Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : Y.BHG. TAN SRI SAMSUDIN OSMAN
Tajuk : PELANCARAN PELAN INTEGRITI NASIONAL (PIN) DAN INSTITUT INTEGRITI MALAYSIA (IIM)
Lokasi : PUSAT PERSIDANGAN PUTRAJAYA
Tarikh : 23-04-2004
 
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Selamat pagi dan Salam Sejahtera.

Y.A.B. Dato' Seri Abdullah Bin Haji Ahmad Badawi Perdana Menteri Malaysia, Y.A.B. Dato' Sri Mohd. Najib Bin Tun Haji Abdul Razak Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Y.B. Menteri-Menteri Kabinet, Y.A.B. Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri, Tuan-tuan Yang Terutama Para Perwakilan Negara Asing di Malaysia, (His Excellencies Ambassadors and High Commissioners) Ketua-ketua Setiausaha Kementerian Kerajaan Persekutuan dan Setiausaha-setiausaha Kerajaan Negeri, Y. Bhg. Tan Sri-Tan Sri, Datuk Seri-Datuk Seri, Datuk- Datuk,Datin-Datin, Para tetamu jemputan, Saudara-Saudari, Para hadirin yang dihormati sekelian, UCAPAN KESYUKURAN 1. Alhamdulillah, bersyukur kita ke Hadzrat Allah Subhanahu Wata'ala, kerana dengan limpah kurnia dan keizinan Nya, dapat kita berhimpun dalam majlis yang penuh bermakna dan bersejarah pada pagi ini.

2. Terlebih dahulu saya, bagi pihak Jawatankuasa Pelaksana Penubuhan Pelan Integriti Nasional (atau ringkasnya, PIN) dan Institut Integriti Malaysia (atau IIM), ingin mengalu-alukan kehadiran semua ke majlis ini serta merakamkan penghargaan khusus kepada Y.A.B Perdana Menteri kerana dapat bersama-sama bagi menyempurnakan Majlis Pelancaran Pelan Integriti Nasional dan Institut Integriti Malaysia, sebentar nanti. Sesungguhnya kehadiran Y.A.B. Perdana Menteri bagi menyampaikan ucap tama dan seterusnya melancarkan PIN dan IIM memperlihatkan komitmen serta keazaman yang tinggi oleh pucuk pimpinan negara dalam usaha murni lagi mulia, iaitu ke arah mempertingkatkan integriti nasional.

Y.A.B. Dato' Seri dan hadirin yang dihormati sekelian, LATARBELAKANG

3. Pada tahun 2001, Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Keutuhan Pengurusan Kerajaan (JKKMKPK) yang dipengerusikan oleh Y.A.B. Dato' Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, ketika itu sebagai Timbalan Perdana Menteri, telah mengarahkan supaya satu kajian bertajuk "Persepsi Awam Terhadap Rasuah di Malaysia" dijalankan.

Kajian ini telah diselaraskankan oleh Badan Pencegah Rasuah Malaysia (BPR), dan dilaksanakan oleh lima orang penyelidik pakar sains sosial dari universiti-universiti tempatan, iaitu empat orang dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan seorang lagi dari Universiti Utara Malaysia (UUM). Kajian tersebut telah disempurnakan pada tahun 2002, dan seterusnya Laporan Kajian "Persepsi Awam Terhadap Rasuah di Malaysia" telah dibentangkan di dalam satu Mesyuarat Khas JKKMKPK pada 31 Mac 2003.

4. Laporan ini, antara lainnya, memperakukan tentang perlunya negara Malaysia mempunyai sebuah pelan integriti yang bersifat holistik bagi menangani isu integriti masyarakat dan negara. Di samping itu, laporan ini juga telah memperakukan tentang perlunya ditubuhkan sebuah institusi khusus bagi tujuan mengkoordinasikan pelaksanaan pelan integriti tersebut.

Berdasarkan perakuan-perakuan berkenaan, Kerajaan Malaysia telah memutuskan untuk menggubal suatu Pelan Integriti Nasional (PIN) serta menubuhkan sebuah Institut Integriti Malaysia (IIM). Keputusan ini telah diumumkan oleh Y.A.B. Dato' Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi dalam sidang akhbar pada 5 November 2003, selepas Mesyuarat Jemaah Menteri yang pertama yang pengerusikan oleh beliau setelah dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kelima.

Y.A.B. Dato' Seri dan hadirin yang dihormati, PENGGUBALAN PELAN INTEGRITI NASIONAL DAN PENUBUHAN INSTITUT INTEGRITI NASIONAL

5. Pelan Integriti Nasional (PIN) adalah merupakan suatu pelan tindakan untuk mempertingkat dan mengukuhkan tahap integriti nasional secara bersepadu dan komprehensif. PIN akan menjadi teras panduan utama kepada semua sektor sosio politik dan ekonomi yang merangkumi masyarakat umum, sektor awam, sektor swasta, sektor politik, golongan belia dan pelajar, golongan wanita, dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Hala tuju dan bimbingan multi-sektor secara bekerjasama di bawah PIN akan membolehkan kita berusaha bagi membina sebuah masyarakat maju menurut acuan sendiri yang berintegriti, bermoral dan beretika, yang dapat meningkatkan daya saing dan daya tahan negara.

6. Penggubalan PIN adalah bersesuaian serta selaras dengan aspirasi Cabaran Keempat Wawasan 2020, iaitu, "mewujudkan masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan beretika, yang mana warganegaranya kukuh dalam nilai agama dan kejiwaan dan didorong oleh tahap etika yang paling tinggi". PIN merupakan kerangka yang akan membolehkan penglibatan semua pihak bagi meningkatkan integriti dan etika, memerangi rasuah dan aktiviti tidak beretika yang lain. Pelan ini merupakan suatu living document, di mana dokumen ini adalah bersifat dinamik dan boleh ditambahbaik secara berterusan. Falsafah dan wawasan yang didukungnya akan tetap sama, iaitu kearah memantapkan integriti masyarakat dan negara.

7. Bagi mengoperasikan PIN, Institut Integriti Malaysia (IIM) telah ditubuhkan. IIM adalah sebuah institusi nasional yang mendokong pelaksanaan dan pengisian PIN. Institut ini berperanan melaksanakan pelbagai objektif dan program PIN melalui penyelidikan, pendidikan, latihan, penerbitan, forum, persidangan atau bengkel, khidmat masyarakat dan lain-lain program yang berkaitan. Dalam hubungan ini, IIM dari semasa ke semasa akan menganjurkan konvensyen atau persidangan sebagai satu usaha berterusan bagi mendapatkan maklum balas serta merumuskan pandangan dan pendapat dari pelbagai sektor, mengenai kemajuan dan halangan kepada pelaksanaan integriti secara nasional.

8. Penggubalan PIN serta penubuhan IIM adalah merupakan suatu usaha penting bagi menggembleng seluruh jentera kerajaan, swasta dan segenap lapisan masyarakat dalam suatu gerakan nasional secara terancang, sistematik, bersepadu dan berterusan ke arah pembangunan sebuah negara yang berteraskan nilai murni dan integriti tinggi.

Y.A.B. Dato' Seri serta hadirin sekelian, JAWATANKUASA PELAKSANA PENUBUHAN PIN & IIM

9. Suka saya menyentuh serba sedikit mengenai usaha- usaha penggubalan PIN dan penubuhan IIM. Tugas bagi merangka serta menggubal pelan dan menubuhkan institut tersebut telah diamanahkan kepada Jawatankuasa Pelaksana Penubuhan PIN dan IIM. Agensi-agensi yang terlibat dalam Jawatankuasa ini termasuklah BPR selaku Urusetia, MAMPU, Biro Pengaduan Awam (BPA), Biro Tata Negara (BTN), INTAN, Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri, dan Polis DiRaja Malaysia. Jawatankuasa ini juga dianggotai oleh Pasukan Penyelidik yang sama yang menjalankan Kajian "Persepsi Awam Terhadap Rasuah di Malaysia", dari Universiti Kebangsaan Malaysia. Pasukan Penyelidik ini telah ditugaskan bagi merangka Pelan Integriti Nasional berkenaan serta menyediakan kertas konsep bagi penubuhan Institut Integriti Malaysia.

Jawatankuasa Pelaksana Penubuhan PIN dan IIM merasa amat bertuah kerana mempunyai sebuah Pasukan Penyelidik yang cekap, berpengalaman dan komited dalam menjalankan tugas yang berat ini, terutama bagi menyediakan pelan tersebut dalam jangka waktu yang singkat.

10. Penggubalan PIN dan penubuhan IIM telah melalui proses penyertaan ramai yang telah memberi maklum balas yang bernas melalui siri Seminar Kebangsaan Ke Arah Pengisian PIN dan IIM yang telah diadakan dalam tempoh dua bulan pada akhir tahun 2003 dan awal tahun 2004.

Sebanyak 2,500 jemputan telah diedarkan kepada 450 organisasi di seluruh negara yang mewakili pelbagai sektor dan golongan masyarakat, termasuk sektor awam, sektor swasta, parti politik, pertubuhan agama, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), golongan wanita, golongan belia dan pelajar, pihak media, kelompok etnik dan budaya, persatuan sukan, serta penduduk dalam dan luar bandar.

11. Seminar ini dianjurkan supaya PIN dapat mencerminkan kehendak dan hasrat wakil-wakil pelbagai sektor serta golongan masyarakat dalam negara. Selain itu, seminar kebangsaan ini juga bertujuan: bagi mengumpul dan merumuskan pendapat pelbagai sektor masyarakat selaku stakeholders untuk pengisian dan penambahbaikan Pelan Integriti Nasional dan Institut Etika Awam Malaysia, agar PIN benar-benar menjadi aktiviti dan program bersama; bagi mencetuskan gerakan nasional untuk meningkatkan integriti dan memerangi rasuah di semua peringkat; bagi mendorong setiap sektor merangka dan melaksanakan program integriti masing-masing selaras dengan Pelan Integriti Nasional; bagi meningkatkan kesedaran dan komitmen masyarakat bahawa usaha memantapkan integriti dan memerangi rasuah adalah tanggungjawab bersama; dan bagi menyumbang kepada pengukuhan asas moral masyarakat dan negara.

Para hadirin yang dihormati, Lawatan dan Perbincangan

12. Bagi mendapatkan best practices serta gambaran tentang usaha-usaha yang sama yang telah dan sedang dijalankan, Pasukan Penyelidik telah melakukan beberapa lawatan kerja ke luar negara, bagi menemui pihak-pihak yang bertanggungjawab di pelbagai organisasi yang berkaitan dengan etika dan integriti, seperti di Australia, Finland, Sweden dan Jerman. Lawatan tersebut adalah bagi meninjau pengalaman, berkongsi maklumat serta bertukar pandangan dengan pelbagai organisasi yang berkaitan di peringkat antarabangsa.

13. Jawatankuasa Pelaksana Penubuhan PIN dan IIM juga telah merujuk pandangan serta bantuan dari organisasi berkaitan dalam negara, terutamanya, Kuala Lumpur Society for Transparency and Integrity (KLSTI) dalam usaha penggubalan PIN dan IIM. Persatuan tersebut juga turut membantu dalam urusan lawatan kerja ke Australia di samping menyertai delegasi Pasukan Penyelidik ke sana.

14. Di samping itu juga, Jawatankuasa Pelaksana Penubuhan PIN dan IIM telah mengadakan beberapa sesi perbincangan dari semasa ke semasa dengan tokoh-tokoh pemimpin masyarakat dan opinion leaders.

Y.A.B Dato' Seri dan para hadirin yang dihormati, KERJASAMA DAN SOKONGAN PELBAGAI PIHAK

15. Pada mulanya nama yang dicadangkan bagi institut yang bakal ditubuhkan ialah Institut Etika Awam Malaysia (IEAM). Walau bagaimanapun, setelah mendapat pandangan dan maklum balas daripada semua pihak, Kerajaan, dengan persetujuan Y.A.B. Perdana Menteri, telah menerima cadangan supaya nama institut tersebut dipinda, menjadi Institut Integriti Malaysia (IIM). Sehubungan dengan ini, saya mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan tahniah dan berbanyak terima kasih kepada semua pihak yang telah menyertai seminar yang telah dijalankan serta terlibat secara aktif dengan mengemukakan pandangan dan cadangan masing-masing. Kaedah konsultatif ini adalah merupakan cara terbaik bagi memanfaatkan pendapat dan pandangan daripada semua pihak. Penglibatan semua pihak dalam proses penggubalan PIN dan penubuhan IIM merupakan suatu perkara yang unik bagi merealisasikan suatu pelan tindakan integriti yang boleh dimiliki bersama.

16. Bersempena dengan pelancaran Pelan Integriti Nasional dan Institut Integriti Malaysia, saya selaku Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Penubuhan PIN dan IIM ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Y.A.B.

Perdana Menteri yang telah mencetuskan gagasan ini serta memberi kepercayaan kepada kami untuk melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan. Saya juga ingin menyatakan setinggi-tinggi penghargaan kepada ahli Jawatankuasa Pelaksana Penubuhan PIN dan IIM, Pasukan Penyelidik, pihak Urusetia, dan semua pihak yang terlibat, sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam usaha penggubalan PIN dan penubuhan IIM. Semoga kerjasama serta sokongan padu yang ditunjukkan akan dapat diteruskan pada masa-masa akan datang bagi mendukung pelaksanaan pelbagai rancangan dan tindakan yang telah digariskan di dalam PIN bagi memantapkan integriti masyarakat dan negara.

Hadirin yang dihormati,

PENUTUP

17. Sebelum saya akhiri, sekali lagi saya ingin mengucapkan setinggi terima kasih kepada Y.A.B. Perdana Menteri kerana sudi hadir menyempurnakan Majlis Pelancaran Pelan Integriti Nasional dan Institut Integriti Malaysia pada pagi ini. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua para hadirin yang telah meluangkan masa untuk menghadiri majlis ini. Tidak lupa juga saya mengucapkan syabas kepada pihak penganjur yang telah berjaya menguruskan majlis pelancaran pada pagi ini.

Sekian, Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Kami menerima 6,901,240 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2025 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri