
UCAPAN VERBATIM
PEMBERITAHUAN WAKTU PERTANYAAN MENTERI
MESYUARAT PERTAMA, DEWAN RAKYAT,
PENGGAL KEEMPAT, PARLIMEN KELIMA BELAS 2025
PERTANYAAN |
: |
WAKTU PERTANYAAN – PERTANYAAN PERDANA MENTERI |
DARIPADA |
: |
YB TUAN CHIEW CHOON MAN [MIRI]
|
TARIKH |
: |
4 MAC 2025 (SELASA) |
SOALAN:
Minta PERDANA MENTERI menyatakan pencerahan tentang caruman KWSP untuk bukan warganegara dan bukankah cadangn ini membebankan majikan serta pada masa yang sama, mengalih perhatian KWSP daripada ditumpukan khususnya kepada simpanan persaraan warganegara.
JAWAPAN
- Terima kasih Tan Sri Yang Dipertua, Terima kasih Miri.
Seperti mana kita maklum bahawa strategi kita adalah untuk bergantung dan menumpu perhatian, membela dan menjaga kepentingan pekerja tempatan. Jadi bila dikenakan dividen yang minima ini, ini adalah maksudnya dengan 2% itu adalah untuk mengenakan satu caruman yang dengan sendirinya memberi peluang kepada Kerajaan keseluruhannya mendaftar jumlah pekerja asing.
- Kedua, menggunakan sistem institusi kewangan, termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan sistem perbankan.
- Ketiga, supaya mereka tahu, simpanan itu tetap dan mereka akan didorong untuk mengeluarkan apabila tamat tempoh khidmat mereka dan permit untuk mereka bekerja di sini. Jadi, KWSP dan Kementerian Kewangan mengadakan libat urus dengan semua syarikat-syarikat besar dan juga Perniagaan Mikro, Kecil & Sederhana (PMKS).
- Kita juga terikat dengan piawaian antarabangsa – Artikel 68, Konvensyen 102 International Labour Organisation (ILO). Sebab itu kalau kita lihat, hampir 70 negara menggunakan kaedah caruman, walaupun kebanyakan negara meletakkan caruman yang lebih tinggi. Jadi kita menggunakan yang minima, iaitu 2%, kerana kita anggap 2% itu tidak akan membebankan.
- Dan ini juga tidak mengurangkan perhatian KWSP kepada rakyat tempatan. Umpamanya, kita perkenalkan apa yang disebut caruman sukarela pada tahun 2024, yang bekerja sendiri (self-employed), sebanyak 1.2 juta ahli telah membuat caruman sukarela yang akan memberi manfaat. Kita ada i-Saraan dan i-Suri yang untuk menjaga sektor informal, terutamanya isteri-isteri yang menjadi suri rumah tangga. Jadi insentif Kerajaan itu sudah mencecah RM4.16 juta.
SOALAN TAMBAHAN 1
Berkenaan dengan KWSP juga. Saya ingin menarik perhatian Dewan yang mulia ini kepada pengumuman terbaru KWSP yang telah mengisytiharkan kadar dividen luar biasa 6.3% bagi kedua-dua simpanan konvensional dan simpanan shariah. Kadar ini merupakan pencapaian tertinggi sejak 7 tahun yang lalu, sekaligus membuktikan keupayaan KWSP dalam memberikan pulangan yang stabil dan kompetitif meskipun berhadapan dengan cabaran ekonomi global serta proses pemulihan pasca pandemik. Saya memohon Yang Amat Berhormat memberi pencerahan, adakah pencapaian KWSP ini adalah satu tanda kukuh bahawa asas ekonomi negara berada dalam keadaan baik selari dengan pertumbuhan ekonomi Malaysia mencatat 5.1% bagi tahun 2024 dan turut mencerminkan kejayaan pentadbiran serta dasar Kerajaan Madani.
JAWAPAN SOALAN TAMBAHAN 1
- Terima kasih tentunya kita harus juga menyatakan penghargaan kepada pengurusan KWSP sendiri kerana prestasi mereka dan ketelusan dan kecekapan yang menyebabkan kita mencatat rekod yang lebih baik. Setakat disember 2024, perbanyak 63% jumlah pelaburan KWSP adalah pasaran domestik. Iaitu RM 782 bilion. Pertumbuhan ini 11% ketimbang 2023.
- Pencapaian dividen yang juga kerana keyakinan pelaburan kepada dasar ekonomi Madani. Kita capai 5.1% yang lebih tinggi daripada unjuran yang saya buat di sini tahun sebelumnya.
- Bursa, peningkatan itu 12.9%. Ini satu peningkatan yang besar.
- Kemudian dalam-dasar dasar kita yang kita perkenalkan telah menarik perhatian kerana ketegasan dan beberapa langkah, reform institusi yang telah kita perkenalkan termasuk yang disebut Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (Fiscal Responsibility Act) dan juga beberapa langkah lain institusi yang kita akan perkenalkan hari ini dan berikutnya.
SOALAN TAMBAHAN 2
(YB Tuan Nurul Amin bin Hamid – Ahli Parlimen Padang Terap)
Antara faktor KWSP boleh memberikan dividen yang tertinggi dalam tempoh 7 tahun, adalah kerana KWSP tidak membenarkan sebarang pengeluaran khas pada tahun lepas daripada akaun pengeluaran.
Sebagai Kerajaan, saya berpandangan bahawa pihak Kerajaan seharusnya melihat secara holistik masalah rakyat, iaitu saya nak menyentuh tentang pencarum-pencarum yang tercicir daripada 16.22 juta pencarum ahli KWSP. Ada pencarum yang berhenti kerja dan diberhentikan kerja yang tidak ada pendapatan dan terpaksa berhutang, ada yang terpaksa menggadai rumah, harta benda dan sebagainya. Tidak ada duit untuk hidup dan mereka ada duit dalam akaun KWSP. Jadi, adakah pihak Kerajaan wajar untuk mempertimbangkan kumpulan pencarum yang tercicir untuk mengeluarkan akaun duit simpanan mereka sendiri untuk meneruskan kehidupan iaitu pengeluaran secara bersasar?
Minta pertimbangan daripada pihak Kerajaan tentang kumpulan yang terdesak terhimpit kos kehidupan mereka. Tetapi mereka ada duit dalam akaun mereka.
Terima kasih.
JAWAPAN TAMBAHAN 2
- Terima kasih YB Padang Terap. Bila pencarum melihat dividen 6.3%, dia faham bahawa simpanan itu akan memberikan hasil yang lumayan kepada mereka, itu satu.
- Keduanya, KWSP telah keluar kenyataan bahawa majoriti pencarum, terutama di kalangan masyarakat Melayu mempunyai simpanan yang sangat kecil. Jadi, membuka ruang itu akan menimbulkan masalah dalam beberapa tahun lagi tatkala mereka bersara.
- Yang ketiga, prinsip yang saya ingat yang kita pegang daripada awal. Saya ingat puluhan tahun dulu semasa saya Menteri Kewangan, tidak ada kelonggaran berlebihan kerana prinsip KWSP ini adalah simpanan untuk hari tua. Jadi sebab itu, sementara saya faham keluhan Yang Berhormat, adakalanya beberapa pengecualian diberikan dan kelonggaran, dan ini diberikan dan banyak kes-kes rayuan khusus diberi pertimbangan khas, terutama dalam keadaan keuzuran dan sebagainya. Tetapi membuka ruang yang terlalu luas, bermakna kita akan menghukum mereka bila mereka beransur tua dan bersara.
- Jadi, Kerajaan kena melakukan keseimbangan ini di antara menyelesaikan masalah mendesak segera dan menghukum mereka mendera dalam keadaan mereka telah bersara, dalam keadaan mereka tidak ada upaya lain. Jadi, kalau ada spesifik yang dibangkitkan oleh YB Padang Terap, saya percaya KWSP boleh berikan pertimbangan seperti mana mereka lakukan sekarang, katalah keadaan yang mendesak walaupun tidak ikut kaedah yang diberikan sekarang.
SOALAN TAMBAHAN 3
(YB Dato’ Mohd Isam bin Mohd Isa – Ahli Parlimen Tampin)
Tahniah kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Kerajaan Madani dan KWSP yang berjaya merekodkan dividen simpanan shariah pada kadar 6.3% bagi tahun 2024. Iaitu menyamai simpanan konvensional buat pertama kalinya sejak 2017.
Persoalan saya mengenai KWSP ini, adakah Kerajaan bercadang untuk mewujudkan satu dasar baru dengan mewajibkan semua pencarum yang beragama Islam untuk mencarum ke dalam simpanan shariah secara automatik bagi mengelakkan simpanan mereka diragui dari segi halal haram.
Dan persoalan saya kepada YAB Perdana Menteri, menjelaskan lebih lanjut mengenai manfaat yang untuk memperluaskan liputan caruman mandatory KWSP kepada pekerja yang bukan warganegara Malaysia termasuklah manfaat kepada pekerja tersebut, manfaat kepada majikan dan juga manfaat kepada negara.
Terima kasih Yang DiPertua.
JAWAPAN TAMBAHAN 3
- Alhamdulillah, kerana pengurusan KWSP kita catat pertama kalinya rekod dividen yang sama di antara konvensional dan shariah. Dulu kita dikritik, disergah kerana perbezaan ini. Keduanya ada yang bimbang, maka mengkritik kerana dijangka dividen akan lebih rendah. Sekarang dua-duanya itu telah terjawab.
- Bagi saya, kesan ini penting kerana rekod ini dengan sendirinya akan memberi galakkan kepada umat Islam untuk memindahkan kepada simpanan shariah. Jadi sebab itu kita tidak bercadang untuk mewajibkan. Tetapi dengan bukti ini dan dengan beberapa siri galakan dan penerangan kita harap jumlah ini akan dapat ditambah. Jadi tidak ada dasar untuk mewajibkan tetapi menggalakkan.
- Umat Islam ini patut diberikan penjelasan. Pertama, apa erti dan perbezaan seperti banyak perbankan tanpa faedah akhir dan beberapa instrumen shariah diperkenalkan dalam instrumen kewangan kerana Malaysia alhamdulillah, mutakhir ini dianggap di antara yang paling ke depan. Tetapi saya akui beberapa langkah baru harus diambil termasuk oleh KWSP.
- Soal caruman saya telah jelaskan tadi, pertamanya untuk mempertahankan kepentingan pekerja tempatan. Bagi saya tidak munasabah jika negara terus bergantung berlebihan kepada pekerja asing, yang anggaran 35.4 juta setakat hari ini. Jadi kalau kita terpaksa ambil tindakan sekarang biarlah mereka dikenakan kaedah dan sistem yang sama, peraturan yang sama dengan pekerja tempatan. Ia bermakna termasuk caruman walaupun minima dan tidak membebankan kerana kos mana yang mengambil pekerja asing dengan sendirinya tertambah. Kalau tidak, tidak mungkin ada kemungkinan peluang untuk kita menumpukan perhatian mengambil pekerja tempatan. Semuanya akan memilih cara mudah.
- Jadi oleh kerana Kerajaan telah mula mengekang kemasukan pekerja asing, maka kita juga akan kenakan caruman ini. Dan caruman ini juga akan menentukan rekod dan juga tarikan supaya apabila mereka pulang, dia tahu ada wang. Kalau dia tidak berdaftar dia pergi secara berasingan, dia tidak akan dapat ambil simpanan itu kerana syarat simpanan akan diberikan kepada mereka hanya dengan rekod-rekod mereka akan meninggalkan negara ini.
Similar Posts:
- KERAJAAN TEGAS LAWAN SALAH GUNA KUASA, RASUAH – PM ANWAR
- PM ANWAR BERI JAMINAN TADBIR URUS TERBAIK DI MALAYSIA
- COVID-19: MALAYSIA TIDAK DISKRIMINASI PELANCONG ASING, UTAMAKAN KESIHATAN RAKYAT
- SUBSIDI BERSASAR : PM ANWAR BERI JAMINAN KEPENTINGAN PIHAK INDUSTRI TURUT DIBERI PERHATIAN
- PENJAWAT AWAM DISERU BAWA PERUBAHAN KEMBALIKAN MALAYSIA KE TAHAP GEMILANG