
TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
AMANAT PERDANA BERSAMA WARGA KUMPULAN DAN PETUGAS FELDA
26 MAC 2025 | RABU | 5.30 PETANG
MENARA FELDA
KUALA LUMPUR
Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Alhamdulillah thumma Alhamdulillah,
Alhamdulillahil quail,
Shahru Ramadan allathee unzila feehi al-Qur’an,
Hudan linnas wa bayyinaat min al-huda wal-furqan,
Wa Usalli Wa Nusalli Ala Rasoolihil Kareem,
Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.
YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar,
Ketua Setiausaha Negara;
YB Datuk Seri Haji Ahmad bin Haji Maslan,
Timbalan Menteri Kerja Raya;
YBhg. Dato’ Sri Ahmad Shabery bin Cheek,
Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA);
YBhg. Dato’ Dr Suzana Idayu Wati binti Osman,
Pengarah Besar FELDA;
YBrs. Encik Sulong Jamil bin Mohamed Shariff,
Ketua Peneroka FELDA Kebangsaan;
YBhg. Dato’ Safariah binti Awang Ngah,
Timbalan Ketua Peneroka FELDA Kebangsaan;
Peneroka, penerokawati dan seluruh warga FELDA,
- Terima kasih banyak atas kesempatan yang diberikan. Memang agak terlewat saya sampai sepatutnya bertahun lalu, tapi Alhamdulillah dapat menemui pengurusan, berbincang, memastikan bahawa hala tuju dan perubahan dilakukan, saya ucap tahniah kepada Langkah-langkah baharu yang diambil untuk mengangkat semula keupayaan Felda, menyelamatkannya dan memberi jaminan yang lebih baik, lumayan kepada peneroka.
- FELDA sejak ditubuh atas ikhtiar almarhum Tun Abdul Razak itu merupakan satu wadah yang penting, membela nasib masyarakat yang pada masa itu disebut kelaparan tanah – hunger for land. Kita ada masa gemilang pasang surutnya, tetapi itu sudah menjadi sejarah. Tapi mestilah ada keupayaan kita untuk mencari jalan, membawa perubahan dan saya ucap tahniah kerana ada semangat tersebut di kalangan pimpinan dan pengurusan.
- Apa relevannya dengan Ramadan? dengan Shahru Ramadan? dengan bulan Ramadan? Perlu kita peringatkan terus kerana kita hanya di saat-saat akhir Ramadan. Shahru Ramadan, bulan Ramadan itu bulan di mana kita semua diwajibkan kembali mendapat latihan, menambah kekuatan kerohanian. Itu yang ulama sebut sebagai Tarbiyyah Ruhiyyah akan Madrasah Ramadan, Madrasah Ruhiyyah kerana ciri dan elemen spiritual itu sangat kuat dan sebati dengan amalan Ramadan. Dan dengan maksud lain La’allakum tattaquun – meningkatkan darjat ketakwaan kita kepada Allah SWT.
- Yang keduanya, unzila feehi al-Qur’an – turunnya al-Quran. Untuk apa? Hudan linnas – bagaimana mendapat hidayah? Manusia tu mendapat hidayah melalui membaca, memahami, menelaah dan mengamalkan. Tetapi kekuatan Ramadan itu juga membentuk keperibadian dan disebut Ramadan jarang dalam ideologi, faham agama, mampu menyaingi semangat dan roh Ramadan, disiplin, integriti, kepercayaan amanah yang dia saja tahu dan Allah SWT.
- Cabaran bagi umat Islam di sini dan seluruh dunia ialah bagaimana memastikan amalan itu sebati dengan jiwa kita, dalam amalan kita, dan kehidupan kita serta kerja kita. Ramai yang mengamalkan Ramadan, tetapi tidak punyai integriti dalam pekerjaan mereka. Kita tidak boleh kata dia tidak ada integriti dalam Ramadan kerana dia puasa. Dia menahan diri makanan dan minum. Tetapi integriti dalam kerjaya dilatih dalam Ramadan itu Sebab itu banyak kekurangan, banyak ketirisan, banyak tidak amanah, kadang-kadang di atas, kadang-kadang di tengah, kadang-kadang di bawah, penipuan demi penipuan. Tanpa satu integriti dan semangat ini, maka tidak ada badan hebat seperti mana pun boleh bertahan dan ini juga cabaran bagi kita dalam keluarga FELDA di semua peringkat.
- Dan tentunya suatu lagi kesan daripada Ramadan ialah dimensi manusia, mengangkat darjat karamah insaniah kemanusiaan kerana diajar untuk lebih prihatin. Mana mungkin kita dengan segala kesenangan dan kemewahan di sini melupakan bahawa roh Ramadan itu bila ada detik di pintu hati, dhomir naluri kita untuk berbuat sesuatu yang lebih kepada jiran dan rakan yang kurang bernasib.
- Mudah-mudahan semangat Ramadan dalam hari-hari akhir ini kita manfaatkan dan percayalah ada usaha, peringatan untuk kita tingkatkan amal kita menguasai, mengulangi bacaan al-Quran Kareem supaya benar-benar menjadi Hudan linnas dan memberikan kekuatan kepada kita dengan segala contoh dan bukti wa bayyinaat min al-huda – petanda petanda yang dapat kita saksikan supaya dengan itu kita mampu membuat penilaian yang betul – wal furqan.
- Bagaimana mungkin sekali lagi orang, manusia Muslim yang mengamalkan Ramadan tetapi tidak boleh menilai di antara yang hak dan yang batil, yang maa’ruf dan yang mungkar, yang benar dan yang palsu. Padahal Quran itu dengan kefahamannya memberikan kita kekuatan wal furqan – penilaian di antara yang baik dan yang buruk. Mudah mudahan Allah telah memberikan kita taufik dan hidayah sempena Ramadan.
- Berbalik kepada FELDA, saya datang bersama KSN, dan pegawai-pegawai, mendengar sebentar dan memberitahu bahawa FELDA tidak boleh kekal dalam bentuk dan kaedah, hala tuju yang ada sekarang. Kerajaan seperti mana saudara tahu harus memberi suntikan hampir RM1 bilion satu tahun. Ya, kita mampu kita lakukan. Asalkan kita yakin bahawa pendekatan dan hala tuju kita itu mampu menyelamatkan bukan sahaja gedung FELDA ini tetapi peneroka dan masa depan mereka.
- Saya ucap terima kasih dan hargai apa yang disebut oleh Pengurus Besar dan keluarga pengurusan FELDA untuk mengemukakan dan sudah mula melaksanakan beberapa langkah di ladang, pengurusan, pemasaran, kilang, eksport, itu kerja kita. Sepertimana yang disebut oleh saudara Shabery Cheek di antara perkara, tajuk utama saya bicara dengan Perdana Menteri Narendra Modi ialah pastikan bahawa dia import minyak sawit yang lebih dari Malaysia. Kerana apa? Kerana ini akan menjamin masa depan peneroka FELDA. Tak pernah saya tinggalkan.
- Saya bincang dengan Presiden Xi Jinping, mula terima kasih kerana import minyak kelapa sawit. Kedua, harap supaya jumlah import itu ditingkatkan. Bukan sahaja menjual tetapi bila permintaan itu meningkat, harga akan meningkat. Harga dalam pasaran itu dia tidak hanya mendasar, mengikut keadaan biasa, dia ikut permintaan. Jadi tugas pimpinan Kerajaan mencari jalan supaya menambah permintaan. Dan ini, Alhamdulillah, setakat ini kita capai, tetapi kita tidak boleh hidup dalam ruang yang selesa. Sebab itu, dalam unjuran dalam keadaan sekarang ada yang lebih baik itu, mudah-mudahan lebih tinggi tetapi keadaan geopolitik yang belum menentu harus mengingatkan kita supaya lebih berwaspada untuk menjangka kemungkinan keadaan yang lebih mencabar.
- Jadi, saudara-saudara, saya beri tempoh satu bulan untuk pengurusan kemukakan dan saya pastikan, ada Tan Sri Wahid, ada ramai pakar-pakar di sini, saya akan pastikan supaya seluruh kekuatan jentera, baik Kerajaan, Kementerian Kewangan dan pakar-pakar lain untuk memastikan bahawa kita puas hati dengan pendekatan baru, hala tuju baru supaya dalam masa singkat ini, kita beri keyakinan kepada ratusan ribu peneroka bahawa kita sekarang sudah sampai ke tahap di mana lonjakan itu amat perlu.
- Saya beri jaminan, insya-Allah, bahawa seluruh tenaga, kekuatan yang ada pada Kerajaan MADANI ini akan kita kerahkan untuk pastikan FELDA di landasan yang ampuh bersama dengan koperasinya dan keselamatan FGV-nya, satu haluan dengan satu matlamat mengangkat martabat dan kedudukan FELDA, dan menjamin masa depan yang lebih baik kepada peneroka dan ekonomi Malaysia. Ini juga gedung tempat masyarakat Melayu dan masyarakat Melayu desa, dan kita harus lakukan dengan sebaiknya.
- Sekian, saya ucapkan terima kasih kepada saudara Shabery Cheek dan Pengurus Besar, seluruh keluarga FELDA dan sambutan yang sangat baik ini. Kalau saya tahu awal-awal Ramadan, saya sudah datang. Jadi, terima kasih dan persahabatan tunjukkan, kesedaraan yang ditunjukkan dan semoga Allah SWT memberikan kekuatan.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Similar Posts:
- PM ANWAR BERI JAMINAN TADBIR URUS TERBAIK DI MALAYSIA
- MALAYSIA SAMBUT BAIK PEMBANGUNAN NUSANTARA – PM ANWAR
- PENJAWAT AWAM DISERU BAWA PERUBAHAN KEMBALIKAN MALAYSIA KE TAHAP GEMILANG
- DENGAR PENDAPAT PAKAR NAMUN JANGAN SESEKALI ABAI PANDANGAN RAKYAT BIASA – PM ANWAR
- SUBSIDI BERSASAR : PM ANWAR BERI JAMINAN KEPENTINGAN PIHAK INDUSTRI TURUT DIBERI PERHATIAN