TEKS VERBATIM YAB PERDANA MENTERI SEMASA SESI PMQT 25 FEBRUARI 2025: SOALAN TUAN SYED SADDIQ [ MUAR ]

 

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT

MESYUARAT PERTAMA, PENGGAL KEEMPAT

PARLIMEN KELIMA BELAS TAHUN 2025

 

 

PERTANYAAN

:

WAKTU PERTANYAAN – PERTANYAAN PERDANA MENTERI

DARIPADA

:

TUAN SYED SADDIQ BIN SYED ABDUL RAHMAN [ MUAR ]

TARIKH

:

25 FEBRUARI 2025 (SELASA)

 

SOALAN:          

 

Minta PERDANA MENTERI menyatakan langkah proaktif bagi menangani banjir pada setiap kali musim monsun serta faktor luar jangka di kawasan yang sering dilanda banjir serta berpotensi dilanda banjir pada masa akan datang.

 

JAWAPAN:

 

Tan Sri Yang di-Pertua,

 

Terima kasih YB Muar. Baik, saya setuju dan Timbalan Perdana Menteri II di sini yang bertanggungjawab. Memang kita telah sejak tahun lalu memutuskan bukan sahaja meneruskan program asal tapi mempercepatkan proses. Mempercepatkan proses itu bermakna pengambilan tanah oleh Kerajaan negeri dipercepatkan.

 

Semalam saya dengan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kelantan, kita singgung juga hal ini kerana projek umpamanya yang harus disegerakan di Kelantan yang menghadapi masalah terbesar. Kemudian tentunya Terengganu, Johor, Kedah dan lain-lain. Baik, berapa projek yang kita tetapkan yang diluluskan? 126 projek dengan kos 22.57 bilion, 74 dalam pelaksanaan, 35 pra pelaksanaan.

 

Baik, saya hendak tumpu yang spesifik sikit. Ini, YAB Timbalan Perdana Menteri II yang menyelaraskan, peringkat pegawai Ketua Setiausaha Negara sendiri ditugaskan untuk menyelaras kerana saya anggap Projek Tebatan Banjir ini projek keutamaan, maka umpamanya Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok dari pengambilan tanah sebelum ini lebih 24 bulan. Kerajaan Negeri beri jaminan diselesaikan dalam tempoh 6 bulan supaya kita boleh bergerak segera. Kemudian kita percepatkan.

 

Dulu kalau Rantau Panjang ada Fasa Satu, Fasa Dua dan Fasa Tiga. Sekarang, keputusan kita sekalikan tiga-tiga Fasa itu termasuk yang di bawah selenggara oleh Majlis keselamatan Negara kerana melibatkan rundingan kita Sungai Golok, Rantau Panjang dan juga soal mengorek dan membersihkan muara Sungai Golok yang melibatkan kedua-dua Kerajaan, Persekutuan dan Kerajaan Thailand. Tetapi dengan menyegerakan bermakna 2 bilion tambahan tetapi dalam masa yang sama, bila kita menyegerakan penjimatan kos ketiga-tiga Fasa PLSB Sungai Golok itu kita jimat 1.7 bilion tinggi.

 

Sebab itu saya katakan soal tatakelola ketelusan projek harus dijaga. Johor juga kita percepatkan pengambilan tanah dan untuk Tebatan Banjir Berkeutamaan Tinggi (TBBT) Negeri Johor kosnya 1.64 bilion telah dimulakan, YB Muar iaitu Segamat dua projek Batu Pahat dan Ledang. Maknanya projek-projek ini diawalkan, makna 12 bulan lebih awal daripada unjuran awal perancangan projek ini kerana dia mengambil masa.

 

Apa kelonggaran kita beri? Kita beri kepada Kerajaan Negeri lebih wang MARRIS. YAB Menteri-menteri Besar minta supaya wang itu digunakan termasuk untuk menyediakan Jambatan Bailey, Bailey Bridge. Kita setuju. Jadi sejak 2024, kita beri kelonggaran itu kepada negeri. Kemudian, bila berlaku monsun, saya ucap terima kasih kerana NADMA cekap dan berikan lebih dari 200 juta ringgit kepada Kerajaan Negeri untuk membantu termasuk kepada Sabah dan Sarawak baru-baru ini. Jadi, untuk negeri-negeri termasuk Monsun Timur Laut tambahan 22.5 juta dalam bantuan makanan dan sokongan logistik disediakan.

 

SOALAN 2, TAMBAHAN 1 (MUAR)

 

Saya perlu mulakan dengan ucapan tahniah dan terima kasih Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kerana bantu isu tebatan banjir di Ledang dan Sungai Muar yang dalam proses dan saya ucapkan terima kasih. Mengikut Laporan IPCC yang terbaru, laporan khas panel antara Kerajaan mengenai perubahan iklim yang menunjukkan bahawa punca utama bencana alam adalah kerana isu perubahan iklim di peringkat global. Kita tahu bahawa Amerika Syarikat bawah Donald Trump telah keluar daripada Perjanjian Paris. Sebagai Pengerusi ASEAN dan seorang pemimpin yang terkenal di negara barat, YAB Dato’ Seri pun pernah bersyarah di sana, dilantik di peringkat badan antarabangsa, baru-baru ini melantik former Prime Minister Thaksin dengan mantan Menteri Luar Singapura George Yeo yang saya rasa adalah tindakan yang sangat baik dan wajar sekali bagaimana Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sebagai Pengerusi ASEAN memastikan bahawa negara barat khususnya Amerika Syarikat akan kembali semula untuk mengiktiraf isu perubahan iklim sebagai isu yang penting. Terima kasih.

 

JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI

 

Tanpa mengira keputusan terakhir atau terkini Amerika Syarikat yang keluar daripada Perjanjian Paris, Malaysia kekal mengukuhkan hubungan kita dengan negara-negara lain kerana kita tidak menafikan tentang perubahan iklim yang memaksa kita membuat beberapa penyesuaian. Sebab itu umpamanya dasar kita termasuk transisi tenaga dan peralihan tenaga yang kita gunakan di Semenanjung dan terutamanya di Sarawak itu kita akan teruskan cara yang lebih agresif dan lebih cepat. Jadi sebagai Pengerusi ASEAN, saya lihat konsensus di ASEAN itu tidak berubah. Apakah kita mampu mempengaruhi dasar Amerika? Saya tidak fikir kita terlalu ambitious sampai ke situ, cuma kita jaga rakan-rakan dan jaringan yang sedia ada.

 

Mengenai pelantikan Thaksin itu membantu kerana walaupun ada sedikit sebanyak kontroversi dibangkitkan, Dr. Thaksin telah bantu pertama untuk menyegerakan projek Sungai Golok, Rantau Panjang termasuk mengorek muara Sungai Golok. Dan ketiganya, malah beliau baru-baru ini ke Selatan Thai memohon maaf atas isu Tak Bai dan memberi jaminan akan bekerjasama dengan Malaysia untuk cuba menyelesaikan secara aman dan adil masalah yang dihadapi di sana.

 

SOALAN 2, TAMBAHAN 2 (TENOM)

 

Bagaimanakah Kerajaan menyelaras sumbangan sumbangan besar secara tunai oleh pihak berkaitan badan bukan kerajaan, NGO dan juga GLC serta syarikat swasta yang mencecah sehingga kira-kira RM20 juta apabila berlaku sesuatu bencana seperti banjir. Kemanakah sumbangan ini dibelanjakan dan bagaimana ia diagihkan secara adil dan telus?

 

JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI

 

Pengagihan daripada Kerajaan seperti mana yang saya sebut tadi termasuk 25 juta untuk Sabah dan Sarawak itu khusus kepada nama-nama yang didaftarkan dalam Pusat Pemindahan Sementera (PPS) dan kerjasama dengan Kerajaan-Kerajaan Negeri dan Pejabat Pejabat Daerah atau di Kelantan Pejabat Jajahan.

 

Dan untuk GLC Demi Rakyat dan Negara GDRN kali ini mereka lebih aktif membantu sehingga mengumpulkan 22.5 juta ringgit bantuan makanan dan barangan sokongan logistik itu pun diselaraskan dengan kerjasama Kerajaan – kerajaan Negeri atau ICU dan beberapa NGO yang diiktiraf boleh membantu mempercepatkan pengagihan makanan dan logistik kepada mangsa mangsa banjir.

 

SOALAN 2, TAMBAHAN 3 (TUMPAT)

 

Tahniah dan terima kasih kerana telahpun berusaha untuk menjalankan terus ketiga-tiga Projek Tebatan Banjir 1, 2 dan 3.

 

Walau bagaimanapun projek ini telah ditangguhkan sejak 2022 dan kita difahamkan telahpun dilantik Ketua Setiausaha Negara dan semua agensi untuk mempercepat. Di peringkat bawahan, kita belum melihat secara tuntas kesiapan projek ini khususnya untuk menghadapi banjir 2025 ini.    

 

Jadi saya ingin bertanya, Kerajaan maklumkan tadi ada keuntungan 1.7 bilion. Itu keuntungan daripada hasil penangguhan. Walau bagaimanapun, saya ingin tanya berapakah kerugian yang dialami oleh Kerajaan akibat daripada banjir 2024 dan adakah rakyat Tumpat, Pasir Mas dan Rantau Panjang boleh di compensate akibat daripada projek ini telah menyebabkan kerugian berganda daripada projek tebatan ini belum dibuat berbanding dengan bila ia ditangguhkan.

 

Dan yang kedua, kita dapati bahawa dalam kenyataan yang direkodkan YAB Perdana Menteri memaklumkan bahawa peruntukan kepada MP pembangkang boleh diberikan tanpa syarat dan kita lihat YB Muar telahpun mengemukakan perbincangan dan sampai hari ini belum lagi terima sebarang peruntukan. Jadi soalan saya, khusus kepada pihak dan semua MP yang terlibat dengan banjir. Adakah Kerajaan bersedia untuk memberikan peruntukan tanpa sebarang syarat bagi membantu menyelesaikan isu rakyat? Terima kasih.

 

JAWAPAN YAB PERDANA MENTERI

 

Sejak bila jadi wakil YB Muar tetapi tidak apa. Terima kasih YB Tumpat. Projek ini kalau ikut unjuran,  yang Fasa Ketiga tu 2027 akan bermula tapi saya telah bincang YAB Timbalan Perdana Menteri II, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA untuk mempercepatkan kerana kerugian, benar YB Tumpat. Kalau kita tangguh pun, kita bayar. Kalau keseluruhannya hampir 1 bilion ringgit satu tahun untuk seluruh negara, ya walaupun perkiraan iaitu mungkin berbeda, tetapi setakat yang kita kaji daripada peruntukan-peruntukan seluruh pihak, masih banyak. Tetapi apa yang kita lakukan sekarang ialah mempercepatkan tapi mempercepatkan itu bermakna pengambil tanah itu kena cepat. Kalau YB teliti, proses tu kadang negeri itu mengambil masa 2 tahun, paling cepat satu tahun.

 

Jadi semalam dengan YAB Menteri Besar Kelantan, saya kata tidak boleh. Kalau siap 6 bulan, 6 bulan kita mula. Jadi walaupun proses pengambilan tanah itu kadang-kadang masih lagi tergantung, persiapan awal itu telah dimulakan oleh PETRA.

 

Maknanya, kita rencanakan memulakan Fasa 1 sudah mula, Fasa 2 sudah, Fasa 3 sudah. Tinggal 2, tahun ini juga. Jadi perancangannya mengikut PETRA, Mei ataupun yang akhir Jun. Itu masih tertakluk kepada kecepatan atau kepantasan mengambil proses pengambilan tanah.

 

Saya faham kadang-kadang mengambil tanah itu menyentuh juga kampung dan kawasan penduduk, jadi kena runding dengan baik. Tapi kalau kita tangguh satu tahun, 2 tahun, banjir itu akan memberi kesan kepada ratusan atau ribuan orang.

 

Jadi soal yang ganti rugi setakat yang kita mampu beri, kita beri, setakat saya faham tanpa kecuali. Tapi kalau Yang Berhormat kenal pasti ada mana-mana rumah yang terkesan tapi tidak diberikan. Saya sedia boleh betulkan, kerana arahan kita jelas, mesti berikan kepada semua rumah yang terjejas.

 

Jadi, saya tidak mahu ada pelanggaran daripada arahan umum ini. Dan saya sekali lagi menyatakan persetujuan saya untuk mempercepatkan. Malah, kita runding dengan Kementerian Kewangan, Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) pun ada supaya kalau pun perlu dipindahkan sedikit peruntukan tebatan banjir itu bagi saya dan Kerajaan adalah keutamaan di antara keutamaan pertama, selain daripada masalah kemiskinan tegar.

 

Masalah peruntukan Yang Berhormat Muar itu nanti saya rujuk kepada Timbalan Perdana Menteri I (TPM I) yang bertanggungjawab.

 

Terima kasih.

 

 

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.