
TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
SAMBUTAN PERINGATAN HARI POLIS
KE-218
25 MAC 2025 | SELASA | 8.30 PAGI
DEWAN TAN SRI ABDUL RAHMAN HASHIM
PULAPOL
KUALA LUMPUR
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Alhamdulillah thumma Alhamdulillah,
Alhamdulillahil quail,
Shahru Ramadan allathee unzila feehi al-Qur’an,
Hudan linnas wa bayyinaat min al-huda wal-furqan,
Wa Usalli Wa Nusalli Ala Rasoolihil Kareem,
Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.
Yang Berhormat Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail,
Menteri Dalam Negeri;
Yang Berhormat Datuk Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil,
Menteri Komunikasi;
Yang Berbahagia Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara;
Yang Berbahagia Dato’ Mohd Dusuki bin Mokhtar, Peguam Negara;
Yang Berbahagia Inspektor Jeneral Tan Sri Razarudin bin Husain,
Ketua Polis Negara;
Ahli-Ahli Yang Berhormat; Yang Berbahagia Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri; Tuan Yang Terutama Duta-Duta dan Perwakilan Asing; Pegawai-Pegawai Kanan Polis DiRaja Malaysia dan Para Pesara Polis; serta
Yang kita raikan keluarga Polis satu Malaysia di bawah pimpinan Ketua Polis Negara Tan Sri Razaruddin, Timbalannya dan seluruh hadirin.
- Kita hadir untuk mengenang jasa dan perkhidmatan dari zaman polis dan Home Guard sehinggalah kini kerana pertumbuhan kita, keamanan kita, kekuatan ekonomi kita, keyakinan pelabur dan pengurusan kerangka dan prakasa ekonomi yang kita perkenalkan, sekolah-sekolah kita dan hospital kita, itu terkawal, terurus kerana keamanan yang kita capai.
- Oleh itu sempena Hari Polis saya ambil kesempatan bagi pihak Kerajaan dan seluruh rakyat menyatakan syukur Alhamdulillah dan penghargaan setinggi-tinggi dari hati nurani ikhlas kepada seluruh pasukan.
- Ini harus kita peringatkan kerana tatkala negara itu aman dan kita mengejar kemajuan, kita buat andaian, iaitu semua keadaan terkawal, tanpa sedikit pun mengingatkan bahawa ini tidak berlaku dengan sendirinya. Keadaan geopolitik tidak menentu, negara-negara ASEAN sering saya katakan di antara rantau yang paling aman.
- Pemacuan dan kepesatan pertumbuhan ekonomi jauh lebih meyakinkan ketimbang rantau lainnya, tetapi rantau ini mempunyai sejarah tersendiri. Hidup dan berkembang dalam pembenturan dua ideologi, perseturuan kuasa-kuasa besar, yang meletakkan kita dalam keadaan cemas dan harus terus berwaspada.
- Kita juga mewarisi satu sistem di mana kita terpaksa bertempur puluhan tahun dengan gerombolan komunis militan yang meragut banyak nyawa, yang bukan sahaja pembenturan atau pertembungan ideologi, tapi melibatkan tindakan ganas dan senjata yang menyebabkan sejarah kita melangkah beberapa peraturan dan undang-undang yang keras menghadapi gerombolan tersebut.
- Itu sejarah sudah berlalu, tetapi kalau kalangan yang lupa dan tidak sanggup belajar dari pengalaman sejarah akan dihukum kerana kejahilan mereka dan penafian bahawa kesiapsiagaan dan kewaspadaan itu diperlukan.
- Saya mulakan tadi dengan membaca sepotong ayat Quran tentang bulan Ramadan. Keistimewaan bulan Ramadan, Shahru Ramadan kerana unzila feehi al-Qur’an – turunnya al-Quran, dan kita di akhir Ramadan. Dalam kesibukan kita jangan melupakan bahawa keistimewaan Ramadan itu ditingkatkan keistimewaan jadi akhir Ramadan. Turun Quran dan Allah menjanjikan Quran itu Hudan linnas – petunjuk bagi manusia yang harus membaca, memahami, menghadam dan mengamalkan. Dan kerana Ramadan itu, bulan turunnya Quran, dan bulan kita dilatih dari Ketua Polisnya sehinggalah pasukan yang biasa di lapangan, keluarga mereka, semuanya tanpa kecuali kembali ke Madrasah Ramadan.
- Ini keistimewaan dalam disiplin Islam, hebat seperti mana pun tidak terkecuali masuk kembali untuk dilatih kerohaniannya, kekuatan mentalnya, disiplinnya dan ehsan, keperihatinannya. Tidak ada andaian hebat seperti mana pun tinggi pangkatnya, tinggi ilmunya, semua kekuatan itu tidak melepaskan, jadi untuk kembali muhasabah, baiki keyakinan, amalan, disiplin, integriti dan keprihatinan. Kerana ini tiga dimensi yang penting. Sebab itu saya kadang-kadang lontarkan pandangan untuk difikirkan bersama, mengapa kita yang lalui proses ini, yang sukar di bulan Ramadan, tetapi tidak meningkatkan nilai integriti kita. Masih dengan amalan yang sama. Kita solat dan puasa bulan Ramadan tapi amalan kecurangan, dan rasuah masih berterusan. Kemudian ehsan terhadap orang yang derita itu tidak meningkat. Jadi mudah-mudahan kita semua di peringatkan untuk meningkatkan.
- Apa relevannya dengan hari Polis? Kerana kita semua di sekolahkan semula dan isu-isu yang kita bincang dan juga disentuh oleh Tan Sri Razaruddin sebentar tadi, isu khidmat, isu ikhlas, isu amalan, isu integriti itu terkait rapat dengan tradisi dan risalah serta kesan penghayatan Ramadan.
- Jadi saudara-saudara yang saya muliakan, PDRM kini tentunya sudah jauh lebih berupaya, bukan sahaja kepimpinannya, tetapi menterinya juga Saudara Saifudin. Kadang-kadang lelah juga saya dengar tuntutan-tuntutannya, sini tidak cukup, ini tidak cukup, Jabatan Siasatan Jenayah mobilnya slow, kemudian AMLA tidak canggih dia punya operasinya, di sempadan tidak ada kekuatan, tapi saya syukur, kita dengar dan Insya-Allah.
- Kerana saya lihat rekodnya. Betul kita capai banyak kemajuan. Tapi bila kita ambil langkah baru-baru ini. Tahniah! PGA, Siasatan Jenayah, Komersial, AMLA, sempadan. Bila berkerja sebagai satu pasukan menyerbu dan bertindak, saya salute itu kejayaan yang sangat membanggakan kita. Ia umpamanya yang picisan-picisan peluru itu berkontena. Kalau dicampur semua puluhan kontena di seludup masuk. Tentunya bukan berapa bulan, mungkin beberapa tahun. Lihat penyeludupan di sempadan yang menyebabkan kita kerugian ratusan juta mungkin bilion ringgit. Melihat juga isu-isu yang dikaitkan dengan kejayaan narkotik baru-baru ini. Bukan sahaja telah merugikan, merosakkan masa depan anak-anak kita dan mengaibkan kita sebagai satu negara, bila dijadikan transit dengan negara asing untuk dihantar ke Australia umpamanya.
- Sebab itu saya hargai saudara-saudara. Bila ada tindakannya tegas dan keras dari pasukan, dan ini harus dilakukan secara konsisten. Saya yakin saudara-saudara, bila kita bicara soal pembanterasan rasuah dan tatakelola, sekiranya agensi penguatkuasaan kita PDRM dan lain-lain secara tegas dan keras untuk 1 – 2 tahun ini tidak tolak ansur sama sekali. Tidak peduli pangkat mereka dan pengaruh mereka. Ambil tindakan sekeras-keras, insya-Allah dan saya yakin suasana daripada politik dan iklim negara ini akan jauh lebih baik.
- Ini memerlukan tekad politik pimpinan termasuk Jemaah Menteri dan pimpinan pasukan PDRM keseluruhannya. Kerja sebagai satu pasukan dan bertindak. Saya faham risikonya besar. Baru Menteri bisik kepada saya tentang beberapa pimpinan Polis yang terus diugut. Dan kita akan ambil langkah apa yang perlu. Kerana kalau kita terima ugutan maknanya kita sudah menyerah kepada penjenayah ataupun pengkhianat.
- Semalam kita bicara tentang Cyber Attacking. Dan agak berat terhadap MAHB dalam satu hari yang lalu. Jadi perbincangan bagaimana menyelesaikan termasuk tuntutan daripada hackers untuk memperolehi dana, 10 juta dolar atau sebagainya. Saya dimaklum. Saya Alhamdulillah saudara-saudara, bulan Ramadan, saya tak tunggu 5 saat, saya terus jawab NO. Tidak mungkin negara ini akan selamat kalau pimpinannya dan sistemnya mengizinkan kita tunduk kepada ultimatum penjenayah dan pengkhianat dalam atau luar negara.
- Ada risiko? Ya. Dan kita harus hebahkan kepada rakyat. Dan ini juga memerlukan kecanggihan kita, dana tambahan kepada PDRM, kepada Bank Negara dan semua untuk siapkan. Tetapi itu sikap kita. Dan saya lebih yakin kerana jentera itu nampak bersama kita. Kalau tidak apa makna MADANI? dengan nilai. Siapa tidak mahu kemajuan? Siapa mahu elak daripada gangguan? Tetapi saya nak bagi ini sebagai contoh bagaimana kita harus bertindak dengan wajar dan waras.
- Jadi saya ingin memberi gesaan, tentu rakan-rakan saya Jemaah Menteri termasuk KSN yang hadir tahu pendirian kita tidak pernah tolak ansur hal ini. Kalau kita nampak kelemahan kita, negara tidak terkawal. Kita boleh sabar dengan pandangan dan kritik, tetapi tidak boleh sabar kalau ada bibit-bibit sama ada rasuah, penyeludupan, pengkhianatan atau permusuhan. Unsur yang membawa permusuhan kaum dan agama.
- Umpamanya yang terkini, soal pembinaan masjid di tapak yang ada kuil yang tidak mendapat izin ataupun kita tidak mahu sebut kuil haram. Tak apa lah istilah tapi kuil itu tidak mendapat izin milik tanah dari tuan tanah sama ada dahulunya Dewan Bandaraya atau sekarangnya syarikat. Kita negara hukum saudara-saudara. Negara hukum ini mengikut hukum dan oleh kerana nak jaga hubungan antara kaum ini kita lakukan sesuatu yang tidak semestinya perlu iaitu runding dengan baik kerana bagi mereka itu tempat kepercayaan dan amalan agama. Harus dipindahkan dengan baik. Tidak pernah terfikir dan dibicarakan tentang merobohkan, tetapi itu yang menjadi naratifnya. Kan jahat itu!
- Walau pun dia salah, tempatnya salah, kita kata angkat baik-baik, pindah. Tapi untuk selesaikan, kita kata pindah, syarikat beri sedikit ganti rugi, saya tidak tahu ganti rugi sebab apa? Kemudian diberikan tempat baharu dengan ihsan Dewan Bandaraya. Jawatankuasa setuju untuk berunding tapi ada penghasut-penghasut lain, entah dari mana? Dia bicaranya melampau. Apa kita ini, saya ini sebagai orang Islam nak hancurkan semua penganut agama Hindu. Tidak sama sekali saudara-saudara. Lakum dinukum wa liya din – Surah Al-Kafirun (109:6). Agama dia, saya seorang Muslim mahu jadi Muslimin Hakikiyun, tetapi tidak pernah diajar oleh agama saya untuk memusuhi dan merosakkan harta benda mereka.
- Tetapi jangan mereka anggap bahawa kita ini lemah. Ada Masjid di Lahad Datu, tanya orang Sabah, yang dirobohkan kerana tidak ikut aturan. Ada surau di Perak dirobohkan kerana enggan hentikan dan Majlis Agama memutuskan. Ada masjid di Sentul ingin dirobohkan. Jadi bagi kita, negara ini mesti tegak atas hukum. Iyalah soal teknikal, masjid itu 50 tahun atau 100 tahun atau kuil itu 100 tahun. Kita perhatikan, satu tahun bukan di situ. Di situ ada yang kata, 2012, ada 2008 tapi tidak mengapa, jangan robohkan, pindahkan dengan baik.
- Tapi tidak semestinya tiap kuil yang tidak mendapat permit tanah harus diberikan tanah ganti oleh Kerajaan. Sekarang ada berapa? 130 kuil yang tidak ada permit di Wilayah Persekutuan atau di Kuala Lumpur, 300 di Kedah entah berapa ratus di Perak. Tak boleh begitu saudara-saudara. Yang saya ambil sikap begini ini kerana saya ambil pendekatan yang sangat sabar. Saya minta supaya selesai dengan baik. Tak apalah nak bagi ganti rugi. Tak mengapalah bagi tempat pindah.
- Jadi yang kelompok Islam yang ekstrem maki saya kerana dia kata saya ni tunduk kepada tuntutan Hindu. Yang kelompok Hindu yang terlampau pula kata saya ini nak Islamkan semua apatah lagi masjid itu nak dinamakan Masjid MADANI. Sampaikan kawan-kawan saya pun kata, Anwar tak usahlah, tukarlah nama Masjid tu. Jadi pemimpin bacul bagi mana mungkin? bukan kita lakukan kesalahan, cadangan kita itu tanah milik, saya check semua betul. Mesti ada pendirian untuk memimpin mesti tegas dalam hal-hal sedemikian. Jangan zalim, jangan aniaya, jangan robohkan tapi jangan tidak lakukan apa-apa. Kawasan-kawasan amalan di situ, masjid-masjid berdekatan sesak perlu ada tempat baru. Jadi sebab itu saya akan teruskan untuk meletakkan batu asas masjid pada 27 hari bulan, dan saya minta jawatankuasa kuil itu seperti mana mereka lakukan runding dengan baik.
- Saudara bayangkan, Menteri runding dua tiga kali. Datuk Bandar pergi ke tempat itu. Cukup lah. Jadi saya tegaskan, bila kebenaran masjid ini diluluskan? 2019. Tahu Perdana Menteri masa itu? Bila diberikan kebenaran pembangunan? 2020. Perdana Menteri baharu mengambil alih. Bila diluluskan kebenaran mula membangunkan, membina? 2021. Perdana Menteri satu lagi. Yang salah Perdana Menteri sekarang. Ini macam cerita adendum dulu lah, yang tangkap Perdana Menteri lama yang dakwa Perdana Menteri selepas itu. Yang masuk penjara ketika Perdana Menteri sebelum saya. Yang salah PMX. Tapi tak mengapa, kita boleh hadapi baik-baik.
- Tetapi yang penting balik kepada soal ini saya seru semua penganut agama kalau ada perbezaan pendapat bincang cara elok, jangan hasut. Pimpinan negara ini, sekarang terutamanya mengambil pendekatan yang sangat lunak. Jangan anggap kita ini lemah. Islam agama Persekutuan, umat Islam majoriti negara ini. Tetapi kita tidak gunakan itu untuk menekan sesiapa. Yang majoriti dan negara Islam sebagai agama Persekutuan mesti ikut hukum dan undang-undang. Yang minoriti pun mesti tunduk kepada undang-undang. We cannot have a tyranny of the majority, neither should be condoned a tyranny of the minority. Kita kena pertahankan apa yang disebut nilai MADANI ini, democratic values.
- Saya pilih untuk menjelaskan hal ini kerana hendak bagi satu mesej yang jelas. Majlis Agama Wilayah, syarikat berkenaan, Dewan Bandaraya semua itu diminta sederhana, sopan, bincang dengan baik, cari jalan penyelesaian. Kepada jawatankuasa kuil, juga saya sebut begitu. Bincang dengan baik. Kami ini rakan dan sahabat saudara-saudara. Kami ini bukan musuh dan jangan gambarkan kami ini sebagai orang-orang yang zalim dan jangan dengar penghasut-penghasut. Ada yang Melayu beritahu apa salahnya buat masjid tepi kuil itu. Memang tak ada salah, yang salahnya tanah itu milik syarikat.
- Jadi ikut peraturan dia dan kita pula beri ruang kepada kuil berpindah dengan baik dan arahan kita konsisten, Tan Sri tahu, Ketua Polis Kuala Lumpur tahu. Jangan sama sekali ganggu atau mempersulitkan nama-nama mereka. Ada orang-orang yang bekas Menteri atau Perdana Menteri mahu jadi jaguh, padahal semua kelulusan itu semasa mereka berkuasa. Kelulusan pembinaan masjid semasa mereka berkuasa. Penjualan itu 2012, walaupun peguam ini silap tarikh, itu semasa mereka berkuasa. Kelulusan masjid itu bukan masa saya, 2019, dan bila kelulusan masjid itu bermakna syarikat mesti mewakafkan tanah itu bukan milik syarikat lagi dan ini tanpa kecuali peraturan dia.
- Jadi saudara-saudara, insya-Allah keadaan akan baik. Saya yakin, tetapi saya tidak mahu hal ini mengganggu. Negara ini tercabar, sistem geopolitiknya tidak menentu. Saban hari kita memikirkan hal itu. Kemudian kita harus pusatkan kepada kecekapan tatakelola, kurangkan ketirisan, hentikan amalan bobrok rasuah. Pemimpin-pemimpin yang mencuri wang rakyat dan negara. Hentikan itu, kemudian tumpu untuk memacu pertumbuhan ekonomi. Kita jadi tarikan pelaburan, AI, Data Centre, digital transformation. Kita bicara persiapan anak-anak kita termasuk anak polis. Bagaimana nak kita latih dan tingkatkan upaya mereka menguasai bahasa Melayu dengan baik. Menguasai bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua yang cukup baik. Beri pendekatan baru, artificial intelligence dengan aliran STEM. Paut sebagai anak bangsa dan jati diri dengan kekuatan dan kefahaman agama, nilai dan budaya bangsa. Ini cabaran-cabaran kita, kalau tidak kita akan kalah dalam persaingan. Tak ada jaminan bagi anak-anak kita.
- Saya bukan nak mendabik dada kata pimpinan sekarang, tapi jarang dalam sejarah, di mana kita punyai barisan pimpinan yang tumpu ini. Islah bawa perubahan ke arah kebaikan. Tekan setiap Kementerian, setiap jabatan, setiap agensi penguatkuasaan. Ya, sudah baik tetapi belum cukup baik untuk angkat martabat negara ini sebagai negara yang hebat.
- Saya punyai cita-cita itu sebagai orang yang sudah angkatan 70-an, apa tidak boleh difaham oleh orang yang 50-an, 40-an, 30an, 20-an. Kita mampu angkat martabat negara ini. Malaysia harus cemerlang dan hebat dengan usaha kita, upaya kita, kerja kita dan kesediaan kita melakukan perubahan sebaiknya. Tanpa kecuali saudara-saudara. Demikian gesaan saya kepada pasukan yang menjadi tunggak keselamatan negara, dalam negeri. Kepada pasukan yang mempunyai jaringan yang kuat dengan masyarakat, kerana kehadiran saudara hampir setiap negeri, setiap daerah, ssetiap kampung dan desa dan bandar dan berdepan dengan pelbagai masalah.
- Ini pesan saya yang agak lain daripada pesan untuk Hari Polis biasa. Nak bicara soal elaun, bonus dan announce Cukuplah setakat ini. Terima kasih. Sambutlah akhir Ramadan ini dengan meningkatkan amalan, laalakum tattakun dan sambutlah Aidilfitri dengan baik dengan keluarga. Yang bertugas, percayalah saudara-saudara mempunyai sumbangan yang sangat berharga pada negara kita.
Wassalamualaikum waramatullahi wabarakatuh.
Similar Posts:
- JANGAN AMAL BUDAYA SELESA, TEKAD LAKSANA PERUBAHAN UNTUK NEGARA – PM
- PENJAWAT AWAM DISERU BAWA PERUBAHAN KEMBALIKAN MALAYSIA KE TAHAP GEMILANG
- PM ANWAR BERI JAMINAN TADBIR URUS TERBAIK DI MALAYSIA
- COVID-19: MALAYSIA TIDAK DISKRIMINASI PELANCONG ASING, UTAMAKAN KESIHATAN RAKYAT
- TIDAK PERLU DARURAT BENCANA, HUJAN SEMAKIN BERKURANGAN – PM ANWAR