Menu Pilihan





Laman Utama | Kembali
Ucapan
Penyampai : TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD. YASSIN
Tajuk : PERUTUSAN KHAS HARI KEBANGSAAN KE-63
Lokasi : SEPERTI DINYATAKAN DI BAWAH
Tarikh : 30-08-2020
 

PERUTUSAN KHAS HARI KEBANGSAAN KE-63 
YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
PERDANA MENTERI MALAYSIA


Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu''alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh dan salam sejahtera.


Apa khabar semua? Saya harap saudara dan saudari sekalian sihat walafiat.


1. Saya berdiri di sini pada hari ini di suatu tempat yang amat bersejarah. Di sinilah 63 tahun yang lalu, Almarhum Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia yang pertama, mengisytiharkan pemasyhuran kemerdekaan Tanah Melayu.


2. Pada pagi tanggal 31 Ogos 1957, di tempat yang amat bersejarah ini, Almarhum Tunku dengan disaksikan puluhan ribu rakyat yang berbilang kaum dan agama mengisytiharkan Persekutuan Tanah Melayu:




“Dengan limpah rahmat Allah subhanahu wa ta'ala akan kekal menjadi sebuah negara demokrasi yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa”.



3. Inilah yang diungkapkan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman yang disusuli dengan laungan keramat “Merdeka!”.


4. Perisytiharan ini membuka lembaran baharu kepada tanah air kita sebagai sebuah negara yang merdeka, bebas dan berdaulat. Setelah dijajah selama ratusan tahun, kita mendapat kembali hak sebagai bangsa yang bermaruah. Kita dapat menentukan nasib diri kita, bangsa kita dan negara kita sendiri tanpa dibelenggu oleh mana-mana kuasa lain.


5. Kemerdekaan adalah satu nikmat besar kepada kita semua. Sepertimana yang disebut oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman dalam pemasyhuran kemerdekaan di sini 63 tahun yang lalu, negara kita ini hendaklah kekal merdeka dan berdaulat, dan seluruh rakyatnya aman, sejahtera dan sentosa selama-lamanya.


6. Inilah amanah besar yang mesti dipikul oleh saya dan saudara- saudari semua. Kita mesti kekalkan kemerdekaan negara kita. Kita mesti pertahankan kedaulatan negara kita. Kita mesti pelihara keamanan negara kita. Kita mesti tegakkan keadilan dan pelihara kebebasan rakyat. Kita mesti pastikan seluruh warga tanah air tercinta ini sejahtera dan sentosa selama-lamanya.


7. Alhamdulillah, kita telah menempa kejayaan dan kemajuan sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat. Dari sebuah negara yang mundur suatu ketika dahulu, kita telah menjadi sebuah negara yang maju dalam pelbagai bidang.


8. Kita juga bersyukur negara kita kekal aman dan damai dengan perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama. Dari Perlis hingga ke Sabah, tidak kira Melayu, Cina, India, Sikh, Kadazan, Dusun, Bajau, Iban, Murut, Melanau, Siam, orang asal, kita bersatu hati dan berbangga menjadi rakyat Malaysia. Ini adalah pencapaian kita, pencapaian saudara dan saudari semua.


9. Namun, cabaran yang kita hadapi juga amat besar. Negara kita mesti terus dibangunkan untuk menjadi sebuah negara maju yang hasil kemajuannya dapat dinikmati oleh seluruh rakyat secara nyata.


10. Kemajuan yang saya maksudkan bukan hanya dari segi angka- angka pertumbuhan ekonomi, indeks bursa saham, jumlah pelaburan langsung asing dan domestik, tetapi sumber pendapatan dan kualiti hidup setiap seorang daripada saudara-saudari sekalian.


11. Angka-angka pertumbuhan ekonomi hanya akan bermakna apabila saudara-saudari mempunyai sumber pendapatan yang mencukupi, kediaman yang selesa, pendidikan yang sempurna, kesihatan yang baik, alam sekitar yang lestari dan keselamatan yang sentiasa terpelihara untuk menjalani kehidupan yang bahagia dan sejahtera.


12. Saya tahu, tidak semua rakyat di negara ini bernasib baik. Ada yang terpaksa melakukan dua tiga pekerjaan untuk menyara kehidupan keluarga. Ramai yang tidak mempunyai simpanan yang mencukupi untuk meneruskan kehidupan sekiranya terputus mata pencarian.


13. Mungkin ada yang boleh bertahan selama sebulan atau dua bulan. Tetapi, lebih daripada itu mereka terpaksa berhutang dan bergolok bergadai untuk hidup.


14. Saya sedar tentang perkara ini. Kerana itu, ketika wabak COVID 19 mula melanda negara dan sektor-sektor ekonomi ditutup, perkara pertama yang dilakukan oleh kerajaan ialah menyediakan pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat. Kita sediakan Bantuan Prihatin Nasional, morotarium bayaran pinjaman bank, bantuan kemudahan khas untuk perusahaan kecil dan sederhana, subsidi upah dan lain-lain bentuk bantuan berjumlah RM260 bilion keseluruhannya untuk meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat.


15. Alhamdulillah, pelbagai bantuan yang disediakan sedikit sebanyak dapat meringankan beban rakyat di waktu susah.


16. Namun, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan, saya diberitahu oleh Gabenor Bank Negara, Malaysia kerugian RM2.4 bilion sehari dan ekonomi negara kita akan runtuh jika sektor-sektor ekonomi tidak dibuka semula dengan kadar segera. Saya amat risau dengan keadaan itu. Jika ia tidak ditangani dengan baik, ramai yang akan kehilangan pekerjaan dan mata pencarian. Kesannya amat buruk kepada saudara saudari sekalian.


17. Kerana itu, kerajaan memutuskan untuk membuka semula sektor- sektor ekonomi negara secara bertahap. Di samping itu, untuk membantu memulihkan ekonomi, kerajaan melaksanakan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara atau PENJANA yang berjumlah RM35 bilion.


18. Alhamdulillah, hari ini sektor-sektor ekonomi negara kita telah mula rancak dengan lebih 15 juta pekerja telah kembali bekerja. Kadar pengangguran mengalami trend pengurangan daripada 5.3 peratus pada bulan Mei 2020 kepada 4.9 peratus pada bulan Jun. Saya sedar banyak sektor ekonomi yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 dan akan mengambil sedikit masa untuk pulih sepenuhnya. Tetapi saya yakin, sekiranya trend pemulihan ekonomi berterusan ekonomi negara kita akan pulih lebih cepat.


Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,


19. Pandemik COVID-19 memberikan satu pengajaran yang amat bermakna kepada kita semua. Setakat ini, kita berjaya menangani krisis ini kerana kita prihatin.


20. Para frontliners kita bekerja siang dan malam melawan wabak COVID-19 kerana mereka semua prihatin. Para sukarelawan sedia membantu mengagihkan bantuan makanan, menyediakan peralatan perlindungan peribadi dan lain-lain kerana mereka prihatin. Saudara dan saudari juga mematuhi SOP yang ditetapkan oleh kerajaan untuk melindungi diri, keluarga dan orang sekeling kerana saudara dan saudari semua prihatin. Kita rakyat Malaysia prihatin terhadap satu sama lain.


21. Bagi saya secara peribadi sebagai pemimpin kerajaan, sebuah kerajaan yang baik mestilah sentiasa prihatin kepada rakyat. Kebajikan rakyat mesti diutamakan. Yang susah dibantu. Yang lemah dipapah. Itulah lambang keprihatinan kerajaan kepada rakyat. Saya ingin tekankan Kerajaan Perikatan Nasional adalah kerajaan Prihatin Rakyat.

22. Saya berikrar untuk menjadikan Prihatin Rakyat sebagai prinsip panduan utama kerajaan Perikatan Nasional. Prinsip ini telah pun diterjemahkan dalam pakej-pakej rangsangan ekonomi yang telah diumumkan oleh kerajaan sebelum ini. InsyaAllah, prinsip Prihatin Rakyat juga akan diterjemahkan dalam Belanjawan 2021 dan apa jua dasar, inisiatif dan pakej rangsangan ekonomi pada masa hadapan. Walaupun kerajaan berada dalam situasi yang sukar, kebajikan rakyat tidak akan diabaikan.


Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,


23. Sesuai dengan tema Hari Kebangsaan pada tahun ini iaitu Malaysia Prihatin, saya menyeru anda semua supaya menghayati semangat kemerdekaan dengan sentiasa menanam sikap prihatin yang mendalam terhadap satu sama lain. Prihatinlah terhadap keluarga kita, sahabat kita, jiran kita, pekerja kita dan semua insan yang berada di sekeliling kita.


24. Prihatin jugalah kepada tanah air kita. Jagalah kemerdekaannya, pertahankanlah kedaulatannya, peliharalah keamanannya. InsyaAllah, tanah air kita yang tercinta ini akan kekal merdeka, bebas dan berdaulat salama-lamanya.


25. Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Kebangsaan Ke-63 kepada anda semua.


Merdeka! Merdeka! Merdeka!


Kami menerima 6,753,394 kunjungan sejak 17 Disember 2008
Paparan terbaik pada skrin 1024 x 768 dengan Internet Explorer 7+ dan Mozilla Firefox 3+
©2025 Hakcipta Terpelihara PERDANA DIGITAL
(sebelum ini dikenali sebagai SMPKE),Pejabat Perdana Menteri