Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan salam bahagia.
Yang Berbahagia Tan Sri Hashim bin Aman, Tetamu yang kita raikan; Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.
Kita berkumpul pada malam ini bagi merai dan mengucapkan selamat bersara kepada Yang Berbahagia Tan Sri Hashim Aman, bekas Ketua Setiausaha Negara. Saya mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Hashim dan Puan Sri Zawiah kerana sudi bersama-sama kita pada malam ini.
Tuan-tuan dan puan-puan,
2. Jawatan Ketua Setiausaha Negara merupakan puncak dalam perkhidmatan awam di negara kita. Tan Sri Hashim merupakan salah seorang yang telah diamanahkan memegang jawatan tertinggi ini. Saya bagi pihak Kerajaan mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Hashim kerana telah menumpukan sepenuh perhatian dan tenaga dalam menjalankan tugas jawatan tertinggi itu dengan cemerlang.
3. Walaupun Tan Sri Hashim telah berkhidmat selama hampir 27 tahun di berbagai jabatan dan agensi awam, termasuk sebagai Ketua Setiausaha di Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pertahanan, dan sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, saya mula mengenali Tan Sri Hashim Aman secara dekat semasa beliau berkhidmat sebagai Pengarah Kerajaan Negeri Kelantan apabila Negeri itu diisytiharkan dalam keadaan darurat pada akhir tahun 1977 dahulu. Melalui usaha yang gigih, beliau telah berjaya mendapatkan kerjasama daripada golongan pemimpin politik dan golongan pentadbiran Negeri serta Persekutuan untuk kemajuan dan kesejahteraan negeri Kelantan. Walaupun tempoh beliau memegang jawatan itu singkat, saya yakin perkhidmatan beliau di Kelantan merupakan salah satu kenangan yang manis bagi Tan Sri Hashim.
4. Tan Sri Hashim bolehlah dianggap sebagai seorang pegawai perkhidmatan awam yang tidak suka menonjolkan diri -- beliau adalah seorang yang 'publicity-shy'. Ini merupakan satu nilai peribadi yang boleh dipuji. Saya tahu ramai yang sukakan publisiti dan kalau boleh hendak membuat seberapa banyak kenyataan dan pengumuman supaya mendapat perhatian masyarakat ramai. Tan Sri Hashim sebaliknya membuat kenyataan hanya apabila perlu sahaja. Dengan itu peluang media massa untuk memetik pemikiran dan kenyataan beliau sangat terhad. Kalau ada pun hanyalah pada upacara-upacara seperti pembukaan kursus-kursus dan upacara-upacara seumpamanya. Walau bagaimanapun Kerajaan mengetahui kewibawaan dan keutuhan beliau dalam menjalankan tugas sehariannya, bukan sahaja melalui fail-fail, mesyuarat dan rundingan-rundingan, tetapi juga melalui nasihat-nasihat dan kepimpinan beliau sewaktu meneraju beberapa agensi Kerajaan dan semasa menjadi Ketua Setiausaha Negara. Kerajaan sentiasa menghargai kesungguhan, kecekapan dan keutuhan yang ditunjukkan oleh Tan Sri Hashim.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
5. Perkhidmatan awam di negara kita ini telah menunjukkan kematangannya yang semakin hari semakin meningkat. Walau bagaimanapun kakitangan awam hendaklah sentiasa berusaha bagi meningkatkan lagi kecekapan masing-masing terutama dengan peluang yang terbuka dengan bertambahnya teknologi moden dan pengetahuan baru. Di dalam kita mencari langkah-langkah yang sesuai bagi meningkatkan kecekapan pentadbiran awam, elok juga kita sekali-sekala meresapi semangat dan keutuhan tokoh-tokoh pentadbiran awam yang telah menunjukkan kecekapan dan menaburkan jasa bagi kesejahteraan negara dan masyarakat.
6. Saya tidak bertujuan menyeru kakitangan awam mencari 'hero' dari masa ke semasa dalam perkhidmatan awam. Ini hendaklah dielakkan. Apa yang diperlukan ialah dari masa ke semasa mestilah kita cuba menerima dan memupuk nilai-nilai positif yang telah ditunjukkan oleh mereka yang telah diberi kepercayaan memegang jawatan-jawatan tertinggi dalam perkhidmatan kerajaan seperti jawatan Ketua Setiausaha Negara, Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian, Ketua-Ketua Pengarah Jabatan atau agensi awam. Setiap pegawai mungkin mempunyai sedikit-sebanyak nilai-nilai negatif, tetapi saya yakin apabila mereka memegang jawatan-jawatan tertinggi, nilai negatif itu sangat berkurangan dan janganlah pula kita menjadikan nilai negatif itu sebagai alasan untuk mengenepikan semangat dan nilai positif yang telah ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin perkhidmatan awam.
7. Di sini saya yakin Tan Sri Hashim telah menunjukkan beberapa contoh dan kepimpinan yang bukan sahaja dihargai oleh Kerajaan, tetapi juga oleh pegawai-pegawai dalam pentadbiran kerajaan. Saya juga yakin bahawa Tan Sri Hashim akan terus memberikan perkhidmatan yang terdaya olehnya kepada Kerajaan. Seperti yang kita maklum, Tan Sri Hashim telah dilantik sebagai Pengerusi PERNAS. Saya percaya PERNAS akan mendapat manfaat daripada pengalaman yang diperolehi oleh Tan Sri Hashim.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
8. Tan Sri Hashim sekarang sedang bercuti sebelum bersara mulai 1hb. September ini. Mungkin terlalu awal bagi saya mengucapkan selamat harijadi yang ke-56 kepada beliau, tetapi saya bagi pihak Kerajaan mengucapkan kepada beliau selamat bersara dari perkhidmatan awam. Saya berdoa semoga Allah Subhanahu Wataala mencucuri kesihatan kepada beliau untuk meneruskan khidmatnya kepada masyarakat dan negara.
9. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat bertugas kepada Yang Berbahagia Tan Sri Sallehuddin bin Mohamed sebagai Ketua Setiausaha Negara yang baru.
10. Akhirnya, saya sekali lagi mengucapkan selamat sejahtera kepada Tan Sri Hashim dan keluarga. Kerajaan akan sentiasa menghargai sumbangan yang beliau telah berikan kepada negara dan masyarakat.
Terima kasih.
Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
|