TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PELUNCURAN PEMBINAAN SEMULA MASJID JAMEK CHEROK TOK KUN BAWAH

 

 

 

TEKS UCAPAN

 

YAB DATO’ SERI UTAMA ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

  

SEMPENA

 

MAJLIS PELUNCURAN PEMBINAAN SEMULA

MASJID JAMEK CHEROK TOK KUN BAWAH

 

 

12 APRIL 2025 | SABTU | 2.00 PETANG

 

MASJID JAMEK CHEROK TOK KUN BAWAH, BUKIT MERTAJAM, PULAU PINANG

 

Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Alhamdulillah thumma Alhamdulillah,

Wama tawfiqi wa’tusomi illa billah.

Alaihi Tawakkaltu Wa Ilaihi Uneeb

 

Alhamdulillahil Qawiyyil

Innamaa ya’muru masaa jidal laahi man aamana billaahi wal Yawmil Aakhiri

Wa aqaamas Salaata wa aataz Zakaata

Wa lam yakhshaa illal laaha fa’asaaa ulaaa’ika ai yakoonoo minal muhtadeen

 

Wa Nusalli ‘ala Rasulihi’l Karim

Wa Aala Aalehi wa sahbehi Ajmaeen

 

Yang Berhormat Tuan Steven Sim Chee Keong, Menteri Sumber Manusia merangkap Ahli Parlimen Bukit Mertajam;

 

Yang Berhormat Dato’ Dr. Mohamad bin Abdul Hamid,

Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang;

 

Yang Berbahagia Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar,

Ketua Setiausaha Negara;

 

Yang Berusaha Tuan Haji Azzimy bin Don, Pengerusi Kariah Masjid Jamek Cherok Tokkun Bawah;

 

Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan Persekutuan dan negeri Pulau Pinang;

 

Tuan-tuan dan puan-puan, rakan-rakan, terutama sahabat-sahabat dan saudara mara Cherok Tok Kun.

 

  1. Ahlamdulillah, cadangan yang agak lama dapat kita mulakan dengan matlamat yang sangat suci iaitu mendiri, dalam istilah al Quran mengimarahkan Masjid. Sebab tu saya mula tadi dengan membaca ayat al-Quran, bahawa mengimarah Innamaa ya’muru masaa jidal laahi, mendirikan itu seruan kepada semua. Sebab itu saya ucap terima kasih kerana tanggungjawab kariah memulakan kutipan sedekah wakaf untuk mendirikan Masjid bersama dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Kerajaan Negeri dan tentunya sebagai peruntukan besar dari Kerajaan Persekutuan.

 

  1. Jadi, mendirikan masjid tanggungjawab semua terutama untuk apa? man aamana billaahi wal Yawmil Aakhiri – untuk menambatkan hati kita supaya lebih yakin kuat, beriman kepada Allah dan pada hari akhirat. Beriman ini mengikut ulama tafsir, ia menjadi satu pertanggungjawaban, maknanya beriman dan dikaitkan dengan hari akhir, akhirat kerana jauh melahir itu berikan kita tanggungjawab tak terlepas di dunia sekiranya kita tidak rasa cukup tanggungjawab kerana kita akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Sebab itu amanah ini, masjid dan keyakinan kepada Allah SWT. Tapi untuk apa dirikan Masjid dan kautkan iman kita? Wa aqaamas Salaata, ini tempat kita dirikan solat.

 

  1. Saya tentunya walaupun lahir di Sungai Bakap, tapi besar, umur 4 – 5 tahun sudah di sini belajar solat di masjid, sekolah agama, belajar Quran di rumah Pak Nyaleh, tetapi di Masjid ini markas kita, di situ kita belajar solat, di situ kita belajar asas agama fardu Ain dan fardu kifayah daripada Ustaz Haji Wan Muhammad dan lain-lain. Jadi ada kesedaran itu di kalangan masyarakat kita untuk dirikan solat. Tetapi orang yang mendirikan solat itu, Wa aqaamas Salaata wa aataz Zakaata, dia tahu tanggungjawab sosial dia dan dia tahu harus membayar zakat. Dan ini satu peringatan yang sangat penting, kerana institusi Islam itu bukan pada zahirnya, ucapannya ataupun amalan peribadi, tapi mesti dikaitkan dengan bantuan keprihatinan menjaga institusi zakat yang akan membantu orang yang susah dan miskin.

 

  1. Sebab itu saya kupas ulasan yang diberikan oleh Sheikh Yusuf al-Qaradhawi mengapa al-Quran itu selalu menyebut aqaamas Salaata wa aataz Zakaata orang yang solat dituntut membayar zakar dan kerana orang yang mendirikan solat sahaja tetapi tidak mempedulikan kariah kelilingnya yang miskin itu tidak membina satu kariah. Kariah itu komuniti, masyarakat. Sebab itu kita sebut bila MADANI ini, Deen, dia ada keyakinan, dia Madinah, satu pusat dan pusat itu membina tamadun daripada akar kata Deen.

 

  1. Jadi, sebab itu ada kaitan aqaamas Salaata wa aataz Zakaata, dan Sheikh Yusuf al-Qaradhawi pernah mengatakan dalam sejarah Islam satu-satunya ketika, mungkin kali pertama dalam sejarah dunia. Peperangan diisytiharkan semata-mata untuk membela rakyat miskin. Kalau dulu kisah-kisah maharaja-maharaja dahulu perang kerana kekayaan, kawasan itu kaya dia rebut, atau nak perluaskan wilayah, atau hendak meminang Tuan Puteri mayang mengurai tidak dapat marah terus macam dalam hikayat Hang Tuah fasal kisah nak minang Tun teja.

 

  1. Baik, tetapi dalam Islam bukan sebab wilayah. Perang diisytiharkan kerana melanggar sistem, enggan membayar zakat dan meruntuhkan sistem itu. Ada Kerajaan tapi orang tidak mahu bayar zakat, siapa nak tolong orang miskin? Siapa nak tolong golongan Al Fuqara’ dan Al Masakeen. Itulah sebabnya dia kata, Sheikh Yusuf al-Qaradhawi kata, pertama kali dalam sejarah perang diisytiharkan kerana enggan menjaga masyarakat yang harmoni, yang boleh dibela iaitu melalui institusi zakat untuk menjaga dan memelihara kepentingan orang miskin.

 

  1. Kalau itulah niat kita mendirikan Masjid Cherok Tok Kun ini, saya percaya insya-Allah kita akan letakkan satu model pembangunan masjid yang mendirikan solat, membayar zakat dan kalau itu dilakukan, Wa lam yakhshaa illal laaha ilallah, dia tidak akan dalam keadaan gentar dan takut melainkan kepada Allah SWT. Ini takut susah, takut kerana miskin, takut kerana apa orang kata, jadi takut itu berlandaskan kepada prinsip dalam hidup yang disebut dalam al-Quran. Demikian tazkirah petang, lama tak baca kutbah di Cherok Tok Kun ini. Ini tempat saya belajar baca Khutbah, saya masuk Universiti Malaya balik, Tok Imam minta saya belajar baca khutbah, jadi saya pun mula baca dan bacalah sepanjang setiap tahun daripada saya universiti sampailah saya menjadi Timbalan Perdana Menteri, tak boleh baca khutbah kerana raya di Kuala Lumpur, sekarang tak boleh kerana raya di Putrajaya. Tapi demikianlah latihan kerana dilatih dan sinilah mula saya belajar membaca khutbah, ditegur dan diperbaiki oleh imam dan jawatankuasa, tok-tok guru kita yang ramai pada masa itu.

 

  1. Jadi, saudara-saudara, apa beda dalam pembinaan Masjid? Apakah semua masjid itu dengan nawaitu dan dengan kesan yang baik? Tidak. Kerana Quran menyebut ada masjid lamasjidun ussisa ‘alat-taqwā, ada masjid diasaskan kerana ketakwaan kepada Allah SWT. Nilainya murni membawa perpaduan dalam masyarakat. Memahat keimanan, menjaga keharmonian masyarakat dan bukan untuk menunjuk-nunjuk kehebatan dan kemegahan. Itu disebut masjid diasaskan di atas ketakwaan.

 

  1. Tapi ingat, kepada kita Jawatankuasa Kariah, Jawatankuasa Pembangunan, ada masjid yang juga ditegur dalam al Quran, masjid yang disebut diraran wakufran, itu dia ada perbandingan, satu diasaskan oleh takwa, satu gedung sama masjid, menara ada, ruang imam ada, tempat jemaah ada, permaidani dan sejadah ada, tetapi kalau niatnya tidak betul, kalau perjalanannya itu tidak membawa kepada penghayatan Islam, kefahaman yang baik, perpaduan dalam masyarakat, keprihatinan terhadap nasib kariah keseluruhannya, maka masjid itu menjadi tempat kerosakan diraran wakufran, itu satu peringatan yang sangat menakutkan kita kerana dia bagi kita pilih yang mana? Agama atau kepercayaan semua bagi pilihan. Seperti mana kita tahu, baca, sama ada kita pilih Laqad khalaqnal insana fi ahsani taqwim, summa radadnahu asfala safilin, sama ada kita pilih jadi manusia ini insan Tuhan jadi karamah insaniah, sebaik-baik manusia, kejadian, baik, sopan santun, tolak ansur, hormat sesama manusia, tidak menghina orang, patuh kepada perintah Allah, tidak menjijikkan bezakan orang ikut darjat, itu karamah insan maka Allah jadikan manusia lebih baik daripada semua kejadian yang lain.

 

  1. Summa radadnahu asfala safilin atau kita pilih untuk jadi serendah-rendah makhluk manusia. Kalau dia baik, dia lebih baik daripada malaikat. Kalau buruk, lebih buruk daripada haiwan dan syaitan. Sebab itu saya selalu bagi contoh tentang orang tamak haloba pegang kuasa nak kira kaya dia sendiri, pegang kuasa nak bangkit porak-peranda. Pegang kuasa nak jaga mengatur keadaan supaya huru-hara, menyalahguna kuasa, yang kebanyakan kelemahan kita begitu, jadi Perdana Menteri jadi Menteri untuk apa lagi, nak Kaya? Halal haram tak kira, dia kadang-kadang ambil sejuta, 100 juta, 1 bilion tak cukup, kita punyai sejarah.

 

  1. Jadi yang kita latih di masjid ini apa? Mana dia lamasjidun ussisa ‘alat-taqwā, mana dia masjid yang disebut Wa aqaamas Salaata wa aataz Zakaata, Wa lam yakhshaa illal laaha. Maknanya penghayatan itu tidak ada. Jadi bila ada jawatan, bila lagi? ada orang pernah sebut pada saya, dia kata Anwar bila lagi apa salahnya inilah masanya. Betul, tetapi kalau kita lakukan itu, kedudukan kita, cara kita kaut dan punggah lebih teruk daripada haiwan.

 

  1. Kita di kampung, saya kecil-kecil dulu ular sawa ada. Sekarang ini dah tak ada dah. Dulu ada ular sawa, ular Katak, ular tedung senduk semua dah tengok dah. Saya nak cerita bagi orang seronok. Saya selalu cerita dekat cucu saya. Cerita dia drama sikit. Saya turun bas balik sekolah, turun bas masa itu ada kedai gunting Tok Wan Ali, lepas tu dia kata, Anuwar! Anuwar! Tengok Tok Wan sini!, saya tengok ular tedung selar dah berdiri depan dia. Dia jerit suruh tengok, saya tengok saya takutlah. Duk jauh lah. Dia tengok jadi dia main dengan tangan dia, belakang depan kiri kanan, saya memang fobia. Sejak itu saya takut ular sampai laa ni. Tapi memang betul pengalaman, kerana saya tengok ini bahaya kan, dia suruh main dekat saya, saya tak berani, tengok dari jauh turun bas. Dan ular tedung selar itu bangun boleh berdiri macam itu tinggi dia, dia pegang kepala.

 

  1. Tapi yang saya nak cerita itu ular sawa, yang ini pasal cerita tukang gunting rambut. Minta maaf KSN, dia Ketua Setiausaha Negara tak pernah dengar Perdana Menteri bercakap pasal ular tedung, senduk pulak. Bila balik kampung ini saya rilek, depa tu balik saya rileks, hang kata apa tak faham. Lepas tu depa memang tak ada masalah. Semalam dengan Menteri Besar Pahang. Bercakap di Kuantan, Indera Mahkota. Pagi tadi dengan Menteri Besar Kelantan, saya bercakap serius sikit lah tak ada tedung senduk, tedung selar ni. Saya nak bercakap pasal ular sawa, kita tahu ular sawa dia makan belah belakang, belah belakanglah. Ada sekali dia telan seekor kambing, bila dia telah seekor kambing dia duduk situ tak buat apa dah, dia kak peduli apa dah. Kalau dia kenyang duduk diam, hang buat apa pun dia sudah tidak peduli.

 

  1. Yang saya nak sampaikan cerita, cerita apa? manusia ini kalau dia rasuah dan tamak haloba, mana duduk diam dia dapat sejuta dia nak 10. Mana dia berhenti, bila dia dapat 10, dia nak 100. Jadi, al Quran tepat sekali bila menyebut bahawa manusia ini boleh naik fi ahsani taqwim ataupun asfala safilin serendah-rendahnya, kerana ular sawa bila makan tahu mana nak berhenti, tomakninah beberapa hari. Tetapi, manusia tidak ada hentinya.

 

  1. Jadi kita dapat macam, kau ini 100 juta, kau ini satu bilion, rumah di Kuala Lumpur, rumah di London, rumah di New York, ini apa dia? Daripada mana? daripada harta orang yang nak belajar, nak bayar yuran ke sekolah pun susah, nak bayar untuk pesakit pun susah, itu rakyatnya.

 

  1. Sebab itu saudara-saudara percayalah kita nak jadikan ini Kerajaan MADANI ini, seperti yang saya selalu sebut motto nya, In uridu illal-islaha mastata’tu, perubahan yang sebaiknya. Biar kita betul-betul buat sedaya upaya. Biar orang nak kata, nak maki hamun tidak apa itu kerja mereka, tetapi percayalah dan saya syukur berlatih di sini, belajar agama di sini, belajar bersyarah di sini, belajar khutbah di sini, dan belajar perjuangan pun di sini. Masa saya cuti daripada Malay Kolej, semasa tingkatan 5, tingkatan 6, kelas bimbingan kita buat di Kampung Kampung. Khidmat dan kebajikan pun kita belajar di sini. Jadi saudara saudari, sebab itu saya bangga sebagai anak Cherok Tok Kun.

 

  1. KSN dia orang Pekan, Pahang. Dia tanya macam mana Cherok Tok Kun, nama Cherok seolah-olah macam common tak tukar ke? berapa kali orang nak tukar, saya kata jangan tukar ini nama nenek moyang kita bagi, kita bangga dengan nama itu dan nama ini boleh jadi harum kerana masyarakatnya itu menjadi contoh yang baik. Jadi saya datang bukan saya tidak hendak buat kerja rasmi, tak kisahlah rasmi tetapi yang pentingnya saya nak sampaikan bahawa sebagai seorang anak Cherok Tok Kun nak panggil anak-anak muda bahawa anda boleh berjaya dengan tekun dengan semangat seluruh Kampung. Masa saya senang mereka bersama. Masa saya terlantar terus dihina oleh ramai orang, dikeji, dipukul setengah mati walaupun setiap semangat dan mana mungkin saya lupa khidmat dan jasa pengorbanan mereka.

 

  1. Jadi, sebab itulah kalau ada sedikit sumbangan saya kata, kita boleh pilih Kampung Angkat, mana Kampung Angkat Perdana Menteri? Cherok Tok Kun. Jadi, semua pegawai-pegawai tahu lah turun habis. Apa yang perlu Cherok Tok Kun kita nak jadikan ini Kampung atau model bagi pembangunan. Kemudian Masjid memang kalau tanya mampu kita buat lebih besar, tapi saya kata cukup memadai untuk kampung ini, masjid yang akan menelan kos 9.5 juta itu sebenarnya satu kos yang lebih daripada kampung biasa, tetapi saya fikir itu sumbangan kita sebagai kenangan, kepada jasa dan khidmat masyarakat.

 

  1. Dan saya dah beritahu bagi pihak keluarga saya sendiri pun kita akan terus mencari jalan atas sumbangan peribadi dan keluarga. Saya sudah utuskan semua kepada anak-anak saya, anak saya 6 orang, saya kata mesti ada sumbangan kepada masjid nenek moyang kita.

 

  1. Saya bersyukur kepada Allah SWT dan membanggakan saya, mudah-mudahan menjadi contoh yang baik. Contoh bagi umat Islam, contoh bagi rakan rakan bukan Islam yang berada di keliling kita. Bagilah contoh baik, Islam ini hebat kerana contoh kita. Islam bukan hebat kerana kita maki orang, Islam bukan hebat kerana kita hina kaum lain, Islam itu hebat kerana contoh kita itu baik, masjid kita paling bersih, kariah kita itu paling baik peribadinya, anak-anak kita cukup terlatih dan cukup disiplin. Itu yang akan menyebabkan orang hormat kita, bukan kerana angkuh kita dan bukan kerana bengis kita atau bukan kerana kita memilih untuk menghina yang lain.

 

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.