TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI : MAJLIS PECAH TANAH MASJID MADANI

TEKS UCAPAN

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

 

MAJLIS PECAH TANAH MASJID MADANI

 

27 MAC 2025 | KHAMIS | 10.00 PAGI

JALAN MUNSHI ABDULLAH

KUALA LUMPUR

Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Alhamdulillah thumma Alhamdulillah,

Wama tawfiqi wa’tusomi illa billah.

 

Alhamdulillahil quail,

Innamâ ya‘muru masâjidallâhi

Man âmana billâhi wal-yaumil-âkhiri

Waaqâmash-shalâta wa âtaz-zakâta

Wa lam yakhsya illallâh

Fa ‘asâ ulâ’ika ay yakûnû minal-muhtadîn

 

Wa Nusalli ‘ala Rasulihi’l Karim,

Wa Aala Aalehi wa sahbehi Ajmaeen.

Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof,

Timbalan Perdana Menteri;

Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Zaliha binti Mustafa,

Menteri Wilayah Persekutuan;

Yang Berhormat Senator Dato’ Setia Dr. Haji. Mohd Na’im Mokhtar,

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama);

Yang Berhormat Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil,

Menteri Komunikasi;

YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz,

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri;

YBhg. Datuk Seri Mohamed Faroz bin Mohamed Jakel,

Pengarah Urusan Kumpulan Jakel dan keluarga, bonda dan semua anak saudara; dan

Rakan-rakan yang saya muliakan.

  1. Kita panjatkan setinggi kesyukuran kepada Allah SWT. Ada beberapa keistimewaan, pertama, akhir Ramadan. Kedua, mendirikan masjid. Ketiga, mengukuh semangat dan perpaduan kita di pusat bandar. Dan saya kupas sedikit isu ini. Dan saya pertama, selain daripada memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT iaitu penghargaan setingginya kepada keluarga, anak-anak yang tidak melupakan jasa ibu bapa dan mengingatkan wasiat ibu bapanya untuk mendirikan masjid.
  1. Maka kita kenang tentunya jasa arwah Mohamed Jakel dan semangat yang diteruskan, turunkan kepada anak-anaknya bahawa mendirikan masjid itu suatu tugas bersama. Sebab itu saya mulakan dengan membaca ayat Quran tentang memakmurkan masjid atau mengimarahkan masjid. Innamâ ya‘muru masâjidallâhi – memakmurkan masjid untuk apa? Untuk apa mendirikan dan memakmurkan masjid yang dituntut kepada kita semua? Man âmana billâhi – masjid ini untuk mengukuhkan bertaut isbatkan Allah. Wal-yaumil-âkhiri dan hari akhirat. Itu dari segi kekuatan iman dan akidah kita. Bagaimana tindakan amalnya? Waaqâmash-shalâta – memakmurkan masjid dengan mendirikan solat dan tentunya di masjid para jemaah. Dan orang yang menyempurnakan solat itu dalam al-Quran selalu dikaitkan dengan zakat – wa âtaz-zakâta.
  1. Dimensi kemanusiaan dalam Islam tu sangat penting. Sebab tu dalam sejarah umpamanya, yang dikupas oleh para ulama, di antara peperangan yang diisytiharkan awal oleh Abu Bakar As-Siddiq r.a itu perang, bukan semata-mata dalam erti kata ada kelompok yang tidak membayar zakat, tetapi keengganan menerima dalam negara Islam dewan pimpinan Abu Bakar As-Siddiq meruntuhkan satu institusi yang sangat penting, yang boleh menjamin kemaslahatan masyarakat terutama yang miskin, tersisih dan terbiar. Sebab itu diisytiharkan. Bayangkan kita yang meneliti sejarah, maharaja-maharaja lalu, isytihar perang sebab apa? Sebab nak tawan wilayah, sebab kekayaan yang ada, sebab mungkin meminang sang Puteri yang ditolak. Peperangan diisytiharkan.
  1. Maka sebab itu saya masih ingat kupasan Syeikh Yusuf al-Qaradhawi yang mengatakan, buat pertama kalinya dalam sejarah, setakat yang beliau teliti, peperangan diisytiharkan untuk membela golongan miskin dan daif kerana meruntuhkan institusi zakat itu bermakna kekuatan masyarakat Islam tidak dapat dipertahankan. Masyarakat yang punyai kemewahan, kesenangan tapi meminggirkan golongan Dhuafa Wal Masakin, ini Man âmana billâhi wal-yaumil-âkhiri, waaqâmash-shalâta wa âtaz-zakâta. Mudah-mudahan dengan kekuatan itu, dengan masjid mengimarahkan itu, maka kita teruskan roh perjuangan kita, Wa lam yakhsya illallâh – tidak rasa gentar dan takut melainkan kepada Allah SWT. Mudah-mudahan masjid ini dapat memberikan roh pembangunan dan semangat masjid, lamasjidun ussisa ‘alat-taqwā –masjid yang didirikan atas niat yang Ikhlas, atas ketakwaan kepada Allah SWT. Kerana Allah mengingatkan ada perbedaannya dalam kita ghairah membina masjid, istighfar pada Allah, mahasabah diri dan ingat masjid ini bukan dengan niat lain tetapi untuk meneguhkan lamasjidun ussisa ‘alat-taqwā kerana Allah memperingatkan dan membandingkan pengalaman di bawah pimpinan Nabi Muhammad SAW ada gerombolan yang mendirikan masjid, yang wadhiraran wal kufran, ini satu masjid atas takwa, satu atas kesesatan.
  1. Jadi sebab itu, kita syukur Alhamdulillah dan mudah-mudahan kita peringatkan itu. Apa lagi di bulan Ramadan, memang saya pilih tarikh ini. Dan dalam simpang siur yang belum menentu, saya hanya putuskan boleh, Insya-Allah, dan yang lain masalah tu selesaikan. Datuk Zaliha ada, Naim ada, Datuk Bandar ada, itu kerja mereka selesaikan. Dan saya yakin kerana kita lihat dari segi hukum, dari segi undang undang, dari segi masalah masyarakat di sini, semuanya meyakinkan saya daripada keputusan awal 2019. Takkanlah tak mungkin kita buat keputusan yang tegas dan jelas. Sebab itu kita memilih untuk menjaga harmoni, runding dengan baik. Arahan saya konsisten. Dalam mesyuarat Jemaah Menteri dan juga kepada Kementerian Wilayah Persekutuan dan Datuk Bandar, runding dengan baik, dengan apa cara dan helah pun, runding dengan baik, mencari penyelesaian baik itu bukan tanda kelemahan seperti mana yang disanggah oleh sebahagian kelompok tertentu. Penyelesaian secara aman, beradab, berakhlak itu nilai MADANI. MADANI itu bicara soal kemampanan ya, pertumbuhan ekonomi ya, teknologi dan digital ya, tetapi juga nilai, akhlak, rahmah dan ihsan, dan itu bukan sahaja kepada umat Islam tetapi kepada masyarakat pelbagai kaum dan agama di sekitar kita.
  1. Sebab itu saya katakan pilih Ramadan Mubarak ini, Kullu aam wa antum bikhair, ucap selamat semua kerana Syahru Ramadan. Apa lagi bulan ini? Shahru Ramadan allathee unzila feehi al-Qur’an – bulan turunnya Quran. Untuk apa turun Quran? Hudan linnas wa bayyinaat min al-huda wal-furqan kerana Quran itu kalau dibaca, difaham maknanya, diamalkan, Allah jamin dia adalah petunjuk dan hidayat kepada manusia. Wa bayyinaat – petanda-petanda yang sangat jelas dan memberi kekuatan kepada kita menentukan apa yang ma’ruf, apa yang mungkar, apa yang hak, apa yang batil, apa yang adil, apa yang zalim, apa yang benar, apa yang palsu kerana wal-furqan.
  1. Baik, jadi dua, mendirikan masjid, bulan Ramadan, akhir Ramadan dan Ramadhan itu punya dimensi. Pertamanya, La’allakum tattaqun. Sebab itu kita selalu peringatkan dan kita tidak harus jemu mengingatkan kerana majoriti umat Islam ini puasa. Tapi kita kena ingatkan diri kita dan masyarakat, matlamat itulah La’allakum tattaqun itu yang utamanya. Soal kesihatan, dieting itu kedua. Soal yang lain-lain tu semua terangkul dalam asasnya itu La’allakum tattaqun. Tapi dimensi lain yang kadang-kadang kita remehkan ialah menanam disiplin dan integriti. Ini satu amalan kita boleh lakukan, dan senyap-senyap kita boleh minum dan tidak siapa yang tahu. Sebab itu soal disiplin, amanah, integriti itu tertanam kukuh dalam satu amalan disebut Ramadan.
  1. Soal yang kita harus tanya kepada diri kita dan masyarakat di pejabat kita, di kedai kita, termasuk Jakel, di kementerian kita, di industri kita, mengapa latihan dalam madrasah atau Ramadan atau Tarbiah ruhiyyah ini tidak dapat diterjemahkan dalam amal kita? Bagaimana kita urus negara? Kita puasa bulan Ramadan, kita pertahankan disiplin dan integriti, dan kita katakan La’allakum tattaqun, tetapi kemalasan, kecuaian, rasuah, penyelewengan, kerendahan akal budi itu diteruskan, keangkuhan. Bagaimana boleh kita kaitkan Ramadan dengan maksud kemuliaannya dengan tindakan kita? Sebab itu kita peringatkan dalam negara MADANI ini kita angkat martabat, harakat, darjat manusia ini supaya kerjanya harus lebih rajin, usahanya lebih bersungguh- sungguh, ikhlas Fi Amanillah itu lebih ditingkatkan, dan roh Islam itu tertanam. Kesabarannya, tasamuhnya, ihsannya lebih daripada biasa, kerana ini bulan ujian. bulan madrasah Ramadan.
  1. Ketiganya, dimensinya tentu dimensi kemanusiaan yang kita sebut dimensi manusiawi. Bagaimana kita dengan segala kesenangan kita tidak menambah usaha ikhtiar untuk membantu rakyat yang miskin dan terbiar. Kalau jiran kita itu Muslim, ya kita bantu. Hindu, ya kita bantu. Kristian atau Buddhist itu dilatih. Ini yang menjadi kekuatan dan keistimewaan. Saya faham dalam negara kita perbenturan idea, pertelingkahan politik, kerencaman pandangan, kadang-kadang menyebabkan kita ini lebih banyak mencari permasalahan, menghukum orang, meremeh dan membenci orang, merendahkan dan mengaibkan orang sama ada tak sependapat atau tak sepakati atau tak seagama. Islam bukan begitu. Walaqad karramna bani adam itu mengangkat martabat kemanusiaan. Kita yakin dengan agama kita, akidah kita dan amal kita. Dan untuk dakwah, Hikmah, Mauizatul alhasanah dan Mujadalah billati hiya ahsan itu menuntut kita dengan menggunakan segala kesabaran, kebijaksanaan, kearifan, ihsan dan rahmah supaya menarik orang bicara soal Islam dan Masjid MADANI ini orang rasa senang. Sama ada dia slam atau bukan Islam. Dia tidak rasa ini satu perseteruan. Ini yang harus kita didik di kalangan kita.
  1. Masjid ini, Faroz, didirikan di tengah-tengah kota dan saya mewakili pendapat seperti mana yang diulas oleh Abdul Rahman Ibn Khaldun dalam mukadimah, permulaan peradaban itu dari kota, jadi corak kota itu akan memberikan gambaran tentang bagaimana tamadun negara ini boleh dibangkitkan. Ini dari kota. Sebab itu istilah Madinah dan Madani itu dari istilah ‘Din’ asas keyakinan. Dari ‘Din’ itu muncul Madinah, dari Madinah itu ada sikap Madani yang asasnya juga akar kata dari tamadun. Tamadun daripada istilah ‘Din’. Din – Madinah -tamadun. Ada dari segi epistimologinya, apa yang kita lihat persoalan disiplin, istilah khat itu ada maknanya.
  1. Jadi masjid ini, sengaja saya senang dengan nama MADANI kerana dia memberikan maksud kita, masjid di tengah kota yang memberikan suatu falsafah tentang pembangunan kita yang berakar kepada akidah Islam, yang menetapkan soal nilai dan akhlak yang baik, dan berusaha menghimpunkan bukan sahaja umat Islam tetapi merangkul dan menunjukkan kasih sayang kepada manusia di kelilingnya. Anak India atau Hindu ataupun anak Buddhist atau Cina yang miskin itu kita anggap dirangkul sebagai anak-anak kita. Barulah ada kelainan fahaman Islam itu.
  1. Saya nak ajak rakan-rakan, kerana bila kita lihat umpamanya dalam kemelut ini, memang betul rakan-rakan saya dari Jemaah Menteri tahu, dari awal saya kata tegas, runding ya, tolak ansur ya, tapi tidak berganjak daripada keputusan kita bahawa masjid wajib didirikan di sini. Tapi harus ada hikmah. Mengajak. Dan saya nak dengan sedikit sebanyak pergeseran itu, saudara jawatankuasa baru dan Jakel dengan Majlis Agama cari jalan. Ada majlis, bawa semula persahabatan kita. Negara ini harus tegak sebagai negara yang aman. Hanya negara yang aman, yang keselamatannya terjamin baru boleh kita angkat. Orang datang melabur, orang datang meniaga. Keliling ini ramai orang-orang asing, sebab apa? Negara ini aman, menghadkan jenayah, cuba menghapuskan kegiatan jenayah, orang boleh berjalan malam dia rasa selamat. Jadi, keamanan itu harus kita pupuk. Saya tahu dalam keadaan reaksi dari beberapa kalangan, baik kelompok Islam, apa juga kelompok Hindu yang agak melampau, yang tidak peduli, lontar apa yang disebut dalam media sosial tanpa memikirkan, pertama, apakah benar? Apakah fakta itu betul? Apakah kesannya itu kan buruk? Ini harus kita ingat.
  1. Sebab itu, Datuk Seri Fadilah pun apabila disebut masjid, dia cadangkan juga supaya ada ruang budaya seni, tempat masyarakat berkumpul di masjid. Dan masjid ini masjid kota, supaya rakan-rakan bukan Islam tak terasa kekok untuk datang. Kenalkan Islam, Islam yang sederhana, Islam yang penuh dengan rahmah dan hikmah. Dan ini harus kita lakukan. Sebab tu saya usulkan umpamanya ada ruang perpustakaannya, ada ruang dewan persidangan untuk forumnya, ada ruang seni dan budaya untuk perkenalkan Islam di mata awam. Kerana saya cadang lebih sikit sebab dia yang biaya. Kalau kementerian yang biaya saya suruh potong sikit. Itu biasalah sebab dia kata biaya. Dan sejarah ini pula luar biasa. Jadi maknanya kita tahu sejarahnya. Biarlah kita jadikan.
  1. Ini bukan cerita orang umpamanya nak tunjuk kemenangan kita ini. Ini kita kena ingatkan umat Islam. Kemenangan kita ini bukan kerana keangkuhan aku menang, tidak. Kemenangan kita ini adalah kerana kita mampu menunjukkan kebijaksanaan, kekuatan dan kemuliaan Islam bukan keangkuhan kita. Itu bagi saya falah. Sebenarnya, falah itu bila kita dapat muncul sebagai contoh yang baik. Ini orang Islam peribadinya baik, ihsan, penyayang, adil. Bukan contohnya itu bengis dan benci. Ini tidak pernah menjadi dasar yang kita dukung.
  1. Apa yang akhirnya yang kita minta? Dirikan Masjid. Di mana? Di seluruh kawasan ni yang diwakafkan. Ya, tapi ada kuil? Pindahkan. Berunding dengan baik. Peroleh tak? Ya. Ini Yang kita sudah capai. Sekali lagi saya tegaskan terima kasih kepada semua yang terlibat, Bandaraya dan Wilayah, Penerangan dan juga beberapa rakan-rakan saya yang bukan Islam, termasuk yang disebut tadi oleh Faroz, Gobind, Ramanan yang bantu datang untuk menjelaskan. Kalau tidak, semua mahu jadi hero kaum mereka sendiri, rosak negara ini. Nak jadi pemimpin Malaysia tapi bercakap bagi pihak dan pertahankan sentimen benci kaum. Tak kira hukum, tak kira benar atau palsu. Itu hak kami. Hak itu bersandarkan hukum. Bagilah hujah apapun, saya minta seluruh Laporan daripada Dewan Bandaraya, daripada Majlis Agama. Saya minta laporan sebelum buat keputusan muktamad. Bila saya yakin, kita buat keputusan dan Faidza Azamta Fatawakkal Alallah, innallaha yuhibbul mutawakkilin.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.