TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS BERBUKA PUASA MADANI PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG 2025

 

 TEKS UCAPAN

  

YAB DATO’ SERI UTAMA ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

SEMPENA

 

PROGRAM MAJLIS BERBUKA PUASA MADANI

 

 

18 MAC 2025 | SELASA | 7.00 MALAM

SUNGAI BAKAP, PULAU PINANG

 

 

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

Alhamdulillah thumma Alhamdulillah,

Wama tawfiqi wa’tusomi illa billah.

 

Alhamdulillahil quail,

Shahru Ramadan allathee unzila feehi al-Qur’an,

Hudan linnas wa bayyinaat min al-huda wal-furqan,

Wasollallahu ‘ala sayyidina muhammadin

Wa’ala aalihi wasohbihi ajmaeen.

 

Yang Amat Berhormat Tuan Chow Kon Yeow,

Ketua Menteri Pulau Pinang;

 

Yang Berhormat Puan Fadhlina binti Sidek,

Menteri Pendidikan;

 

Yang Berhormat Dato’ Dr. Mohamad bin Abdul Hamid,

Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang;

 

Timbalan-Timbalan Menteri;

 

Ketua Setiausaha Negara;

 

Pegawai-Pegawai Kanan;

 

Pengerusi Jawatankuasa Masjid; dan

 

Saudara saudari yang saya muliakan.

 

  1. Alhamdulillah kita bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wataala (SWT) kerana mengimarahkan jemaah dan juga sempena Ramadan Karem, Kullu Aam Wa Antum Bikhair, kita mulakan dengan mengingatkan kita semua tentang manfaat dan khasiat Shahru Ramadan – bulan Ramadan bulan turunnya Al-Quran, unzila feehi al-Qur’an dan mesej Quran tu jelas, Hudan linnas – petunjuk kepada manusia. Maknanya membaca, memahami, mengamal dan menghayati, maka baru jadi petunjuk. Apa maknanya petunjuk? Hudan linnas diterangkan lagi wa bayyinaat min al-huda, kerana tanda-tanda nyata pada penglihatan kita, ataupun pada dhomir kita ataupun pada tilikan kita keseluruhannya. Mudah-mudahan dengan fahamnya, apa yang kita lihat ini akan menambah petunjuk bagi kita.

 

  1. Dan juga wal-furqan makna kita boleh nilai. Masalahnya agama ini asas untuk memupuk keyakinan dan pembangunan karakter peribadi dengan akhlak, dengan nilai supaya kita tahu di antara yang maaruf dan yang mungkar, yang hak dengan yang batil. Menerusi apa? Kefahaman. Masalah kita ini di antara lain ialah kerana kita amalkan Ramadan Mubarak, Alhamdulillah, ada yang sudah berumur sikit, 30 tahun tak pernah tinggal, 40 tahun setiap ramadan tidak pernah tinggal, tetapi kita tahu bahawa ulama menyebut Ramadan ini sebagai Madrasah Ramadan atau sekolah Ramadan atau Tarbiyahtul Ruhiyah, maknanya tanpa kecuali semua orang masuk sekolah, setiap tahun sebulan ada ujian, ada lulus, ada lulus cemerlang.

 

  1. Takkan ambil SPM 10 kali perangai yang sama juga, kelulusan sama juga. Kalau anak kita ambil SPM 3 kali keputusan macam itu, kita marah, tetapi kita lupa kita dah 20 kali dah Ramadan tapi tidak ada peningkatan. Sebab itu kita mengingatkan kita semua, tentang keperluan menjadikan bulan ini bulan yang boleh mengikat kita dengan kekuatan, keyakinan dan amalan. Ini penting bagi saya untuk kita sama ingatkan.

 

  1. Tetapi kita juga tahu roh dan semangat Ramadan itu apa? La allakum tattaqun, dahulu saya pernah kupas di Kementerian Kewangan, saya kata dalam ayat Quran itu, Yaa ayyuhal lazeena aamanoo kutiba ‘alaikumus Siyaamu kamaa kutiba ‘alal lazeena min qablikum la allakum tattaqun (Al-Baqarah, 2:183), maknanya perintah kepada kita yang beriman, muslim yang sekarang dan perintah yang pernah diutuskan kepada umat terdahulu. Ustaz-ustaz parti zaman marah, mana boleh Perdana Menteri samakan dengan agama lain? mana boleh samakan orang yang tak beriman, ayat itu…tak usahlah gaduh. Saya hanya beritahu orang lain dulu pun puasa, dan Al-Quran menyebut kutiba ‘alaikumus Siyaamu kamaa kutiba ‘alal lazeena min qablikum – maknanya ada yang terdahulu, saya tak buat tafsir dan ulas panjang pun. Tapi bedanya kita apa? La allakum tattaqun, nawaitu nya, takwa kepada Allah SWT, nawaitu nya untuk mengikat keyakinan kita, menebalkan iman kita kepada Allah SWT.

 

  1. Tetapi ada dimensi lain, puasa ini juga disiplin, integriti, karakter, kerana siapa tahu kita puasa tak puasa? kita sahaja dengan Allah SWT. Ini ujian yang kita disiplin atau ada integriti. Kalau puasa kita puasa, andai kata kita puasa tak makan tak minum dan ikut peraturanya, tetapi maknanya membina karakter dan integriti. Bagaimana dalam kerja tak ada integriti? bagaimana datang sekolah tidak ikut waktu tak ikut jadual? bagaimana di pejabat yang di atas dan di bawah sakau? bagaimana simpan duit di safehouse? tapi puasa tak tinggal, mana ada integriti dia? Puasa itu ada dimensi spiritual dimensi, fizikal dan personal, soal karakter, integriti, akhlak dan nilai.

 

  1. Sebab tu dalam negara MADANI ini kita tak bincang hanya pembangunan. Pembangunan itu penting, AI itu penting, digital transformation penting, negara beralih peralihan tenaga penting, tetapi bedanya apa? mesti diasaskan dengan akhlak dan nilai. Negara yang baik, maju bagaimanapun tanpa karakter, nilai, integriti boleh rosak, ada kuasa masa inilah saya nak kaut. Sebab itu ada kaitannya, pengajaran puasa Ramadan itu dengan perbezaan karakter. Kita dilatih dari kecil mesti amanah, mesti ikhlas, mesti ada integriti, kamu puasa kamu tak boleh tipu. Sebab itu saya ingatkan integriti dan maknanya apa. Jadi dijaga akhlak dan nilai. Dia tahu melalui keperibadian.

 

  1. Baik kemudian apa lagi? kerana dimensi sosial. Ini bulan puasa tahan lapar dan dahaga. Macam Ketua Menteri dia pun tak makan. tapi tengah hari saya dengar dia makan. saya tak tahu lah, dia tadi pagi breakfast sekarang breakfast lagi (nada seloroh). Tapi dia kata dia memang kurang makan, cuma berat badan tak turun. Baik, yang saya nak sebut dimensi sosial yang mana? mengapa kita dilatih untuk tak makan tak minum padahal kita mampu. Ramai yang mampu. Kamu mampu atau tidak makannya di istana atau di rumah atau di hotel di mana pun kamu mesti tahan tak boleh makan, minum dan disiplin dan integriti daripada pagi sampai waktu Maghrib, berbuka. Untuk apa? untuk kita rasa dan insaf tentang nasib orang lain walyataamaa walmasaakeen. Makna kita ada perasaan, tapi bagaimana kita makan dengan jenuh tapi jiran kita tak peduli. Bagaimana orang yang melimpah kekayaannya tetapi tidak mempedulikan langsung yang saya kata dimensi sosial kaitan dengan masyarakat yang susah dan terbiar. Jadi makna puasa itu tidak dihayati. Pertama saya kata Keduanya, integriti dan ketiganya soal ehsan, soal compassion, sama ada semua jiran muslim atau non-muslim.

 

  1. Tadi saya pergi rasmi Masjid Jamek Perai, tengah-tengah pekan kawasan Batu Kawan. Ketua Menteri tadi dia datang, dan tepi itu kedai-kedai ada kedai Melayu sedikit, kedai Cina, kedai India. Apa makna kita di masjid? kalau di masjid kita nak bagi makan orang miskin, apa kita kira dia miskin Islam ataupun di Buddha ataupun Kristian atau Hindu? Tidak, kita bantu semua, jadi ini yang menjadikan Islam itu Al-Islamu ya’lu wa la yu’la alaih. Ketinggian Islam itu kerana kemurniannya, kerana fairness dia, kerana adilnya, kerana hormati semua kaum, ini kekuatannya. Tetapi sekarang ini ini yang dilagakan, bulan puasa pun riuh rendah soal nak gaduh antara satu sama lain. Ini yang saya sebut dimensi sosial orang yang susah. Dan kalau umpama jiran kita jaga. Jadi dia tengok orang Islam ini budaya dia, bulan Ramadan begini, disiplinnya baik, solat malam, pagi sudah datang ke subuh. Wah! ini satu yang luar biasa, tak mudah orang ikut, disiplin yang baik dan berintegriti. Tapi dalam kerja tak ada disiplin, bila Ramadan, ada disiplin, jadi tidak ada kaitan. Ini masalah kita, ritual atau ibadah yang terputus dengan makna kehidupan dan amalan kita. Itu dia tazkirah Ramadan.

 

  1. Saya saja nak elak, sebab kalau nak dengar Ketua Menteri itu macam-macam projek dia minta (nada seloroh). Saya amalan saya ke Mesyuarat Pembangunan Negeri saya duduk 1 jam dengar pandangan negeri dan kita bagi pandangan, dan ini termasuk umpamanya saya akan ke Sabah, ke Terengganu, jadi kadang-kadang orang cakap ini dalam ceramah-ceramah bulan Ramadan ini pun tak ada, anak tiri, apa dia? Ini banjir Pulau Pinang ada sedikit, Kelantan ada banyak, berapa peruntukan Kelantan kita bagi? berbilion ringgit, Kelantan tebatan banjir, kita tambah lagi, tapi yang dia sebut bukan terima kasih, dia maki lagi! “tak ada langsung prihatin, cakap nak tolong tak tolong” jadi sebab itu saya kata dalam akhlak bulan Ramadan ini dan seperti mana membaca al-Quran, faham dan cuba ada pencerahan, ada maklumat kena betul, beda pendapat tidak ada masalah, dalam buku Fadhlina tahu, ada buku yang saya galakkan budak baca termasuk ‘Adab al-Ikhtilāf fi al-Islām’ adab berbeda pendapat – ‘Ethics of disagreement in Islam’, maknanya boleh disagree tapi ada etika, ada moral, ada akhlak. Jadi tidak pecah masyarkat. Berbeda pendapat asalkan soal-soal akidah, soal yang thabit, yang tetap tidak ada perbedaan.

 

  1. Kemudian sekarang kita galak pelajar-pelajar Islam semuanya baca 40 hadis. 40 hadis itu, jumhur ulama, yang matan 40 hadis ini, Imam Nawawi itu digalakkan membaca, ini makna pencerahan supaya kita dapat latih anak-anak kita memberi makna kepada amalan.

 

  1. Tentang projek-projek ini, di Pulau Pinang saya ucap tahniah kepada Ketua Menteri, dan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri kerana memberikan suatu, menekankan soal terkelola, prinsip kerja kuat, jadi tarikan. Saya pergi mana-mana di dunia, orang tahu tentang Pulau Pinang, sampai kena buka kawasan industri sampai ke Batu Kawan, kerana kejayaan kita menarik pelaburan. Dan disiplin kita, efficiency – kecekapan dalam pentadbiran, kalau tengok kelulusannya cepat. Ini semua membantu bila bantu banyak hasil, maka peruntukan kita boleh lulus lah Chow, sekarang ini perlahan-perlahan. Yang mana kita luluskan, saya sudah umumkan banyak, yang tadi itu dicadangkan untuk Rancangan Malaysia ke-13 yang kita sedang teliti untuk beri keutamaan. Tetapi seperti mana saya sebut, kalau saya ditanya saya apa keutamaan pembangunan ini selain infrastruktur. Saya kata selesaikan masalah kemiskinan tegar, masalah banjir, takkan tiap-tiap tahun banjir, Malaysia sudah merdeka lebih 70 tahun, tetapi banjir tiap-tiap tahun dan tidak ada Langkah-langkah yang cepat dan berani. Hal ini kita kena jelaskan dan laksanakan perumahan rakyat.

 

  1. Saya ucap terima kasih sekali lagi kerana Kerajaan Negeri berusaha mengadakan projek perumahan yang besar di Seberang Jaya dan Batu Kawan, dan insya-Allah kita akan luncurkan pada tahun ini juga. Jadi sekali lagi saya ucap terima kasih kepada Jawatankuasa masjid, Puan Fadzlina, Menteri Pendidikan, ya anak muda yang bawa beberapa banyak perubahan dan perubahan itu kadang-kadang tidak semua orang suka lah, macam saya mewajibkan tahun depan nak masuk ke sekolah Asrama Penuh, ke MRSM ingat 70% STEM, tok sah rayu, tok sah buat tuntutan kita tak layak, kerana apa? negara kalah, kita sudah bawa Nvidia, Infineon, Arm, Google, Microsoft, tetapi anak-anak terlatih terbatas. Bukan bermakna kita ambil sains tak ada akhlak Islam. tetapi ini keputusan yang kita buat dan saya harap ibu bapa di sini bagi kerjasama dan sokongan kepada usaha bawa perubahan.

Terima kasih,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.