Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : DATIN SERI DR. SITI HASMAH BINTI HAJI MOHD. ALI
Tajuk : PERASMIAN PERSIDANGAN MINI PARLIMEN YANG KETIGA
Lokasi : ODITORIUM DEWAN BANDARAYA, KUALA LUMPUR
Tarikh : 22-08-1986
 
Bismillahir rahmanir rahim Assalamu 'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Yang Mulia Puan Pengerusi Majlis, Dif-dif Kehormat, Tuan-tuan, Puan-puan serta kanak-kanak yang dikasihi sekalian.

Syukur Alhamdulillah dapat saya bersama-sama dengan tuan-tuan dan puan-puan untuk menyaksikan Persidangan Mini Parlimen Malaysia yang ketiga ini.

2. Sejak ianya dilancarkan pada bulan Julai 1984, Persidangan Mini Parlimen ini telah mendapat sambutan hangat dari kanak-kanak dan mendapat perhatian umum. Kanak-kanak yang mengambil bahagian dalam persidangan pada kali ini adalah golongan yang bernasib baik kerana mendapat peluang menguji bakat mereka.

Tuan-tuan dan puan-puan,

3. Anak-anak kita akan mengambil alih teraju pemerintahan negara pada satu hari nanti. Siapalah tahu ada di antara mereka yang akan menjadi menteri-menteri kerajaan, wakil-wakil rakyat dan pegawai-pegawai kanan kerajaan. Dengan demikian kita seharusnya mendidik mereka dari muda dan mengasah bakat kepimpinan mereka. Untuk menjadi seorang pemimpin, maka perlulah seseorang itu mempunyai kebolehan untuk bercakap, berdebat dan berpidato di khalayak ramai. Pada hemat saya kebolehan ini boleh diasah dari awal-awal lagi. Guru-guru dan ibu bapa seharusnya menggalakkan murid-murid sekolah mengambil bahagian dalam kelas-kelas ceramah, kelab-kelab debat dan sebagainya supaya murid-murid berpeluang menguji kebolehan mereka dan tidak merasa kaku dan takut apabila berucap dikhalayak ramai.

Tuan-tuan dan puan-puan,

4. Usaha mengadakan mini parlimen ini adalah satu usaha yang baik. Untuk mengekalkan minat terhadap projek ini pada masa hadapan, maka usaha ini sepatutnya juga diadakan di peringkat negeri. Negara kita mempunyai tigabelas dewan undangan negeri, jadi saya syorkan supaya diadakan mini dewan undangan negeri pula. Dengan mengadakan mini dewan undangan negeri maka ramai lagi kanak-kanak boleh mengambil bahagian. Maka dengan itu kanak-kanak di seluruh negara boleh menyertai mini parlimen ini di negeri masing-masing.

Saya percaya dengan adanya mini dewan undangan negeri maka projek mini parlimen ini akan berterusan dan tetap kekal di hati sanubari kanak-kanak Malaysia.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

5. Persidangan Mini Parlimen yang ketiga ini tentulah lebih bermakna kepada peserta-peserta yang akan mengambil bahagian kelak. Saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada mereka-mereka yang telah dipilih. Ambilah peluang ini untuk membincangkan isu-isu kepentingan kanak-kanak bersama. Walau bagaimanapun saya ingin mengesyorkan juga supaya peserta-peserta membincang isu-isu kepentingan negara dan mengeluarkan pendapat mengenai masalah-masalah yang dihadapi oleh negara dan rakyat Malaysia, dari kaca-mata kanak-kanak. Tentulah topik-topik seperti kesesuaian sistem demokrasi berparlimen yang dipraktikan di Malaysia, cara-cara yang baik untuk merapatkan hubungan di antara berbagai kaum, bagaimana hendak merayakan berbagai perayaan di Malaysia, dan sebagainya lebih bermakna dan 'interesting' untuk dibincang dan dibahas oleh peserta-peserta mini parlimen ini.

6. Akhir kata, saya ingin merakamkan penghargaan kepada Pengerusi dan Ahli-ahli Jawatankuasa Mini Parlimen Ketiga yang telah sudi menjemput saya merasmikan persidangan ini.

7. Dengan sukacitanya saya merasmikan Persidangan Mini Parlimen Malaysia Yang Ketiga ini. Selamat bersidang.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamu Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Kami menerima 6,889,712 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2025 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri