ramadan Al-kareem, elok saya mulakan dengan peringat begitu.
- Ramadan itu harus disambut dengan persiapan. Persiapan sekurang-kurangnya mengulangi dan membaca makna, khasiat dan mesej risalah mengenai Ramadan supaya penghayatan ia lebih bermakna.
- Dalam negara MADANI ini amalan Ramadan itu ada kaitannya kerana ia memberi satu aspek kerohanian dan penetapan nilai. Ramadan itu memberikan satu penegasan tentang disiplin, tentang kekuatan rohani dan keyakinan dan juga sifat yang lebih sederhana, yang lebih prihatin kepada nasib masyarakat yang tersisih dan terbiar.
- Jadi selalunya ulama muktabar menggesa kita mempersiapkan dengan sekurang-kurangnya pemahaman pembacaan yang lebih luas, umpamanya satu bab kecil dalam Ihya’ Ulumuddin oleh Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali tentang puasa, kerana dia bagi satu signifikan kerohanian. Kalau tidak ia hanya menjadi satu ritual lapar dan dahaga tetapi tidak ada mesej dari segi pembaikan karakter, akhlak, pemupukan nilai dan keprihatinan terhadap nasib rakyat dan bangsa.
- Yang kedua, saya sebut tentang penguatkuasaan. Negara ini tentunya punyai tanggungjawab yang lebih besar kerana saya yakin seperti juga rakan-rakan saya, kalau kita atur tatanegara dan tatakelola lebih baik, banyak yang boleh diperbaiki sama ada hasil, kecekapan dan mutu serta seperti kita janjikan apabila kita laksanakan dengan berani. Sistem Saraan Perkhidmatan AWAM (SSPA) yang mula dilaksanakan, itu ikrar bersama penjawat awam ialah untuk meningkatkan mutu kerja, khidmat dan tahap kecekapan mereka. Dan saya harap kita semua daripada saya, rakan-rakan Jemaah Menteri dan saudara-saudara dapat pastikan bahawa kita tingkatkan.
- Kita lihat umpamanya yang dilakukan oleh YB Dr. Zaliha binti Mustafa dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, bidang penguatkuasaan tentang banyak keterlanjuran kedai-kedai haram, kehadiran pendatang asing yang telah membugar kawasan-kawasan perniagaan begitu besar. Keadaan itu telah terbiar sekian lama. Jadi apabila kita ambil tindakan, nampak seolah-olah satu kegiatan yang sangat besar. Inilah peringatan daripada kita. Kalau kita biarkan keadaan itu jadi bobrok sedemikian, puluhan tahun diizinkan, jadi akhirnya tugas kita besar.
- Jadi sebab itu saya ingin menggesa dan menyokong langkah yang diambil daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur supaya tegas, ikut peraturan dan bukan bertindak ganas dan zalim tidak tetapi peraturan.
- Dan keduanya pula prihatin, ini pasar Ramadan yang saban tahun kita tahu ada ejennya, ada komisen besarnya. Jadi apa masalahnya untuk memberikan lesen perniagaan kepada orang yang berniaga dan tidak melalui wakil-wakil. Kalau ada Persatuan yang ambil umpamanya berpuluh ringgit untuk pengawasan, kebersihan itu saya faham, tetapi dijual semula. Maknanya penjawat awam terlibat itu tahu benar dan bersekongkol. Saudara harus faham bahawa ini berlaku selama bertahun-tahun. Bukan saja di Kuala Lumpur, di hampir semua kota di negara kita. Jadi saya harap dengan pelaksanaan tegas di Kuala Lumpur, akan menjadi satu contoh pelaksanaan yang baik. Bayangkan orang nak meniaga di bulan Ramadan untuk mendapat hasil dan upah yang lebih tinggi untuk persiapan Eid untuk keluarga. Itu masih ada tokok-tokok selain daripada kadar yang ditetapkan.
- Jadi saya ucap terima kasih Bandaraya, kerana kadar dikurangkan tapi kena pastikan siapa yang dapat lesen, dia kerja. Kalau dia pindahkan lesen itu, batal segera serta-merta dan ini memerlukan keputusan dan penguatkuasaan yang baik.
- Saya syukur alhamdulillah kerana kesedaran ini ada, maknanya kita mampu laksanakan. Tetapi kalau kita biarkan beginilah keadaannya di merata-rata tempat. Sekecil-kecil gerai, sebesar-besar projek raksasa. Di mana mampu, diambil yang bukan haknya. Jadi saya percaya sebahagian besar saudara-saudara faham mengapa permasalahan tatakelola ini kita tekankan. Saya percaya ini juga harus dilakukan, di pelabuhan, di lapangan terbang, kita tengok beberapa sistem yang lebih kemas dan cekap sekarang, tetapi tidak terlepas dari beberapa pelanggaran dan harus kita pantau pelaksanaan.
- Berikutnya ialah kerana kita juga sekarang ini mempengerusikan ASEAN. Ini bukan soal Jabatan dan riuh rendah kebanggaan, kedudukan, tetapi kesempatan kita menjaga supaya kita, maknanya penjawat awam mampu mengurus ratusan program dengan cekap dan dengan kadar yang terbaik. Ini tentunya memerlukan penugasan yang lebih daripada biasa.
- Semalam saya kebetulan mencuba mobil EV yang dihadiahkan oleh Presiden Turkiye. Dia hadiahkan kepada Perdana Menteri tetapi bagi saya kepada negara lah, bukan hak saya. Saya boleh pakai selagi saya jadi Perdana Menteri, lepas tu kena serah balik kepada negara. Kalau ada keperluan KSN nak pinjam, boleh (nada seloroh). Jadi saya cuba kerana nak pandu Presiden ini pasal apa dia left hand drive. Saya singgah ke Seri Perdana dan hari minggu jam sekitar 1.30-2.00 petang. Saya tengok puluhan penjawat awam dari Kementerian Luar, JPM, Polis, Bahagian Pendidikan, ramai yang bertugas dan dengan senyuman rapi untuk mempersiapkan acara esok untuk Presiden Turkiye.
- Hal ini tidak masuk dalam berita bahawa pada hari minggu, puluhan malah kalau keseluruhannya ratusan staf penjawat awam masih bekerja bertungkus lumus untuk pastikan nama negara terbaik, persiapan rapi, dan orang melihat tahap kecekapan kita itu sangat tinggi. Jadi saya salute kepada semua saudara-saudara yang bertugas dengan begitu baik.
- Saya memilih menyebut ini kerana ratusan ribu di semua peringkat yang mempersiapkan dan kadang-kadang hal yang baik begini tidak pernah mendapat liputan di media atau media sosial. Yang ada ialah akan dipilih beberapa kes keterlanjuran atau kesalahan. Tidak ada salah untuk besarkan beberapa kesalahan, tetapi tidak adil untuk tidak melaporkan kegiatan tahap kecekapan. Saya lihat umpamanya saya pun ke berpuluh negara dan saya percaya Datuk Seri Fadillah pun ke berpuluh negara. Tahap persiapan kita, acara-acara kita itu di antara yang terbaik yang saya dapat saksikan. Walaupun tidak semewah dan sehebat beberapa negara, sambutan luar negara kadang-kadang mewah, tetapi tahap kecekapan dan disiplin dan kerapian itu sangat membanggakan.
- Dan akhirnya saya nak sebut tentang pelaksanaan program ini, projek-projek. Dua malam lalu saya sempat menelefon Ketua Pengarah ICU, hampir tengah malam saya nak check dia tidur pukul beraapa (nada seloroh), untuk memastikan kita pantau projek-projek. Umpamanya projek kemiskinan tegar dan kejayaannya baik, alhamdulillah, tetapi jumlahnya itu bertambah. Ada saya check umpamanya Parlimen Tambun berapa yang kekal kemiskinan tegar, dia kata dalam 15 untuk negeri Perak mungkin 100 lebih. Jadi saya sebut kepada rakan-rakan di Tambun 15 tu boleh cari dan selesaikan dua (2) hari supaya kemiskinan tegar itu dapat dibereskan. Begitu juga di Wilayah Persekutuan, saya sempat hubungi Dr. Zaleha untuk pastikan jumlah itu diselesaikan sama ada oleh jabatan atau Jabatan Kebajikan ataupun Zakat dan Majlis Agama.
- Baik, jadi ini maksud saya pemantauan sentiasa walaupun kita harus tahu, dia selesai bulan Oktober, bulan November, mungkin tambah dua tiga orang lagi. Jadi yang itu kita terima, tetapi ini maksud saya, sekecil masalah ini walaupun kecil, bagi saya soal kemiskinan tegar itu besar bagi keluarga itu. Yang lain, yang kemiskinan relatif tu, kita perlu ambil masa untuk selesaikan.
- Begitu juga pelaksanaan projek-projek. Saya selalu tanya TPM, Datuk Seri Fadhillah terutamanya soal tebatan banjir, projek-projek itu saya dah minta kalau boleh Perbendaharaan beri kelonggaran supaya dapat dipercepatkan melalui peruntukan segera bersama Kementerian Ekonomi dan juga proses pre-queue yang lebih cepat.
- Mengapa kita tekankan soal tender? Ini kerana saya tengok kalau kita pakai kaedah rundingan ini, banyak nanti keterlanjurannya dan ketirisannya. Jadi sebaiknya kita gunakan tender, tetapi tender itu kadang kala dalam ukuran biasa TPM tahu akan mengambil masa terlalu panjang dan orang yang terkesan dengan banjir ini tidak mampu menunggu. Jadi hal-hal ini saya harap dapat diberikan perhatian.
- Tapi yang saya nak tekankan sebagai rumusannya ialah, usahalah, insya-Allah, supaya dapat kita tingkatkan amalan Ramadannya, penguatkuasaannya, keprihatinan kepada rakyat. Mudah-mudahan negara kita dapat ditingkatkan mercu yang lebih murni, tinggi dan dikagumi oleh masyarakat antarabangsa.
Sekian,
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh.
Similar Posts:
- COVID-19: MALAYSIA TIDAK DISKRIMINASI PELANCONG ASING, UTAMAKAN KESIHATAN RAKYAT
- BINCANG SEMULA KADAR GAJI, UPAH PENJAWAT AWAM BILA KEWANGAN NEGARA BERTAMBAH BAIK – PM ANWAR
- PM ANWAR ARAH JEMAAH MENTERI AMBIL SERIUS TEGURAN LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA 2021
- KERAJAAN TUMPU USAHA TURUNKAN HARGA BAHAN MENTAH – PM ANWAR
- PM ANWAR BERI JAMINAN TADBIR URUS TERBAIK DI MALAYSIA